(Kuala Lumpur) – Kerajaan Malaysia perlu segera mendapatkan pemansuhan semua undang-undang dan peraturan yang mendiskriminasikan golongan transgender, Human Rights Watch berkata dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini. Golongan transgender di Malaysia berdepan dengan pendakwaan yang secara efektif melarang “berpakaian silang” dan diskriminasi dalam mengakses pekerjaan, penjagaan kesihatan, dan pendidikan.

Laporan 73 muka surat, “Saya Takut Untuk Menjadi Wanita: Pencabulan Hak Asasi Manusia Terhadap Golongan Transgender Di Malaysia,” melaporkan penindasan kerajaan terhadap golongan transgender di Malaysia. Dalam Kajian di empat buah negeri di Malaysia dan wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Human Rights Watch mendapati bahawa pegawai-pegawai Jabatan Agama negeri dan polis sering kali menahan mak nyah dan memperlakukan mereka dengan pelbagai penganiayaan, termasuk serangan, pemerasan, dan pelanggaran hak peribadi. Pegawai Jabatan Agama telah menyerang mak nyah secara fizikal dan seksual semasa tangkapan atau dalam tahanan, dan memalukan mereka dengan membariskan mereka di hadapan media.

 

“Golongan transgender di Malaysia berisiko ditahan setiap hari mereka melangkah keluar daripada rumah mereka hanya kerana cara mereka menonjolkan diri mereka sendiri” kata Boris Dittrich, pengarah advokasi hak asasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Human Rights Watch. “Pihak berkuasa tidak sepatutnya mengganggu dan menghukum golongan transgender hanya kerana menjadi diri mereka yang sebenar.”

Victoria, seorang wanita transgender di Negeri Sembilan, memberitahu dia telah ditahan pada 2011 oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama, yang membogelkannya dan menyerangnya secara seksual. “Mereka sangat kasar. Salah seorang daripada mereka memicit buah dada saya. Saya berasa sangat malu. ... Mereka melucutkan pakaian saya sepenuhnya. Salah seorang daripada mereka mengambil baton polis dan mencucuk kemaluan saya. Semua orang melihatnya – lelaki-lelaki itu [pegawai-pegawai Jabatan Agama] termasuk juga wanita. Mereka mengambil gambar bogel saya.”

Human Rights Watch menjalankan kajian lapangan di Malaysia pada Januari 2014 di empat buah negeri— Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Pahang—serta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Human Rights Watch telah menemubual 66 orang, termasuk 42 orang mak nyah dan 3 orang lelaki transgender; termasuk para peguam; pekerja khidmat masyarakat HIV; seorang pakar jenayah, seorang ahli psikologi, dan seorang doktor perubatan; seorang wakil Jabatan Kemajuan Islam persekutuan (JAKIM) dan suruhanjaya hak asasi manusia kerajaan (SUHAKAM); dan seorang ahli dewan undangan negeri yang dipilih. Human Rights Watch menghubungi Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara mengenai polisi yang memberi kesan kepada golongan transgender, tetapi tiada satu pun agensi yang memberi maklum balas.

Orang-orang Islam, yang menurut statistik kerajaan membentuk kira-kira 60 peratus daripada penduduk Malaysia, tertakluk kepada ordinan Syariah (undang-undang Islam) peringkat negeri, sebagai tambahan kepada undang-undang jenayah persekutuan. Sejak tahun 1980-an, setiap negeri telah meluluskan enakmen jenayah Syariah yang menetapkan diskriminasi terhadap golongan transgender. Semua 13 buah negeri di Malaysia melarang lelaki Muslim daripada “berpakaian menyerupai wanita,” sementara tiga buah negeri juga menghukum “wanita yang menyerupai lelaki.” Undang-undang tersebut, yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menyatakan apakah yang menentukan pemakaian atau yang menyerupai transgender.

Kebanyakan mak nyah yang ditahan akan didenda dan dipaksa melalui sesi “kaunseling”, di mana pegawai-pegawai daripada Jabatan Agama Islam memberikan syarahan kepada mereka berkenaan “menjadi seorang lelaki”. Oleh kerana Jabatan Pendaftaran negara sentiasa menolak permohonan wanita transgender untuk menukar jantina mereka secara sah, mak nyah beragama Islam terdedah kepada penahanan yang berulang. Seorang mak nyah memberitahu Human Rights Watch yang dia pernah ditahan lebih daripada 20 kali.

Para mak nyah memberitahu Human Rights Watch bahawa polis kadangkala terlibat secara langsung dalam penahanan, dalam sesetengah kes berdasarkan peruntukan yang samar-samar dalam kod jenayah persekutuan yang melarang “perlakuan sumbang” dan terpakai ke atas semua orang daripada semua latar belakang agama. Polis juga mengiringi pegawai-pegawai Jabatan Agama dalam serbuan terhadap mak nyah yang beragama Islam.

“Pihak berkuasa Malaysia sering kali menganiaya mak nyah dengan menjatuhkan maruah mereka serta melanggar hak asasi mereka,” kata Dittrich. “Adalah sangat jelas bahawa Jabatan Agama dan pegawai-pegawai mereka rasa mereka boleh melakukan apa sahaja sesuka hati mereka ke atas mak nyah dan tiada siapa yang akan menyalahkan mereka.”

Walaupun jumlah angka sebenar tidak wujud bagi bilangan mak nyah yang dikenakan hukuman penjara, beberapa mak nyah yang ditemubual oleh Human Rights Watch memberitahu mereka telah disabitkan kesalahan dan dihantar ke penjara untuk tempoh yang terdiri daripada empat bulan hingga tiga tahun. Mereka biasanya ditempatkan dalam wad lelaki, di mana mereka menghadapi serangan seksual daripada pengawal serta banduan-banduan lain.

Erina, seorang mak nyah yang dipenjarakan kerana tuduhan serangan dan ditahan di dalam wad lelaki di penjara Sungai Buloh daripada tahun 1998 sehingga 2000, memberitahu dia telah dipaksa melakukan hubungan seks tanpa kondom dengan warden “kira-kira dua kali seminggu,” serta dengan banduan-banduan lelaki. “Saya mengadu kepada pegawai tertinggi, [juga] sarjan, tetapi mereka tidak mengambil tindakan,” kata beliau.

Golongan transgender di Malaysia juga menghadapi diskriminasi dan penganiayaan daripada lain-lain pegawai dan agen negeri, termasuklah pekerja kesihatan sektor awam, guru-guru, serta pentadbir kerajaan tempatan. Semasa dia mendapatkan rawatan kerana demam di sebuah hospital kerajaan, “jururawat tersebut tidak mahu menyentuh saya” Kata Sharan, seorang mak nyah di Kuala Lumpur. “Saya berasa seolah-olah saya mempunyai penyakit—jika kamu menyentuh saya adakah kamu akan menjadi transgender juga?”

Diskriminasi rasmi diburukkan lagi dengan pelbagai bentuk diskriminasi di mana kerajaan menyediakan perlindungan yang sedikit atau tiada langsung, Human Rights Watch mendapati. Golongan transgender telah dipecat daripada pekerjaan mereka, dihalau daripada rumah mereka, diserang secara fizikal dan seksual, serta dinafikan akses kepada penjagaan kesihatan kerana identiti jantina mereka. Polis sering kali enggan menerima aduan mengenai keganasan terhadap golongan transgender oleh pegawai-pegawai awam atau individu persendirian, atau untuk menjalankan penyiasatan yang serius, mak nyah memberitahu Human Rights Watch. Dalam sesetengah kes, polis juga mengancam pengadu transgender dengan tangkapan atau mengganggu mereka secara seksual.

Walaupun pembedahan tukar jantina telah lama disediakan di Malaysia, peningkatan pengaruh Islam konservatif telah membawa kepada Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1982 untuk mengeluarkan fatwa yang mengharamkan pembedahan seumpamanya. Walaupun fatwa majlis ini tidak mempunyai kuasa perundangan, doktor-doktor Malaysia telah berhenti menjalankan prosedur ini.

Jabatan Pendaftaran kerajaan persekutuan semenjak itu telah menolak berpuluh-puluh permintaan daripada golongan transgender untuk menukar tanda nama dan jantina mereka dalam kad pengenalan mereka. Ini termasuklah mereka yang menjalani terapi penggantian hormon atau mereka yang telah menjalani pembedahan penggantian jantina di luar Malaysia—selalunya di negara jiran Thailand—menyebabkan mereka terumbang-ambing dari segi undang-undang.

Mak nyah di Malaysia telah memfailkan kes mahkamah yang pertama seumpamanya mencabar undang-undang Syariah di Negeri Sembilan, yang melarang mereka daripada menonjolkan identiti jantina mereka. Jabatan Agama negeri telah menggunakan udang-undang ini berulang kali untuk menahan mak nyah—yang terbaru, dalam sebuah tangkapan besar-besaran 16 orang mak nyah di sebuah majlis perkahwinan pada malam 8 Jun 2014. Tiga orang mak nyah telah meminta mahkamah untuk mengetepikan undang-undang tersebut, yang menyatakan bahawa “mana-mana lelaki yang memakai pakaian wanita atau menyerupai wanita di tempat awam” adalah bertentangan dengan undang-undang.

Pempetisyen menegaskan bahawa undang-undang Syariah ini melanggar peruntukan dalam perlembagaan Malaysia yang menjamin hak untuk kebebasan bersuara, kebebasan pergerakan, dan kesamarataan. Rayuan Mahkamah Putrajaya dijangka mengeluarkan keputusannya pada 7 November.

Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) yang dilantik kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang Penyelarasan dan Keharmonian Nasional dengan sesetengah ahli majlis telah menyatakan akan menghalang diskriminasi atas dasar jantina, termasuklah orientasi dan identiti seks. Walau bagaimanapun, tiada draf akhir yang dibentangkan kepada kerajaan, apatah lagi dibahaskan di parlimen.

Undang-undang Malaysia yang menentang “berpakaian silang” adalah berlawanan dengan hak kepada tiada diskriminasi, privasi, dan kebebasan bersuara dan bergerak yang dijamin di peringkat antarabangsa yang diperakui oleh Deklarasi Dunia mengenai Hak Asasi, di mana peruntukannya dianggap mencerminkan undang-undang antarabangsa. Layanan buruk terhadap golongan transgender oleh pihak berkuasa Jabatan Agama dan pihak polis menyalahi larangan terhadap penahanan sewenang-wenangnya dan layanan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah. Kebanyakan perlindungan undang-undang antarabangsa juga boleh dijumpai dalam perlembagaan persekutuan Malaysia, seperti hak kebebasan bersuara (artikel 10), perlindungan sama rata (artikel 8), dan kebebasan bergerak (artikel 9).

“Malaysia dengan segera perlu menghapuskan undang-undang yang mendiskriminasikan golongan transgender, mematuhi standard hak asasi antarabangsa, dan menyediakan perundangan yang tidak mendiskriminasikan yang komprehensif yang melindungi mereka,” kata Dittrich. “Ini adalah masa yang penting bahawa pihak berkuasa memperakui bahawa golongan transgender mempunyai hak asasi yang serupa dengan rakyat Malaysia yang lain.”