Skip to main content
Matek Geram, seorang pakar geospatial daripada Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), yang membantu komuniti Orang Asal untuk memetakan tanah adat nenek moyang mereka dan mempertahankan tuntutan tanah mereka, berjalan merentasi hutan hujan di tengah-tengah Sarawak, Malaysia, pada 8 September 2024. © 2024 Luciana Téllez-Chávez/Human Rights Watch
  • Negeri Sarawak di Malaysia telah gagal melindungi komuniti Orang Asal daripada perbuatan sebuah syarikat pembalakan yang menebang hutan tanpa persetujuan mereka, bahkan, berusaha untuk mengusir mereka dari tanah adat mereka.
  • Tingkah laku syarikat tersebut langsung tidak mematuhi undang-undang dan dasar kerajaan negeri. Sebaliknya, kerajaan negeri yang sepatutnya bertindak ke atas syarikat tersebut telah mengancam untuk menangkap penunjuk perasaan dan merobohkan perkampungan komuniti Orang Asal itu.
  • Malaysia wajar menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang melindungi hak Orang Asal. Pembeli utama kayu dari Sarawak juga harus memastikan agar undang-undang mereka yang mengawal perdagangan produk kayu dikuatkuasakan. 

(Brussels) – Negeri Sarawak di Malaysia telah gagal melindungi komuniti Orang Asal daripada sebuah syarikat pembalakan yang telah menebang hutan tanpa persetujuan mereka dan berusaha mengusir mereka dari tanah adat mereka, begitu menurut laporan yang diterbitkan hari ini oleh Human Rights Watch. Pencabulan hak yang serupa, yang berlaku di seluruh Sarawak menunjukkan betapa kerajaan Malaysia perlu mengawal selia entiti perniagaan dan pembeli antarabangsa produk kayu Malaysia—termasuk Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, dan Jepun—untuk menguatkuasakan undang-undang kelestarian bagi import kayu.

Laporan setebal 60 halaman bertajuk “Berdepan Jentera Pemusnah Hutan: Perjuangan Orang Asal Iban Menentang Industri Pembalakan di Sarawak, Malaysia” memperincikan bagaimana syarikat Malaysia, Zedtee, yang merupakan sebahagian daripada konglomerat pembalakan Shin Yang Group, melakukan pembalakan di tanah waris nenek moyang komuniti Iban di Rumah Jeffery tanpa persetujuan mereka. Human Rights Watch mendapati bahawa tingkah laku Zedtee langsung tidak mematuhi undang-undang dan dasar negeri Sarawak, mahupun syarat dalam Skim Pensijilan Kayu Malaysia. Sebaliknya, kerajaan negeri yang sepatutnya bertindak ke atas syarikat tersebut telah mengancam untuk menangkap penunjuk perasaan dan merobohkan perkampungan Rumah Jeffery.

“Kerajaan Sarawak sepatutnya melindungi hak Rumah Jeffery dan memastikan Zedtee memberi pampasan kepada komuniti itu atas segala kesengsaraan yang telah mereka alami,” kata Luciana Téllez Chávez, penyelidik kanan dalam isu alam sekitar di Human Rights Watch. “Kerajaan Persekutuan Malaysia wajar menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang melindungi hak Orang Asal untuk mengelakkan pencabulan hak seperti ini berulang lagi.”

Rumah Jeffery ialah sebuah komuniti Orang Asal Iban yang menetap di tebing Sungai Belawit, Sarawak. Kira-kira 60 orang penduduknya bergantung pada hutan hujan sekitarnya untuk mengumpul tumbuhan yang boleh dimakan, mengutip hasil pokok buah-buahan, dan menangkap ikan di anak-anak sungai berdekatan. Komuniti ini juga menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri serta tanaman komersial yang dijual di pasar-pasar berdekatan.

Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), sebuah organisasi Orang Asal yang menyokong komuniti orang Asal dalam mempertahankan hak tanah mereka, telah membantu Rumah Jeffery memetakan wilayah tanah nenek moyang mereka. Peta yang diperoleh Human Rights Watch berdasarkan foto udara yang diambil oleh tentera udara British pada tahun 1951 menunjukkan bukti kewujudan komuniti ini di tanah tersebut pada waktu itu.

“Rumah Jeffery memenuhi semua syarat di bawah Kanun Tanah Sarawak, justeru itu, kerajaan negeri sepatutnya mengiktiraf hak adat mereka ke atas tanah nenek moyang mereka secara sah,” kata Nicholas Mujah, Setiausaha Agung SADIA.

Dalam hal ini, kerajaan Sarawak telah menganugerahkan dua pajakan kepada Zedtee sedangkan kedua-dua pajakan tersebut merangkumi sempadan tanah Rumah Jeffery kesemuanya. Satu pajakan adalah konsesi pembalakan, manakala satu lagi adalah untuk penanaman ladang hutan. Konsesi pembalakan Zedtee tersebut diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS). Pensijilan tersebut mewajibkan Zedtee untuk menghormati hak tanah Orang Asal. Namun, ahli komuniti berkata, mereka tidak pernah memberi persetujuan untuk melepaskan tanah atau sumber hutan mereka kepada Zedtee. Pertikaian ini langung tidak dicatatkan dalam audit terbaru oleh konsesi pembalakan tersebut, menurut Human Rights Watch.

Selain itu, walaupun undang-undang kerajaan Sarawak mewajibkan agar sesebuah ladang hutan diperakui di bawah program pensijilan kelestarian, tetapi, ladang hutan Zedtee tidak pula menerima sebarang perakuan.

Pada 2022, Zedtee melakukan pembalakan ke atas sebahagian hutan Rumah Jeffery tanpa mendapatkan persetujuan bebas, awal, dan dimaklumkan (FPIC), yang merupakan satu prinsip undang-undang antarabangsa yang sudah wujud sekian lama. Tuai rumah kepada Rumah Jeffery berkata bahawa, apabila para penunjuk perasaan berkumpul dan berdepan dengan semua jentolak Zedtee, pegawai dari Jabatan Hutan Sarawak mengancam untuk menangkap mereka. Kemudian, pihak polis pula mengancam untuk merobohkan rumah panjang komuniti tersebut.

Imej satelit bertarikh 19 Januari 2025 menunjukkan kawasan pemusnahan baharu di dalam kawasan tanah Rumah Jeffery akibat peluasan jalan pembalakan yang berpunca dari FMU Anap Muput. Kawasan yang baru dibalak ini terletak kurang daripada 500 meter dari rumah panjang tempat tinggal komuniti ini. Semasa lawatan lapangan oleh Human Rights Watch bersama anggota komuniti pada November 2024, beberapa pokok yang sebelum ini ditandakan oleh penduduk didapati telah ditebang. Foto © 2024 Human Rights Watch. Imejan satelit © 2025 Planet Labs PBC. Analisis dan Grafik © 2025 Human Rights Watch.

Zedtee telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Hutan terhadap Rumah Jeffery. Pada Oktober 2022, Jabatan Hutan mengeluarkan perintah pengusiran terhadap komuniti tersebut dan lima lagi komuniti Orang Asal yang mana, tanah kediaman mereka bertindih dengan pajakan Zedtee. Komuniti tersebut telah membuat rayuan kepada pelbagai pejabat kerajaan, tetapi sehingga kini, mereka masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi. Perintah pengusiran yang belum dikuatkuasakan ini mencetuskan kebimbangan yang berterusan kepada penghuni Rumah Jeffery.

Seandainya Jabatan Hutan Sarawak melaksanakan pengusiran tersebut, ia bersifat suatu pengusiran paksa yang melanggar kewajipan hak asasi manusia Malaysia di peringkat antarabangsa, kata Human Rights Watch. Kewajipan yang mengikat kedua-dua pihak kerajaan dan entiti perniagaan termasuklah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) dan Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Undang-undang dan dasar negeri Sarawak yang ada, walaupun secara umumnya tidak cukup ampuh untuk melindungi hak Orang Asal, langsung tidak dipatuhi dalam kes Rumah Jeffery. Kanun Tanah Sarawak mensyaratkan bahawa peruntukan tanah adat perlu "ditamatkan" terlebih dahulu oleh kerajaan negeri atau "diserahkan" oleh komuniti serta pampasan wajib dibayar kepada mereka yang kehilangan tanah, sebelum sebarang aktiviti boleh dijalankan di atas tanah tersebut.

Ladang hutan—punca utama kepada pemusnahan hutan di Sarawak—menjadi penyumbang utama kepada eksport kayu negeri ini, yang bernilai RM2.3 bilion (US$560 juta) pada tahun 2023. Syarikat induk Zedtee, Shin Yang Group, menyenaraikan Jepun, Kesatuan Eropah, dan AS di laman webnya sebagai pasaran untuk produk kayunya. Sehingga sekarang, Zedtee dan Shin Yang Group belum memberikan sebarang maklum balas sedangkan sudah banyak kali permintaan dibuat kepada mereka untuk memberikan komen.

Menurut Jabatan Hutan Sarawak, ladang hutan Zedtee “diurus dan dipantau dengan ketat berdasarkan semua peraturan, dasar, dan undang-undang hutan yang berkenaan,” padahal ladang hutan Zedtee tidak pernah pun diberikan sebarang perakuan yang sah. Majlis Pensijilan pula menyatakan bahawa mereka telah berhubung dengan Zedtee berkenaan dakwaan pencabulan hak oleh Zedtee, dan sedang menyemak semula standard mereka secara amnya. Akan tetapi, SIRIM, yang mengaudit konsesi pembalakan Zedtee, dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, belum memberikan sebarang maklum balas sehingga hari ini.

Pembeli utama kayu dari Sarawak, termasuk Perancis, Belanda, Jepun, dan AS, perlu menguatkuasakan undang-undang sedia ada yang mengawal selia perdagangan produk kayu: Peraturan Kayu Kesatuan Eropah (EU), Peraturan EU mengenai Produk Bebas Pemusnahan Hutan, Akta Kayu Bersih Jepun, dan Pindaan Akta Lacey Amerika Syarikat 2008.

Selain itu, seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan persekutuan Malaysia untuk ladang kelapa sawit, Malaysia juga perlu mengehadkan bilangan ladang hutan dan mewajibkan pensijilan untuk semua ladang hutan, kata Human Rights Watch. Kerajaan Sarawak pula harus membatalkan pajakan kayu yang berjangka panjang, yang tidak layak diberikan pensijilan kelestarian, seperti yang termaktub dalam dasar mereka sendiri.

“Perdagangan antarabangsa produk kayu yang terpalit dengan pencabulan hak asasi manusia dan pemusnahan hutan adalah tanggungjawab bersama pihak penjual dan pembeli,” kata Téllez Chávez. “Kedua-dua pihak perlu membersihkan semula rantaian bekalan yang sudah tercemar, melindungi hak asasi manusia, dan memelihara alam semula jadi.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country