Skip to main content

Malaysia: Diskriminasi oleh Kerajaan Mengancam Warga LGBT

Penjenayahan, Amalan Pengubahan LGBT Mengancam Keselamatan dan Maruah diri warga LGBT

© 2020 Row Yow

(Kuala Lumpur) - Diskriminasi yang berterusan oleh kerajaan Malaysia mengancam hak warga lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT), begitu menurut Human Rights Watch dan Justice for Sisters dalam laporan yang diterbitkan hari ini. Kerajaan Malaysia wajar menyahjenayahkan hubungan seks sesama gender dan kepelbagaian gender, serta menghentikan program dan retorik bahawa individu LGBT perlu “dipulihkan” atau “diubati.”


Laporan berhalaman 71 mukasurat bertajuk ‘Aku Tak Nak Tukar Diri Aku’: Amalan Pengubahan, Diskriminasi, dan Keganasan Anti-LGBT di Malaysia,” mendokumentasi  bagaimana aktor kerajaan telah membentuk persekitaran yang tidak selamat bagi warga LGBT dan pelbagai gender, di mana mereka berdepan dengan diskriminasi dan hukuman hanya kerana orientasi seksual dan identiti gender mereka. Human Rights Watch dan Justice for Sisters telah mengkaji bagaimana hukuman jenayah, amalan pengubahan LGBT atau “conversion” yang bertujuan menukar orientasi seksual dan identiti gender warga LGBT, serta retorik anti-LGBT, menafikan hak asasi warga LGBT di Malaysia.

"Pendekatan kerjaan sekarang yang berteraskan pengubahan dan penjenayahan individu LGBT tidak berasaskan hak mahupun bukti, " ujar Thilaga Sulathireh, pengasas bersama Justice for Sisters. "program-program ini yang dikatakan menyantuni golongan LGBT dengan kasih sayang, sebaliknya ia 'internalize' diskriminasi masyarakat dan struktural serta memupuk kebencian terhadap diri sendiri dalam kalangan individu LGBT dan pelbagai gender dan kebencian dalam kalangan masyarakat terhadap warga LGBT.”

Human Rights Watch dan Justice for Sisters telah menemubual 73 individu LGBT di Malaysia antara tahun 2018 hingga 2021. Mereka termasuklah individu LGBT di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan Kedah, serta wartawan, pembela hak asasi, peguam dan nara sumber lain yang arif dalam isu ini.

Kanun Keseksaan yang terpakai di seluruh Malaysia menghukum hubungan seks oral dan liwat sehingga 20 tahun penjara dan sebatan mandatori. Setiap negeri, termasuklah wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menguatkuasakan undang-undang syariah yang menjenayahkan hubungan seks sesama gender, serta kepelbagaian ekspresi dan identiti gender di bawah undang-undang yang melarang “lelaki berlagak seperti wanita” dan “perempuan berlagak seperti lelaki”.

Kerajaan turut membiayai program mukhayyam, yang merupakan usaha untuk “memulihkan” atau mengubah orientasi seksual dan gender warga LGBT. Setakat Jun 2021, kerajaan melaporkan seramai 1,733 warga LGBT telah menghadiri program tersebut. Program ini bukan hanya menafikan hak kesaksamaan dan maruah diri mereka yang menghadiri program tersebut, malah ia turut memberikan mesej kepada orang ramai bahawa warga LGBT boleh dan harus mengubah orientasi seksual, identiti gender, serta ekspresi gender mereka. Mesej sebegini memudaratkan warga LGBT.

Dalam beberapa tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan telah turut membatalkan acara dan program bertujuan untuk meningkatkan pemahaman berkenaan hak LGBT, selain menapis kandungan muzik dan filem berkaitkan warga LGBT. Pihak universiti juga telah mengekang program berkenaam LGBT sebaliknya, memberikan platform dan sokongan untuk program anti-LGBT.

Individu-indivdu LGBT yang ditemubual menyatakan, sentimen kebencian terhadap individu LGBT semakin terasa di Malaysia. Seorang aktivis di Kuala Lumpur memberitahu, “Kita semakin mundur dalam banyak aspek kerana idea Islam yang konservatif semakin dominan dalam pembentukan dasar dan politik, yang memberi kesan langsung kepada kehidupan warga di Malaysia, termasuklah warga LGBT.” Tambahnya, “Sudah menjadi taktik ahli politik konservatif ultra dan nasionalis untuk menjadikan warga transgender sebagai kambing korban politik” dan “Eksploitasi homo/transfobia masyarakat adalah taktik mudah untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kegagalan kerajaan dalam menangani isu sosial dan jurang ketidaksaksamaan yang semakin meruncing.”

“Taktik kerajaan yang menggunakan undang-undang untuk mendakwa warga LGBT dengan kesalahan jenayah hanyalah salah satu daripada kaedah yang digunakan,” kata Kyle Knight, penyelidik kanan hak asasi LGBT di Human Rights Watch. “Sentimen kebencian yang berleluasa terhadap kepelbagaian seksual dan gender mempengaruhi penguatkuasaan undang-undang, keputusan kehakiman, sikap ahli keluarga, serta wacana awam dalam media berkenaan warga LGBT.”

Dalam sebuah kes berprofil tinggi pada 2021, Nur Sajat, seorang usahawan kosmetik tidak hadir pada sebutan kes di sebuah mahkamah Selangor, Malaysia, atas dakwaan jenayah “menghina hina” kerana berpakaian wanita. Jabatan Agama Islam Selangor mendapat waran tangkap terhadap Sajat dan mengerahkan kira-kira 122 pegawai penguatkuasa agama untuk menangkapnya

Berapa bulan kemudian, setelah Sajat didapati berada di negara jiran Thailand, Malaysia telah menghantar permohonan ekstradisi kepada Thailand sambal menyatakan bahawa Sajat tidak perlu bimbang: buruan besar-besaran ke atas Sajat untuk memaksa dia dibawa pulang ke Malaysia bukannya bertujuan “menghukum”, hanya sekadar “mendidik” Sajat. Setelah bantahan orang ramai yang mempertahankannya, Thailand membenarkan Sajat tinggal di negara itu di bawah perlindungan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), dan sekarang, Sajat menetap di Australia. 

Menurut Human Rights Watch dan Justice for Sisters, kisah Nur Sajat memperlihatkan pendirian pihak berkuasa Malaysia begitu berkeras untuk memastikan pematuhan kepada norma gender yang dikuatkuasakan di Malaysia dituruti oleh semua rakyat Malaysia.


Penggubal undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri seharusnya menyahjenayahkan hubungan seks sesama gender dan kepelbagaian gender, ujar Human Rights Watch dan Justice for Sisters. Pihak berkuasa juga harus menghentikan sokongan terhadap program “pemulihan” warga LGBT, dan memberikan sokongan terbuka terhadap hak kesamarataan dan maruah warga LGBT. Bagi memastikan perlindungan hak asasi warga LGBT lebih terjamin, penggubal undang-undang juga seharusnya mengambil langkah konkrit untuk melarang sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender, membenarkan warga transgender menukar nama dan gender mereka dalam dokumen-dokumen rasmi, dan menangani isu buli terhadap pelajar LGBT dan pelajar lain yang rentan kepada risiko buli di sekolah.

Kerajaan Malaysia juga perlu menghentikan semua pendanaan, pembiayaan, dan apa sahaja bentuk sokongan terhadap amalan “pengubahan identiti” ini secara serta-merta. Selain itu, dengan konsultasi warga LGBT wajar menjalankan latihan berkenaan isu gender, kepelbagaian dan hak asasi bagi polis, hakim dan penjawat awam. Serentak dengan itu, kerajaan perlu memansuhkan semua undang-undang yang mendiskriminasi dasar orientasi seksual dan identiti gender.

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic