Ringkasan
Rumah Jeffery merupakan sebuah komuniti masyarakat Iban yang hidup di tengah-tengah hutan hujan tropika Sarawak, di pulau Borneo, Malaysia, yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversitinya yang unik. Komuniti ini terdiri daripada kira-kira 60 orang penduduk yang diketuai oleh seorang tuai rumah, dan mereka menetap dalam sebuah rumah panjang tradisional yang menjangkau hampir 40 meter di sepanjang tebing Sungai Belawit.
Ahli-ahli komuniti Rumah Jeffery mencari hasil hutan seperti tumbuhan yang boleh dimakan, memetik buah-buahan daripada pokok yang ditanam oleh nenek moyang mereka, serta memasang perangkap ikan di anak-anak sungai yang mengalir merentasi hutan mereka. Pemburu memburu haiwan buruan di kawasan lapang yang sering dilitupi rama-rama yang sangat besar, yang berterbangan di atas. Hutan ini turut membekalkan rotan yang digunakan oleh penganyam penenun—kebanyakannya wanita—untuk menghasilkan tikar, bakul dan beg galas. Komuniti ini juga menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri serta menjana hasil daripada tanaman komersial seperti lada hitam, yang dijual di pasar-pasar tempatan.
Hutan tersebut ialah teras identiti komuniti Rumah Jeffery, yang menguruskan kawasan seluas 521 hektar yang diklasifikasikan sebagai “tanah adat orang asal,” satu daripada lima kategori tanah di bawah Kanun Tanah Sarawak 1958. Penduduk Rumah Jeffery hidup di sisi penunggu hutan dan mereka amat menjaga tanah perkuburan nenek moyang mereka yang terletak di dalam hutan tersebut. Seorang ketua adat mengendalikan upacara ritual yang diiringi alunan alat muzik tradisional Iban, iaitu engkerumong, sejenis xilofon. Apabila tidak bersekolah, kanak-kanak Iban menghabiskan masa berjam-jam bermain di dalam hutan, berkejar-kejaran, meluncur di cerun berlumpur, dan berenang di sungai-sungai.
Seperti banyak komuniti Orang Asal lain di Sarawak, Rumah Jeffery turut menghadapi pelbagai cabaran dalam mendapatkan perkhidmatan asas. Komuniti luar bandar ini tidak mempunyai akses kepada bekalan air paip, tidak disambungkan kepada grid elektrik negara, dan tidak memiliki hak milik tanah yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan sebagai bukti hak mereka ke atas tanah adat. Keadaan ini menjadikan Rumah Jeffery sasaran kepada pencerobohan dan gangguan oleh sebuah syarikat pembalakan Malaysia, Zedtee Sdn Bhd (Zedtee), yang merupakan anak syarikat kepada konglomerat kayu besar, Kumpulan Shin Yang.
Kerajaan Sarawak telah memberikan pajakan kepada Zedtee untuk membuka sebuah ladang kayu, dikenali sebagai Kawasan Pengurusan Anap Belawit LPF/0039, sedangkan setengah daripada kawasan Rumah Jeffery di sebelah timur turut termasuk dalam pajakan tersebut. Operasi Zedtee memerlukan penebangan hutan semula jadi untuk digantikan dengan penanaman pokok. Bahkan, Zedtee turut dianugerahkan konsesi pembalakan yang bertindih dengan bahagian barat kawasan Rumah Jeffery, iaitu Unit Pengurusan Hutan (FMU) Anap Muput di bawah Lesen Pembalakan T/4317.
Ahli-ahli komuniti memaklumkan kepada Human Rights Watch bahawa mereka tidak pernah memberikan persetujuan untuk melepaskan tanah atau sumber hutan mereka kepada Zedtee. Namun demikian, pada tahun 2022, syarikat Zedtee telah menjalankan aktiviti pembalakan di sebahagian kawasan hutan milik Rumah Jeffery tanpa memperoleh persetujuan sukarela/bebas, awal dan dimaklumkan (free, prior, and informed consent) daripada komuniti tersebut—suatu prinsip yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa yang menjamin hak masyarakat Orang Asal untuk memberikan atau menolak persetujuan terhadap sebarang usaha yang akan menjejaskan tanah, wilayah atau sumber mereka.
Syarikat tersebut telah menebang pokok-pokok buah yang bernilai tinggi, yang telah dijaga dan hasilnya dijana oleh komuniti berkenaan sejak beberapa dekad lalu, sehingga mengakibatkan kehilangan hampir lapan hektar litupan pokok pada tahun 2022, begitu menurut data tahunan berkenaan kehilangan hutan berskala global yang diterbitkan oleh Makmal Analisis dan Penemuan Tanah Global (GLAD) di Universiti Maryland, dengan kerjasama Global Forest Watch (GFW). Penduduk tempatan menyatakan bahawa mereka telah berdepan secara bersemuka dengan jentera penyodok dan jentolak, dan mengarahkan pekerja Zedtee supaya menghentikan aktiviti pembalakan tersebut. Sebaliknya, Jabatan Hutan Sarawak didakwa mengancam untuk menangkap penduduk tempatan yang menentang syarikat tersebut.
Susulan itu, Zedtee memfailkan aduan terhadap komuniti Rumah Jeffery, menuduh mereka menceroboh kawasan pajakan syarikat dan menuntut agar mereka diusir. Jabatan Hutan Sarawak bertindak balas dengan mengeluarkan arahan pengusiran terhadap komuniti tersebut pada Oktober 2022. Tuai rumah telah berusaha untuk membatalkan arahan tersebut dengan mengemukakan rayuan kepada pelbagai agensi kerajaan, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima. Justeru, komuniti tersebut berisiko kehilangan bukan sahaja tanah mereka, malah cara hidup mereka.
Sekiranya Jabatan Hutan Sarawak meneruskan rancangan untuk mengusir mereka, tindakan itu dianggap pengusiran secara paksa, yang bercanggah dengan hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Notis pengusiran yang dikeluarkan kepada Rumah Jeffery dilaksanakan dengan cara yang menafikan peluang mereka untuk mencabar keputusan kerajaan atau turut serta dalam proses yang membawa kepada keputusan tersebut. Bahkan, langsung tiada tawaran penempatan semula atau pampasan dikemukakan kepada komuniti, yang sama sekali tidak bersetuju untuk meninggalkan tempat kediaman mereka. Pemindahan paksa itu tersebut adalah bertentangan dengan kehendak penduduk, sebagaimana yang dinyatakan oleh komuniti melalui sepucuk surat kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Undang-undang tanah di Sarawak secara umumnya tidak cukup untuk melindungi hak asasi masyarakat Orang Asal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, akan tetapi, dalam kes Rumah Jeffery dan perbuatan Zedtee, Human Rights Watch mendapati bahawa peruntukan yang sudah sedia ada pun langsung tidak dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa negeri. Seksyen 15 Kanun Tanah Sarawak menyebut bahawa peruntukan tanah adat perlu "ditamatkan" terlebih dahulu oleh kerajaan negeri atau "diserahkan" oleh komuniti serta pampasan wajib dibayar kepada mereka yang kehilangan tanah, sebelum sebarang aktiviti boleh dijalankan di atas tanah tersebut.
Pengusiran secara paksa terhadap Rumah Jeffery akan mencerai-beraikan komuniti tersebut dan meninggalkan mereka dalam keadaan melarat. Zedtee, melalui tindakan pembalakan tanpa persetujuan bebas, awal dan dimaklumkan daripada komuniti, sama sekali gagal untuk memenuhi tanggungjawabnya dalam menghormati hak kolektif Rumah Jeffery terhadap tanah dan sumber hidup mereka, sebagaimana yang termaktub dalam Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Zedtee juga dilihat telah melanggar syarat di bawah Piawaian Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), iaitu satu program pensijilan wajib bagi ladang hutan di Sarawak, dengan menafikan hak komuniti untuk menguruskan hutan mereka.
Perbuatan Zedtee terhadap Rumah Jeffery, serta sokongan kerajaan negeri terhadap syarikat tersebut dalam usahanya mengusir komuniti, hanyalah satu daripada banyak insiden yang menghimpit ramai masyarakat Orang Asal di seluruh Sarawak. Ladang-ladang kayu, seperti konsesi LPF/0039 milik Zedtee yang menceroboh sempadan tanah Rumah Jeffery, adalah sebab utama berlakunya pemusnahan hutan di Sarawak.
Keengganan kerajaan negeri Sarawak untuk menerbitkan peta kawasan pajakan atau kawasan hak milik Orang Asal yang telah diukur secara rasmi telah menyebabkan tiadanya penilaian menyeluruh terhadap jumlah penduduk yang terkesan. Sebuah kajian oleh pertubuhan alam sekitar tempatan, RimbaWatch, yang meneliti maklumat sumber terbuka serta peta wilayah Orang Asal yang dilakar oleh komuniti itu sendiri, mendapati bahawa konsesi yang didedahkan menceroboh dengan sekurang-kurangnya 246,177 hektar tanah adat di Sarawak.
Pada 2023, nilai eksport produk kayu dari Sarawak mencecah RM2.3 bilion (sekitar AS$560 juta). Pegawai kerajaan negeri menyasarkan pertumbuhan eksport dengan memanfaatkan peluang daripada permintaan yang semakin meningkat terhadap pelet kayu, yang dibakar bagi menjana tenaga. Menurut data eksport Sarawak, Perancis, Belanda, Jepun, dan Korea Selatan mengimport sejumlah besar pelet ini dari Sarawak. Amerika Syarikat pula merupakan pembeli terbesar bagi produk kayu lantai dari Sarawak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, serta pembeli kedua terbesar bagi perabot kayu.
Kumpulan Shin Yang merupakan antara firma yang mengeluarkan produk seperti pelet kayu, papan lapis asas lantai kayu keras, kayu gergaji, dan perabot kayu. Dalam iklannya, Shin Yang mendakwa produk kayunya dipasarkan ke Jepun, Eropah, dan Amerika Syarikat.
Sehingga tarikh penerbitan laporan ini, Shin Yang dan Zedtee masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap surat-surat yang dihantar oleh Human Rights Watch bagi mendapatkan respons mereka.
Human Rights Watch menggesa syarikat Zedtee agar menarik balik aduannya terhadap komuniti Rumah Jeffery kepada Jabatan Hutan Sarawak, dan mengecualikan kawasan Rumah Jeffery serta semua tanah adat daripada Unit Pengurusan Hutan (FMU) Anap Muput dan Kawasan Pengurusan Anap Belawit. Selain itu, Zedtee perlu memberi pampasan kepada komuniti tersebut atas segala perbuatan mereka yang telah dijalankan tanpa kebenaran di kawasan mereka. SIRIM, selaku firma audit yang bertanggungjawab dalam pemberian dan pembatalan pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), perlu mewajibkan Zedtee untuk mengambil langkah-langkah pembetulan yang sepatutnya.
Human Rights Watch turut menggesa Jabatan Hutan Sarawak untuk membatalkan arahan pengusiran terhadap komuniti Rumah Jeffery dan menarik balik permit Zedtee bagi konsesi LPF/0039. Bagi memastikan pelanggaran hak seumpama ini tidak berulang, Human Rights Watch menyeru Pejabat Premier Sarawak untuk mencadangkan satu perubahan terhadap Kanun Tanah Sarawak agar ia sejajar dengan piawaian antarabangsa berkaitan hak masyarakat Orang Asal, khususnya Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal.
Perubahan besar terhadap Kanun Tanah Sarawak tersebut haruslah memansuhkan peruntukan yang secara sewenang-wenangnya mengehadkan keluasan tanah kawasan Orang Asal dan yang membenarkan kerajaan mengusir masyarakat Orang Asal dari tanah mereka secara paksa. Ia juga hendaklah mengalihkan beban pembuktian kepada pihak kerajaan negeri dan syarikat perniagaan dalam kes-kes litigasi berkaitan tanah adat. Human Rights Watch turut menggesa Pejabat Premier untuk mengarahkan agensi-agensi yang berkaitan agar secara terbuka, menerbitkan peta yang menunjukkan lokasi tanah adat yang telah diukur serta kawasan yang telah diberikan pajakan kepada syarikat-syarikat.
Sementara itu, negara-negara yang mengimport produk kayu dari Sarawak perlu menjalankan pemeriksaan ke atas produk-produk ini dengan tujuan untuk menyekat kemasukan produk yang dicemari unsur ketidakpatuhan undang-undang, pemusnahan hutan, dan pencabulan hak asasi manusia. Secara khusus, Perancis, Jepun, Belanda dan Amerika Syarikat hendaklah menguatkuasakan undang-undang masing-masing yang mengawal selia perdagangan produk kayu: Peraturan EU mengenai Produk Bebas Pemusnahan Hutan (EUDR), Akta Kayu Bersih Jepun, dan Pindaan Akta Lacey Amerika Syarikat 2008. Negara pengimport utama lain seperti Korea Selatan juga wajar mengambil langkah untuk menggubal undang-undang yang serupa, agar tidak menyumbang kepada pemusnahan hutan global dan pelanggaran hak asasi manusia.
Metodologi
Human Rights Watch telah menjalankan penyelidikan untuk laporan ini antara Julai 2023 dan Mac 2025. Kami telah menemu bual 44 pemimpin Orang Asal, aktivis alam sekitar, peguam, ahli akademik, dan wartawan di Kuala Lumpur, Kuching, Miri, dan kawasan Upper Baram di Malaysia. Pada September 2024, penyelidik Human Rights Watch telah mengunjungi Rumah Jeffery di kawasan Ulu Belawit, Sarawak, dan menemu bual sembilan ahli komuniti Orang Asal serta dua kakitangan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong komuniti Rumah Jeffery.
Human Rights Watch juga telah meneliti laporan oleh ahli akademik dan organisasi alam sekitar serta Orang Asal; artikel berita; data sumber terbuka; perundangan dan dasar Malaysia; serta kenyataan awam yang dibuat oleh pegawai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak. Penyelidik turut meneliti audit pengawasan terhadap Unit Pengurusan Hutan Anap Muput (T/4317) dan Lesen untuk Hutan yang Ditanam LPF/0039, dokumen syarikat Zedtee Sdn Bhd, peta komuniti, peta yang dihasilkan oleh kerajaan kolonial British, surat-surat yang dihantar oleh pemimpin komuniti Rumah Jeffery kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan Jabatan Hutan, serta surat-surat yang diterima oleh komuniti daripada agensi kerajaan tersebut.
Human Rights Watch turut menganalisis imej satelit kawasan Ulu Belawit yang dirakam selama beberapa dekad yang menunjukkan evolusi pemusnahan hutan di kawasan tersebut, serta set data geospatial untuk menilai perubahan hutan global antara 2000-2023, peta georeferensi Unit Pengurusan Hutan Anap Muput T/4317 dan Kawasan Pengurusan Anap Belawit LPF/0039, dan peta topografi lama yang menunjukkan kehadiran sejarah komuniti Rumah Jeffery. Semasa rombongan penyelidikan pada September 2024, penyelidik mengumpulkan koordinat GPS untuk beberapa titik lokasi penting yang berbeza, serta merakam foto dan video dengan maklumat geolokasi, termasuk kawasan yang telah ditebang di dalam dan sekitar Rumah Jeffery.
Pada November 2023, Human Rights Watch telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), serta Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). Pada September 2024, Human Rights Watch turut bertemu dengan ketua penguatkuasa di pejabat wilayah Bintulu, Jabatan Hutan Sarawak, bagi mendapatkan maklum balas terhadap dapatan laporan ini.
Pada Mei 2024, Human Rights Watch telah menulis surat kepada Menteri Perladangan dan Komoditi untuk meminta maklum balas berhubung dapatan kami bahawa negeri Sarawak ialah kawasan berisiko tinggi dari segi pemusnahan hutan dan pelanggaran hak masyarakat Orang Asal. Sehingga tarikh laporan ini ditulis, belum ada sebarang maklum balas daripada menteri berkenaan mahupun mana-mana pegawai lain di peringkat persekutuan.
Pada 12 Februari 2025, Human Rights Watch telah mengemukakan dapatan awal dan meminta maklum balas daripada Zedtee, Shin Yang, SIRIM, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), serta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di Bintulu. Human Rights Watch turut menghantar surat kepada Jabatan Hutan Sarawak bagi memohon maklumat tambahan.
Dalam pada itu, MTCC telah memberi maklum balas dalam surat pertama pada 3 Mac 2025 dengan menyediakan maklumat tambahan berkaitan piawaian mereka, namun tidak memberikan sebarang komen terhadap dapatan kami. Kemudian, pada 10 Mac 2025, Pengarah Pengurusan Hutan MTCC telah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Human Rights Watch dan memberikan komen lanjut terhadap dapatan tersebut. Pada 11 Mac 2025, Ketua Pegawai Eksekutif MTCC telah menghantar surat kedua kepada Human Rights Watch dengan maklumat tambahan. Sementara itu, Jabatan Hutan Sarawak memberikan jawapan pada 27 Februari 2025. Akan tetapi, sehingga tarikh penerbitan, langsung tiada maklum balas diterima daripada pihak-pihak lain.
I. Industri Perkayuan Sarawak
Kesan Teruk Akibat Pemusnahan Hutan
Pada tahun 1960, 90 peratus daripada negeri Sarawak diliputi oleh hutan primer, berbanding hanya tinggal kurang daripada 10 peratus sekarang.[1] Pembukaan tanah secara besar-besaran telah memberi laluan kepada ladang monokultur kelapa sawit dan kayu balak secara meluas. Ladang-ladang komersial ini tidak henti-henti menceroboh tanah Orang Asal, meskipun ditentang secara lantang oleh banyak kelompok masyarakat yang terkesan, yang membuat sekatan jalan, mencabar secara undang-undang, dan berkempen untuk melindungi hutan mereka.[2]
Pemusnahan hutan mengakibatkan kesan teruk ke atas mata pencarian dan cara hidup turun-temurun. Komuniti Orang Asal kehilangan tumbuhan yang boleh dimakan dan yang dijadikan ubat-ubatan, haiwan buruan, pokok buah-buahan, sumber ikan dan bekalan air. Selain itu, komuniti turut kehilangan tapak hutan yang mempunyai nilai kerohanian yang signifikan bagi mereka, seperti tanah perkuburan dan tempat yang dipercayai menjadi kediaman roh penunggu hutan, yang telah dimusnahkan dan digantikan dengan ladang.
Kehilangan sumber hutan turut menjejaskan pemindahan pengetahuan dan budaya turun-temurun. Sebagai contoh, para penganyam berdepan kesukaran untuk mewariskan kemahiran mereka kepada generasi baharu kerana rotan yang dahulunya diperoleh dari hutan kini semakin pupus. Dalam kes yang paling ekstrem, Orang Asal yang dahulunya hidup secara nomad kini terpaksa menetap kerana hutan yang menjadi sumber kehidupan mereka telah lenyap.[3]
Walaupun tiada penilaian menyeluruh dilakukan—berikutan sudah sekian lama, kerajaan Sarawak masih enggan menerbitkan peta pajakan tanah atau wilayah Orang Asal yang telah diukur—satu anggaran konservatif mendapati bahawa pajakan yang setakat ini sudah diketahui menceroboh sekurang-kurangnya 246,177 hektar tanah adat.[4]
Ketika ini, pemusnahan hutan terus berlaku di Sarawak dan seluruh negara, meskipun wujud kenyataan tidak benar daripada pegawai-pegawai tertinggi negara yang menafikan realiti ini.[5]
Antara tahun 2017 hingga 2021, Sarawak adalah penyebab hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kawasan mengalami pemusnahan hutan di Malaysia—mengatasi semua negeri lain di negara ini. [6] Baru-baru ini, data daripada Global Forest Watch, sebuah sistem pemantauan dan amaran hutan dalam talian yang dikendalikan oleh World Resources Institute, menganggarkan bahawa, pada tahun 2022 sahaja, Malaysia telah kehilangan kira-kira 70,000 hektar hutan primer, iaitu kawasan yang hampir tujuh kali ganda lebih besar daripada Paris.[7]
Ladang Perkayuan
Secara amnya, ladang perkayuan dijangka menjadi pemusnah hutan utama di Malaysia dalam masa terdekat, khususnya di Sarawak.[8] Ladang-ladang ini memerlukan penebangan hutan semula jadi yang mempunyai biodiversiti tinggi bagi menanam pokok monokultur, yang selalunya terdiri daripada spesies bukan asli seperti akasia.[9]
Jabatan Hutan Sarawak menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu juta hektar "hutan tanaman" menjelang 2025, melalui Lesen Hutan Tanaman (LPF). [10] Akan tetapi, menurut RimbaWatch, pertubuhan iklim bukan kerajaan Malaysia, jumlah hutan semula jadi yang telah diperuntukkan oleh Sarawak untuk dimusnahkan dan ditukar menjadi ladang perkayuan bermula tahun 2023 ialah 1.8 juta hektar.[11]
Pada 2024, RimbaWatch turut menganggarkan bahawa 207,762 hektar yang memperoleh lesen ladang perkayuan sedia ada sebenarnya bertindih dengan wilayah Orang Asal—inipun satu anggaran konservatif memandangkan maklumat awam yang amat terhad.[12]
Kerajaan Sarawak menghebahkan program LPF kononnya sebagai satu inisiatif untuk mengurangkan tekanan terhadap hutan semula jadi dalam penyediaan kayu balak dan bagi memulihkan hutan yang telah rosak. Namun, pada hakikatnya, program LPF ialah asbab utama kepada pemusnahan hutan di Sarawak dan penyebab paling besar pencerobohan ke atas tanah Orang Asal.[13]
Aspirasi Sarawak dalam Pembuatan Pelet Kayu
Pelet kayu digunakan di seluruh dunia sebagai bahan api untuk dandang, bahkan turut digunakan untuk menjana elektrik perindustrian. Industri pelet kayu dianggarkan bernilai lebih USD18 bilion pada 2023.[14] Kesatuan Eropah merupakan pasaran terbesar bagi pelet ini, yang telah menggunakan lebih separuh daripada jumlah pengeluaran global pada tahun 2022.[15] Jepun dan Korea Selatan pula semakin tinggi penggunaannya, apatah lagi mereka memperoleh subsidi kerajaan yang tinggi untuk tenaga bio.[16]
Sementara itu, industri perkayuan Malaysia memang menyedari potensi ini. Justeru, antara tahun 2019 hingga 2023, eksport negara bagi pelet kayu dilaporkan meningkat sebanyak RM241.6 juta (lebih USD54 juta).[17]
Pengeluaran pelet kayu di Sarawak—yang sudah tentu memerlukan sumber kayu—merupakan komponen penting dalam usaha ini. Premier Sarawak, Abang Johari Openg, telah mengetuai satu delegasi ke sebuah kilang pelet di Norway pada tahun 2023, dan menyifatkan produk tersebut sebagai “bidang perniagaan baharu untuk kita.”[18]
Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah, berkata dalam satu acara industri pada Mac 2024 bahawa kerajaan akan “memperkasa” syarikat-syarikat perkayuan untuk meningkatkan pengeluaran pelet kayu.[19] Antara tahun 2022 hingga 2023, jumlah pengeluaran pelet kayu oleh negeri itu telah meningkat sebanyak 130 peratus.[20]
Sementara itu, pada Mei 2024, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji kebolehlaksanaan untuk menukar loji janakuasa arang batu sedia ada kepada loji pengeluaran pelet kayu.[21] Beliau menambah bahawa kerajaan negeri ingin memanfaatkan insentif yang kini ditawarkan oleh kerajaan persekutuan, termasuklah elaun cukai pelaburan bagi biojisim.[22]
Industri pelet kayu lazimnya menekankan bahawa produk mereka diperbuat daripada “sisa” kilang papan—habuk kayu atau serpihan kayu yang tertinggal di lantai kilang selepas balak dibentuk, lalu dijadikan produk segi empat. Dengan itu, pelet kayu dipromosikan sebagai sebahagian daripada ekonomi kitaran yang lestari dan mengoptimumkan sisa. Namun, siasatan dan pendedahan oleh pemberi maklumat telah berulang kali mendedahkan bahawa sebenarnya, syarikat-syarikat menggunakan batang balak penuh semata-mata untuk menghasilkan pelet kayu, dan ia bukan dibuat daripada hasil sampingan proses lain.[23]
Justeru itu, secara keseluruhannya, tanpa perubahan dasar yang bermakna, pengeluaran pelet kayu berisiko meningkatkan tekanan terhadap hutan hujan Sarawak, mewujudkan permintaan yang lebih tinggi terhadap kayu balak untuk menghasilkan produk baharu ini, dan yang lebih dahsyat lagi, tanpa perubahan drastik, ada kemungkinan besar yang pengeluaran pelet mendorong pencerobohan ke atas hutan milik komuniti Orang Asal.
Destinasi Produk Kayu Sarawak
Memandangkan ketiadaan mekanisme untuk menjejaki produk kayu kepada asal-usul plot tanah sumber kayu tersebut, apatah lagi dengan ketiadaan ketelusan dalam industri ini secara amnya, banyak maklumat penting mengenai destinasi produk kayu dari Sarawak yang tidak dipaparkan kepada umum.
Maklumat awam yang terhad (ringkasannya ada di bawah) menunjukkan bahawa Kesatuan Eropah (EU), Jepun, dan Amerika Syarikat merupakan destinasi penting bagi eksport produk kayu dari Sarawak. Ketiga-tiga negara ini telah melaksanakan undang-undang yang mewajibkan syarikat mengimport produk kayu menjalankan langkah usaha wajar (due diligence) dan mengenakan sekatan ke atas import produk kayu yang dihasilkan daripada pembalakan haram.
Selain itu, EU telah meluluskan undang-undang yang menetapkan pelbagai produk—termasuk pelet kayu—wajib bebas daripada aktiviti pemusnahan hutan dan menghormati prinsip “persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan” sebagaimana ditakrif dalam Deklarasi PBB mengenai Hak-Hak Orang Asal. Penguatkuasaan undang-undang ini dijadualkan bermula pada tahun 2026.
Shin Yang Group, syarikat induk kepada Zedtee, adalah antara firma Malaysia yang mengeluarkan produk, antara lain, pelet kayu, papan lapis asas lantai, kayu gergaji, dan perabot kayu.[24] Dalam iklannya, Shin Yang Group mendakwa produk kayunya dipasarkan ke Jepun, Eropah, dan Amerika Syarikat.[25]
Pelet Kayu
Pada tahun 2023, Perancis menerima 48 peratus eksport pelet kayu dari Sarawak dari segi jumlah, manakala baki eksport dihantar ke Jepun dan Korea Selatan. Pada tahun 2024, eksport pelet kayu Sarawak hanya dihantar ke dua destinasi: Jepun (85 peratus daripada jumlah eksport) dan Belanda (20,000 tan metrik).[26]
Kayu Gergaji
Pada tahun 2023 dan 2024, Jepun kekal sebagai destinasi keenam terpenting bagi eksport kayu gergaji dari Sarawak.[27]
Papan Lapis
Dari segi jumlah dan nilai, Jepun merupakan destinasi utama eksport papan lapis dari Sarawak.[28]
Lantai Kayu
Pada tahun 2023, Amerika Syarikat membeli 79 peratus eksport papan lantai berlamina (laminated) dari Sarawak. Pada tahun 2024, peratusan yang dibeli oleh AS ini meningkat kepada 86 peratus.[29]
Perabot
Antara tahun 2022 dan 2024, dilaporkan bahawa Jepun dan Amerika Syarikat menerima sebahagian besar eksport perabot dan bahagian-bahagian perabot dari Sarawak.[30]
II. Perjuangan Rumah Jeffery
Human Rights Watch telah menjalankan siasatan terhadap tindakan syarikat pembalakan Zedtee untuk mengusir komuniti Orang Asal Iban Rumah Jeffery. Layanan yang diterima oleh komuniti ini daripada syarikat dan agensi kerajaan mencerminkan bagaimana undang-undang dan dasar di Sarawak melindungi kepentingan syarikat dan mengetepikan hak-hak Orang Asal terhadap wilayah dan sumber semula jadi mereka. Nasib yang menimpa Rumah Jeffery turut menyerlahkan kelemahan dalam penguatkuasaan Piawaian Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) oleh juruaudit. Situasi komuniti ini merupakan gambaran kecil tetapi besar kesannya yang mencerminkan faktor-faktor yang menjadikan Sarawak sebagai kawasan berisiko tinggi bagi pemusnahan hutan dan pencabulan hak Orang Asal.
Rumah Jeffery
Rumah Jeffery merupakan komuniti Iban yang terdiri daripada kira-kira 60 orang dan dipimpin oleh seorang ketua rumah panjang (tuai rumah). Mereka tinggal dalam sebuah rumah panjang tradisional sepanjang 40 meter di tebing Sungai Belawit. Mereka mengumpul tumbuhan liar yang boleh dimakan, memetik buah-buahan daripada pokok yang ditanam oleh nenek moyang mereka, dan memasang perangkap ikan di anak-anak sungai yang merentasi hutan di persempadanan kawasan adat mereka. Pemburu memburu di kawasan lapang di mana rama-rama yang amat besar berlegar di udara. Hutan turut menyediakan rotan yang digunakan, rata-ratanya oleh wanita, sebagai bahan untuk menganyam tikar, bakul, beg galas, perangkap ikan dan pelbagai lagi hasil kraf harian. Mereka turut mengusahakan ladang yang telah digunakan sejak tahun 1950-an, di mana mereka menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri serta tanaman komersial seperti lada hitam untuk dijual di pasar tempatan.
Hutan Rumah Jeffery bukan sekadar sumber ekonomi, bahkan, ia juga merupakan tempat suci di mana mereka berhubung dengan makhluk halus dan penunggu hutan, termasuk roh yang dipercayai mendiami air terjun jauh di dalam hutan. Upacara dan adat tradisi dipelihara oleh Ketua Adat, Nyulan Ambang, yang turut mengamalkan perubatan tradisional. Kanak-kanak pula menghabiskan masa bermain di hutan, meluncur di lereng lumpur, berenang di sungai dan memanjat air terjun.
Seperti ramai komuniti Orang Asal di Sarawak, Rumah Jeffery tidak memiliki geran tanah yang menandakan pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap hak tanah adat mereka. Kanun Tanah Sarawak menetapkan syarat yang bersifat arbitrari bagi permohonan geran, seperti bukti penempatan—contohnya, ladang yang telah diusahakan—yang telah wujud sejak 1958. Penilaian mahkamah pula bergantung kepada foto udara pulau Borneo dari zaman penjajahan British dahulu, akan tetapi, foto udara ini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak boleh diakses oleh komuniti orang Asal.[31]
Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), sebuah NGO Orang Asal yang membantu komuniti untuk mempertahankan hak tanah mereka, mengesahkan terdapat bukti kehadiran Rumah Jeffery di tanah tersebut sejak tahun 1950-an.[32]
Pakar geospatial SADIA, Matek Geram, telah memetakan kawasan persempadanan tanah adat Rumah Jeffery, mengenal pasti sempadan dan penanda penempatan mereka yang membuktikan bahawa penduduk di situ sudah lama mendiami kawasan tersebut (lihat imej di bawah). Penanda termasuklah tanah perkuburan, kebun dan tempat keramat. Penyelidik daripada Human Rights Watch telah mengunjungi Rumah Jeffery pada September 2024, berserta Mujah dan Geram, dan diiringi oleh ahli komuniti, telah bersama-sama menangkap semua gambar ini, serta melawat tapak-tapak penanda kediaman mereka.
SADIA kemudiannya membandingkan sempadan ini di atas salinan peta 1975 yang diterbitkan oleh Directorate of Overseas Surveys, United Kingdom untuk kegunaan Pengarah Pemetaan Kebangsaan Malaysia, dan menemukan bukti bahawa memang benar Rumah Jeffery sudah lama mendiami kawasan tersebut. Malah, peta 1975 tersebut menunjukkan kawasan tanaman di Rumah Jeffery sama dengan persempadanan ladang yang masih digunakan oleh komuniti tersebut pada hari ini.
Human Rights Watch telah memperoleh salinan peta Directorate of Overseas Surveys yang diterbitkan pada tahun 1958 daripada Perpustakaan Negara Australia dan telah membandingkan (overlayed) sempadan wilayah yang dilukis oleh SADIA ke atas peta tersebut.[33] Kawasan pertanian yang serupa serta kewujudan pondok-pondok jelas kelihatan di dalam wilayah ini, sebagaimana digambarkan dalam peta yang berpandukan fotografi udara yang dijalankan oleh British Royal Air Force pada tahun 1951.
Nama Sungai Belawit, dipercayai diambil sempena nama nenek moyang komuniti ini, juga sudah ada dalam peta-peta di atas, malah, turut muncul dalam peta 1934 dari Federated Malay States, membuktikan lagi sejarah kehadiran Rumah Jeffery di wilayah tersebut.[34]
Imej satelit Landsat-1 yang diambil pada 1972 menunjukkan kawasan pembukaan hutan yang sepadan dengan kawasan pertanian dalam peta 1958 daripada Directorate of Overseas Surveys, menurut siasatan Human Rights Watch.
Tanah adat yang kini dituntut oleh komuniti Rumah Jeffery meliputi kawasan seluas 521 hektar, menurut penilaian Human Rights Watch berdasarkan sempadan yang dihasilkan oleh SADIA. Dalam peta tahun 1958, yang berdasarkan foto udara yang diambil pada tahun 1951, kawasan yang telah diusahakan di dalam wilayah nenek moyang mereka sudahpun meliputi keluasan 34 hektar.
Walaupun komuniti ini telah menuntut dan mengusahakan tanah tersebut selama beberapa dekad, rumah panjang mereka hanya didirikan pada pertengahan tahun 2017.[35] Keluarga-keluarga yang kini membentuk komuniti Rumah Jeffery telah berpisah secara aman dari kampung Rumah Mawang yang terletak di seberang Sungai Belawit. Disebabkan jumlah keluarga yang semakin besar dan tidak lagi dapat ditampung dalam satu rumah panjang, wilayah tanah adat mereka dibahagikan mengikut tradisi Iban, dan mereka yang berpindah meneruskan amalan hak adat mereka terhadap hutan dan kawasan tanaman yang menjadi milik mereka.[36] Oleh itu, walaupun pembinaan rumah panjang di lokasi tersebut adalah sesuatu yang baharu, penggunaan adat oleh komuniti di kawasan hutan dan ladang pertanian telahpun direkodkan dalam peta sejak tahun 1950-an.
Akan tetapi, biarpun sudah membuktikan sejarah yang sangat panjang di kawasan tersebut, sejarah ini tidak menghalang sebuah syarikat swasta dan Jabatan Hutan Sarawak daripada mempertikaikan penempatan Rumah Jeffery di atas tanah tersebut.
Pajakan Tanah Zedtee
Syarikat Zedtee Sdn Bhd (Zedtee) mengurus dua pajakan tanah yang bertindih, justeru, menceroboh tanah adat Rumah Jeffery. Zedtee ialah anak syarikat kepada Kumpulan Shin Yang, salah satu daripada enam syarikat utama yang menguasai secara kolektif 70 peratus konsesi hutan di Sarawak.[37] Shin Yang mengiklankan pelet kayu sebagai salah satu daripada produk yang dihasilkannya.[38] Shin Yang menjual produk kayunya ke serata Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, dan negara-negara lain. [39] Zedtee Plywood, sebuah lagi syarikat bersekutu dengan Shin Yang, turut menyenaraikan Zedtee Sdn Bhd sebagai salah satu pembekalnya.[40]
Salah satu pajakan yang diuruskan oleh Zedtee ialah Anap Muput, iaitu unit pengurusan hutan (Forest Management Unit – FMU). Kerajaan negeri memberi kuasa kepada syarikat itu untuk menjalankan pembalakan terpilih di kawasan tersebut di bawah Lesen Pembalakan No. T/4317.[41] Anap Muput FMU meliputi keluasan 83,535 hektar—iaitu kira-kira lapan kali ganda saiz kota Paris—yang terletak dalam daerah Tatau.[42] Jabatan Hutan Sarawak telah memberikan lesen pembalakan selama 60 tahun kepada Zedtee bermula pada tahun 2008.[43]
Pajakan kedua yang dianugerahkan kepada Zedtee ialah Kawasan Pengurusan Anap Belawit, di mana Zedtee telah memperoleh permit kerajaan untuk menebang hutan semula jadi dan menggantikannya dengan ladang pokok di bawah lesen LPF/0039.[44] Human Rights Watch tidak dapat memperoleh maklumat awam yang menunjukkan tarikh Zedtee memperoleh konsesi ini atau syarat-syarat lesen tersebut.
Kerajaan negeri Sarawak menetapkan bahawa semua pajakan pembalakan jangka panjang, termasuk ladang pokok, wajib diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) atau piawaian Majlis Pengurusan Hutan (FSC) menjelang akhir tahun 2024.[45]
Pensijilan MTCS bertujuan menyediakan “penilaian bebas terhadap amalan pengurusan hutan dan audit ke atas pengilang atau pengeksport produk kayu untuk memastikan produk kayu … diperoleh daripada hutan yang diurus secara lestari.”[46] Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, bertanggungjawab mengurus MTCS. Namun, walaupun berdaftar sebagai NGO, lembaga pemegang amanah MTCC majoritinya terdiri daripada pegawai kerajaan dan wakil industri kayu.[47]
Anap Muput FMU telah diperakui di bawah MTCS, dan ketika laporan ini ditulis, pensijilan tersebut masih sah sehingga Julai 2029.[48] Sebaliknya, LPF/0039 tidak diperakui di bawah skim MTCS mahupun FSC. Human Rights Watch telah meminta maklumat daripada Jabatan Hutan Sarawak berhubung isu ini, tetapi jabatan tersebut tidak memberikan jawapan.[49] Akan tetapi, laman web rasmi Jabatan Hutan Sarawak juga tidak menyenaraikan LPF/0039 sebagai salah satu ladang pokok yang diperakui di negeri tersebut.[50] Pada Mac 2025, Ketua Pegawai Eksekutif MTCC menyatakan dalam surat kepada Human Rights Watch bahawa LPF/0039 belum diperakui di bawah MTCS.[51] Pangkalan data awam FSC juga tidak menyenaraikan sebarang lesen yang dipegang oleh Zedtee.[52]
Wilayah tanah adat Rumah Jeffery meliputi kedua-dua kawasan pajakan yang diuruskan oleh Zedtee (rujuk peta di bawah).[53]
Tentangan Rumah Jeffery terhadap Pencerobohan oleh Zedtee
Menurut Jeffery Nang, tuai rumah Rumah Jeffery, pada Mei 2022, seorang pengurus hutan daripada syarikat Zedtee telah mengunjungi rumah panjang mereka.[54] Nang menyatakan bahawa pengurus tersebut memaklumkan mengenai rancangan syarikat untuk menjalankan pembalakan di kawasan tersebut, tetapi berjanji akan memberikan pampasan dalam bentuk jalan berturap dan pemasangan paip air untuk kampung.[55] Di samping itu, beliau berkata setiap keluarga dalam komuniti Rumah Jeffery boleh menandakan lima batang pokok yang akan dikecualikan daripada operasi pembalakan oleh Zedtee.[56]
Menurut Nang lagi, pengurus hutan Zedtee itu telah menjalankan tinjauan lokasi bersama anggota komuniti bagi menandakan pokok-pokok yang akan dilindungi, dan beliau serta wakil Zedtee telah mencapai persetujuan secara lisan untuk mendokumenkan syarat-syarat tersebut secara bertulis sebelum sebarang pembalakan dimulakan. Namun begitu, menurut Nang, sejauh mana pembalakan akan dibuat mahupun tempoh pelaksanaannya tidak pernah dijelaskan kepada beliau oleh pihak Zedtee.[57]
Akan tetapi, tiada seorang pun daripada pihak Zedtee kembali untuk menyediakan sebarang perjanjian bertulis, kata Nang kepada Human Rights Watch.[58] Dari sudut pandang tuai rumah, ini bermakna tiada sebarang perjanjian yang sah berlaku antara komuniti Rumah Jeffery dengan Zedtee yang membenarkan syarikat tersebut memulakan operasi pembalakan.
Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), di bawah mana Unit Pengurusan Hutan (FMU) Anap Muput diiktiraf dan yang wajib dipatuhi oleh Zedtee bagi pengurusan pajakan tersebut, menetapkan bahawa “rekod rundingan dengan masyarakat asal” merupakan antara dokumen yang perlu dinilai oleh juruaudit semasa meneliti pematuhan kepada Kriteria MTCS. Kriteria 3.1 memperuntukkan bahawa “masyarakat Orang Asal hendaklah mengawal pengurusan hutan di atas tanah dan wilayah mereka, melainkan mereka menyerahkan kawalan tersebut secara ‘persetujuan sukarela, terlebih dahulu dan sudah dimaklumkan dengan maklumat yang mencukupi’ kepada agensi dan/atau pihak lain.”[59]
Namun demikian, menurut beberapa ahli komuniti, Zedtee telah memulakan operasi pembalakan di tanah adat Rumah Jeffery pada tahun yang sama.[60] Sebagai tindak balas, penduduk kampung telah dua kali keluar ke kawasan hutan untuk berdepan dengan jentolak milik Zedtee, membantah pembalakan tersebut dan berusaha melindungi pokok-pokok yang telah ditandakan, menurut anggota komuniti yang terlibat dalam penentangan tersebut.[61] Nang memberitahu Human Rights Watch bahawa mereka telah bercakap secara bersemuka dengan operator-operator jentolak itu, tetapi mereka tidak dihiraukan. Bahkan, sebagai tindakan membalas bantahan tersebut, Jabatan Hutan telah mengugut untuk menangkap mereka, kata Nang.[62]
Human Rights Watch telah menganalisis beberapa set data yang dijana oleh Universiti Maryland, Google, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), dan NASA, dan mendapati bahawa sejak awal tahun 2021, Rumah Jeffery telah kehilangan sebanyak 19.5 hektar litupan pokok (tree cover). Kira-kira 98 peratus daripada kehilangan ini berlaku antara tahun 2021 dan 2022. Antara kawasan yang mengalami kehilangan litupan pokok termasuklah bahagian-bahagian sepanjang jalan pembalakan di sebelah barat sempadan tanah adat Rumah Jeffery, termasuk kawasan yang bertindih masuk dengan FMU Anap Muput.
Apabila penyelidik Human Rights Watch mengunjungi Rumah Jeffery pada September 2024, perkhidmatan yang dikatakan telah dijanjikan oleh Zedtee kepada komuniti tersebut masih belum ditunaikan. Rumah Jeffery belum menerima sebarang pemasangan paip air, dan satu-satunya jalan masuk ke kawasan itu tidak dapat dilalui, justeru menghalang penduduk daripada menjual hasil tanaman mereka serta menyukarkan mereka untuk ke sekolah dan mendapatkan rawatan kesihatan.[63] Komuniti tersebut mempunyai kira-kira satu tan lada hitam yang disimpan di ruang tamu rumah panjang yang mereka kongsi bersama, namun tidak dapat dibawa ke pasar untuk dijual.
Situasi di Rumah Jeffery mendedahkan betapa, rundingan yang amat sukar yang terpaksa dilakukan oleh komuniti Orang Asal dengan pihak syarikat, semata-mata untuk memperoleh perkhidmatan asas seperti bekalan air atau membaiki infrastruktur penting seperti jalan masuk—yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan sebagai kewajipan.
Bagi kes Rumah Jeffery, komuniti tidak pernah memberikan persetujuan terhadap aktiviti pembalakan tersebut, kerana menurut Nang, syarat-syarat operasi tidak pernah didokumenkan secara bertulis sebagaimana yang diminta beliau sebagai prasyarat sebelum sebarang aktiviti dimulakan. Rumah Jeffery telah kehilangan sebahagian daripada hutan mereka, termasuk beberapa pokok yang dikatakan akan dikecualikan daripada pembalakan oleh pihak Zedtee, namun langsung tidak menerima sebarang pampasan.
Cubaan Zedtee untuk Mengusir Rumah Jeffery
Komuniti Rumah Jeffery telah diancam dengan pengusiran sejak mereka membantah pencerobohan oleh Zedtee.
Pada 14 Oktober 2022, Jabatan Hutan Sarawak telah mengeluarkan notis pengusiran kepada komuniti Rumah Jeffery.[64] Notis tersebut menyatakan bahawa komuniti ini telah menceroboh “Hutan Lindungan Anap” dengan menduduki rumah panjang serta menjalankan kegiatan pertanian di atas tanah tersebut.[65] Notis itu memberi tempoh 30 hari kepada komuniti untuk mengosongkan, merobohkan, dan memindahkan sebarang struktur, tanaman, serta harta benda lain.[66] Kegagalan mematuhi arahan ini akan mengakibatkan tindakan undang-undang terhadap anggota komuniti.[67]
Notis pengusiran tersebut menyatakan bahawa komuniti Rumah Jeffery telah melanggar Seksyen 26 Ordinan Hutan Sarawak 2015.[68] Seksyen 26 melarang sebarang pencerobohan, penebangan pokok, atau pembinaan bangunan di dalam “hutan lindungan.”[69] Notis tersebut memberi gambaran seolah-olah Rumah Jeffery telah ‘ditarik masuk’ ke dalam kawasan “Hutan Lindungan Anap,” di mana aktiviti pembalakan adalah dilarang.
Namun, berdasarkan audit rasmi, tanah adat Rumah Jeffery terletak merentasi dua konsesi yang diperoleh oleh Zedtee, yang membenarkan syarikat menjalankan pembalakan terpilih atau membalak secara menyeluruh.[70] Tambahan pula, seorang pegawai kanan Jabatan Hutan Sarawak yang bertanggungjawab menguatkuasakan notis pengusiran itu memberitahu Human Rights Watch bahawa sebenarnya, Zedtee yang mahu komuniti tersebut diusir.[71]
Keadaan ini menunjukkan bahawa niat Jabatan Hutan Sarawak bukanlah untuk melindungi hutan atau komuniti, tetapi sebaliknya untuk mengosongkan kawasan tersebut bagi membolehkan operasi Zedtee diteruskan.
Situasi ini memperlihatkan ketidaktelusan dan kekeliruan yang menyelubungi tadbir urus tanah di Sarawak. Kerajaan negeri telah mengklasifikasikan tanah adat Rumah Jeffery sebagai hutan lindungan di mana pembalakan dilarang, sebagai konsesi pembalakan terpilih, dan juga sebagai tapak yang akan ditukar menjadi ladang hutan—tiga penggunaan tanah yang saling bertentangan, bahkan, semuanya mengabaikan langsung hak komuniti Orang Asal terhadap tanah dan sumber rezeki mereka.
Notis pengusiran bertarikh 14 Oktober 2022 tidak diserahkan kepada Jeffery Nang, tuai rumah, sehinggalah pada 20 Oktober 2022. Pada hari tersebut, Nang telah menghadiri satu perjumpaan dengan juruaudit SIRIM di Rumah Mawang, kampung bersebelahan.[72] SIRIM bertanggungjawab memantau pematuhan Zedtee terhadap piawaian MTCS, dan wakil mereka ketika itu menjalankan lawatan rutin.[73] Seorang pegawai dari Jabatan Hutan Bintulu hadir bersama juruaudit tersebut, dan menyerahkan surat tersebut kepada Nang, dengan menegaskan secara lisan bahawa komuniti Rumah Jeffery perlu berpindah, begitu menurut Nang kepada Human Rights Watch.[74]
Nang segera kembali ke rumah panjang mereka selepas menerima surat pengusiran itu.[75] Bersama-sama dengan Nyulang Imbang, ketua adat, mereka memutuskan untuk mendapatkan bantuan daripada pertubuhan Orang Asal, SADIA.[76] Dengan sokongan SADIA, komuniti itu, pada suatu tarikh yang tidak dinyatakan, telah menghantar surat kepada Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Survei di Kuching, Sarawak, yang mengesahkan penerimaan surat tersebut pada 17 April 2023.[77] Surat itu memohon agar tanah adat mereka disurvei dan diiktiraf secara rasmi, supaya ia dikeluarkan daripada kawasan operasi syarikat Zedtee.[78] Jabatan tersebut kemudian memanjangkan permohonan tersebut kepada Pejabat Wilayah Kapit.[79] Dalam surat bertarikh 17 Oktober 2023, Pejabat Wilayah Kapit pula menyatakan bahawa pihak mereka tidak mempunyai bidang kuasa, dan menyuruh komuniti itu mengadu pula kepada Pejabat Wilayah Bintulu.[80] Menurut tuai rumah, itulah komunikasi terakhir yang mereka terima dari pihak kerajaan.
Sepanjang tempoh ini, komuniti Rumah Jeffery memutuskan untuk terus tinggal di rumah panjang mereka. Pada 7 April 2023, lebih kurang enam bulan selepas notis pengusiran dikeluarkan, kira-kira tujuh pegawai Jabatan Hutan dan empat anggota polis telah mengunjungi komuniti tersebut, menurut penduduk yang ditemui Human Rights Watch.[81] Dua daripada mereka mendaftar kehadiran mereka dalam buku log rumah panjang yang disimpan oleh komuniti itu. Seorang daripada mereka ialah pegawai yang memperkenalkan dirinya sebagai Sawa Sauh dari Pentadbiran Bahagian Bintulu, Jabatan Hutan Sarawak, manakala seorang lagi ialah sarjan polis.[82]
Menurut Imbang, iaitu ketua adat, Sauh menyatakan bahawa mereka perlu mengosongkan rumah panjang kerana didakwa menceroboh kawasan berlesen Zedtee.[83] Sarjan polis tersebut kemudiannya mengugut untuk merobohkan rumah panjang, kata Imbang. Anggota polis yang berada di luar rumah panjang pula dilaporkan bersenjata, menyebabkan komuniti berasa bahawa polis sudah bersedia untuk melaksanakan arahan tersebut.[84] Imbang mengingati saat beliau berkata kepada anggota polis itu bahawa beliau tidak akan berpindah walaupun dia dibunuh di situ.[85] “Saya akan terus tinggal di sini, saya tiada tempat lain,” demikian menurut laporan beliau. [86]
Jika diusir secara paksa, komuniti tersebut akan kehilangan sumber kehidupan dan budaya hidup mereka, yang tidak boleh dipisahkan daripada hutan. Sejak turun-temurun, komuniti Iban bergantung pada kemampuan mereka untuk memburu, menangkap ikan, mengutip hasil hutan dan menanam tanaman untuk makanan.[87] Pengusiran akan memutuskan hubungan komuniti itu dengan tanah leluhur mereka, yang menjadi asas identiti kolektif mereka, tempat ibadah, dan tapak perkuburan nenek moyang mereka.
Sebagai contoh, dalam kawasan konsesi Anap Muput terdapat sebuah air terjun yang dianggap suci oleh komuniti Rumah Jeffery.[88] Air terjun itu dipercayai didiami oleh makhluk halus yang menjadi sembahan komuniti itu.[89] Di samping itu, komuniti Rumah Jeffery juga mempunyai sekurang-kurangnya dua tanah perkuburan di dalam hutan, yang sentiasa mereka lawati dan pelihara sekian lama.[90]
Maklum Balas daripada Kerajaan Sarawak
Maklum Balas daripada Jabatan Hutan Sarawak
Pada September 2024, Human Rights Watch telah bertemu dengan Wilson Ngai, Ketua Penguatkuasaan Pejabat Bintulu, Jabatan Hutan Sarawak. Ngai menyatakan bahawa Jabatan Hutan telah mengeluarkan perintah pengusiran terhadap komuniti Rumah Jeffery berikutan aduan daripada Zedtee mengenai "pendudukan haram dalam pajakan mereka."[91] Beliau menambah bahawa lima kampung lain juga telah menerima perintah pengusiran.[92] Walaupun tidak mengingati tarikh sebenar, Ngai menyebut bahawa perintah pengusiran tersebut dikeluarkan semasa beliau berkhidmat di Bintulu, yang bermula pada Januari 2022.[93] Beliau juga mengesahkan bahawa kandungan aduan Zedtee adalah serupa dengan perintah pengusiran yang diajukan kepada komuniti tersebut.[94]
Ngai menjelaskan bahawa konflik dengan Zedtee berpunca daripada pemisahan Rumah Jeffery daripada Rumah Mawang untuk membina rumah panjang baharu.[95] Namun, aduan daripada Zedtee hanya dibuat selepas komuniti tersebut membantah aktiviti pembalakan di wilayah nenek moyang mereka, lima tahun selepas mereka mula membina rumah panjang tersebut. Tambahan pula, komuniti tersebut tidak menuntut kawasan baharu dengan pembinaan rumah panjang itu. Sebaliknya, tanah adat nenek moyang yang sebelum ini dikongsi oleh semua penduduk Rumah Mawang telah dibahagikan supaya mereka yang berpindah untuk membina rumah panjang di Rumah Jeffery terus menjalankan hak mereka ke atas tanah adat mereka, selaras dengan tradisi Iban.[96]
Pada 12 Februari 2025, Human Rights Watch menulis kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk meminta maklumat mengenai sama ada Lesen Penebangan Hutan (LPF) 0039 telah disahkan di bawah MTCS. Jabatan Hutan Sarawak membalas pada 24 Februari bahawa “kerajaan Sarawak tetap komited terhadap Pengurusan Hutan Secara Lestari melalui dasar pensijilan pengurusan hutan dan amalan pengurusan hutan terbaik,” dan bahawa “pengurusan LPF/0039 selaras dengan prinsip-prinsip ini, dengan pemantauan dan peraturan dijalankan mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan.”[97]
Dalam e-mel susulan pada 19 Mac 2025, seorang pegawai dari Jabatan Hutan Sarawak menulis kepada Human Rights Watch bahawa LPF/0039 “tidak memenuhi kriteria kelayakan untuk pensijilan MTCS disebabkan tarikh penetapan selepas 31 Disember 2010 yang dinyatakan dalam Standard,” tetapi kawasan tersebut “terus diurus dan dipantau dengan ketat mengikut semua peraturan, dasar, dan undang-undang hutan yang berkenaan.”[98] Akan tetapi, walaupun Human Rights Watch telah membuat beberapa pertanyaan, Jabatan Hutan masih belum menjelaskan bagaimana pendirian mereka mengenai LPF/0039 selaras dengan keperluan kerajaan Sarawak bahawa semua perladangan pokok harus disahkan di bawah skim MTCS atau FSC menjelang akhir 2024.
MTCC, yang menguruskan standard MTCS, juga memberitahu Human Rights Watch bahawa LPF/0039 tidak disahkan di bawah MTCS.[99]
Pangkalan data awam Forest Stewardship Council (FSC) juga tidak menyenaraikan sebarang sijil di bawah nama Zedtee.[100]
Maklum Balas daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak
Pada 12 Februari 2025, Human Rights Watch menulis kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak meminta komen mereka mengenai penemuan awal kami. Pada 6 Mac 2025, jabatan tersebut membalas bahawa mereka sedang menyediakan jawapan, tetapi pada masa penerbitan laporan ini, mereka masih belum memberikan sebarang maklum balas.[101]
Maklum Balas daripada Zedtee dan Shin Yang
Pada 12 Februari 2025, Human Rights Watch menyediakan ringkasan penemuan awal kami kepada Zedtee dan Shin Yang dalam surat berasingan, meminta komen mereka dan jawapan kepada beberapa pertanyaan.[102] Namun, sehingga masa penerbitan laporan ini, Zedtee dan Shin Yang masing-masing belum memberikan sebarang jawapan.
Maklum Balas daripada SIRIM dan MTCC
Pada 12 Februari 2025, Human Rights Watch menyediakan ringkasan penemuan awal kami kepada SIRIM dan MTCC, meminta komen mereka dan jawapan kepada beberapa soalan.
Sehingga masa penerbitan, SIRIM belum memberikan sebarang jawapan.[103]
Ketua Pegawai Eksekutif MTCC membalas dalam surat bertarikh 3 Mac 2025.[104] Beliau sekadar menyebut tentang struktur, fungsi, dan peruntukan MTCS, tetapi tidak memberikan komen mengenai penemuan khusus berkaitan komuniti Rumah Jeffery, dan juga tidak mengulas mengenai prestasi SIRIM dalam mengaudit Anap Muput FMU.
Dalam suratnya, Ketua Pegawai Eksekutif MTCC itu menyatakan bahawa syarat dalam MTCS telah “menyebabkan perladangan hutan yang ditubuhkan selepas 31 Disember 2010 tidak disahkan di bawah skim ini, terutamanya melalui Kriteria 6.10.” Kriteria 6.10 menyatakan: “Perladangan yang ditubuhkan di kawasan yang ditukar daripada hutan semula jadi selepas 31 Disember 2010 tidak layak untuk pensijilan melainkan ia memenuhi keperluan yang dinyatakan di bawah Kriteria 6.11.”
Kriteria 6.11 menetapkan lapan syarat untuk “penukaran hutan yang teruk degradasinya kepada perladangan hutan,” antara lain, membuktikan bahawa penukaran tersebut “tidak mempunyai kesan negatif terhadap kawasan hutan yang penting secara ekologi, kawasan yang signifikan secara budaya dan sosial, atau kawasan lain yang dilindungi.” Walaupun ada beberapa syarat yang agak ketat untuk penukaran tersebut, MTCS akan membenarkan penukaran hutan semula jadi kepada perladangan kayu jika syarat-syarat ini dipenuhi.
Pada 11 Mac 2025, Ketua Pegawai Eksekutif MTCC, Dr. Farrah Shameen Binti Mohamad Ashray, telah mengutuskan surat kedua kepada Human Rights Watch menyatakan bahawa LPF/0039 tidak diperakui di bawah MTCS, namun, Anap Muput FMU telah diperakui.[105] Dr. Ashray turut memaklumkan bahawa MTCC sedang meneliti semula standard MTCS bagi menyelaraskannya dengan kehendak Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).[106]
Selain itu, Dr. Agkillah Maniam, Pengarah Pengurusan Hutan di MTCC, telah mengadakan satu sesi mesyuarat dalam talian bersama Human Rights Watch.[107] Dr. Maniam menyatakan bahawa walaupun terdapat pengecualian tertentu terhadap tarikh penetapan 2010 bagi penukaran hutan kepada hutan perladangan, sehingga kini MTCC belum memperakui sebarang perladangan hutan yang diwujudkan selepas tahun 2010.[108]
Dr. Maniam turut menyatakan bahawa setelah menerima surat daripada Human Rights Watch, pihak MTCC telah membuat komunikasi dengan pihak Zedtee berhubung dakwaan-dakwaan dalam laporan ini.[109] Dr. Maniam juga memaklumkan bahawa Zedtee telah menyerahkan kepada MTCC salinan surat bertarikh 25 Februari 2025 yang kononnya ditujukan kepada Human Rights Watch. Namun begitu, sehingga tarikh penerbitan laporan ini, Human Rights Watch masih belum menerima surat tersebut daripada pihak Zedtee.[110]
Dalam perbincangan mengenai pindaan menyeluruh yang sedang dilaksanakan oleh MTCC, Dr. Maniam menyebut bahawa MTCC kini sedang bekerjasama dengan SIRIM dan Control Union—iaitu dua badan pensijilan yang diberi kuasa untuk menjalankan audit MTCS—bagi menyelaraskan garis panduan pelaksanaan mereka, termasuk ambang ketidakpatuhan yang akan mencetuskan penggantungan atau penarikan balik pensijilan.[111] Dr. Maniam turut memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk menilai semula peruntukan mengenai Persetujuan Bebas/Sukarela, Awal/Terdahulu dan Dimaklumkan (FPIC) dalam MTCS, serta mekanisme aduan MTCC, sebagai persediaan ke arah melakukan pindaan ke atas MTCS menjelang akhir tahun 2025.[112]
III. Analisis Perundangan
Undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa
Malaysia mempunyai kewajipan untuk menghormati perjanjian-perjanjian antarabangsa berkaitan hak asasi manusia yang telah diratifikasinya serta undang-undang adat antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Selaku negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia terikat kepada Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR), yang dianggap mencerminkan prinsip-prinsip undang-undang adat antarabangsa dalam bidang hak asasi manusia. Malaysia telah meratifikasi beberapa konvensyen antarabangsa utama mengenai hak asasi manusia, termasuk Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), dan Konvensyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).
Standard antarabangsa yang relevan dan mencerminkan norma undang-undang antarabangsa juga merangkumi Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-hak Orang Asal (UNDRIP)—yang telah disokong oleh Malaysia di Perhimpunan Agung PBB—serta Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGPs), yang terpakai kepada kedua-dua negara dan syarikat.
Hak untuk Persetujuan Sukarela (Bebas), Terdahulu dan Dimaklumkan (FPIC)
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengiktiraf bahawa semua manusia berhak menentukan nasib mereka sendiri (self-determination) di bawah undang-undang adat antarabangsa.[113] Mekanisme Pakar PBB mengenai Hak-hak Orang Asal telah menyimpulkan bahawa dalam konteks hak-hak masyarakat asal, hak untuk menentukan nasib sendiri merangkumi hak untuk mengawal dan membuat keputusan terhadap tanah dan sumber rezeki mereka.[114]
Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP) menyatakan bahawa masyarakat Orang Asal mempunyai hak khusus untuk menikmati autonomi atau tadbir urus sendiri dalam hal-ehwal dalaman atau setempat mereka, dan bahawa Orang Asal tidak boleh dipindahkan dari wilayah kediaman mereka tanpa persetujuan sukarela (bebas), terdahulu dan sudah dimaklumkan kepada mereka lebih awal.[115]
UNDRIP menggesa semua negara agar memperoleh persetujuan sukarela dan bebas, dan telah dimaklumkan, daripada komuniti Orang Asal “sebelum meluluskan mana-mana projek yang
memberi kesan ke atas tanah, wilayah kediaman atau sumber lain milik mereka.”[116] Mekanisme Pakar PBB mengenai Hak-Hak Orang Asal turut mengesyorkan agar proses rundingan merangkumi maklumat berkenaan “sifat, keluasan, kederasan, kebolehubahan, dan skop mana-mana projek atau aktiviti yang dicadangkan,” termasuk penilaian impak sosial dan alam sekitar, serta bentuk pampasan atau skim perkongsian manfaat yang dicadangkan.[117]
Tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa komuniti Rumah Jeffery pernah memberikan persetujuan terhadap penyerahan wilayah kediaman nenek moyang mereka kepada syarikat Zedtee, mahupun ke atas aktiviti pembalakan yang terkini. Human Rights Watch mendapati bahawa kerajaan negeri Sarawak telah mencabuli hak komuniti Rumah Jeffery kerana mereka langsung tidak diberikan peluang untuk memberikan persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan. Ini termasuk tindakan:
· memberikan konsesi ke atas tanah adat komuniti tersebut tanpa memastikan pengecualian tanah hak adat daripada pajakan yang dikeluarkan;
· membenarkan aktiviti pembalakan di tanah sempadan Rumah Jeffery tanpa memastikan terlebih dahulu sama ada Zedtee sudah pun mendapatkan persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan daripada komuniti terlibat, atau tidak; dan
· mengeluarkan arahan pengusiran terhadap komuniti itu daripada rumah panjang dan tanah adat mereka tanpa sebarang persetujuan daripada pihak komuniti.
Larangan Pengusiran Secara Paksa
Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia memperuntukkan bahawa “setiap orang berhak kepada suatu taraf hidup yang mencukupi bagi memelihara kesihatan dan kesejahteraan dirinya dan keluarganya, termasuk ( ... ) tempat tinggal.”[118] Salah satu implikasi hak asasi ke atas tempat tinggal ialah larangan terhadap pengusiran secara paksa, yang didefinisikan oleh PBB sebagai “pengusiran kekal atau sementara, tanpa kerelaan, terhadap individu, keluarga dan/atau komuniti daripada tempat kediaman dan/atau tanah yang mereka duduki, tanpa penyediaan dan akses kepada apa-apa bentuk perlindungan undang-undang atau perlindungan lain yang sesuai.”[119]
UNDRIP turut menggesa negara-negara untuk menyediakan mekanisme yang berkesan bagi mencegah dan memberi pemulihan terhadap “sebarang tindakan yang bertujuan, atau memberi kesan kepada pelucutan tanah, wilayah atau sumber milik masyarakat Orang Asal.”[120] Tambahan pula, UNDRIP secara jelas menyatakan bahawa sebarang pengusiran paksa terhadap masyarakat Orang Asal daripada tanah atau wilayah mereka dilarang sama sekali.[121]
Perintah pengusiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak terhadap komuniti Rumah Jeffery bercanggah dengan kesemua piawaian antarabangsa yang dinyatakan di atas. Notis pengusiran tersebut dikeluarkan kepada Rumah Jeffery tanpa memberi mereka sebarang peluang untuk mencabar keputusan kerajaan atau untuk mengambil bahagian dalam sebarang proses yang membawa kepada keputusan tersebut. Sama ada melalui notis pengusiran, mahupun ketika mesyuarat bersama pegawai Jabatan Hutan dan pihak polis pada 7 April 2023, tiada langsung tawaran alternatif berkaitan perumahan atau pampasan diberikan kepada Rumah Jeffery.[122]
Malah, komuniti Rumah Jeffery tidak pernah bersetuju untuk meninggalkan tanah mereka, dan sebarang pemindahan yang digesa ke atas mereka adalah bertentangan dengan kehendak mereka, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surat mereka kepada Jabatan Tanah dan Survei. [123]
Justeru, sekiranya Jabatan Hutan Sarawak menguatkuasakan perintah pengusiran ini, maka tindakan tersebut akan menjadi satu bentuk pengusiran paksa yang melanggar hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Usaha Zedtee untuk mendapatkan perintah pengusiran terhadap komuniti Rumah Jeffery juga bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia sejagat, begitu juga dengan kegagalan pihak SIRIM untuk mengecam tingkah laku ini dalam proses auditnya.
Tanggungjawab Korporat terhadap Penghormatan Hak Asasi Manusia
Entiti perniagaan seperti Shin Yang, Zedtee dan SIRIM mempunyai tanggungjawab terhadap hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan dalam Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2011 (UN Guiding Principles).[124] Walaupun Prinsip Panduan ini tidak mengikat secara perundangan, namun ia memberikan panduan penting yang terpakai kepada organisasi swasta yang terlibat dalam aktiviti komersial.[125]
Tanggungjawab untuk menghormati hak asasi manusia bererti bahawa organisasi-organisasi ini hendaklah mempunyai “dasar dan proses yang bersesuaian dengan saiz dan keadaan mereka,” bagi tujuan:
· Mengelakkan daripada menyebabkan atau menyumbang kepada kesan buruk terhadap hak asasi manusia melalui aktiviti mereka sendiri (sama ada melalui perbuatan atau kelalaian), dan jika berlaku, mestilah menangani kesan tersebut.[126]
· Mencegah atau mengurangkan kesan buruk terhadap hak asasi manusia yang berkaitan secara langsung dengan operasi, produk atau perkhidmatan mereka melalui hubungan perniagaan, walaupun mereka tidak secara langsung menyumbang kepada kesan tersebut.[127]
· “Membolehkan pemulihan terhadap sebarang kesan buruk ke atas hak asasi manusia yang mereka sebabkan atau turut sama menyebabkan,” serta menggunakan pengaruh perniagaan mereka untuk tujuan tersebut.[128]
· “Menyampaikan maklumat secara terbuka ( ... ) khususnya apabila kebimbangan dibangkitkan oleh populasi yang terkesan,” serta “menyediakan maklumat yang mencukupi untuk menilai keberkesanan tindak balas syarikat perniagaan terbabit.”[129]
Standard Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS)
Jabatan Hutan Sarawak, jika dilihat pada mandatnya, mewajibkan lesen pembalakan jangka panjang, seperti konsesi Anap Muput FMU yang dipegang oleh Zedtee, untuk disahkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) atau Forest Stewardship Council (FSC) sebelum 2022.[130] Bagi ladang hutan pula, seperti LPF/0039 yang turut dipegang oleh Zedtee, pensijilan diwajibkan selewat-lewatnya sebelum 2025.[131] Akan tetapi, LPF/0039 tidak diperakui di bawah MTCS, dan pangkalan data awam yang dikendalikan oleh FSC tidak menunjukkan sebarang lesen milik Zedtee.[132]
Perbuatan Zedtee dilihat bercanggah dengan beberapa prinsip teras MTCS, biarpun Zedtee sepatutnya wajib mematuhi prinsip-prinsip tersebut sekurang-kurangnya bagi pengurusan Anap Muput FMU, yang telah diberikan pensijilan sehingga Julai 2029. (Syarikat pengaudit, SIRIM, bertanggungjawab terhadap pemberian atau pembatalan pensijilan MTCS ke atas Anap Muput FMU.) Di bawah Prinsip 2: "Hak Milik, Hak Guna dan Tanggungjawab," MTCS memperuntukkan bahawa:
Komuniti setempat yang mempunyai hak milik atau hak guna tanah secara sah atau adat berhak mengawal, setakat yang perlu, bagi melindungi hak atau sumber milik mereka, terhadap operasi hutan, melainkan kawalan itu diserahkan secara sukarela melalui persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan kepada agensi dan/atau pihak lain.[133]
Prinsip 3 berkenaan "Hak-Hak Orang Asal" pula menyatakan bahawa masyarakat Orang Asal seharusnya mempunyai kawalan ke atas pengurusan hutan di wilayah mereka “melainkan mereka menyerahkan kawalan tersebut” melalui persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan kepada agensi atau pihak lain.[134] Untuk memastikan pematuhan prinsip ini, syarikat-syarikat perlu menyimpan rekod rundingan dengan wakil masyarakat Orang Asal, serta dokumen yang menunjukkan bahawa kawalan telah diserahkan secara sah dan sukarela, terlebih dahulu dan dimaklumkan.[135]
Bagi memenuhi standard piawaian MTCS, Zedtee wajib memperoleh persetujuan daripada komuniti Rumah Jeffery sebelum melaksanakan pembalakan di atas tanah adat mereka. Walaupun hanya seorang wakil syarikat yang datang berjumpa komuniti tersebut untuk mendapatkan persetujuan, menurut tuai rumah dan penduduk lain yang ditemubual oleh Human Rights Watch, tiada sebarang perjanjian yang didokumentasikan secara bertulis, bahkan skop serta tempoh perjanjian sebelum aktiviti dimulakan juga langsung tidak mendapat persetujuan. Malah, setelah aktiviti pembalakan bermula, Zedtee sanggup menebang pokok-pokok, padahal sebelum itu, Zedtee sudah berjanji bahawa pokok-pokok itu akan dipelihara untuk kegunaan komuniti Rumah Jeffery, justeru, sekelumit terma-terma persetujuan yang telah dibuat secara lisan pun turut dilanggar oleh Zedtee.
Tambahan pula, Zedtee tidak sepatutnya menggunakan tawaran perkhidmatan seperti kerja menaik taraf jalan akses komuniti itu sebagai bahan tawar-menawar, memandangkan standard MTCS sendiri mewajibkan syarikat perniagaan itu menyediakan kemudahan tersebut. Berdasarkan Prinsip 4 tentang “Hubungan Komuniti” dalam MTCS, pengurus hutan dikehendaki menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas kepada komuniti yang berada di dalam atau berhampiran kawasan FMU.[136] Malah, kemudahan seperti air bersih dan jalan raya yang boleh diakses adalah tanggungjawab kerajaan sebagai khidmat awam.
Walaupun tindakan Zedtee jelas melanggar beberapa kriteria di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), dua audit pengawasan terkini yang dijalankan oleh firma audit SIRIM tidak mencerminkan pelanggaran-pelanggaran tersebut. Human Rights Watch telah meneliti audit pengawasan ketiga dan keempat ke atas Anap Muput FMU yang dijalankan oleh SIRIM pada Oktober 2022 dan Jun 2023 masing-masing.[137] Kedua-dua audit tersebut tidak mencatat sebarang kelemahan atau ketidakpatuhan di bawah Prinsip 2: "Hak Milik dan Hak Guna serta Tanggungjawab" dan Prinsip 3: "Hak-Hak Masyarakat Orang Asal,"[138] meskipun audit dijalankan selepas wilayah Rumah Jeffery telah dibalak tanpa persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan, serta selepas komuniti tersebut diancam dengan pengusiran paksa.
Ketika SIRIM menjalankan audit pengawasan keempat, komuniti Rumah Jeffery telah pun menghantar surat rasmi kepada Jabatan Tanah dan Survei bagi memohon wilayah mereka dikeluarkan daripada kawasan konsesi. Namun, permohonan ini tidak disebut langsung dalam laporan audit.[139] Sebaliknya, SIRIM menyatakan bahawa “tiada kes mahkamah sivil yang direkodkan berkaitan hak milik atau hak guna tanah secara sah atau adat” yang difailkan terhadap Unit Pengurusan Hutan tersebut, lalu memberi gambaran yang salah seolah-olah tiada bantahan atau aduan yang sudah pun dibuat daripada masyarakat Orang Asal.[140]
Kegagalan SIRIM untuk merekodkan penentangan masyarakat Rumah Jeffery terhadap pembalakan di wilayah mereka dan pengusiran dari tanah adat mereka membuktikan bahawa aduan yang sudah sekian lama diketengahkan oleh organisasi masyarakat sivil berhubung kegagalan SIRIM dan program MTCS untuk mendedahkan dan mengecam pelanggaran terhadap hak-hak masyarakat Orang Asal, adalah benar.[141]
Undang-Undang Persekutuan Malaysia
Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengiktiraf bahawa tradisi masyarakat Orang Asal perlu diberi pertimbangan yang setara dengan semua bentuk perundangan lain.[142] Artikel 160 Perlembagaan mentakrifkan istilah "undang-undang" bukan sahaja merujuk kepada undang-undang bertulis dan common law, tetapi juga "adat atau amalan yang mempunyai kekuatan dari segi undang-undang.”[143]
Mahkamah-mahkamah di Malaysia turut menegaskan kepentingan tanah kepada masyarakat Orang Asal. Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, dalam kes Nor Anak Nyawai & Ors v. Borneo Pulp Plantation & Ors, memutuskan bahawa penafian hak ke atas tanah bagi komuniti Iban adalah suatu penafian hak untuk mereka untuk hidup, di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.[144]
Namun begitu, di bawah sistem persekutuan Malaysia, kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa eksklusif ke atas pentadbiran tanah dan hutan, termasuk penggubalan dasar dan undang-undang berhubung pembalakan serta pembangunan ladang.[145]
Undang-Undang Negeri Sarawak
Undang-undang Negeri Sarawak secara umumnya tidak menegakkan hak masyarakat Orang Asal terhadap hak milik dan kawalan ke atas tanah, penyertaan dalam proses membuat keputusan, atau akses kepada maklumat penting yang memberi kesan kepada hak dan sumber kehidupan mereka, biarpun hak-hak ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Bahkan, Human Rights Watch mendapati bahawa, hatta dengan undang-undang dan dasarnya sendiri pun, kerajaan Negeri Sarawak enggan mematuhinya dalam kes Rumah Jeffery dan tindak-tanduk Zedtee.
Kanun Tanah Sarawak memperuntukkan bahawa hak adat turun-temurun boleh diperoleh oleh sesuatu komuniti sekiranya mereka melakukan “penebangan hutan dara dan penempatan di atas tanah yang telah dibersihkan,” “penanaman pokok buah-buahan,” “penggunaan atau pengusahaan tanah” dan “penggunaan tanah sebagai kawasan perkuburan atau tempat pemujaan.”[146]
Walaupun Kanun ini gagal mengiktiraf bahawa komuniti Orang Asal juga berhak menuntut tanah adat menerusi pengurusan hutan tanpa menebang pokok, Human Rights Watch menganggap bahawa komuniti Rumah Jeffery tetap memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Kanun tersebut.
Kerja pemetaan yang dijalankan oleh SADIA bersama anggota komuniti Rumah Jeffery telah mengenal pasti lokasi tanah pertanian, pokok buah-buahan, tanah perkuburan serta rumah panjang komuniti tersebut.[147] Tambahan pula, survei yang dibuat oleh kerajaan negeri Sarawak, yang diterbitkan semula dalam laporan ini menunjukkan bahawa kegiatan penanaman di tanah adat Rumah Jeffery telah jelas wujud sejak tahun 1951.[148]
Lebih penting lagi, Seksyen 15 Kanun Tanah Sarawak memperuntukkan bahawa sebarang tanah adat hendaklah terlebih dahulu “ditamatkan” (terminated) atau “diserahkan” (surrendered) serta pampasan diberikan kepada mereka yang kehilangan tanah, sebelum sebarang aktiviti dibenarkan di atas tanah tersebut.[149] Namun begitu, seperti yang dihuraikan dalam laporan ini, komuniti Rumah Jeffery tidak pernah pun bersetuju untuk menyerahkan tanah mereka, malah, tidak pernah menerima sebarang pampasan atas kerugian yang mereka alami hasil aktiviti yang tidak sah di tanah milik mereka.
Meskipun dasar Jabatan Hutan Sarawak menetapkan agar semua lesen pembalakan jangka panjang, termasuk ladang pokok, disahkan sebelum 2025, Zedtee masih meneruskan kegiatan mereka di kawasan LPF/0039 walaupun ia jelas melanggar syarat ini.[150] Ketua Pegawai Eksekutif MTCC dalam suratnya kepada Human Rights Watch menyatakan bahawa LPF/0039 tidak mendapat perakuan oleh MTCS, dan pangkalan data awam yang dikendalikan oleh FSC juga tidak mencatatkan sebarang lesen milik Zedtee.[151]
Walaupun Human Rights Watch telah memaklumkan ketidakpatuhan ini kepada Jabatan Hutan Sarawak pada Februari 2025, Jabatan tersebut sehingga hari ini masih belum menyatakan bagaimana ia akan menangani isu ini, mahupun memberikan penjelasan berhubung tindakan terhadap konsesi yang tidak mematuhi keperluan pensijilan berkenaan pada masa hadapan.
Peraturan Perdagangan dan Kelestarian
Kesatuan Eropah
Peraturan Produk Bebas Pemusnahan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) melarang kemasukan tujuh komoditi khusus serta produk terbitan daripadanya ke pasaran EU sekiranya komoditi tersebut ditanam di atas tanah yang telah ditebang selepas Disember 2020. Komoditi yang dimaksudkan termasuk produk berasaskan kayu, seperti pelet kayu. Produk tersebut juga mesti dihasilkan dalam keadaan yang mematuhi undang-undang domestik berkenaan hak pekerja dan penggunaan tanah, serta prinsip persetujuan sukarela/bebas, terdahulu dan dimaklumkan (FPIC) seperti yang ditakrifkan dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP).[152]
Penalti bagi pelanggaran larangan tersebut termasuklah denda sehingga 4 peratus daripada jumlah perolehan tahunan syarikat terbabit (perolehan yang dijana di seluruh EU); rampasan produk yang tidak mematuhi larangan; penyitaan hasil pendapatan daripada produk yang tercemar; dan disisihkan daripada proses-proses perolehan serta akses kepada dana awam. Syarikat yang melakukan pelanggaran berulang kali juga boleh dikenakan larangan sementara daripada menempatkan komoditi mereka di pasaran EU atau pasaran produk di bawah EUDR.
Antara kaedah pelaksanaan EUDR ialah, Suruhanjaya Eropah dikehendaki menilai dan mengklasifikasikan setiap negara, atau kawasan-kawasan tertentu dalam negara, sebagai berisiko rendah, sederhana atau tinggi.[153] Walaupun metodologi penilaian belum diterbitkan sepenuhnya, peraturan Suruhanjaya Eropah tersebut menyatakan bahawa kriteria utama adalah kadar pemusnahan hutan dan “kadar peluasan kawasan pertanian melibatkan komoditi terbabit.”[154]
Suruhanjaya Eropah juga, meskipun tidak diwajibkan, boleh mempertimbangkan faktor seperti “kewujudan, pematuhan atau penguatkuasaan undang-undang yang melindungi hak asasi manusia, hak masyarakat Orang Asal, komuniti setempat dan pemegang hak guna tanah secara adat,” serta “sama ada negara yang dinilai itu menyediakan maklumat berkaitan secara telus.”[155] Human Rights Watch dan pertubuhan masyarakat sivil lain sudah pun menggesa Suruhanjaya Eropah agar turut mengambil kira faktor-faktor ini dalam penilaian mereka.[156]
Human Rights Watch telah menyeru agar Suruhanjaya Eropah mengklasifikasikan Sarawak sebagai kawasan berisiko tinggi, menerusi satu kenyataan yang ditulis bersama dua organisasi Orang Asal dari Sarawak, sebuah kumpulan pemantau iklim berpangkalan di Kuala Lumpur, serta dua organisasi antarabangsa.[157] Kenyataan bersama tersebut telah mengambil kira kesemua kriteria seperti yang dinyatakan di atas, lalu merumuskan bahawa Sarawak ialah kawasan berisiko tinggi terhadap pemusnahan hutan dan pelanggaran hak-hak masyarakat Orang Asal, kecuali jika kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melaksanakan langkah perubahan yang menyeluruh.
Pada Disember 2024, penggubal undang-undang EU telah memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan EUDR selama satu tahun bagi syarikat besar dan selama 18 bulan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Undang-undang ini akan mula dikuatkuasakan pada 31 Disember 2025. Sebelum itu, selewat-lewatnya Jun 2025, Kesatuan Eropah perlu menerbitkan metodologi penanda aras risiko mereka serta senarai negara, atau sebahagian daripadanya, bersama klasifikasi risikonya.
Jepun
Akta Penggalakan Penggunaan dan Pengedaran Kayu dan Produk Kayu yang Diperoleh Secara Sah di Jepun (Clean Wood Act), yang berkuat kuasa sejak tahun 2017, mengesyorkan agar syarikat-syarikat melaksanakan usaha wajar (due diligence) untuk memastikan kesahihan produk kayu yang diimport dan menilai risiko ketidaksahan.[158]
Tujuan utama Akta ini adalah untuk “menggalakkan penggunaan dan pengedaran kayu serta produk kayu yang diperoleh daripada pokok yang ditebang mengikut undang-undang dan peraturan Jepun serta negara asal.”[159]
Syarikat-syarikat perlu melaporkan bahawa kayu yang mereka pasarkan adalah sah. Sekiranya sesebuah syarikat gagal memeriksa kesahihan kayu tersebut, mereka boleh dikenakan beberapa amaran dan denda sehingga ¥300,000 (kira-kira USD 2,000).[160] Meskipun skopnya lebih sempit dan tahap penguatkuasaannya lemah, Akta di Jepun ini tetap menyediakan satu kerangka asas untuk syarikat-syarikat mengambil langkah berhati-hati dalam mengimport kayu dari Malaysia, khususnya dari Sarawak.
Amerika Syarikat
Pindaan 2008 kepada Akta Lacey melarang perdagangan tumbuh-tumbuhan atau produk berasaskan tumbuhan yang diperoleh dengan melanggar undang-undang Amerika Syarikat atau undang-undang asing.[161] Ini termasuklah produk balak, kayu, dan kertas. Skim pensijilan pihak ketiga tidak “membuktikan” kesahihan di bawah Akta ini sekiranya kayu tersebut diperoleh secara haram—justeru itu, hanya kesahihan yang benar-benar sah dianggap mematuhi Akta tersebut. Pengimport diwajibkan mengemukakan deklarasi import yang mengenal pasti nama saintifik, nilai, kuantiti dan negara asal bagi tumbuhan dan produk tumbuhan.
Pihak yang melanggar Akta Lacey boleh dikenakan hukuman sivil dan jenayah, bergantung pada tahap pengetahuan pihak pelanggar mengenai asal usul haram produk tersebut—sama ada kegagalan itu disebabkan kecuaian, atau penipuan secara terang-terangan. Mereka yang memperdagangkan produk yang telah diperoleh secara haram boleh dikenakan hukuman jenayah berat, termasuk denda yang tinggi dan hukuman penjara. Bahkan, mereka yang gagal menjalankan “usaha wajar” untuk memastikan kesahihan produk juga boleh dikenakan penalti sama ada dalam bentuk sivil mahupun jenayah.[162]
Saranan dan Syor
Kepada Pejabat Premier Sarawak
· Melaksanakan tindakan secara progresif bagi memastikan komuniti Rumah Jeffery serta komuniti luar bandar lain yang seumpamanya mendapat akses kepada air bersih dan selamat, jalan raya, serta perkhidmatan asas yang lain.
· Menyokong pindaan terhadap Kanun Tanah Sarawak agar selaras dengan standard hak asasi manusia antarabangsa berkaitan hak-hak masyarakat Orang Asal, khususnya Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP). Khususnya:
o Memansuhkan had arbitrari keluasan 1,000 hektar ke atas tanah Orang Asal di bawah Seksyen 6A;
o Menyemak semula seksyen 28 untuk mewajibkan pelaksanaan tinjauan oleh kerajaan dengan penglibatan penduduk Orang Asal serta pemberian hak milik sah ke atas wilayah Orang Asal sebelum mana-mana pajakan boleh diluluskan;
o Menetapkan bahawa hak adat anak negeri hanya boleh dihapuskan di bawah seksyen 5 dengan persetujuan bebas, awal, dan dimaklumkan (FPIC) daripada masyarakat Orang Asal yang terlibat, setelah persetujuan dicapai berkenaan pampasan yang adil dan saksama serta, sekiranya berkemampuan, dengan opsyen untuk kembali ke tanah tersebut;
o Mengalihkan beban pembuktian undang-undang daripada masyarakat Orang Asal kepada pihak kerajaan dan syarikat dalam litigasi berkaitan penggunaan dan pemilikan tanah waris orang Asal, selaras dengan perlindungan perlembagaan terhadap hak adat asal yang meletakkan beban kepada pihak yang ingin menggugat atau memudaratkan komuniti Orang Asal.
· Melaksanakan suatu moratorium yang mengikat secara undang-undang terhadap peluasan ladang kelapa sawit dan ladang kayu di negeri Sarawak, dengan menetapkan had keluasan maksimum tidak melebihi keluasan sedia ada.
Kepada Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak
· Melaksanakan tinjauan rasmi ke atas wilayah Rumah Jeffery dan memberikan komuniti tersebut hak milik sah ke atas tanah yang mereka miliki di bawah hak adat anak negeri.
· Menyahklasifikasikan gambar-gambar udara yang diambil di Sarawak sebelum dan semasa tahun 1958, serta menyiarkannya untuk diakses oleh orang awam (dalam talian dan di pejabat-pejabat kerajaan).
· Mengekalkan sebuah pangkalan data awam mengenai wilayah kawasan Orang Asal yang telah dilaksanakan survei, termasuk permohonan yang masih dalam pertimbangan.
Kepada Jabatan Hutan Sarawak
· Mengiktiraf dan menghormati hak tanah adat komuniti Orang Asal walaupun tanah tersebut belum diwartakan sebagai Rizab Komunal Asal atau belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Tanah dan Survei.
· Membangunkan satu proses konsultasi dan ruang bagi membolehkan komuniti Orang Asal yang dituduh oleh syarikat-syarikat sebagai menceroboh unit pengurusan hutan (FMU) membuat rayuan.
· Mengkehendaki semua pejabat yang mengurus dan menyimpan penilaian impak alam sekitar dan sosial memastikan bahawa dokumen tersebut boleh diakses secara kekal (bukan sementara), terbuka kepada orang awam dan boleh dimuat turun sepenuhnya.
· Mengekalkan satu pangkalan data awam berkenaan lesen pembalakan yang telah diluluskan oleh jabatan, termasuk peta dan, sebaik-baiknya, shapefile konsesi-konsesi tersebut.
· Membatalkan lesen pembalakan jangka panjang, termasuk lesen bagi ladang hutan, yang didapati gagal memenuhi keperluan pensijilan MTCS atau FCS sebelum Januari 2025, selaras dengan dasar Pensijilan Pengurusan Hutan Jabatan Hutan sendiri.
Kepada Pejabat Perdana Menteri Malaysia
· Menyokong penggubalan undang-undang persekutuan yang mengandungi peruntukan Deklarasi PBB mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) dan boleh dikuatkuasakan ke atas semua negeri di Malaysia.
· Menyokong penggubalan undang-undang kebebasan maklumat di peringkt persekutuan yang membolehkan semua rakyat memperoleh maklumat alam sekitar dan lain-lain yang berkepentingan awam, di seluruh negeri.
· Menyokong penggubalan undang-undang bagi menentang Tindakan Undang-undang (Strategik/yang disengajakan) ke atas Penyertaan Awam (anti-SLAPP) bagi melindungi masyarakat Orang Asal, pertubuhan hak asasi manusia dan lain-lain daripada tindakan undang-undang yang berniat jahat, remeh atau mengganggu.
· Menyokong penggubalan Akta Perolehan di peringkat kerajaan persekutuan yang menjamin kelestarian alam sekitar serta perlindungan terhadap hak asasi manusia dan hak pekerja sepanjang proses perolehan.
· Menyokong penggubalan undang-undang persekutuan yang mewajibkan pemberi pinjaman, pelabur dan institusi kewangan lain melaksanakan usaha wajar berkaitan alam sekitar dan hak asasi manusia, serta mengambil langkah untuk mencegah, mengurangkan dan menangani risiko, dan membantu memastikan pemulihan sekiranya mereka menyebabkan atau menjadi faktor kepada pelanggaran hak atau kerosakan alam sekitar.
· Menyokong undang-undang persekutuan untuk mengalihkan beban pembuktian dalam litigasi berkaitan penggunaan dan pemilikan tanah waris Orang Asal—yakni, bukan lagi ditanggung oleh masyarakat tersebut tetapi sebaliknya dialihkan kepada pihak kerajaan dan entiti perniagaan.
· Menyokong penggubalan undang-undang untuk menguatkuasakan ikrar kerajaan persekutuan untuk mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara di bawah litupan hutan.
· Memasukkan ikrar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus Malaysia di bawah litupan hutan, ke dalam Sumbangan Yang Ditentukan Secara Nasional (Nationally Determined Contribution, NDC) pada tahun ini, selaras dengan Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim, Perjanjian Paris, Perenggan 33 Laporan Penilaian Global Pertama, dan Deklarasi Pemimpin Glasgow Mengenai Hutan dan Guna Tanah.
Kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi
· Mengiktiraf dan memahami bahawa ladang kelapa sawit dan ladang hutan adalah tidak sama dengan hutan semula jadi dari segi biodiversiti, penyimpanan karbon, dan ketersediaan sumber hutan untuk masyarakat tradisional.
· Menghadkan keluasan lesen ladang hutan (LPF), sebagaimana kementerian telah menghadkan keluasan ladang kelapa sawit di seluruh Malaysia.
o Had ini perlu selaras dengan matlamat kerajaan persekutuan untuk mengekalkan 50 peratus tanah negara di bawah litupan hutan;
o Membangunkan mekanisme yang mencukupi dan berkesan bagi menguatkuasakan had ini, serta had ke atas ladang kelapa sawit.
· Menjadikan pensijilan MTCS, MC&I, SFM dan rantaian jagaan (chain of custody) sebagai wajib bagi semua konsesi pembalakan dan lesen ladang hutan, serta semua kilang papan, sebagaimana pensijilan MSPO telah diwajibkan ke atas semua ladang kelapa sawit dan kilang minyak sawit.
· Melaksanakan hukuman di peringkat persekutuan yang bersifat pencegahan bagi syarikat-syarikat yang melanggar standard MTCS dan MSPO, termasuk denda dan pendakwaan.
Kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam
· Menugaskan satu kajian mengenai tanah hutan yang terbiar dan terdegradasi di seluruh tanah persekutuan Malaysia, dan membangunkan pelan bersama kementerian lain, kerajaan negeri, masyarakat Orang Asal dan komuniti luar bandar untuk memulihkan hutan terdegradasi tersebut.
Kepada Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC)
· Menyemak semula Indikator 2.2.1 MC&I SFM bagi Kriteria 2.2 untuk melindungi hak milik tanah adat walaupun komuniti tidak memiliki hak milik rasmi ke atas tanah adat mereka.
· Mengekalkan satu pangkalan data dalam talian yang boleh diakses orang awam bagi semua pensijilan MC&I SFM dan rantaian jagaan, termasuk status semasa, serta menyediakan laporan penilaian impak alam sekitar dan sosial serta audit yang dijalankan untuk pengesahan dan pengesahan semula.
· Menetapkan suatu ambang piawaian (standardized threshold ) bagi bilangan dan jenis ketidakpatuhan yang akan membawa kepada penggantungan atau penarikan sijil di bawah MTCS.
· Mengenal pasti ketidakpatuhan serius yang akan menyebabkan penggantungan serta-merta sijil, termasuk pengubahan sempadan lesen, pembalakan di luar kawasan yang diluluskan, penebangan di kawasan tadahan air, tiada perbincangan dengan masyarakat atau dibuat dengan cara yang tidak betul, serta kegagalan memperoleh persetujuan bebas, awal (terdahulu) dan dimaklumkan (FPIC).
· Mewajibkan SIRIM, Control Union dan mana-mana badan pensijilan lain yang diberi kuasa untuk menjalankan audit berkaitan standard MTCC agar menerbitkan garis panduan dan dasar mereka.
· Menubuhkan sebuah tabung “escrow” yang diurus oleh MTCC dan dibiayai melalui bayaran pensijilan oleh syarikat-syarikat yang diperakui, untuk dijadikan bayaran pampasan kepada juruaudit.
· Memastikan audit sosial tidak dibuat hanya berdasarkan maklumat yang diberikan oleh syarikat yang sedang dinilai.
· Menginstitusikan, menerbitkan dan menyebarluaskan kepada komuniti yang terkesan oleh konsesi yang diperakui MTCC, dasar-dasar yang diamalkan oleh konsesi berkaitan, bagi memastikan maklum balas dan tindakan yang pantas boleh dibuat oleh komuniti terkesan apabila aduan dikemukakan.
Kepada Zedtee Sdn Bhd
· Menarik balik aduan kepada Jabatan Hutan Sarawak yang menuntut komuniti Rumah Jeffery diusir.
· Mengeluarkan kawasan Rumah Jeffery daripada Unit Pengurusan Hutan (FMU) Anap Muput dan Kawasan Pengurusan Anap Belawit LPF/0039, dan akur dengan sempadan yang dipetakan oleh komuniti tersebut.
· Mengeluarkan semua tanah adat daripada FMU Anap Muput dan Kawasan Pengurusan Anap Belawit LPF/0039.
· Menyediakan perkhidmatan yang perlu kepada komuniti Rumah Jeffery, selaras dengan piawaian MTCS yang mewajibkan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti yang tinggal bersebelahan dengan konsesi pembalakan. Perkhidmatan ini termasuklah penyelenggaraan jalan masuk dan pemasangan saluran paip air.
· Memberikan pampasan kepada ahli komuniti Rumah Jeffery rentetan aktiviti pembalakan yang telah berlaku di wilayah mereka.
Kepada Kesatuan Eropah
· Memastikan pelaksanaan Peraturan Kesatuan Eropah mengenai Produk Bebas Pemusnahan Hutan (EUDR) patuh pada garis masa dan dilaksanakan dengan tegas, termasuk mematuhi jadual penguatkuasaan sedia ada serta mengguna pakai undang-undang pelaksanaan yang menjamin sistem penanda aras risiko yang mantap.
· Melabelkan Sarawak sebagai kawasan berisiko tinggi di bawah sistem penanda aras risiko EUDR, kecuali, dan sehinggalah Malaysia melaksanakan pembaharuan yang benar-benar serius bagi memelihara hutan asli yang tumbuh secara semula jadi—yang tidak sama dan jauh berbeza berbanding ladang pokok—serta menerapkan UNDRIP ke dalam undang-undang domestik yang boleh dikuatkuasakan.
· Mendesak pihak berkuasa Malaysia agar mewujudkan mekanisme pengesanan berkesan di peringkat persekutuan bagi produk kayu, mengehadkan dan memulihkan semula segala pemusnahan hutan, serta menghormati hak-hak masyarakat Orang Asal dalam semua rundingan membabitkan perdagangan dua hala, hak asasi manusia, dan berkaitan alam sekitar, termasuk di peringkat tertinggi; serta menawarkan sokongan kewangan dan pemindahan pengetahuan bagi usaha-usaha ini.
· Menawarkan sokongan kewangan dan teknikal kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk menjalankan pengukuran tanah Orang Asal secara proaktif.
· Menawarkan sokongan kewangan dan teknikal secara langsung kepada kumpulan Orang Asal untuk memelihara dan melindungi wilayah nenek moyang mereka.
Kepada Kementerian Peralihan Ekologi dan Perpaduan Wilayah Perancis (Ministère de la Transition écologique et de la cohésion des territoires)
· Mengarahkan Suruhanjaya Agung bagi Pembangunan Mampan (Commissariat général au développement durable), sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan EUDR, supaya menjalankan pemeriksaan terhadap pelet kayu dan produk kayu lain yang berasal dari Sarawak untuk menilai pematuhan terhadap EUDR.
Kepada Kementerian Pertanian, Perikanan, Jaminan Makanan dan Alam Semula Jadi Belanda (Ministerie van Landbouw, Visserij, Voedselzekerheid en Natuur)
· Mengarahkan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan dan Produk Pengguna Belanda (Nederlandse Voedsel-en Warenautoriteit), sebagai pihak berkuasa yang berkeupayaan untuk menguatkuasakan EUDR, agar menjalankan pemeriksaan terhadap pelet kayu dan produk kayu lain dari Sarawak bagi menilai pematuhan terhadap EUDR.
Kepada Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat
· Mengarahkan Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar berkaitan Pindaan Akta Lacey 2008 agar menjalankan pemeriksaan terhadap produk kayu dari Sarawak untuk menilai pematuhan terhadap keperluan undang-undang tersebut.
Kepada Kongres Amerika Syarikat
· Meluluskan Akta Pemerkasaan Kedaulatan Undang-undang dan Perdagangan Alam Sekitar Sejagat atau FOREST Act (Fostering Overseas Rule of Law and Environmentally Sound Trade Act).
Kepada Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun (農林水産省, Nōrin-suisan-shō)
· Bekerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan untuk meminda Akta Kayu Bersih (Clean Wood Act) serta ordinan dan dasar-dasar asas berkaitan bagi memastikan pengendali ekonomi diwajibkan—bukan sekadar digalakkan—untuk menjalankan penilaian wajar (due diligence) terhadap kesahan produk kayu, menyediakan garis panduan tentang cara menilai dan mengurangkan risiko, mewajibkan syarikat untuk memastikan kebolehkesanan ke titik asal kayu ditebang, dan meningkatkan penalti supaya cukup ampuh untuk mencegah ketidakpatuhan.
· Meningkatkan tahap pemeriksaan terhadap import produk kayu dari Sarawak.
Penghargaan
Human Rights Watch merakamkan penghargaan kepada ahli komuniti Rumah Jeffery yang begitu berani berkongsi kisah mereka dan terus-menerus berjuang untuk mendapatkan kembali hak adat ke atas tanah dan hutan mereka. Human Rights Watch turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), yang mana kakitangannya telah memberikan pandangan bernilai kepada laporan ini berdasarkan kepakaran mereka yang telah sekian lama diperakui membabitkan hak tanah adat serta usaha mereka menjalankan pemetaan komuniti bagi wilayah Orang Asal. Human Rights Watch juga amat berterima kasih kepada SAVE Rivers dan The Borneo Project atas perkongsian kepakaran mereka berkenaan sistem pensijilan Malaysia, serta kepada Junichi Mishiba dari Friends of the Earth Japan atas perkongsian pengetahuan beliau yang cukup bernas mengenai Akta Kayu Bersih Jepun.
Laporan ini ditulis oleh Luciana Téllez Chávez, penyelidik kanan dalam bidang alam sekitar dan hak asasi manusia di Human Rights Watch, dan Matthew Reysio-Cruz, pembantu penyelidik dan mantan felo Finberg di Human Rights Watch. Laporan ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan secara bersama oleh Téllez Chávez dan Reysio-Cruz, dengan panduan daripada pakar geospatial SADIA, Matek Geram dan Nicholas Mujah. Analisis geospatial dalam laporan ini telah dijalankan oleh Carolina Jordá Álvarez dan Léo Martine, penganalisis kanan geospatial di Makmal Siasatan Digital Human Rights Watch.
Laporan ini telah disemak dan disunting oleh Richard Pearshouse, Pengarah Alam Sekitar dan Hak Asasi Manusia; Bryony Lau, Timbalan Pengarah Asia; Jim Wormington, Pengarah Kanan Keadilan Ekonomi dan Hak Asasi Manusia; Juliana Nnoko-Mewanu, Penyelidik Kanan Hak Wanita; Sam Dubberley, Pengarah Teknologi, Hak dan Siasatan; Claudio Francavilla, Pengarah Kanan Advokasi Kesatuan Eropah; serta Teppei Kasai, Pegawai Asia; semuanya dari Human Rights Watch. Sari Bashi, bekas pengarah program, dan James Ross, pengarah undang-undang dan dasar, masing-masing telah memberikan semakan programatik dan undang-undang.