Skip to main content
Indigenous groups protest deforestation of their ancestral rainforests in Miri, Sarawak, October 2020. © 2020 The Borneo Project

(Miri, 17 Mac, 2025) – Malaysia perlu segera bertindak bagi memperkukuh cadangan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia dengan memastikan peruntukan utama dalam pelan tersebut dapat dikuatkuasakan, begitu menurut gabungan tiga kumpulan masyarakat Orang Asal, hak asasi manusia, dan alam sekitar hari ini dalam respons mereka terhadap draf pelan kerajaan Malaysia. Keutamaan penting adalah memastikan komitmen domestik dan antarabangsa yang dijanjikan Malaysia bagi menghentikan dan memulihkan semula kemusnahan hutan, menangani perubahan iklim serta menghormati hak asasi manusia, ditunaikan.

Draf pelan tersebut menyenaraikan cadangan pembaharuan bagi mengatasi isu rasuah, hak pekerja, dan kesan alam sekitar yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perdana Menteri menerusi penggubalan undang-undang dan dasar kerajaan, serta langkah-langkah untuk mendorong sektor perniagaan untuk menyelaraskan amalan mereka agar selari dengan piawaian hak asasi manusia di peringkat antarabangsa. Setakat hari ini, pelan tersebut mencadangkan pelbagai langkah positif untuk mencapai matlamat tersebut, namun, tanpa reformasi undang-undang yang digubal serentak dengan pelaksanaan pelan ini, semua komitmen itu tidak akan dapat dikuatkuasakan.

“Kita sudah ada banyak contoh di mana sektor korporat memberikan komitmen secara sukarela, namun ia langsung tidak memberikan perlindungan sebenar kepada pembela hak alam sekitar dan hak masyarakat Orang Asal serta penempatan mereka,” kata Celine Lim, pengurus SAVE Rivers, sebuah organisasi masyarakat Orang Asal yang berpusat di Sarawak. “Kita perlu pada undang-undang yang tegas, kita perlukan tribunal untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut, dan kita perlukan hukuman setimpal terhadap entiti perniagaan bila mereka melanggar undang-undang tersebut.” 

Menurut SAVE Rivers lagi, sepanjang empat dekad sebelum ini, banyak komuniti Orang Asal di seluruh Malaysia tinggal sebatang kara apabila syarikat pembalakan dan kelapa sawit merampas penempatan mereka tanpa dikenakan sebarang hukuman. Bahkan, menurut SAVE Rivers lagi, baru-baru ini, pihaknya turut berdepan gangguan kehakiman (judicial harassment) daripada sebuah syarikat pembalakan besar di Malaysia hanya kerana mendedahkan kegiatan pembalakan di tanah kediaman Orang Asal tanpa persetujuan masyarakat setempat.

Menurut draf pelan tersebut, kerajaan komited untuk “melaksanakan” Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal. Namun, Malaysia wajar bertindak lebih tegas dengan menggubal undang-undang persekutuan bagi membolehkan penguatkuasaan komitmen tersebut, kata kumpulan ini. Undang-undang tersebut perlu mengkodifikasikan hak masyarakat Orang Asal untuk memberikan persetujuan bebas, awal, dan dimaklumkan (free, prior, and informed consent) dalam undang-undang Malaysia serta perlu merangkumi langkah-langkah di peringkat negeri bagi memastikan penguatkuasaannya dijalankan dengan menyeluruh dan tegas. 

Malaysia juga perlu meratifikasi Konvensyen No.169 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Masyarakat Orang Asal dan Suku Kaum. Negeri Sarawak berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia — Sarawak tidak mewajibkan penyertaan orang awam dalam penyediaan penilaian kesan sosial dan alam sekitar — maka ia wajar menguatkuasakan amalan tersebut.

Dalam pada itu, suatu kemajuan yang signifikan ialah draf tersebut menandakan sokongan Perdana Menteri terhadap penggubalan undang-undang persekutuan tentang kebebasan maklumat dan perlindungan pemberi maklumat daripada ugutan serta gangguan kehakiman. 

Akta kebebasan maklumat perlu memastikan akses orang awam kepada maklumat berkaitan kesan alam sekitar, khususnya kepada komuniti yang terjejas oleh aktiviti perniagaan dan projek tajaan kerajaan, sentiasa terjamin. Tambahan lagi, menurut gabungan ini, orang awam perlu diberikan akses kepada penilaian kesan sosial dan alam sekitar, peta konsesi tanah, kajian kawasan penempatan Orang Asal, dan gambar udara yang sering digunakan dalam mahkamah di Malaysia, tanpa sebarang sekatan.

Sementara itu, rang undang-undang untuk melindungi pemberi maklumat daripada gangguan kehakiman haruslah melarang tindakan undang-undang yang menyusahkan, berniat jahat, atau remeh terhadap wartawan dan pembela hak asasi manusia, yang lazimnya dikenali sebagai Litigasi Strategik terhadap Penyertaan Awam (Strategic Litigation Against Public Participation, SLAPP). Tindakan undang-undang sebegini sering digunakan sebagai alat untuk menyekat kebebasan bersuara atau menghalang penyertaan awam dalam isu yang berkepentingan umum.

Seperti yang disarankan oleh Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan hak berpersatuan, negara dunia harus menggubal undang-undang yang membenarkan penolakan awal terhadap tindakan undang-undang sebegini, iaitu dengan memberikan anugerah kos dan langkah-langkah lain kepada pihak yang terjejas, sebagai langkah mencegah dan menghukum penyalahgunaan sistem kehakiman. Kerajaan juga perlu memansuhkan undang-undang fitnah sebagai jenayah di Malaysia, yang digunakan sebagai alat perundangan untuk mengganggu pembela hak asasi manusia dan golongan wartawan.

"Dari dulu lagi, kami sudahpun menyaksikan komitmen yang berpotensi, namun akhirnya gagal disebabkan penguatkuasaan yang lemah," begitu menurut Jettie Word, pengarah eksekutif The Borneo Project, sebuah kumpulan bukan berasaskan keuntungan yang memperjuangkan kelestarian hutan hujan dan hak masyarakat Orang Asal di Sarawak. "Komitmen yang berjaya bergantung pada pelaksanaan dan penguatkuasaan yang tegas dan ampuh."

Sementara itu, perlembagaan Malaysia memberikan bidang kuasa kepada kerajaan negeri dalam pengurusan tanah dan hutan. Akan tetapi, yang mengawal selia industri ialah kerajaan persekutuan. Sebagai contoh, Kementerian Perladangan dan Komoditi mewajibkan semua ladang kelapa sawit dan kilang minyak sawit mendapatkan pensijilan di bawah piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia. Piawaian tersebut mensyaratkan perundingan dengan masyarakat Orang Asal dan melarang penukaran hutan semula jadi kepada ladang kelapa sawit selepas tahun 2019. Kementerian itu juga menetapkan had maksimum ladang kelapa sawit pada jumlah keseluruhan 6.5 juta hektar di seluruh negara.

Susulan itu, gabungan kumpulan ini menggesa kerajaan persekutuan untuk menetapkan had ke atas ladang kayu di peringkat nasional, selaras dengan matlamatnya untuk mengekalkan 50 peratus kawasan tanah dilitupi hutan dan memastikan had tersebut dikuatkuasakan dengan tegas. Selain itu, kerajaan harus mewajibkan semua konsesi mendapatkan akreditasi di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia. Langkah-langkah ini boleh dimasukkan ke dalam pelan tindakan, kemudian dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi. Hal ini kerana, menurut analisis oleh organisasi alam sekitar Malaysia, RimbaWatch, ladang kayu akan menjadi penyebab utama kemusnahan hutan di Malaysia, kecuali jika berlaku perubahan dasar yang mampu menghentikannya.

Kerajaan persekutuan juga perlulah bekerjasama dengan setiap negeri untuk mewujudkan mekanisme bagi menuntut akauntabiliti syarikat, termasuk pembatalan permit ke atas pesalah dan penguatkuasaan moratorium yang wajib dipatuhi sebelum diberikan permit baharu.

“Malaysia bertanggungjawab untuk melindungi hak asasi manusia, dan ini termasuklah penggubalan undang-undang bagi mengawal selia perniagaan dan mengurangkan perubahan iklim,” kata Luciana Téllez Chávez, penyelidik kanan alam sekitar dan hak asasi manusia di Human Rights Watch. “Draf Sifar yang dirangka oleh kerajaan persekutuan adalah langkah positif untuk dijadikan asas setiap dasar dalam sektor ini, justeru, kami menggesa Jabatan Perdana Menteri untuk bertindak lebih baik dengan memastikan komitmen ini diterjemahkan kepada penambahbaikan yang terang lagi nyata, khususnya untuk masyarakat yang terkesan secara langsung akibat kemusnahan hutan.”

Kumpulan-kumpulan berikut termasuk dalam gabungan ini:

SAVE Rivers, The Borneo Project, Human Rights Watch, dan KERUAN

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country