- Kerajaan Malaysia ketika ini menahan kira-kira 12,000 warga migran dan pelarian, termasuklah 1,400 kanak-kanak dalam keadaan berisiko tinggi, yakni, terdedah kepada penderaan fizikal dan tekanan psikologi.
- Sistem penahanan imigresen Malaysia yang zalim dan memalukan, yang memperlakukan warga migran dan orang pelarian seolah-olah mereka itu penjenayah, telah menafikan hak mereka untuk hidup bebas, sihat dan mendapat proses sewajarnya.
- Sepatutnya, Malaysia perlu membangunkan kaedah alternatif selain penahanan, kerana ini akan menjadikan sistem imigresen lebih jimat kos, lebih cekap dan berperikemanusiaan.
(Kuala Lumpur) - Kerajaan Malaysia ketika ini menahan kira-kira 12,000 warga migran dan orang pelarian, termasuk 1,400 kanak-kanak dalam keadaan berisiko tinggi, yakni, mereka terdedah kepada penderaan fizikal dan psikologi, begitu menurut laporan yang diterbitkan oleh Human Rights Watch hari ini.
Laporan dengan 60 halaman bertajuk, “We Can’t See the Sun’: Malaysia’s Arbitrary Detention of Migrants and Refugees” (Kami Tak Dapat Lihat Matahari: Penahanan Orang Migran dan Pelarian secara Arbitrari oleh Malaysia) mendedahkan layanan bersifat punitif dan zalim oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap warga migran dan pelarian di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh negara. Tahanan imigresen terperuk berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya dalam keadaan yang penuh sesak, tidak bersih, didera dan dizalimi pengawal imigresen, tanpa sebarang pemantauan domestik atau antarabangsa.
“Pihak berkuasa Malaysia melayan warga migran seolah-olah mereka ini penjenayah, menahan mereka secara arbitrari untuk tempoh yang lama di pusat tahanan imigresen, dan mereka hampir langsung tidak dapat melihat dunia luar,” ujar Shayna Bauchner, penyelidik Asia di Human Rights Watch. “Sistem penahanan imigresen Malaysia yang zalim dan memalukan telah menafikan hak warga migran dan orang pelarian untuk hidup bebas, sihat dan mendapat proses sewajarnya.”
Human Rights Watch telah menemu bual lebih 40 orang, termasuk bekas tahanan imigresen, ahli keluarga mereka, peguam, staf bantuan kemanusiaan, serta bekas pegawai imigresen.
Di bawah undang-undang Malaysia, orang yang masuk dan menetap di negara ini tanpa izin semuanya dianggap penjenayah, tanpa membezakan antara orang pelarian, pemohon suaka, mangsa pemerdagangan manusia, dan migran tanpa dokumen. Bahkan, undang-undang Malaysia juga tidak memperuntukkan had tempoh bagi tahanan imigresen, justeru, tiada kepastian bila orang tahanan akan dibebaskan. Lebih 45,000 warga migran yang memasuki Malaysia tanpa izin telah ditahan oleh pihak berkuasa sejak Mei 2020.
Bekas tahanan turut menceritakan kehidupan yang serba sukar dan teraniaya ketika berada di pusat tahanan imigresen yang disebut depoh, dengan makanan dan bekalan penjagaan kebersihan yang terhad, bekalan air kerap tiada, peraturan yang ketat dan tidak menentu, dan mereka sentiasa digertak. “Kami dipukul jika kami meminta makanan tambahan, membawa air tambahan dalam bekas untuk mandi, atau meminta selimut jika sejuk,” menurut seorang warga pelarian Rohingya yang pernah ditahan di depoh imigresen Belantik.
Orang tahanan juga perlu hadir untuk pemeriksaan kehadiran (muster call) atau “roll call” beberapa kali sehari. Setiap pemeriksaan berkumpulan ini boleh mengambil masa beberapa jam, dan sepanjang tempoh tersebut, orang tahanan perlu berdiam diri, menundukkan kepala ke bawah dan tidak bergerak, biarpun jika mereka ingin menggunakan tandas. “Jika kami bersuara sedikit pun, kami akan dihukum, seperti menekapkan diri ke dinding, tekan tubi, mencangkung, berjalan seperti itik, atau berdiri di bawah matahari yang terik untuk beberapa jam,” kata seorang wanita Indonesia yang sedang ditahan di depoh imigresen Tawau.
Orang migran ditahan tanpa sebarang semakan kehakiman atau mekanisme untuk merayu ke atas penahanan mereka. Perbuatan kerajaan Malaysia yang menahan warga migran untuk tempoh yang panjang, tanpa pemantauan kehakiman seperti ini melanggar undang-undang hak asasi antarabangsa yang melarang penahanan secara arbitrari.
Layanan buruk dan pengabaian rawatan kesihatan telah mengakibatkan beratus-ratus kematian di pusat tahanan imigresen dalam tahun-tahun kebelakangan, begitu menurut data kerajaan dan testimoni saksi. Seorang pekerja migran menceritakan bagaimana pegawai menzaliminya serta tiga belas orang lain berhari-hari setelah cubaan mereka untuk melarikan diri. Mereka dipukul dengan batu bata dan batang kayu, dan dada mereka dipijak. Dua daripada orang tahanan terbabit mati rentetan kejadian tersebut.
Dasar dan amalan antimigran serta retorik bersifat xenofobia semakin meningkat di Malaysia dalam tahun-tahun kebelakangan.
Kerajaan Malaysia telah menafikan akses kepada agensi perlindungan pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNHCR, untuk memasuki pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019, dan ini menyebabkan agensi tersebut tidak dapat membuat sebarang penilaian ke atas permohonan suaka atau melindungi tahanan yang didaftarkan sebagai orang pelarian. Malah, Malaysia masih belum meratifikasi Konvensyen Pelarian dan tidak memiliki sebarang rangka kerja undang-undang atau prosedur bagi menentukan status orang pelarian dan menyediakan pengiktirafan dan perlindungan untuk pemohon suaka.
Orang pelarian dan pemohon suaka yang ditahan menyebut bahawa pegawai imigresen menggertak, menghina dan menggunakan keganasan terhadap mereka bagi menyekat permintaan mereka untuk bertemu dengan UNHCR, atau untuk memaksa mereka pulang ke negara asal. Sewaktu seorang warga etnik Chin yang berdaftar dengan UNHCR serta orang pelarian lain di depoh Ajil melakukan protes susulan disekat daripada bertemu UNHCR dan digertak dengan deportasi, pengawal imigresen telah bertindak memukul mereka. “Kami dibawa keluar, lalu tangan dan kaki kami dipukul lima kali dengan dua paip getah yang dilekatkan bersama,” menurutnya. “Kedua-dua paip itu penuh dengan wayar besi. Selepas tiga kali dipukul, saya terus pitam.”
Kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan imigresen turut berdepan penderaan, sama seperti tahanan dewasa, dinafikan rawatan perubatan, tidak diberikan makanan yang cukup, dan turut berdepan kekerasan. Ramai kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.
Penahanan imigresen terhadap kanak-kanak oleh kerajaan Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa. Walaupun kerajaan telah bertahun-tahun berbincang tentang kaedah alternatif terhadap penahanan kanak-kanak – termasuk janjinya kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu –namun ia masih belum menampakkan kemajuan yang ketara.
Kumpulan Petugas Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyeru agar penahanan imigresen dihapuskan secara berperingkat kerana “orang migran tidak boleh digolongkan atau dilayan sebagai penjenayah”, dan penahanan imigresen haruslah digunakan sebagai “langkah terakhir dalam keadaan tertentu sahaja, untuk tempoh paling pendek, dan hanya untuk tujuan yang sah, antaranya, merekodkan kemasukan atau mencatat sebarang dakwaan, atau untuk mengesahkan identiti seseorang bila timbul keraguan.”
Kerajaan Malaysia juga harus mengurangkan kebergantungannya pada penahanan imigresen dan bergerak ke arah pemansuhan secara menyeluruh, ujar Human Rights Watch. Pihak berkuasa harus berhenti menahan orang pelarian, kanak-kanak, mangsa pemerdagangan, dan warga migran rentan yang lain atas sebab-sebab berkait dengan imigresen.
Sebaliknya, kerajaan harus melaksanakan alternatif kepada penahanan menggunakan kaedah berasaskan komuniti yang bukan hanya mampu mencegah penahanan imigresen yang zalim dan tidak perlu, bahkan mampu menjadikan sistem imigresen lebih berkesan dari segi kos, lebih cekap dan berperikemanusiaan.
“Malaysia harus mempertimbangkan secara serius langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh negara-negara lain bagi menguruskan matlamat imigresen dengan lebih baik,” ujar Bauchner. “Adalah lebih baik untuk kerajaan membangunkan alternatif yang dapat melindungi hak kanak-kanak, orang pelarian dan warga migran rentan yang lain berbanding pusat tahanan yang penuh kekerasan.”