Kumpulan kerja Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sepatutnya menampakkan kesungguhan mereka untuk mengadakan sesi libat sama dengan masyarakat sivil sekiranya ia benar-benar mahu memperoleh sebuah deklarasi hak alam sekitar yang efektif. Kumpulan tersebut menyambung pendrafan deklarasi di Kuala Lumpur, Malaysia hari ini.
Kumpulan kerja ini telah menerbitkan drafnya yang pertama pada Mac 2024 – dan setakat ini, satu-satunya versi draf deklarasi tersebut, disusuli pengumuman untuk mendapatkan komen orang awam. Pada April, Human Rights Watch telah menghantar maklum balas untuk mengutarakan kebimbangan lantaran draf tersebut tidak memberikan perlindungan sewajarnya kepada orang Asal, serta gagal memasukkan peruntukan terhadap akauntabiliti korporat serta aspek mobiliti berkaitan iklim - iaitu kesan perubahan iklim yang memaksa penduduk berpindah.
Bahkan, kumpulan-kumpulan alam sekitar dan hak asasi manusia lain di rantau ini juga turut menghantar aduan yang sama bertujuan memperbaiki draf tersebut. Sebagai contoh, pada April, Pakatan Orang Asal Asia, yang mempunyai 46 ahli di seluruh Asia, memaklumkan bahawa proses pendrafan deklarasi tersebut langsung tidak menampilkan wakil orang Asal. Ia turut menyuarakan kebimbangan kerana draf itu sudah siap dirangka ketika kumpulan kerja tersebut bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan. Perbuatan ini merupakan satu pelanggaran hak mendapatkan informasi, yang bertentangan dengan janji deklarasi tersebut.
Setelah itu, kumpulan kerja ini berkumpul semula di Jakarta, Indonesia pada Mei, untuk mengambil kira cadangan orang awam. Akan tetapi, sehingga hari ini, ia masih belum menerbitkan versi baharu deklarasi tersebut. Bahkan, ia juga belum menerbitkan senarai aduan yang dihantar oleh kumpulan-kumpulan masyarakat sivil sedangkan ia telah berjanji untuk mendedahkan semua hantaran tersebut agar dapat diakses menerusi laman Asia-Pacific Environmental Rights Observatory.
Selain itu, berita mengenai garis panduan yang dicadangkan di Filipina, bagi memudahkan pihak syarikat melakukan kerja-kerja di tanah orang Asal tanpa persetujuan bebas, awal, dan termaklum membuktikan betapa perlindungan hak alam sekitar yang lebih tegas diperlukan. Kajian Human Rights Watch di Indonesia, Malaysia, dan di tempat lain juga menunjukkan bahawa tanah yang sudah diwarisi turun-temurun oleh orang Asal sering dirampas daripada mereka.
Sesudah persidangan minggu ini, kumpulan kerja tersebut harus menerbitkan versi terkini deklarasi dan membuka peluang untuk mendengar rungutan daripada komuniti yang terjejas akibat kemusnahan alam sekitar. Ia tidak sepatutnya mengemukakan deklarasi untuk diterima pakai sehinggalah semua pihak berkepentingan sudah benar-benar berpeluang mempertimbangkan sama ada deklarasi tersebut menangani kebimbangan yang disuarakan oleh pihak yang paling terkesan daripada isu alam sekitar di rantau ASEAN.