(Jakarta) – Pilihanraya umum Malaysia pada November 2022 mengakhiri tahun yang sarat dengan penindasan, pelanggaran hak warga rentan dan ketidakstabilan politik di Malaysia, begitu menurut Human Rights Watch hari ini dalam laporannya, World Report 2023.
Di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, pihak berkuasa mengekang kebebasan bersuara dan protes aman secara agresif, bahkan turut memperhebat diskriminasi dan ancaman terhadap orang pelarian, migran dan warga lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Kerajaan baharu Malaysia harus memanfaatkan kemenangannya sebagai landasan untuk mengakhiri pelanggaran hak asasi, dan perlu melaksanakan reformasi bagi memperkukuh hak asasi secara mampan,” ujar Phil Robertson, penolong pengarah Human Rights Watch bagi rantau Asia. “Kerajaan baharu wajar memberikan komitmen untuk memansuhkan hukuman mati, menarik semula sekatan ke atas hak bersuara dan mengakhiri segala bentuk pelanggaran hak orang pelarian dan LGBT.”
Dalam edisi ke-33 laporan dunia Human Rights Watch (World Report 2023) dengan 712 halaman, ia menyemak amalan hak asasi untuk hampir 100 negara. Dalam kata pengantarnya, pemangku Pengarah Eksekutif Tirana Hassan berkata, pengaruh global sudah berganjak sehingga tidak mungkin lagi untuk kita berharap hanya kepada sekelompok kecil negara-negara Utara Global untuk mempertahankan hak asasi manusia. Kita melihat betapa mobilisasi negara-negara lain terhadap perang Rusia di Ukraine menyerlahkan potensi luar biasa apabila negara-negara ini merealisasikan tanggungjawab mereka pada skala global. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap negara, besar mahupun kecil, untuk menerapkan rangka kerja hak asasi dalam polisi masing-masing, sekali gus bekerjasama demi melindungi dan mengangkat agenda hak asasi manusia.
Pilihanraya umum yang menyaksikan pertarungan sengit parti-parti yang bertanding disudahi dengan parlimen tergantung sehingga mencetuskan kegelisahan rakyat. Setelah seminggu, Yang Dipertuan Agong Malaysia akhirnya berkenan menerima Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah pada 24 November sebagai Perdana Menteri ke-10. Anwar Ibrahim yang pernah merengkok 10 tahun di penjara angkara tuduhan bermotifkan politik, dan selepas perjuangan politik selama tiga dekad, telah berjanji mahu menghapuskan rasuah dan ketidaksamaan.
Sepanjang tahun ini, pihak berkuasa Malaysia sering mengancam, menggertak dan menangkap aktivis dan pengkritik kerajaan secara arbitrari dengan menggunakan beberapa undang-undang yang tafsirannya kabur dan tidak jelas, semata-mata untuk menghukum kebebasan bersuara. Kebebasan media turut diancam. Polis kerap kali mendera suspek dalam tahanan dan menggunakan perundangan bersifat restriktif untuk menahan orang tanpa perbicaraan. Biarpun kerajaan sebelum ini membentangkan pindaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, pindaan tersebut tidak dapat diluluskan kerana parlimen dibubarkan untuk pilihanraya umum.
Kira-kira 185,000 orang pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), akan tetapi, Malaysia tidak memberikan mereka status sah dari aspek undang-undang atau kebenaran bekerja. Bermula Ogos 2019, kerajaan menafikan akses kepada UNHCR untuk memasuki pusat tahanan imigresen. Dari April hingga Oktober, jabatan imigresen mendeportasi lebih 2,000 warga Myanmar, termasuklah bekas tentera, tanpa menilai terlebih dahulu tuntutan suaka serta perlindungan sewajarnya untuk mereka.
Diskriminasi terhadap warga LGBT yang disokong kerajaan negeri masih berleluasa di Malaysia, termasuklah amalan “conversion” yang merupakan usaha untuk menukar orientasi seksual dan identiti gender warga LGBT. Pihak berkuasa turut menjadikan warga transgender sasaran dalam serbuan mereka, menyerbu pelbagai acara dan program bertujuan mengangkat hak LGBT, bahkan turut menapis muzik dan filem yang mengetengahkan kehidupan warga LGBT.
Selain itu, pihak berkuasa negeri dan persekutuan membina penjana hidroelektrik di tanah adat orang Asli sehingga mengancam tempat tinggal komuniti orang Asli dan tanah nenek-moyang mereka, menggugat punca pencarian hidup dan akses mereka kepada air dan sumber makanan bersih. Kerajaan negeri Sabah pula masih berahsia tentang perjanjian jual beli karbon yang dibuat tanpa sebarang proses konsultasi dengan kelompok masyarakat yang terkesan secara langsung akibat urus niaga tersebut.