Sewaktu Kabinet Malaysia mengumumkan hasrat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bersabit beberapa kesalahan dadah, ramai pihak bersorak. Akan tetapi, sejarah menunjukkan bahawa kegembiraan ini hanyalah sementara. Pihak berkuasa Malaysia sudah sekian lama menggembar-gemburkan pemansuhan hukuman mati mandatori, seawal 2015, namun sehingga hari ini mereka belum berbuat apa-apa. Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia menghentikan omong kosong ini dan mula bertindak.
Ketika ini, hakim di Malaysia diwajibkan untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas sesiapa sahaja bagi sabitan kesalahan “mengedar” dadah – seseorang itu dianggap mengedar dadah jika didapati dalam miliknya suatu jumlah melebihi jumlah minimum. Pada bulan November 2015, Nancy Shukri yang pada ketika itu merangkap menteri undang-undang menyebut, beliau berhasrat untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi memansuhkan hukuman mati mandatori seawal Mac 2016. Tiada apa pun yang berlaku sesudah itu.
Pada bulan Mac tahun ini, Azalina Othman yang menggantikan Nancy susulan penyusunan semula portfolio kabinet mengumumkan, kabinet akan “mengkaji semula” hukuman mati mandatori. Malah, tambahnya lagi, beliau mengarahkan peguam negara untuk menyediakan cadangan pindaan secepat mungkin untuk pertimbangan dan kelulusan oleh Parlimen. Sekali lagi, tiada tindakan yang diambil. Minggu ini, Dewan Rakyat telah bersidang di Kuala Lumpur, tetapi kerajaan tidak juga meminda hukuman mati mandatori. Sebaliknya, dalam jawapannya kepada soalan yang diajukan di Parlimen, Azalina menyatakan bahawa kabinet sudah “bersetuju” memansuhkan hukuman mati mandatori bersabit beberapa kesalahan dadah. Persoalannya, mengapa belum dimansuhkan lagi? Mengapa mengambil masa terlalu lama?
Perubahan yang diminta hanyalah sekadar meminda Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dengan tujuan memberi ruang budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman dalam beberapa kes. Pindaan ini hanyalah sekilas daripada perubahan keseluruhan yang diperlukan, namun ia merupakan hala tuju yang tepat dan akan menjadi aras pembeza yang signifikan bersabit hukuman atas kesalahan dadah berbanding hukuman di negara-negara Asia Tenggara yang lain, khususnya Filipina dan Indonesia, yang terang-terangan semakin melanggar hak asasi manusia.
Justeru, kerajaan Malaysia harus menghentikan semua sandiwara ini dan sebaliknya memberi komitmen yang kukuh untuk membawakan undang-undang baharu pada sesi Parlimen akan datang. Pindaan wajar dilakukan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bersabit semua kesalahan dadah – bukannya untuk beberapa kesalahan tertentu sahaja. Seiring dengan pindaan terhadap dasar ini, kerajaan juga wajar mengenakan moratorium ke atas semua hukuman gantung yang belum dilaksanakan, dan bertindak pantas untuk memansuhkan semua hukuman mati. Bercakap memang mudah. Buktikanlah dengan tindakan.