Skip to main content

Perogol Mengahwini Mangsa di Malaysia

Lelaki Elak Dakwaan Rogol dengan Mengahwini Mangsa Bawah Umur Secara Paksa

Seorang wanita berjalan melewati sangkar-sangkar burung selepas melintasi sempadan dari Malaysia ke Thailand di Sungai Golok, wilayah selatan Narathiwat, pada 8 Mac 2013. © 2013 Reuters


Mangsa rogol sering mengatakan bahawa mereka menderita trauma yang dahsyat, adakalanya seumur hidup. Seorang wanita, mangsa serangan seksual di Iraq menggambarkan perasaannya: “Ketika ini, masa silam dan masa depan saya telah lenyap. Saya masih terbelenggu dalam kemarahan dan kesakitan saya.”

Bayangkan betapa peritnya kesakitan yang dideritai sekiranya anda dipaksa berkahwin dengan si perogol, tinggal serumah dan setempat tidur bersamanya.

Inilah realiti yang dihadapi sesetengah gadis di Malaysia. Organisasi tempatan mencatat beberapa kes yang menyaksikan lelaki yang merogol gadis bawah umur – termasuk seorang gadis 12 tahun – cuba mengelak dakwaan jenayah rogol dengan mengahwini mangsa.

Perogol dapat mengelak dakwaan kerana merogol dalam perkahwinan bukan jenayah di Malaysia. Walaupun di bawah undang-undang semasa, perogol yang mengahwini mangsa masih boleh didakwa atas jenayah rogol– seperti yang berlaku dalam beberapa kes yang menjadi perhatian ramai – namun, undang-undang ini memudahkan kes rogol disorokkan menerusi perkahwinan. “Ini bukanlah kejadian yang jarang-jarang berlaku,’ menurut seorang pengerusi organisasi bukan kerajaan. “Ini sudah sering terjadi.”

Bahkan, cubaan mengelak dakwaan ini turut dilakukan oleh perogol kanak-kanak kerana undang-undang membenarkan perkahwinan bawah umur.

Walaupun undang-undang sivil Malaysia menetapkan umur minimum 18 tahun untuk berkahwin, undang-undang ini sarat dengan pengecualian. Gadis berusia 16 tahun ke atas boleh berkahwin jika mendapat kebenaran daripada ketua menteri negeri masing-masing. Bagi yang beragama Islam, undang-undang Islam menetapkan umur minimum 16 tahun, tetapi gadis bawah umur tersebut juga boleh berkahwin jika mendapat kebenaran mahkamah Syariah Malaysia.

Undang-undang ini bercanggah dengan kandungan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita yang telah diratifikasi oleh Malaysia. Menurut Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), syarat umur minimum perkahwinan yang sah ialah 18 tahun, tertakluk kepada pengecualian daripada hakim, yang diberikan kepada kanak-kanak matang berumur 16 tahun ke atas dalam keadaan tertentu.

Walaupun pegawai kerajaan Malaysia menyelar perogol yang mengelak dakwaan jenayah menerusi perkahwinan, Malaysia masih enggan menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah. Pada April 2016, badan perundangannya tidak mengendahkan desakan pertubuhan hak asasi agar perkahwinan bawah umur diharamkan. Pada bulan Mei, kerajaan mengakui bahawa lebih 9,000 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berkahwin dalam tempoh lima tahun lepas. Kerajaan mendakwa bilangan ini semakin sedikit tetapi tiada bukti diberikan. Malaysia tergolong antara sebilangan kecil negara di Asia yang tidak mengemukakan perangkaan tahunan perkahwinan bawah umur kepada UNICEF, badan pendanaan PBB.

Gadis dan wanita di Malaysia berhak dilindungi daripada jenayah rogol dan perkahwinan bawah umur. Kerajaan dan badan perundangannya wajar segera meminda undang-undang semasa agar perbuatan dahsyat ini tidak berlaku lagi. 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country