Skip to main content

Penghujahan bertulis daripada Human Rights Watch kepada Jawatankuasa Mengenai Penyingkiran Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita

Ringkasan

Penghujahan berikut memfokuskan isu perkahwinan kanak-kanak, rogol dalam perkahwinan, situasi individu transgender, pekerja domestik dan pendidikan yang berkait dengan Perkara 1, 2, 6, 10, 11, 12, 15 dan 16 di bawah Konvensyen Mengenai Penyingkiran Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (selepas ini dirujuk sebagai “Konvensyen”). Penghujahan berikut mencadangkan beberapa isu dan persoalan yang boleh dibangkitkan oleh Jawatankuasa ini kepada kerajaan Malaysia.
 

Identiti Gender dan Orientasi Seksual (Perkara 1, 2, 10, 11, 12)
Menjadikan Keindividuan Transgender Salah Laku Jenayah

Malaysia tergolong antara segelintir kecil negara dunia yang masih menangkap golongan transgender yang tidak berpakaian seperti yang lazimnya dipakai oleh golongan sejantina dengan mereka. Enakmen Jenayah Syariah Negeri di kesemua 13 negeri termasuk Wilayah Persekutuan melarang “lelaki berlagak seperti perempuan” manakala tiga negeri pula melarang “perempuan berlagak seperti lelaki.” Malah, empat negeri mengesahkan fatwa yang dikeluarkan terhadap “pengkid,” iaitu gelaran bahasa basahan yang digunakan bagi identiti ‘transmaskulin.’

Pada November 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa salah satu enakmen tersebut, iaitu Seksyen 66 Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan, melanggar Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak kehidupan dan kebebasan diri, hak kebebasan daripada diskriminasi gender, hak kebebasan bergerak, hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Akan tetapi, pada Oktober 2015, Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi Malaysia telah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan atas dasar teknikal, kerana plaintif tidak mendapatkan izin mahkamah terlebih dahulu sebelum memfailkan tuntutan keperlembagaan.

Begitu ramai wanita transgender dihukum di bawah enakmen Syariah ini. Pada Jun 2014, pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan menangkap 16 wanita transgender termasuk seorang transgender bawah umur di sebuah majlis perkahwinan di Negeri Sembilan. Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tujuh hari penjara ke atas mereka. Pada Jun 2015, anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan menahan sembilan wanita transgender di sebuah majlis hari jadi; mereka telah dikenakan hukuman denda atau penjara kerana memakai pakaian perempuan. Dalam beberapa kes lain, pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam atau polis dilaporkan memukul wanita transgender atau memeras ugut bagi mendapatkan wang atau khidmat seks daripada tahanan transgender.
 

Kekejaman, Diskriminasi dan HIV

Kekejaman jenayah berunsur kebencian terhadap transgender sering dilakukan sewenang-wenangnya. Pada Februari 2017, Sameera, wanita transgender dibunuh di Kuantan, ibukota Pahang. Polis menahan lima orang lelaki bersabit jenayah tersebut pada awal April. Kesemua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin dan belum dibicarakan sehingga kini. Polis dan beberapa kumpulan transgender percaya pembunuhan Sameera ada kaitan dengan kes penculikan Sameera dua tahun sebelumnya. Dalam kes penculikan yang telah ditetapkan perbicaraannya di mahkamah, dua lelaki dituduh menculik, merogol dan mendera Sameera pada Februari 2015. Dalam kejadian lain, pada September 2015, dua lelaki bersenjatakan batang besi memukul aktivis transgender, Nisha Ayub dengan kejam di luar apartmen kediamannya. Sehingga kini, polis belum mengenal pasti sebarang suspek.

Tiada satu pun undang-undang di Malaysia yang melarang diskriminasi atas dasar identiti gender. Justeru, diskriminasi terhadap wanita transgender dalam sektor pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan kerap berlaku. Faktor enakmen undang-undang dan diskriminasi ini menyebabkan wanita transgender takut hendak mendapatkan kemudahan kesihatan awam walaupun mereka amat memerlukan respons rentetan permasalahan HIV. Masalah HIV dalam kalangan transgender di Malaysia dianggarkan 5.6 peratus, berbanding hanya 0.4 peratus dalam kalangan populasi umum. Manual Islam & HIV/AIDS yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia menyebut bahawa golongan transgender ini kurang “penghayatan agama” dan memerlukan akses kepada “kaunseling dari sudut seksualiti/kehidupan bermoral.” Cara-cara pencegahan dalam manual ini termasuk: “Jangan melakukan hubungan seks yang salah seperti zina, liwat dan lesbian. Cara yang terbaik untuk melindungi diri daripada semua penyakit kelamin seperti HIV adalah dengan tidak berzina dan menjauhi maksiat.”
 

Pengiktirafan Gender yang Sah di Sisi Undang-undang

Di Malaysia, tiada prosedur undang-undang yang membolehkan golongan transgender menukar nama dan jantina yang tertera dalam kad pengenalan, malah, individu transgender yang meminta Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukarnya sebelum ini telah ditolak permohonan mereka. Pada Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara menukar kad pengenalan diri seorang lelaki transgender setelah memutuskan “hak plaintif untuk hidup secara bermaruah sebagai seorang lelaki dan diberi pengiktirafan secara sah sebagai lelaki.” Namun, Jabatan Pendaftaran Negara berjaya dalam rayuannya agar perintah Mahkamah Tinggi tersebut diketepikan.
 

Jenayah Hubungan Jantina Sesama Jenis

Undang-undang jenayah persekutuan dan enakmen Syariah setiap negeri melarang hubungan jantina sesama jenis (same-sex), sungguhpun hubungan dilakukan antara dua wanita dewasa atas persetujuan bersama, yang merupakan suatu diskriminasi terhadap wanita lesbian dan biseksual. Laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini menyebut bahawa 13 wanita ditahan antara tahun 2009 dan 2012 kerana jenayah ‘musahaqah,’ iaitu seks antara wanita. Pada September 2014, dua wanita ditahan di Johor atas tuduhan yang sama, namun tidak pasti sama ada mereka dikenakan hukuman atau tidak. JAKIM menyarankan “conversion therapy,” iaitu terapi tanpa merit bertujuan “mengubah” orientasi seks dan identiti gender menerusi rawatan psikologi, kaedah berteraskan agama dan kaunseling.

Human Rights Watch menyarankan agar Jawatankuasa mengemukakan soalan berikut kepada kerajaan Malaysia:

  • Bolehkah Jabatan Agama Negeri menghentikan serbuan yang sering disasarkan terhadap golongan transgender dan memansuhkan peruntukan dalam enakmen Syariah negeri yang mengenakan tuduhan jenayah terhadap golongan transgender?
  • Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengekang kekejaman oleh rakyat biasa terhadap wanita transgender dan golongan gender dan seksual minoriti? Apakah pula langkah bagi memastikan hukuman sewajarnya terhadap jenayah berunsur kebencian?
  • Bolehkah kerajaan melaksanakan prosedur yang membolehkan golongan transgender menukar nama dan jantina yang tertera atas kad pengenalan mereka atas dasar hak kebebasan?
  • Bolehkah Malaysia meluluskan undang-undang antidiskriminasi yang melarang diskriminasi disebabkan, antara lain, identiti gender, ekspresi gender dan orientasi seksual?
  • Apakah langkah yang akan diambil kerajaan bagi mengurangkan wabak HIV dalam kalangan wanita transgender dan populasi utama yang lain?

Human Rights Watch menyarankan Jawatankuasa menyeru kerajaan Malaysia untuk:

  • Memansuhkan peruntukan Syariah negeri yang melarang pemakaian “cross-dressing” (menyerupai jantina lain).
  • Menghentikan semua serbuan oleh Jabatan Agama negeri yang disasarkan terhadap golongan transgender.
  • Memansuhkan undang-undang yang melarang hubungan sesama jenis, suka sama suka.
  • Melarang semua bentuk diskriminasi atas dasar identiti gender, ekspresi gender dan orientasi seksual menerusi undang-undang antidiskriminasi yang menyeluruh.
  • Melaksanakan prosedur pengiktirafan gender yang sah bagi membolehkan golongan transgender menukar nama dan jantina yang tertera dalam kad pengenalan mereka berdasarkan pengesahan peribadi semata-mata, tanpa memaksa mereka mengemukakan bukti perubatan atau psikiatri.
  • Memastikan usaha pencegahan HIV terhadap golongan transgender dan populasi utama bersifat inklusif dan sama rata.
  • Melarang pelaksanaan atau sokongan terhadap “conversion therapy” oleh kerajaan untuk tujuan mengubah orientasi seksual atau identiti gender golongan LGBT.

Perkahwinan bawah umur, rogol dan rogol dalam perkahwinan (Perkara 2, 15, 16)

Perkahwinan bawah umur membawa banyak kesan buruk, termasuk bahaya kesihatan akibat kehamilan awal, tahap pendidikan lebih rendah bagi gadis yang berkahwin awal, kekerapan insiden keganasan rumah tangga dan kebarangkalian ditimpa kemisikinan yang lebih tinggi.

Malaysia masih mengekalkan kekecualian dalam Perkara 16(1)(a) Konvensyen membabitkan hak wanita untuk berkahwin. Malaysia mempunyai dua sistem perundangan yang berbeza iaitu undang-undang sivil dan undang-undang Syariah. Undang-undang sivil menetapkan umur minimum 18 tahun bagi pasangan yang ingin berkahwin, tetapi gadis berumur 16 tahun dan lebih boleh berkahwin jika mendapat izin ketua menteri negeri masing-masing. Namun, undang-undang Islam pula meletakkan umur minimum 16 tahun bagi pasangan perempuan, selain membenarkan umur yang lebih muda tanpa syarat jika mendapat izin mahkamah Syariah.

Biarpun sukar mendapatkan data tentang kadar perkahwinan bawah umur di Malaysia yang boleh diyakini, pada Mei 2016, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaporkan 9,061 perkahwinan bawah umur dicatatkan dalam tempoh lima tahun sebelum ini.  

Selepas kunjungannya ke Malaysia pada 2014, Pelapor Khas PBB mengenai hak kesihatan menyuarakan keprihatinan beliau tentang kekerapan perkahwinan bawah umur dan menyebut bahawa dia “amat bimbang setelah menerima maklumat bahawa, dalam usaha mencegah hubungan seks bawah umur, bayi luar nikah dan kejadian membuang bayi, terdapat pihak berkuasa yang bertindak menggalakaan perkahwinan bawah umur.”

Pada 2016, Malaysia meluluskan pindaan kepada Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mempertingkatkan langkah perlindungan dan penjagaan kanak-kanak yang mengandungi, antara lain, senarai mereka yang pernah terlibat dengan kes jenayah terhadap kanak-kanak, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak dan pelantikan wakil guaman bagi pesalah kanak-kanak yang tidak berkemampuan. Akan tetapi, pindaan tersebut tidak mengandungi larangan perkahwinan bagi gadis dan lelaki bawah umur 18 tahun seperti yang dicadangkan oleh beberapa ahli politik, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan aktivis hak. Pindaan ini mula berkuat kuasa pada Januari 2017.

Pada April 2017, Teo Nie Cheng, Ahli Parlimen parti pembangkang, Democratic Action Party mencadangkan agar pindaan dibuat kepada Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Kanak-Kanak agar turut merangkumi larangan ke atas perkahwinan bawah umur. Cadangan tersebut ditolak.

Sudah sekian lamanya, pertubuhan-pertubuhan tempatan mencatatkan kes yang menyaksikan lelaki merogol gadis dan berjaya mengelak daripada tuduhan jenayah dengan mengahwini mangsa rogol mereka. Beberapa pegawai kanan kerajaan seperti Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri Sarawak dan Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyelar kes membabitkan perogol yang cuba mengelak dakwaan jenayah melalui ikatan perkahwinan. Namun, beberapa perogol dalam beberapa kes berprofil tinggi yang mengahwini mangsa mereka tidak terlepas dakwaan di mahkamah bersabit jenayah rogol yang dilakukan sebelum perkahwinan.

Rogol dalam perkahwinan bukan satu jenayah di Malaysia. Antara tahun 2004 dan 2006, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, suatu gabungan wakil kerajaan dan pembangkang (yang dibentuk bagi mengkaji cadangan pindaan jenayah rogol di bawah Kanun Keseksaan) memutuskan agar peruntukan undang-undang sedia ada terus kekal, sekali gus, rogol dalam perkahwinan bukan satu kesalahan. Pada Mei 2015, Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan tidak bercadang meminda Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol suami terhadap isteri.

Pada April 2017, Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 diperkenalkan merangkumi pindaan bagi mempertingkatkan perlindungan dan memperluas tafsiran keganasan rumah tangga. Rang undang-undang tersebut mendapat sokongan pelbagai pertubuhan wanita yang mahukan penguatkuasaan lebih efektif dan agar undang-undang ini diperketat. Namun, rang undang-undang pindaan ini tidak mentakrifkan rogol dalam perkahwinan sebagai keganasan rumah tangga. Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organisation) mendakwa bahawa kerajaan dengan sengaja mengetepikan rogol dalam perkahwinan daripada Akta Keganasan Rumah Tangga yang asal, ketika diluluskan pada 1996, kerana akta tersebut “berkait dengan Kanun Keseksaan yang menyebut bahawa seorang perempuan tidak berhak menolak persetubuhan dengan suaminya kecuali dia sudah bercerai, tinggal berasingan daripada suaminya di bawah dikri pemisahan kehakiman atau memperolehi injunksi menyekat suaminya dari melakukan persetubuhan dengannya.”

Pada Mac 2017, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok, juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkata bahawa, istilah “rogol dalam perkahwinan” sukar diletakkan dalam konteks undang-undang kerana ia sukar dibuktikan selain permasalahan terjemahan dan penjelasan kepada ulama berpendidikan undang-undang dan doktrin Islam. Atas sebab itu, Kanun Keseksaan menjadikan perbuatan “suami yang menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan” sebagai suatu jenayah. Di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan, “mana-mana lelaki dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan kepada isterinya atau mana-mana orang lain untuk mengadakan persetubuhan dengan isterinya hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun.”

Cadangan Umum No. 19 oleh Jawatankuasa Konvensyen turut meletakkan rogol dalam perkahwinan sebagai jenayah keganasan iaitu, “Dalam kalangan hubungan keluarga, wanita semua peringkat umur terdedah kepada semua bentuk keganasan, termasuk pukul, rogol dan serangan seksual lain yang berterusan kerana amalan tradisi.”

Human Rights Watch menyarankan agar Jawatankuasa mengemukakan soalan berikut kepada kerajaan Malaysia:

  • Adakah kerajaan berhasrat hendak menukar undang-undang sedia ada bagi menetapkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun, meliputi lelaki dan perempuan tanpa mengira agama mereka?
  • Adakah kerajaan berhasrat hendak menukar undang-undang sedia ada untuk melarang semua perkahwinan di bawah umur 18 tahun, atau membataskan perkahwinan di bawah umur 18 kepada kes yang tertakluk di bawah perundangan antarabangsa (iaitu dalam kes-kes terkecuali, dengan izin mahkamah, selepas mencapai umur 16 tahun)?
  • Apakah rancangan kerajaan bagi memastikan tiada lagi perkahwinan bawah umur menjelang tahun 2030 seperti yang dinyatakan dalam Saranan 5.3 di bawah Matlamat Pembangunan Lestari?
  • Adakah kerajaan berhasrat hendak membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan untuk menghentikan perkahwinan bawah umur?
  • Berapakah kes perkahwinan bawah umur yang dicatatkan sejak 2006?
  • Berapakah kes yang dicatatkan sejak 2006 melibatkan gadis yang dikahwinkan dengan lelaki yang merogol mereka?

Human Rights Watch menyarankan Jawatankuasa menyeru kerajaan Malaysia untuk:

  • Meninggikan had umur perkahwinan yang sah kepada 18 tahun merangkumi semua lelaki dan perempuan.
  • Menyiasat semua aduan berkenaan perkahwinan bawah umur dengan segera, menghalang perkahwinan bawah umur jika perlu dan mendakwa sesiapa sahaja yang membantu atau menguruskan perkahwinan bawah umur kerana melanggar undang-undang.
  • Mewujudkan dan melaksanakan Pelan Tindakan Kebangsaan yang menyeluruh bertujuan menghentikan semua perkahwinan bawah umur menjelang 2030, dengan kerjasama kumpulan-kumpulan hak asasi wanita dan kanak-kanak, pakar profesional kesihatan, golongan pendidik, penguatkuasa undang-undang dan kerajaan negeri.
  • Jadikan rogol dalam perkahwinan sebagai kesalahan jenayah.

Pekerja Domestik (Perkara 2, 6 dan 11)

Majoriti pekerja domestik di Malaysia ialah kaum wanita. Akan tetapi, pekerja domestik terkecuali daripada jaminan perlindungan penting yang dijanjikan di bawah undang-undang buruh Malaysia. Akta Kerja 1955 tidak menawarkan pekerja domestik sebarang perlindungan undang-undang dari aspek hari cuti kerja, had maksimum jam kerja, cuti awam, cuti tahunan, cuti sakit dan cuti bersalin. Malah, Akta Pampasan Pekerja 1952 juga tidak terpakai ke atas pekerja domestik.

Undang-undang imigresen Malaysia pula mengikat kediaman pekerja domestik asing dengan majikannya. Oleh itu, majikan bebas menamatkan kontrak pekerja domestik sesuka hatinya dan menolak permintaan pekerja yang ingin bekerja di tempat lain. Hal yang demikian ini mendedahkan pekerja domestik kepada risiko deportasi kerana tidak mempunyai dokumen yang sah. Dasar seperti ini menimbulkan kesukaran kepada pekerja domestik yang ingin membuat aduan terhadap majikan atau memohon pertukaran majikan kerana takut akan tindakan daripada majikan mereka.

Ramai majikan memotong gaji pekerja domestik untuk tempoh enam bulan atau lebih atas alasan menuntut semula kos rekrutmen yang telah dibelanjakan. Hal yang demikian ini memberikan tekanan yang berat ke atas pekerja domestik yang turut terikat dengan hutang mereka sendiri (hutang upah broker rekrutmen di negara asal mereka), selain bebanan menghantar wang belanja kepada keluarga mereka di kampung asal.

Kerajaan Indonesian dan Kemboja sebelum ini pernah menyekat pekerja domestik mereka daripada dihantar ke Malaysia kerana dakwaan penderaan yang berlaku ke atas warga mereka. Pertikaian yang timbul antara kedua-dua negara tersebut dengan Malaysia dibangkitkan ketika merundingkan Memorandum Persefahaman (MOU) berkenaan pekerja domestik. MOU tersebut kini menawarkan sedikit perlindungan kepada pekerja domestik, namun tidak setanding dengan perlindungan yang diberikan kepada golongan pekerja biasa, bahkan tidak diiringi dengan mekanisme pelaksanaan yang efektif. Menurut pertubuhan-pertubuhan tempatan, bilangan pekerja domestik di Malaysia telah jatuh secara signifikan, manakala kes penderaan terhadap pekerja domestik Kemboja masih kerap berlaku.

Dalam laporan Human Rights Watch pada 2011 bertajuk “They Deceived Us at Every Step”: Abuse of Cambodian Domestic Workers Migrating to Malaysia (“Mereka Menipu Kami dari Segala Sudut”: Penderaan Terhadap Pekerja Domestik Kemboja yang Berhijrah ke Malaysia), kami melaporkan kes penipuan dan hutang yang terbit ketika rekrutmen, kes pekerja dikurung secara paksa, gaji tidak dibayar, diancam jika melarikan diri atau gagal membayar hutang. Semua kes ini merupakan kes buruh paksa, termasuk pemerdagangan manusia dan menjadi hamba kerana hutang.

Malaysia telah menggiatkan usaha bagi memperkukuh undang-undang pemerdagangan manusia, termasuk melaksanakan kursus latihan dan kempen kesedaran orang ramai. Akan tetapi, mangsa pemerdagangan masih berdepan banyak halangan untuk mendapatkan bantuan sokongan, sementara pendakwaan di bawah undang-undang pemerdagangan bersabit kes buruh paksa jarang dilakukan.

Human Rights Watch menyarankan agar Jawatankuasa mengemukakan soalan berikut kepada kerajaan Malaysia:

  • Apakah perancangan Malaysia bagi menjamin hak pekerja domestik supaya tidak terdedah kepada diskriminasi di tempat kerja, tanpa mengira kerakyatan mereka?
  • Apakah remedi yang sedia ada bagi pekerja domestik di Malaysia yang dihimpit isu penderaan buruh, keganasan bersabit gender atau dipaksa sebagai buruh, termasuk pemerdagangan pekerja?
  • Apakah langkah spesifik yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan dalam kalangan individu yang ditahan kerana pelanggaran syarat imigresen?

Human Rights Watch menyarankan Jawatankuasa menyeru kerajaan Malaysia untuk:

  • Memberikan perlindungan dan hak buruh sepenuhnya kepada pekerja domestik tempatan dan asing di Malaysia, selaras dengan Konvensyen Pekerja Domestik di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan konvensyen ILO lain yang relevan.
  • Mempertingkat peraturan kawal selia melibatkan agensi rekrutmen dan pekerjaan berserta mekanisme yang jelas bagi memantau dan melaksanakan standard-standard berkenaan.
  • Melarang amalan potongan gaji yang dilakukan oleh majikan, broker dan agen rekrutmen.
  • Menyiasat dakwaan tentang pemerdagangan manusia, buruh paksa, deprivasi makanan, penderaan seksual, penderaan fizikal dan pekerja domestik yang dikurung secara paksa, sekali gus mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

Pendidikan (Perkara 10)

Pada Jun 2015, Malaysia melaksanakan Deklarasi Sekolah Selamat yang menggariskan tindakan lazim yang boleh diambil oleh pelbagai negara untuk mengurangkan kesan negatif ke atas pendidikan akibat konflik bersenjata. Malaysia turut menjadi Pengerusi Kumpulan Kerja Mengenai Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata Majlis Keselamatan sewaktu menduduki kerusi Majlis Keselamatan PBB pada 2015 dan 2016. Selain itu, sewaktu menduduki kerusi Presiden Majlis Keselamatan PBB, Malaysia berjaya memastikan Resolusi 2225 (2015) diterima sepenuhnya.

Antara ciri utama yang terkandung dalam Deklarasi Sekolah Selamat dan Resolusi 2225 adalah, kerajaan bertanggungjawab mengambil langkah konkrit bagi melindungi sekolah daripada digunakan oleh pihak tentera. Dalam hal ini, Akta Manuver Tentera 1983 di Malaysia melarang sebarang operasi tentera daripada memasuki atau mengganggu mana-mana sekolah atau kawasan sekolah.

Tentera Malaysia yang mengikuti operasi pengaman keselamatan PBB juga tertakluk kepada peraturan PBB supaya tidak menggunakan mana-mana sekolah dalam operasi ketenteraan mereka.

Human Rights Watch menyarankan agar Jawatankuasa mengemukakan soalan berikut kepada kerajaan Malaysia:

  • Apakah langkah yang telah diambil oleh Malaysia sejajar Resolusi Majlis Keselamatan 2225 (2015) iaitu langkah konkrit bagi memastikan sekolah tidak digunakan dalam operasi tentera?
  • Apakah langkah yang telah diambil oleh Malaysia bagi melaksanakan komitmen Deklarasi Sekolah Selamat?

Human Rights Watch menyarankan Jawatankuasa menyeru kerajaan Malaysia untuk:

  • Mengambil langkah konkrit bagi memastikan sekolah tidak digunakan dalam operasi tentera, termasuk garis panduan bagi perlindungan sekolah dan universiti daripada digunakan oleh tentera ketika konflik bersenjata (Guidelines for Protecting Schools and Universities from Military Use during Armed Conflict) agar diterapkan dalam dasar dan rangka kerja operasi tentera tempatan. Langkah ini adalah selaras komitmen yang dibuat dalam Deklarasi Sekolah Selamat. 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country