Skip to main content

 

Pihak polis Malaysia telah berbaris bagi menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki Dataran Merdeka di pusat bandar Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2015. © 2015 Phil Robertson/Human Rights Watch


(Bangkok) –  Cadangan kerajaan Malaysia bagi membenarkan lanjutan kuasanya untuk menahan mana-mana suspek di bawah rang undang-undang keselamatan selama 28 hari melanggar hak suspek mendapatkan permohonan segera semakan kehakiman, begitu menurut Human Rights Watch (HRW) hari ini. Peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 yang membolehkan pegawai-pegawai kanan polis menahan sebarang suspek tanpa pertuduhan bagi menyiasat “kesalahan keselamatan” akan luput pada 31 Julai 2017 sekiranya tidak dilanjutkan oleh Parlimen.

"Sejak 2012, pihak berkuasa Malaysia telah menggunakan undang-undang kesalahan keselamatan berulang kali bagi tujuan agenda politik dengan menahan para aktivis yang lantang bersuara tanpa sebarang pertuduhan," ujar Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia. "Parlimen harus sedar akan bahaya yang menimpa rakyat Malaysia dan reputasi Malaysia di luar negara akibat penahanan tersebut, justeru menolak rang undang-undang ini bagi mengelakkan mudarat yang berpanjangan.” 

Seksyen 4(5) SOSMA yang disarankan lanjutannya oleh pihak kerajaan bagi tempoh lima tahun lagi membenarkan suspek ditahan selama 28 hari tanpa pemantauan badan kehakiman, sekali gus melanggar standard hak asasi manusia bagi mendapatkan semakan kehakiman serta-merta. Walaupun undang-undang tersebut melarang sebarang suspek ditahan “semata-mata disebabkan pegangan politik atau aktiviti politik," namun, takrifan “aktiviti politik" amat terbatas justeru membuka ruang kepada pihak berkuasa untuk menangkap dan menahan sesiapa sahaja meskipun bagi aktiviti politik secara aman.

Beberapa kes pada tahun-tahun kebelakangan membuktikan bahawa undang-undang tersebut begitu mudah disalahgunakan.  Pada 18 September 2015, pihak berkuasa menahan Khairuddin Abu Hassan di Kuala Lumpur kerana didakwa terlibat dengan “aktiviti yang mengancam demokrasi Parlimen,” bertujuan menghalang pemergian beliau ke Amerika Syarikat setelah beliau didapati memberikan maklumat tentang skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak berkuasa di Perancis, Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Britain.

Setelah dibebaskan oleh mahkamah pada 23 September, beliau kemudiannya ditangkap semula lalu ditahan di bawah SOSMA selama 28 hari sementara disiasat atas aduan “sabotaj terhadap negara.” Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa usaha menarik siasatan pihak luar ke atas 1MDB merupakan perbuatan sabotaj dan ancaman berbahaya kepada ekonomi dan kedaulatan Malaysia, justeru suatu kesalahan terhadap keselamatan negara. Malah, pihak berkuasa turut menahan peguam Khairuddin, Matthias Chang, di Kuala Lumpur di bawah peruntukan yang sama pada 8 Oktober 2015.

Mahkamah Tinggi menolak hujah pihak kerajaan pada 18 November 2015, lantas memutuskan bahawa kes-kes perbankan dan kewangan bukanlah kesalahan keselamatan di bawah rang undang-undang tersebut. Hakim memerintahkan kedua-dua suspek dibebaskan dengan ikat jamin. Ketika dibebaskan, Khairuddin telah ditahan selama lapan minggu. Pada 14 Disember 2016, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan sebulat suara mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi. Namun, pihak kerajaan menyebut mereka bakal mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Dalam kes lain, pihak berkuasa menahan Maria Chin Abdullah, pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), di bawah SOSMA pada 18 November 2016, pada malam sebelum perhimpunan besar Bersih. Beliau diperintahkan untuk ditahan selama 28 hari, lantas tidak dapat turut serta dalam perhimpunan tersebut. Pihak polis mendakwa penahanan beliau dilakukan bagi menyiasat aktiviti yang dikatakan memudaratkan demokrasi berparlimen lantaran dana yang disalurkan kepada Bersih daripada sebuah yayasan pimpinan George Soros. Maria Chin telah dikurung sendirian selama 11 hari sebelum dibebaskan pada 28 November, sehari sebelum perbicaraan kehakiman terhadap petisyen habeas corpus yang difailkan oleh pihak peguamnya. Sehingga hari ini, beliau belum didakwa dengan sebarang pertuduhan jenayah.

Pihak berkuasa turut menggunakan SOSMA untuk menahan Siti Noor Aishah, seorang pelajar yang ditangkap pada 13 Mac 2016, kerana memiliki 12 buah buku yang dianggap mempunyai “unsur pengganas.” Namun, tiada suatu pun buku yang dimiliki beliau, yang menurutnya digunakan sebagai bahan pengajian ijazah sarjananya itu diharamkan di Malaysia. Pada 29 September, Mahkamah Tinggi membebaskan beliau daripada semua pertuduhan tanpa bicara. Akan tetapi, sebaik sahaja beliau dibebaskan, pihak berkuasa menangkap semula beliau di bawah  Akta Pencegahan Jenayah yang zalim lantas menahan beliau selama 60 hari lagi. Beliau kemudiannya dibebaskan atas syarat penahanan dalam rumah dengan pemantauan peranti elektronik. Selepas Mahkamah Rayuan memerintahkan kes itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk membolehkan beliau membela diri pada minggu ini, pihak berkuasa bertindak menahan beliau sekali lagi di bawah SOSMA.

"Pihak berkuasa Malaysia ternyata melihat SOSMA sebagai jalan pintas untuk mengancam dan mengunci mulut para aktivis hak asasi manusia serta pejuang kempen antirasuah menerusi penahanan berpanjangan tanpa pendakwaan," ujar Robertson. "Parlimen perlu menegakkan hak-hak asasi dan menamatkan peruntukan tersebut, disusuli dengan semakan atau pemansuhan keseluruhan undang-undang zalim yang ini."

 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic