Skip to main content

Berdepan Hukum Penjara di Malaysia kerana Menayangkan Filem

Penonton Memberikan Sokongan kepada Lena Hendry

Selaku pihak yang sering menayangkan dokumentari hak asasi di pelbagai bandar di seluruh dunia, saya terkejut apabila diberitahu oleh rakan-rakan sejawat saya di Human Rights Watch tentang kes Lena Hendry, seorang wanita Malaysia yang berdepan hukuman penjara kerana menayangkan sebuah filem seperti filem yang kami tayangkan setiap tahun. Justeru, kami memutuskan untuk mengetengahkan kes ini kepada penonton filem kami di Festival Filem Human Rights Watch di London tahun ini.

Bekas staf di Pusat KOMAS, Lena Hendry. © 2015/Lena Hendry

Lena didapati bersalah pada 21 Februari kerana kesalahan menganjurkan sebuah tayangan filem secara tertutup pada 2013 bertajuk ‘No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka’ tanpa kelulusan badan penapis Malaysia. Filem yang merupakan dokumentari pemenang anugerah ini memaparkan pencabulan hak asasi yang berlaku ketika perang saudara di Sri Lanka. Lena berdepan sehingga tiga tahun hukuman penjara dan denda sebanyak Ringgit Malaysia 30,000 (US$6800 atau £5500) di bawah Akta Penapisan Filem Malaysia yang mensabitkan kesalahan memiliki, mengedar atau menayangkan filem yang belum diluluskan oleh badan penapis negara.

Sewaktu berkongsi tentang kes Lena bersama dengan penonton kami, saya perhatikan wajah ramai penonton yang berasa tidak senang kerana menyedari bahawa sekiranya kami di Malaysia, kami juga mungkin dituduh hanya kerana menayangkan dokumentari hak asasi atau menonton filem untuk membincangkan persoalan sebegitu. Lebih 400 penonton yang hadir telah menandatangani surat bantahan sebagai tanda tidak puas hati mereka dan menyuarakan sokongan kepada Lena.

Kes Lena ini melanggar dua prinsip asas yang menjadi teras Festival Filem Human Rights Watch: kebebasan bersuara dan peranan pejuang hak asasi. Surat yang telah ditandatangani tersebut akan diserahkan kepada pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London hari ini. Saya berharap agar kerajaan Malaysia sedar bahawa tindakan mereka yang mendakwa Lena Hendry hanya kerana menayangkan filem telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang awam di London dan di seluruh dunia. 

 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country