Skip to main content

Malaysia: Gugurkan Tuduhan Terhadap Tayangan Filem

Tayangan Dokumentari Sri Langka ‘No Fire Zone’ Dihentikan

(Bangkok) – Pihak berkuasa Malaysia harus dengan segera menggugurkan tuduhan terhadap aktivis hak asasi yang dituduh menayangkan filem mengenai perang saudara Sri Lanka tanpa kelulusan Lembaga Penapisan, tegas Human Rights Watch hari ini.

Lena Hendry, dari kumpulan hak asasi manusia Pusat KOMAS, telah didakwa di bawah Akta Penapisan Filem kerana menganjurkan tayangan “No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka” pada 3 Julai 2013, di Kuala Lumpur. Hendry, yang mana perbicaraannya akan bermula pada 21 Oktober, berdepan dengan hukuman sehingga tiga tahun dalam penjara serta denda sebanyak RM30,000 (US$9,500).

“Pihak berkuasa Malaysia telah menutup suis kebebasan asasi dengan mengancam untuk memenjarakan seseorang kerana menayangkan sebuah dokumentari,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia. “Mereka perlu segera menggugurkan tuduhan terhadap Lena Hendry dan mencari satu jalan untuk memulihkan reputasi budaya Malaysia.”

Pada 3 Julai, Pusat KOMAS mengadakan tayangan “No Fire Zone” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Sebelum tayangan tersebut, seorang pegawai daripada Kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur bertemu dengan pengurusan dewan perhimpunan itu dan cuba memaksa mereka untuk menghentikan tayangan tersebut. Kedutaan Sri Lanka juga berkomunikasi dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia serta Lembaga Penapisan Negara untuk menggesa agar filem itu tidak akan ditayangkan. Pada tayangan tersebut, kira-kira 30 pegawai Kementerian Dalam Negeri Malaysia, polis, dan kakitangan Jabatan Imigresen muncul. Selepas perbincangan di antara Pusat KOMAS dengan para pegawai, mereka bersetuju untuk membenarkan tayangan itu dilangsungkan, tetapi turut menahan Hendry. Mereka turut menahan presiden Pusat KOMAS dan ahli lembaga tetapi mereka dibebaskan tanpa tuduhan.

Akta Penapisan Filem Malaysia mengenakan hukuman jenayah atas sebarang tayangan sebuah filem tanpa kelulusan Lembaga Penapisan, yang melanggar hak kebebasan bersuara. Hendry telah didakwa di bawah seksyen 6 akta tersebut, yang menjadi satu kesalahan untuk menghasilkan, mengeluarkan, dalam milik seseorang, mengedar, menghantar, atau mempamerkan filem atau bahan publisiti filem yang tidak diluluskan oleh lembaga tersebut.

Tuduhan terhadap Hendry kelihatan seperti bermotifkan politik. Beberapa ketika sebelum tayangan di dewan perhimpunan tersebut, “No Fire Zone” telah ditayangkan kepada ahli-ahli parlimen tanpa sebarang insiden. Dan ia telah ditayangkan tidak lama selepas itu oleh organisasi bukan kerajaan yang lain tanpa sebarang tahanan. Pusat KOMAS sering menganjurkan tayangan filem mengenai perkara yang sensitif, dengan kemasukan secara pra-pendaftaran saja.

“No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka” adalah dokumentari yang memenangi beberapa anugerah mengenai jenayah perang oleh kerajaan Sri Lanka semasa bulan-bulan terakhir perang saudara Sri Lanka pada tahun 2009. Dokumentari ini menunjukkan serangan artileri kerajaan yang membunuh kanak-kanak, wanita dan golongan tua serta hukuman mati di luar perbicaraan terhadap pejuang-pejuang dan penduduk yang ditangkap oleh tentera kerajaan.

Sri Lanka telah menjadi subjek dua resolusi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana kerajaan dikritik kerana gagal untuk menyiasat dakwaan pelanggaran undang-undang peperangan oleh kedua-dua pihak semasa konflik tersebut. Pada bulan Ogos, berikutan lawatannya ke negara tersebut, Navi Pillay, pesuruhjaya tinggi untuk hak asasi manusia PBB, telah mengkritik secara keras terhadap kegagalan kerajaan mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas penyalahgunaan kuasa yang serius. Kerajaan Sri Lanka telah menolak dapatan jenayah perang daripada Pillay, filem tersebut, dan kajian panel pakar PBB dan organisasi hak asasi manusia.

Pada 24 Oktober, rekod hak asasi manusia di Malaysia akan berada di bawah penelitian semasa Semakan Berkala Universal di Majlis Hak Asasi Manusia.

“Kesediaan Malaysia untuk menyekat tayangan ‘No Fire Zone’ dan mendakwa Hendry menjadikannya rakan yang mengganggu kepada Sri Lanka dalam membersihkan kekejaman perang,” kata Robertson. “Malaysia harus menukarkan langkah silap ini kepada peluang untuk menyertai banyak kerajaan yang mencari penyelesaian keadilan bagi ramai mangsa perang Sri Lanka.

Malaysia antara kerajaan yang akan menghadiri Perjumpaan Ketua Kerajaan Komanwel di Sri Lanka pada 15-17 November. Sokongan kepada hak asasi manusia adalah termaktub dalam Deklarasi Harare Komanwel pada tahun 1991. Komanwel diberi kuasa untuk menyiasat pencabulan serius atau berterusan terhadap Deklarasi Harare dan akan mencadangkan tindakan penyelesaian.

“Malaysia membawa obor Sri Lanka hanya beberapa minggu sebelum perjumpaan Komanwel menunjukkan kepentingan politik melebihi rasa hormat terhadap kebebasan bersuara,” kata Robertson.

 

 

 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country