Skip to main content

Malaysia: Obama Perlu Lantang Bersuara Mengenai Hak Asasi

Lawatan Bersejarah Satu Peluang Untuk Kritikan Terbuka

(Washington, DC) – Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama perlu menggunakan lawatan bersejarahnya ke Malaysia pada 26-27 April 2014, untuk bercakap secara terbuka mengenai kebimbangan terhadap situasi hak asasi manusia yang semakin merosot di negara itu, kata Human Rights Watch hari ini. Obama akan menjadi presiden Amerika Syarikat yang pertama melawat Malaysia sejak 1966.

“Dakwaan Malaysia berkenaan menjadi demokrasi bersifat toleransi dan menghormati hak asasi tidak benar seperti apa yang diperhatikan,” kata John Sifton, pengarah pembelaan Asia. “Presiden Obama perlu menimbangkan kebimbangan bahawa hak asasi sedang diancam, dan masyarakat awam tersepit di antara undang-undang ketat dan pelaksanaan kerajaan yang menindas.”

Dalam satu surat yang dihantar kepada Obama bulan lepas, Human Rights Watch menggesa presiden untuk membangkitkan isu hak asasi manusia semasa lawatan beliau ke Kuala Lumpur, dan untuk bertemu dengan ahli-ahli kumpulan hak asasi manusia, organisasi pertubuhan awam, tokoh-tokoh parti politik pembangkang, serta ahli-ahli komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Berbeza dengan imej yang cuba para pemimpin Malaysia gambarkan ke luar negara, kerajaan terus menggunakan undang-undang yang samar, melampaui batas, serta ketinggalan zaman untuk mendakwa atau menyerang musuh politik. Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim baru-baru ini telah didakwa dan disabitkan untuk kali kedua dalam kerjaya politik beliau di bawah undang-undang “liwat” era penjajahan; Akta Hasutan era penjajahan telah digunakan terhadap tokoh pembangkang lain, termasuk peguam dan ahli politik pembangkang Karpal Singh, yang meninggal duniatelah dalam satu kemalangan kereta pada 17 April. Malah perundangan “reformasi” yang baru digubal, seperti Akta Perhimpunan Aman 2012, telah digunakan untuk mendakwa para penunjuk perasaan aman, seperti penganjur perhimpunan bantahan selepas pilihan raya Mei 2013 yang dipertikaikan.

Kerajaan menggunakan satu lagi undang-undang lapuk, Akta Pertubuhan 1966, untuk mengisytiharkan COMANGO sebagai haram, satu gabungan kumpulan hak asasi manusia di Malaysia yang baru-baru ini menyuarakan masalah hak asasi manusia di Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kerajaan juga sebelum ini telah menggunakan Akta Pertubuhan untuk mendakwa seorang pemimpin Muslim Syiah yang berpengaruh.

Para pemimpin Malaysia telah lama menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menekan syarikat-syarikat dan saluran media. Menerbitkan sebuah akhbar di Malaysia masih memerlukan kelulusan daripada kerajaan dan mengkritik kerajaan boleh membawa pihak berkuasa untuk menutup terus syarikat media.

White House menyatakan dalam satu taklimat pada 18 April 2014, bahawa Obama tidak akan bertemu dengan pemimpin parlimen pembangkang Anwar Ibrahim, sekaligus terlepas satu peluang penting untuk menyatakan rasa tidak setuju terhadap pendakwaan bermotifkan politik terhadap beliau.

“Presiden Obama harus bersuara mengenai kes Anwar Ibrahim dan bertemu dengannya semasa berada di Kuala Lumpur,” kata Sifton. “Dengan mengabaikan ini membawa satu mesej kepada kerajaan Malaysia bahawa penyalahgunaan kehakiman untuk keuntungan politik adalah boleh diterima oleh Amerika Syarikat”

Penyalahgunaan kuasa polis masih menjadi masalah hak asasi manusia yang serius di Malaysia. Satu laporan terbaru Human Rights Watch, “Tiada Jawapan, Tiada Maaf: Penyalahgunaan Kuasa dan Akauntabiliti Polis Di Malaysia,” tembakan yang tidak wajar, penganiayaan dan kematian dalam tahanan polis, dan penggunaan kekerasan yang berlebihan untuk menyuraikan bantahan awam, yang mana polis jarang sekali dipertanggungjawabkan. Siasatan ke atas penyalahgunaan kuasa polis kebiasaannya dijalankan oleh pihak polis, yang mana tidak bertindak secara telus atau tidak adil dalam siasatan mereka, dan tiada mekanisme pemantauan bebas yang berkesan untuk diharapkan apabila siasatan polis sentiasa tidak terperinci. Hasilnya ini telah meningkatkan lagi ketidakpercayaan orang awam terhadap polis dan kerajaan.

Toleransi terhadap komuniti-komuniti minoriti di Malaysia juga berada dalam ancaman. Para pemimpin kerajaan terus menerus mengutuk minoriti etnik dan agama, yang berdepan dengan gangguan serta dakwaan palsu.

Golongan LGBT berdepan dengan penganiayaan yang serupa, dengan para pegawai mengharamkan acara kumpulan atau menggunakan dakwaan ofensif dan palsu untuk melemahkan aktiviti-aktiviti mereka. Pada 2013, kumpulan pelampau agama memfailkan aduan dengan pihak polis berkenaan acara LGBT, dengan mendakwa ianya sebuah “festival seks songsang”, memaksa penganjur membatalkan acara tersebut. Pihak polis pada 2011 telah mengharamkan Seksualiti Merdeka, sebuah festival himpunan dan kesenian LGBT. Pegawai-pegawai jabatan agama kerajaan juga selalu menahan mak nyah di bawah peruntukan (undang-undang Islam) Syariah di bawah peringkat negeri melarang silang pakaian dan terdapat laporan yang dipercayai berkenaan penyalahgunaan kuasa berlaku semasa serbuan dan semasa wanita-wanita ini berada dalam tahanan polis.

“Presiden Obama harus menyatakan bahawa golongan LGBT adalah diperuntukkan hak asasi yang sama seperti semua orang lain,” Sifton berkata. “Bercakap mengenai dakwaan anti- homoseksual di Kuala Lumpur boleh membawa kesan berpanjangan di Malaysia, kedua-duanya dalam menunjukkan bahawa sokongan antarabangsa untuk komuniti ini dalam ancaman, dan dalam membawa suasana untuk perdebatan awam secara umum dalam negara.”

 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country