Skip to main content

(London) - Pembaharuan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak tidak meningkatkan taraf perlindungan undang-undang untuk kebebasan asas rakyat di Malaysia, Human Rights Watch berkata hari ini dalam World Report 2013 (Laporan Dunia 2013). Sekatan akhbar, penggunaan kekerasan yang berlebihan terhadap penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman , dan ugutan terhadap kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah mendedahkan tahap kegagalan kerajaan untuk mencapai standard hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dalam laporannya sepanjang 665 mukasurat, Human Rights Watch mengkaji kemajuan hak asasi manusia sepanjang tahun lalu di lebih daripada 90 negara, termasuk analisis mengenai akibat seterusnya selepas Revolusi Arab (Arab Spring).

Di Malaysia, Human Rights Watch berkata, penghormatan kerajaan ke atas hak-hak dan kebebasan asasi berkemungkinan diuji menjelang pilihan raya parlimen kebangsaan, yang mesti diadakan tidak lewat dari Jun 2013.

"Agenda hak asasi yang dijanjikan oleh Kerajaan Malaysia jauh berbeza daripada apa yang telah dipraktikkan pada tahun 2012," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch di Asia. "Memandangkan pilihanraya semakin hampir, kerajaan perlu menunjukkan kesanggupan untuk memelihara hak semua rakyat, tampa mengira pandangan politik mereka."

Pada April 28, 2012, puluhan ribu penunjuk perasaan secara aman telah dihujani oleh meriam  air, gas pemedih mata, dipukul dan ditangkap semasa perarakan dan protes ‘duduk dan bantah’ yang diketuai oleh Bersih, suatu gabungan pertubuhan-pertubuhan hak-hak sivil. Ini berlaku apabila mereka menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Satu jawatankuasa kerajaan yang ditubuhkan untuk menyiasat kejadian tersebut gagal menjelaskan tindakan pihak berkuasa pada hari itu. Rundingan antara polis dan gabungan parti-parti politik pembangkang dan kumpulan aktivis membawa kepada perhimpunan aman "Perhimpunan Kebangkitan Rakyat" di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur pada 12 Januari, 2013.

Human Rights Watch berkata pindaan kepada undang-undang lama yang menindas mempunyai kurang kesan di segi penggunaannya daripada yang diharapkan. Penggantian seksyen 27 Akta Polis dengan Akta Perhimpunan Aman tidak membatalkan kuasa mutlak polis untuk mengeluarkan permit untuk sebarang perhimpunan awam. Sebaliknya, undang-undang baharu tersebut menguasakan polis untuk mengharamkan secara efektif perarakan-perarakan dengan melarang "perhimpunan bergerak" melalui pengiystiharan banyak kawasan sebagai kawasan larangan, dan dengan memberi kuasa kepada polis untuk menentukan masa, tarikh, dengan syarat-syarat yang mesti dipatuhi. Penganjur ‘Perhimpunan Kebangkitan Rakyat’ bersetuju dengan 27 syarat yang telah ditetapkan —termasuk penggunaan slogan-slogan yang sesuai sebelum perhimpunan mereka mendapat kelulusan. Kerajaan kini sedang menyiasat pematuhan mereka kepada tiga daripada syarat tersebut.

Dalam satu lagi pembaharuan undang-undang yang tidak menepati piawaian antarabangsa, kerajaan Malaysia telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan menggantikannya dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). SOSMA mengurangkan tempoh penahanan arbitrari daripada tempoh yang tidak terhad di bawah ISA kepada 28 hari, tetapi ditambah pula dengan pelanggaran hak yang baharu. Akta tersebut mengandungi definisi kesalahan keselamatannya yang terlalu luas. Polis (dan bukan mahkamah) diberi kuasa untuk memintas sebarang komunikasi. Akta tersebut juga membolehkan pihak pendakwa menggunakan bukti tampa mendedahkan sumber bukti dan identiti saksi. Selain itu, sekiranya seorang suspek dibebaskan di bawah SOSMA dan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, suspek tersebut boleh ditahan semula di dalam penjara atau terikat dengan peranti pemantauan sehingga rayuan itu diselesaikan, satu proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Human Rights Watch berkata gangguan kerajaan ke atas pejuang hak asasi manusia diteruskan pada tahun 2012. Akibat dakwaan palsu oleh Jaringan Melayu Malaysia, sebuah organisasi yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin Malaysia, kerajaan meneruskan penyiasatan yang bermotifkan politik ke atas Suaram, sebuah organisasi hak asasi manusia yang terkemuka di Malaysia yang telah beroperasi sejak tahun1989. Sekurang-kurangnya enam agensi kerajaan sedang menyiasat untuk mengesahkan bahawa pendaftaran dan operasi Suaram adalah haram. Para penyiasat telah mengganggu kakitangan dan penyokong Suaram, dan mengugut untuk memenjarakan mereka manakala ahli-ahli politik kerajaan serta media yang dikawal oleh kerajaan mengecam organisasi secara terbuka. Pada 3 September, seminggu sebelum siasatan bermula, seorang menteri kerajaan menuduh Suaram mempunyai akaun yang "sangat mencurigakan" dan berkata bahawa "99.4 peratus" daripada aktivitinya adalah bertujuan "mengumpul wang."

Kumpulan-kumpulan yang menyokong hak golongan lesbian, homoseksual, biseksual dan transgender (LGBT) mengalami pengalaman yang lebih teruk lagi, Human Rights Watch berkata. Dalam dua ucapan yang disampaikan pada tahun 2012, Perdana Menteri Najib mengiakan diskriminasi terhadap golongan ini dengan mengkhususkan komuniti LGBT sebagai "budaya sesat" yang mengancam dan "tidak ada tempat di negara ini." Bukan sahaja Festival Seksualiti Merdeka dibatalkan pada tahun 2012 di tengah ugutan berterusan ke atas komuniti LGBT, bahkan mahkamah juga menolak Semakan Kehakiman terhadap larangan polis ke atas festival tahun 2011 tersebut. Menurut para penganjur festival tersebut, keputusan itu telah meletakkan masa depan festival dalam keadaan yang tidak tentu.

"Pihak berkuasa Malaysia harus menghormati hak asasi tidak-berdiskriminasi dan kesaksamaan, dan menghentikan pemburukan orang berdasarkan orientasi seksual mereka atau identiti jantina," kata Boris Dittrich, pengarahadvokasi program LGBT di Human Rights Watch.

Pembaharuan yang diperkenalkan dari segi kebebasan akhbar juga kurang daripada yang dijangkakan, Human Rights Watch berkata. Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar telah dipinda, menamatkan keperluan lesen tahunan mandatori bagi lesen penerbitan dan menamatkan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan atau membatalkan lesen penerbitan tanpa semakan mahkamah. Walau bagaimanapun, undang-undang tersebut yang dipinda masih menetapkan bahawa penerbitan baharu perlu mendapatkan kelulusan awal, dan lesen masih boleh dibatalkan secara arbitrari.

Kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2011 bahawa "lesen penerbitan adalah suatu hak dan bukannya keistimewaan,” yang mengakibatkan perlunya semakan terhadap keengganan kerajaan yang "tidak wajar dan tidak rasional" untuk mengeluarkan lesen kepada akhbar harian talian (internet) terbesar di Malaysia, Malaysiakini, untuk menerbitkan edisi cetak harian.

Suatu pindaan kepada Akta Keterangan memperuntukkan bahawa pemilik komputer dan pengendali rangkaian komputer adalah penerbit dan dengan itu bertanggungjawab untuk kandungan yang dipaparkan pada skrin mereka melainkan mereka dapat membuktikan mereka tidak ada apa-apa kaitan dengan kandungan tersebut. Ini menimbulkan kebimbangan tentang anggapan tidak bersalah serta kebebasan bersuara.

Pihak polis Malaysia didapati secara rutin melanggar hak-hak orang dalam tahanan, Human Rights Watch berkata. Anggota polis telah menunjukkan kekerasan berlebihan dan keterlaluan semasa demonstrasi, semasa penangkapan, dan di dalam lokap polis. Kematian dalam tahanan, biasanya dikaitkan dengan penyakit dan gagal disiasat. Suspek juga dipukul untuk memaksa pengakuan, dan suspek jenayah mati dalam keadaan yang mencurigakan semasa ditahan oleh polis. Tuduhan penganiayaan oleh polis gagal disiasat.

Undang-undang imigresen Malaysia masih tidak mengiktiraf pelarian dan pemohon suaka, dan menghalang mereka daripada bekerja malah mendapatkan pendidikan untuk anak-anak mereka. Pendatang tanpa izin boleh ditangkap dan ditahan dalam pusat tahanan imigresen yang kotor dan penuh sesak, dan dirotan kerana melanggar undang-undang imigresen. Usaha-usaha anti-pemerdagangan manusia menggabungkan jenayah pemerdagangan manusia dengan penyeludupan manusia, dan menghukum, bukannya melindungi mangsa pemerdagangan dengan menahan mereka dalam pusat penjagaan yang amat diragui standardnya. Pusat tersebut dikunci dan lebih menyerupai pusat tahanan daripada kemudahan penjagaan. Tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk melindungi pekerja domestik asing daripada dipukul dan daripada penderaan seksual oleh majikan mereka masih terlalu sedikit.

"Banyak sektor ekonomi Malaysia bergantung kepada pekerja asing, namun Malaysia terus melayan mereka sebagai orang yang boleh dipergunakan dan disalahgunakan," kata Phil Robertson. "Kerajaan harus menghormati sepenuhnya hak-hak pekerja asing dan berhenti menganiaya mereka yang telah diperdagangkan ke Malaysia sebagai mangsa lagi."

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country