Skip to main content

World Report 2013: Malaysia

Events of 2012

Dalam Perutusan Khas Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama negara pada September 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia mencipta negara “yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.” Akan tetapi, beliau juga menambah perlunya ada , “perseimbangan serta perimbangan…antara keselamatan nasional dan kebebasan individu.,” dan jelas reformasi undang-undang seterusnya telah mengutamakan keselamatan negara diatas hak asasi manusia.

Pilihan raya umum perlu diadakan sebelum April 2013, dan ketegangan politik sudah terasa bahangnya sejak November lalu apabila kedua-dua pihak kerajaan serta pembangkang menuduh antara satu sama lain terlibat dengan intimidasi dan juga keganasan dalam jentera pilihan raya masing-masing.

Kuasa Tahanan Pencegahan

Dalam perutusan beliau pada September 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga telah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan berlanjutan tanpa perbicaraan, serta beberapa akta lain yang menindas hak rakyat. Akta yang mula-mula dimansuhkan ialah Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 diikuti dengan tiga proklamasi darurat serta ordinan darurat berkaitan. Salah sebuah akta yang dimansuhkan, iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 telah kerap kali digunakan untuk menahan suspek jenayah untuk tempoh masa yang tidak terbatas tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA telah menggantikan ISA pada 31 Julai 2012. Satu aspek positif yang dilihat adalah SOSMA mengurangkan tempoh penahanan tanpa pertuduhan pada peringkat awal sekali daripada 60 kepada 28 hari, dan mewajibkan sama ada suspek disabitkan dengan pertuduhan di mahkamah atau dibebaskan selepas tempoh tersebut. Akan tetapi, kandungan dalam akta tersebut juga mengurangkan perlindungan hak asasi, termasuklah definisi kesalahan keselamatan yang terlalu luas, menyerahkan kuasa kepada pihak polis (bukan mahkamah) untuk memintas sebarang komunikasi sewaktu siasatan dan memberi izin kepada pihak pendakwa sekiranya tidak mahu mendedahkan sumber bukti dan identiti saksi, lalu mengelak daripada pemeriksaan balas. Malah, sekiranya seseorang suspek dibebaskan sekali pun di bawah SOSMA, akta tersebut membenarkan rayuan dibuat oleh pendakwa dengan suspek ditahan tampa peluang mendapat jaminan, mengakibatkan suspek tersebut ditahan untuk tempoh masa yang tidak terbatas. Sewaktu SOSMA menggantikan ISA, pihak berkuasa masih menahan seramai 27 orang di bawah ISA menggunakan peruntukan kuasa peralihan.

Kebebasan Berhimpun dan Berpersatuan

Hak kebebasan berpersatuan dan berhimpun secara aman  terus-menerus dicabuli kerajaan pada 2012. Pihak kerajaan telah terburu-buru membentangkan rang undang-undang Perhimpunan Aman lalu meluluskan akta tersebut pada 20 Disember 2011 sedangkan Perdana Menteri Datuk Najib sudah berjanji pada September akan menyemak terlebih dahulu seksyen 27 Akta Polis (yang mewajibkan permit polis untuk sebarang perhimpunan awam).

Undang-undang baharu ini memansuhkan kemestian mendapatkan permit tetapi ia memperkenalkan pula sekatan-sekatan ketara seperti pengharaman meluas terhadap segala bentuk perarakan. Tidak juga boleh diadakan sebarang protes dalam jarak 50 meter dari mana-mana tempat larangan, malah hampir mustahil untuk berhimpun di mana-mana kawasan bandar. Sekatan lain termasuklah kuasa di tangan pihak polis untuk menentukan masa, tempat dan tarikh sebagai syarat perhimpunan setelah mengambil kira bantahan pihak lain yang terbabit serta serta faktor persekitaran yang mungkin terjejas. Pihak polis juga diberi kuasa mengenakan sebarang sekatan-sekatan dan “kekerasan yang munasabah” untuk memberhentikan  perhimpunan tersebut.

Pegawai-pegawai kerajaan di peringkat negeri serta persekutuan telah berusaha menghalang protes ‘duduk dan bantah’ yang dianjurkan oleh Bersih 3.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) pada 28 April. Mereka menghalang Bersih daripada berhimpun di Dataran Merdeka di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur dan meletakkan perintang di seluruh kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, beribu-ribu rakyat masih berarak secara aman menuju ke dataran itu dan mereka bersurai juga secara aman setelah pengumuman dibuat oleh penganjur bahawa perarakan itu tamat. Sekumpulan kecil peserta telah bertindak memecah menerusi perintang polis lalu masuk ke dalam dataran tersebut mengakibatkan pihak polis bertindak melampau terhadap mereka selama empat jam menggunakan gas pemedih mata, penyembur air serta memukul dan menahan mereka terbabit secara rambang.

Pada 1 hb Julai 2011, Menteri Dalam Negeri HishammuddinHussein telah mengisytihar Bersih sebagai sebuah persatuan yang tidak sah di bawah Akta Persatuan. Namun pada 24 Julai 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan pengisytiharan tersebut dan menegaskan bahawa arahan yang mendakwa Bersih sebagai persatuan haram adalah 'tidak rasional'. 

Kebebasan Bersuara

Hampir semua surat khabar, stesyen televisyen dan radio aliran umum dikawal oleh syarikat-syarikat media yang rapat dengan parti-parti politik dalam perikatan kerajaan. Pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan bahawa kebebasan bersuara semakin tersekat. Kandungan pindaan ini menolak beban bukti kepada mana-mana pemilik, pentadbir, hos, editor atau pelanggan kepada perkhidmatan rangkaian yang mempunyai kawalan atau jagaan sebarang komputer yang menerbitkan mana-mana bahan melainkan jika dibuktikan sebaliknya.

Pembaharuan diperkenalkan kedalam Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar, seperti menamatkan keperluan lesen tahunan mandatori dan memberikan kuasa kepada badan kehakiman untuk memantau apa yang dulunya kuasa meluas dalam tangan Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan atau menolak permohonan untuk lesen.  Walaubagaimanapun,  Akta tersebut masih menindas. Penerbitan baharu masih memestikan kelulusan awal dan lesen pula masih boleh sewenang-wenangnya dibatalkan. Penindasan lain termasuklah campur tangan daripada kementerian untuk “menasihatkan” para editor serta hukuman denda atau penjara sekiranya didapati ‘menerbitkan berita palsu dengan  niat jahat’. Menteri Dalam Negeri masih mempunyai kuasa mutlak ke atas lesen percetakan akhbar.

Sepanjang 2012, badan kehakiman di Malaysia telah memainkan peranan untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara. Malaysiakini, akhbar harian talian (internet) terbesar di Malaysia, telah berulang kali memohon untuk menerbitkan versi bercetak harian daripada Menteri Dalam Negeri namun ditolak. Pada 1 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri itu “tidak wajar dan tidak rasional" dan membenarkan permohonan semula dibuat. Dalam kenyataan yang jelas menentang pendirian kerajaan, hakim berkenaan menyatakan bahawa permit penerbitan adalah “suatu hak dan bukannya keistimewaan”. Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut.

Dalam bulan Julai, Sisters in Islam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan juga telah diberikan kemenangan apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak kerajaan lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan larangan terhadap pengedaran buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism. Buku tersebut mengandungi himpunan esei yang telah diharamkan pengedarannya pada 2008.

Keputusan mahkamah sivil bahawa penangkapan dan penahanan kartunis Zunar di bawah Akta Hasutandan Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar pada September 2012 adalah sah di sisi undang-undang telah membawa kesan negatif kerana dengan itu, keengganan pihak pencetak, penerbit dan kedai buku untuk membantu memasarkan buku-buku yang bersifat kontroversi semakin berlanjutan. 

Polis - Penyalahgunaan Kuasa dan Pengecualian daripada Hukuman

Human Rights Watch dan beberapa gabungan masyarakat sivil telah turut serta merencanakan penyalahgunaan kuasa pihak polis, termasuklah penggunaan kekerasan melampau semasa penangkapan, kematian mencurigakan dalam tahanan, gagal menyiasat secukupnya kejadian-kejadian seperti itu serta kebertanggungjawaban sepatutnya; dan persoalan post-mortem pula tidak dilakukan dengan memadai. Mangsa penyalahgunaan kuasa dan kekejaman polis pula melaporkan bahawa tiada cara berkesan bagi mendapatkan keadilan dan mengeluh kerana adanya budaya mengecualikan polis daripada kebertanggungjawaban.

Perbicaraan Anwar Ibrahim

Pada 9 Januari 2012, mahkamah di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat setelah memutuskan bahawa mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa ‘sampel DNA tidak terusik’, dan oleh itu ia tidak boleh dipakai. Pejabat Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan, namun rayuan ini boleh memakan masa berbulan-bulan, malah bertahun sebelum kes tersebut diselesaikan.

Pejuang Hak Asasi

Pada 3 Julai 2012, beberapa agensi kerajaan telah memulakan siasatan dari segenap arah terhadap Suaram, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia. Pegawai penyiasat kerajaan dan kakitangan awam menuduh bahawa penyata kewangan Suaram meragukan, ia menerima dana dari negara asing bagi melemahkan kerajaan Malaysia dan malah ia mengabui pihak awam dengan pendaftarannya sebagai syarikat walhal ia adalah sebuah pertubuhan haram. Agensi kawal selia, termasuklah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pendaftar Syarikat menggesa agar Suaram menyerahkan maklumat termasuklah dokumen tahun-tahun lampau dan menyoal siasat pekerja serta lembaga pengarah Suaram. Pada ketika laporan ini ditulis, belum ada sesiapa yang dituduh.

Ramai pemerhati yang merasakan bahawa soal siasat ini dicetus semata-mata kerana Suaram pada 2010 bertindak untuk melibatkan diri mereka dengan siasatan badan kehakiman Perancis terhadap tuduhan rasuah oleh kerajaan Malaysia dalam pembelian kapal selam daripada sebuah syarikat pertahanan Perancis.

Sepanjang September dan Oktober, media pro kerajaan telah menuduh bahawa Suaram dan beberapa NGO lain yang sering membidas kerajaan menerima dana dari negara asing dalam usaha menjejaskan kestabilan kerajaan Malaysia.

Orang Pelarian, Pemohon Suaka dan Mangsa Pemerdagangan Manusia

Undang-undang imigresen Malaysia tidak mengiktiraf orang pelarian dan pemohon suaka. Kerajaan juga belum menandatangani Konvensyen berhubung dengan Status Orang Pelarian dan tidak mempunyai sebarang undang-undang orang pelarian domestik dan prosedur bagi pemohon suaka. Malaysia juga menghalang orang pelarian untuk bekerja malah mendapatkan pendidikan untuk anak-anak mereka.

Pada bulan Februari, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) telah dinafikan akses kepada Hamza Kashgari yang merupakan seorang pemohon suaka dari Arab Saudi. Beliau telah melarikan diri apabila perbuatannya mengeluarkan kenyataan Twitter seolah-olah menghina Nabi Muhammad SAW telah diketahui umum. Kashgari dihantar pulang ke negara asalnya walhal dia telah diugut akan dihukum mati. Pada ketika laporan ini ditulis, beliau masih dalam penjara.

Akta Antipemerdagangan Orang dan Akta Antipenyeludupan Migran menggabungkan jenayah pemerdagangan dan penyeludupan, dan dengan itu, gagal memberikan perlindungan bagi kedua-dua kelompok tersebut. Kerajaan pula mengurung mangsa pemerdagangan di pusat penjagaan yang amat diragui standardnya tanpa sebarang akses kepada perkhidmatan atau bantuan sehinggalah kes mereka selesai.

Dasar Dadah Negara dan Penahanan

Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) memberi peruntukan mengenai tahanan pencegahan. Sepanjang 2012, kira-kira 700 orang ditahan di bawah akta ini.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menguruskan lebih 20 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang menempatkan penagih yang ditahan paling minimum selama dua tahun. Kadar penagihan semula di kalangan penagih dadah adalah tinggi dan dianggarkan sekitar 70 hingga 90 peratus, mereka yang diberkas semula akan menghadapi hukuman penjara untuk tempoh panjang dan hukuman sebat. Pengedar dadah akan dihukum mati, akan tetapi bilangan mereka yang dihukum mati tidak diketahui.

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Dalam 2012, diskriminasi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dilihat semakin memuncak. Pada 25 Jun, Perdana Menteri Najib berucap di hadapan umum dan menegaskan bahawa golongan ini ‘tidak ada tempat di negara ini’. Pada 19 Julai pula, di hadapan lebih 11,000 iman dan ahli jawatankuasa masjid, beliau menyeru semua supaya ‘menentang habis-habisan’ fahaman LGBT ini.

Pada bulan Mac, Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk mendapatkan semakan semula kehakiman yang difailkan oleh Seksualiti Merdeka bagi mencabar keputusan polis mengharamkan Festival Seksualiti pada November 2011. Hal ini telah meletakkan masa depan festival tahunan itu dalam keadaan yang tidak tentu.

Dua keputusan mahkamah pada Oktober melibatkan transeksual juga telah mencetuskan kebimbangan: dalam kes pertama, permohonan seorang transeksualuntuk menukar butiran  jantinanya daripada lelaki kepada  perempuan di dalam kad pengenalannya ditolak; dan dalam kes kedua, diputuskan bahawa lelaki beragama Islam yang dilahirkan sebagai lelaki tidak boleh berpakaian seperti wanita.

Pihak Kerajaan menolak usaha-usaha untuk memansuhkan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang menjenayahkan "perlakuan hubungan seks di luar tabii”, atau menggantikan Seksyen 377C terhadap perlakuan seks tanpa persetujuan dengan undang-undang yang lebih moden dan bersifat gender neutral terhadap jenayah rogol.

Para Pemain Utama Antarabangsa

Amerika Syarikat (AS) nampaknya tidak menggesa Malaysia agar menambah baik standard hak asasi manusia mereka di peringkat antarabangsa. Selain daripada tuntutan perbicaraan yang adil untuk Anwar Ibrahim, AS lebih menekankan kerjasama keselamatan daripada menyuarakan tentang hak asasi. Semasa rundingan perdagangan bebas Trans-Pacific Pact, AS telah gagal menyoal Malaysia atas pelanggaran hak asasinya.

Walaupun Malaysia adalah ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia (HRC) PertubuhanBangsa-Bangsa Bersatu, ia belum menandatangani atau meratifikasi perjanjian hak asasi yang paling utama. Kerajaan Malaysia juga masih terus berusaha menghalang perlindungan atas dasar orientasi seksual dan identiti gender dalam deklarasi hak asasi manusia Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan menyekat usaha bagi merunding perlindungan dan pengembangan hak-hak pekerja migran di ASEAN.