(New York) – Akta Keselamatan Negeri Malaysia (ISA), yang memberi kuasa tidak terhad kepada kerajaan untuk menahan individu-individu untuk tempoh masa yang lama tanpa sebarang dakwaan, adalah merupakan suatu proses penganiayaan, Human Rights Watch berkata hari ini.
Dalam satu laporan baru yang disiarkan hari ini, Human Rights Watch mendesak supaya dimansuhkan ISA yang berusia empat puluh lima tahun itu, yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan yang menghalang semakan kehakiman ke atas penahanan tersebut. Laporan Detained Without Trial: Abuse of Internal Security Act Detainees in Malaysia, adalah berdasarkan wawancara dengan ahli keluarga tahanan ISA yang ada sekarang, peguam mereka, dan penyataan bertulis tahanan ISA itu sendiri. Ia mendokumenkan penderaan fizikal, layanan buruk, dan pengaiban ke atas lebih dua puluh lima orang tahanan di Pusat Tahanan Kamunting pada Disember 2004. Tiada seorang pun daripada tahanan ini didakwa atau dibicarakan.
“Mereka yang ditahan di bawah ISA dianggap sebagai satu kumpulan yang tidak mempunyai sebarang hak, oleh itu tidak hairanlah kenapa pengawal penjara memberikan layanan buruk seumpama mereka bukan manusia,” kata Brad Adams, pengarah eksekutif Human Rights Watch Bahagian Asia.
Menurut keterangan saksi, tahanan ISA tersebut dipukul, didera dan diaibkan dalam satu kejadian pada Disember 2004 apabila pengawal penjara, yang bersenjatakan cota, perisai dan kelengkapan rusuhan mengasari dan menggari tahanan-tahanan tersebut. Mohamad Faiq bin Hafidh, yang ditahan sejak Januari 2002, menggambarkan kejadian 8 dan 9 Disember, 2004, di Pusat Tahanan Kamunting itu. Dia menulis:
Tangan saya diikat…dan kepala saya ditekan hingga paras dada. Kepala saya dipukul dengan cota dan mata saya juga dipukul, menyebabkan ianya cedera. Apabila saya sampai di bilik ke tujuh [blok sel tersebut], saya secara berterusan dipukul dan dipaksa telanjang, diarahkan merangkak sambil memasuki bilik dan punggung saya ditendang dan begitulah caranya saya tersungkur ke dalam, dalam keadaan telanjang.
Tiada seorang pegawai penjara pun yang dikenakan tindakan tatatertib dan pihak kerajaan tidak mendedahkan kepada orang ramai berkenaan dengan hasil siasatannya dalam kejadian itu. Permintaan Human Rights Watch untuk melawat Pusat Tahanan Kamunting dan mewawancara pengarah Kamunting atau pegawai kerajaan yang arif tentang kejadian itu telah ditolak. Kebanyakan daripada 112 orang yang buat masa ini ditahan di Malaysia di bawah ISA ditahan atas dakwaan bersekongkol dengan kumpulan pejuang Islam, namun pihak kerajaan telah meluaskan kegunaan ISA supaya termasuk individu yang dituduh melancong dan memalsukan dokumen dan mengugut untuk menggunakannya terhadap pengamal agama yang dianggap oleh kerajaan sebagai “telah menyeleweng.” Sesetengah daripada tahanan itu telah ditahan selama lebih empat tahun.
Human Rights Watch berkata bahawa tahanan-tahanan ISA tersebut tidak mempunyai jalan yang efektif untuk mencabar penahanan mereka kerana undang-undang menghalang mahkamah daripada menyemak semula merit-merit penahanan ISA. Walau pun undang-undang membenarkan semakan kehakiman ke atas syarat-syarat prosedur penahanan, mahkamah Malaysia kerap menolak petisyen habeas corpus yang mencabar penahanan ISA.
Kerajaan Malaysia mengakui bahawa ia memilih untuk tidak mendakwa tahanan ISA tersebut. Pada Julai 2005, seorang menteri kabinet, Datuk Mohamed Nazri memberitahu Human Rights Watch, “Mereka [tahanan ISA] tidak melakukan sebarang jenayah kerana ISA adalah berbentuk ‘preventive.’ Oleh itu, mereka tidak boleh dibawa ke Mahkamah. Kerajaan ada maklumat bahawa sesuatu akan berlaku. Kita tidak boleh menunggu sehingga ia berlaku. Nyawa dan harta benda akan terancam. Jadi sebelum sesuatu berlaku mereka perlu ditahan.”
Human Rights Watch berkata bahawa ia mengakui kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk melindungi penduduknya daripada serangan pihak pengganas dan membawa orang yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut ke muka pengadilan. Tetapi kerajaan Malaysia masih belum membuktikan bahawa mana-mana daripada individu yang ditahannya benar-benar melakukan sebarang aktiviti yang salah dari segi undang-undang, atau tidak boleh didakwa di bawah undang-undang yang sedia-ada.
“Polisi Malaysia menjurus kepada badan eksekutif menganggap kesalahan orang-orang tersebut tanpa dituduh atau dibicarakan,” kata Adams. “Anggapan bahawa seseorang itu tidak bersalah tidak wujud bagi tahanan ISA.”
Sejak 1960 undang-undang telah disalahgunakan oleh Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang memerintah untuk menutup mulut pengkritik, menyebabkan lebih daripada sepuluh ribu orang ditahan.
Human Rights Watch berkata bahawa peruntukan ISA mencabuli piawai hak asasi manusia antarabangsa, termasuk larangan ke atas penahanan sewenang-wenangnya, jaminan ke atas hak terhadap proses wajar, dan hak terhadap perbicaraan segera dan tidak berat sebelah. Malaysia patut menghentikan penggunaan penahanan ISA-nya dan bergantung kepada undang-undang jenayahnya yang teguh dan badan kehakiman yang berupaya mengendalikan jenayah keselamatan dan jenayah lain yang didakwa.
“Malaysia berazam menjadi pemimpin dalam rantau ini dan sebuah negara maju pada tahun 2020,” kata Adams. “ISA bukanlah petunjuk bagi kepimpinan atau pembangunan—ia adalah petunjuk bagi penindasan.”
Humans Rights Watch berkata bahawa pengkritik jangkamasa panjang ISA, terutamanya Amerika Syarikat, telah mendiamkan diri sejak 11 September, 2001, serangan di New York dan Washington, D.C. Pegawai kanan Jabatan Negerinya, apabila disoal tentang ISA, memberitahu Human Rights Watch pada Disember 2003, “Dengan apa yang kami lakukan di Guantánamo, adalah sukar untuk kami mendesak perkara ini.” Seorang menteri kabinet Malaysia, Datuk Mohamed Nazri, mengesahkan perkara ini, dan memberitahu Human Rights Watch bahawa Amerika Syarikat tidak lagi mengkritik penggunaan ISA oleh Malaysia disebabkan oleh apa yang diamalkan pusat tahanan Amerika Syarikat di Guantánamo Bay.
Human Rights Watch mendesak supaya dimansuhkan ISA, untuk melepaskan segera atau membicarakan individu-individu yang ditahan di bawah ISA, dan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas untuk menyiasat berkenaan dengan penderaan yang didakwa dilakukan pada Disember 2004.
Pada Mei 2004, Human Rights Watch mengeluarkan suatu laporan, In the Name of Security: Counterterrorism and Human Rights Abuses Under Malaysia’s Internal Security Act, yang membutirkan secara terperinci tentang penderaan yang dilakukan terhadap tahanan ISA sepanjang tempoh 60 hari pertama mereka dalam tahanan.