(Kuala Lumpur) Beribu-ribu pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia menghadapi penderaan dan dalam kesengsaraan disebabkan polisi-polisi kerajaan di kedua-dua negara yang gagal untuk memberi perlindungan kepada mereka, kata Human Rights Watch (HRW) di dalam suatu laporan baru yang dikeluarkan hari ini.

Lebih dari 90% daripada pembantu-pembantu rumah di Malaysia adalah warga Indonesia. Laporan HRW yang telah mendokumentasikan bagaimana pada kebiasaannya mereka akan bekerja tanpa rehat selama 16 hingga 18 jam sehari, 7 kali seminggu dan meraih pendapatan yang kurang daripada AS $0.25 sejam.

Buruh-buruh migran di seluruh dunia memulangkan pendapatan sebanyak AS$90 biliun ke negara-negara membangun, jauh mengatasi bantuan kewangan asing. Terjadi peningkatan tenaga buruh migran yang terdiri dari wanita. Di Indonesia, 76% dari buruh-buruh asing yang sah pada tahun 2002 adalah wanita.

Kebanyakan daripada tenaga buruh asing ini bertumpu di sektor pendapatan yang sangat rendah dan tidak terselaras seperti sektor pembantu rumah/pekerja domestik.

Undang-undang di Malaysia tidak merangkumi pembantu-pembantu rumah di dalam akta-akta perlindungan hak pekerja dan di Indonesia masih belum ada undang-undang yang khusus melindungi pekerja-pekerja migran. Menurut HRW, kedua-dua negara harus memperbaiki undang-undang kerja, mengawasi ketat agensi-agensi buruh, dan menyediakan khidmat-khidmat sokongan untuk penderita.

Menurut Pengarah Eksekutif Bahagian Hak Wanita HRW, LaShawn Jefferson, “Pembantu rumah Indonesia dilayan sebagai manusia kelas kedua”. Beliau menyatakan “Malaysia dan Indonesia secara aktif harus melindungi hak-hak pekerja wanita ini daripada membiarkannya kepada agensi-agensi buruh yang turut bertanggungjawab melakukan penderaan terhadap wanita-wanita ini.”

Laporan HRW 110-muka surat itu “Bantuan Segera: Penderaan terhadap Pekerja Pembantu Rumah Wanita di Indonesia dan Malaysia” mendokumentasikan penderaan dan eksploitasi yang dialami oleh pekerja-pekerja wanita pada setiap peringkat proses migrasi.

Kebanyakan pembantu-pembantu rumah ini dilarang meninggalkan rumah dan jumlah tidak diketahui menghadapi tekanan psikologi, penyiksaan fizikal dan seksual dari agen-agen buruh dan majikan. Ada di antara pembantu-pembantu rumah menjadi mangsa penyeludupan dan pekerja paksaan. Mereka ini telah ditipu berkenaan keadaan dan jenis pekerjaan, dikurung di tempat kerja dan tidak menerima apa-apa gaji langsung.

Menurut HRW juga, agensi-agensi buruh di Indonesia dan Malaysia menguasai kebanyakan aspek immigrasi dan proses penempatan tanpa kawalan oleh kedua-dua pihak kerajaan. Di Indonesia, agensi buruh memperlakukan pemohon-pemohon pekerjaan ini melalui ugutan, proses pengambilan secara diskriminasi dan ditahan berbulan-bulan di pusat-pusat latihan yang terlalu sesak. Di Malaysia, agen-agen buruh ini langsung tidak mengendahkan aduan-aduan daripada wanita-wanita ini dan tuntutan mereka untuk ingin kembali ke tanah air.

HRW juga menyatakan bahawa kebanyakan majikan akan menyimpan gaji pekerja sehingga tamat tempoh kontrak 2 tahun. Kebanyakan dari pembantu-pembantu rumah tidak pernah dibayar gaji sepenuhnya dan tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan keadilan.

Wanita-wanita Indonesia meninggalkan segala-galanya untuk mencari hidup di Malaysia, kata Varia. “Kebanyakan akan kembali ke tanahair mereka tanpa pendapatan wang yang sememangnya hak mereka manakala pihak-pihak lain dalam proses ini telah mengaut keuntungan daripada mereka ini”.

Indonesia dan Malaysia kini sedang dalam proses perundingan Memorandum Persefahaman bagi Pekerja Asing Pembantu-pembantu Rumah. HRW mengalu-alukan initiatif ini tetapi mengingatkan untuk memastikan bahawa persetujuan ini mengandungi hak kebebasan pergerakan dan hak menyertai pertubuhan termasuk kontrak pekerjaan yang melindungi sepenuhnya hak pekerjaan dan mengandungi peruntukan yang khusus untuk mendapatkan keadilan dalam kes-kes penderaan.

HRW menggesa kerajaan Indonesia dan Malaysia untuk mengambil kira beberapa pembaharuan-pembaharuan yang disyorkan seperti berikut:-

- Memperbaiki perlindungan undang-undang dengan menggubal akta perlindungan pekerja asing dan juga meminda akta pekerjaan dan akta imgresen yang sedia ada untuk memberi perlindungan yang adil dan sama kepada pembantu-pembantu rumah;

- Menyelaraskan dan memantau dengan ketat amalan-amalan agensi-agensi buruh serta keadaan di pusat-pusat latihan di Indonesia;

- Memeriksa keadaan tempat kerja di Malaysia dan menyediakan mekanisma aduan yang mudah untuk pembantu-pembantu rumah migran yang mengalami penderaan;

- Menyediakan sumber bagi memperbaiki akses pekerja-pekerja kepada perkhidmatan kesihatan, guaman serta khidmat-khidmat sokongan yang lain; dan

- Memperbaiki langkah-langkah mencegah dan tindak balas terhadap penyeludupan manusia bagi pekerja paksaan.

HRW juga menggesa penderma antarabangsa serta ASEAN memberi sokongan terhadap initiatif-initiatif seperti persetujuan pelbagai pihak dalam melindungi hak-hak buruh-buruh asing.

Beberapa kenyataan (testimony) pembantu-pembantu rumah asing dan agen buruh dipaparkan di laporan tersebut. (Nama pekerja-pekerja wanita tersebut adalah dilindungi untuk menjaga privacy mereka dan untuk mengelak dari tindak balas.)

Nyatun Wulandari, umur 23, menyatakan: “Saya bekerja untuk 5 orang. Anak-anak mereka sudah dewasa. Saya membersihkan rumah, dapur, mencuci lantai, menyeterika, vakum, dan cuci kereta. Saya bekerja dari 5.00 pagi hingga 2 pagi setiap hari. Saya tidak pernah mempunyai masa rehat. Saya hanya mencuri masa untuk rehat. Saya hanya dibayar sekali, RM200.00 (AS $52,63). Saya tidur beralas tikar di lantai dapur. Saya tidak dibenarkan ke luar rumah.”

Jumilah Ratnasari, umur 32, menyatakan: “Terdapat lebih 700 orang [di pusat latihan]. Ada yang menjadi gila. Mereka semua wanita…. Ada yang terpaksa menunggu sehingga 6 bulan. Kebanyakkanya mahu keluar tetapi terpaksa membayar satu juta rupiah (AS $122) untuk berbuat begitu. Ramai yang larikan diri. Kami tidak dibenarkan ke luar. Terdapat banyak pengawal---yang ketat---dan pintu yang dikunci…. Pengawal-pengawal akan dihukum sekiranya orang larikan diri. Pengawal-pengawal akan menghubungi agen di Lombok untuk memeriksa sama ada pekerja-pekerja pulang ke rumah.”

Arianti Harikusumo, umur 27, menyatakan: “Apabila saya meminta gaji saya, saya dipukul oleh majikan. Saya tidak pernah mendapat gaji, majikan tidak memberi saya gaji. Majikan tidak memberi saya seringgit pun. Jikalau majikan keluar mana-mana, mereka akan kunci pintu dari luar dan menyimpan kunci. Majikan saya suruh saya jangan bercakap dengan jiran. Saya dilarang untuk memakai telefon ataupun menulis surat. Saya meminta majikan untuk menulis surat kepada keluarga saya tetapi mereka enggan.”

Susanti Pramono, umur 20 menyatakan: “Bila si isteri (majikan) pergi menghantar anak-anak ke rumah nenek, si suami akan berada di rumah…. Dia telah merogol saya berkali-kali. Sekali sehari dan berterusan setiap hari selama 3 bulan. Dia sering memukul saya karena saya enggan mahu mengadakan seks dengannya.”