Skip to main content
Sebuah pusat tahanan imigresen di Kuala Lumpur, Malaysia, 23 Februari 2023.  © 2023 REUTERS/Hasnoor Hussain

(Bangkok) – Kerajaan baharu  Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh dikatakan gagal menunaikan janji-janjinya untuk menangani penindasan dan rasuah pada 2023, begitu menurut kenyataan Human Rights Watch dalam Laporan Dunia 2024 hari ini.

"Dalam tahun pertamanya memegang jawatan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengkhianati janji-janji reformasinya kepada pengundi Malaysia semata-mata untuk mengekalkan kerajaan perpaduannya," kata Shayna Bauchner, penyelidik Asia di Human Rights Watch. "Kerajaan patut kembali kepada komitmennya untuk menghormati hak asasi dengan melaksanakan janji-janjinya yang ketika ini sudah diketepikan."

Dalam edisi ke-34 Laporan Dunia Human Rights Watch 2024 dengan 740 halaman, ia menilai amalan hak asasi untuk lebih dari 100 negara. Dalam kata pengantarnya, Pengarah Eksekutif Tirana Hassan berkata, tahun 2023 meninggalkan kesan amat mendalam, bukan hanya kerana penindasan hak asasi dan kezaliman jenayah perang , bahkan kerana sikap negara-negara yang 'memilih bulu' dan tidak adil dalam kemarahan mereka, serta diplomasi murahan yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan hak golongan yang terpinggir. Namun, Tirana menyatakan masih ada harapan, terdapat usaha ke arah hala tuju yang berbeza, justeru beliau menyeru negara-negara agar konsisten mematuhi kewajipan hak asasi manusia masing-masing.

Kerajaan yang diterajui Anwar, yang dilantik sebagai perdana menteri pada November 2022, telah mengambil beberapa langkah pembaharuan yang positif. Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada Julai telah memansuhkan hukuman mati mandatori untuk 12 kesalahan yang membawa hukuman tersebut, manakala untuk 7 kesalahan lain, hukuman mati dihapuskan sebagai hukuman yang boleh dipilih mahkamah. Namun, undang-undang baharu ini masih mengekalkan hukuman mati bagi jenayah mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu hukuman yang paling kerap dalam kalangan banduan yang berdepan hukuman gantung sampai mati.

Kerajaan gagal menunaikan komitmen untuk memansuhkan atau meminda undang-undang yang menindas, termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang terus disalahgunakan untuk menghukum kebebasan bersuara. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, selaku badan pengawalseliaan, mengelurkan perintah larangan akses terhadap beberapa portal berita dalam talian untuk mengekang suara-suara kritis. Namun, ia mempertahankan larangan tersebut atas alasan bagi menangani "penyebaran maklumat palsu, kandungan yang menghina, dan fitnah."

Malaysia tidak memberikan status undang-undang kepada pelarian, menyebabkan mereka tidak dapat bekerja secara rasmi atau mendaftar di sekolah-sekolah kerajaan. Kerajaan baharu masih menafikan akses Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ke pusat tahanan imigresen, sedangkan 10,000 hingga 18,000 migran dan orang pelarian – termasuk lebih 1,000 kanak-kanak – ditahan di pusat tahanan imigresen dalam keadaan sesak dan tidak berperikemanusiaan. Dari Januari hingga Mei, pihak berkuasa mengusir pulang lebih 18,000 migran dari pusat-pusat tahanan ini.

Diskriminasi terhadap warga lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) yang disokong kerajaan masih berleluasa. Pada Januari, Anwar menolak kemungkinan bahawa golongan LGBT di Malaysia akan diiktiraf dan dilindungi di bawah kerajaannya.

Kerajaan juga mengkritik tindakan Kesatuan Eropah yang menerima pakai

Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang berkuat kuasa pada Jun, yang mewajarkan syarikat-syarikat EU membuktikan produk import dan eksport mereka tidak terkait dengan pemusnahan hutan dan menegakkan hak asasi manusia.

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country