Skip to main content

Malaysia

Peristiwa 2023

Sebuah pusat tahanan imigresen di Kuala Lumpur, Malaysia, 23 Februari 2023. 

© 2023 REUTERS/Hasnoor Hussain

Sepanjang tahun pertamanya sebagi perdana menteri, Anwar Ibrahim, yang merupakan bekas tahanan politik, boleh dikatakan gagal memenuhi janji-janjinya untuk  menangani penindasan dan rasuah. Biarpun pemansuhan hukuman mati mandatori oleh kerajaan adalah langkah penting, hukuman gantung sampai mati masih wujud dan merupakan antara hukuman yang masih boleh dijatuhkan dalam beberapa kes jenayah. Sementara itu, pihak berkuasa masih mengamalkan undang-undang yang bersifat kabur dan 'tangkap muat' untuk menghukum kebebasan bersuara. Bahkan, pihak berkuasa turut menyasarkan orang pelarian, migran dan golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) menggunakan retorik kebencian serta tangkapan.

Kebebasan Ekspresi dan Berhimpun

Kerajaan baharu masih mengamalkan undang-undang yang menindas, biarpun sudah berjanji untuk membawakan pembaharuan kepada, antara lain, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

Pada Februari, polis menangkap dua remaja di bawah seksyen 233 CMA, berhubung "penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," dan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, bersabit sebuah video TikTok di mana mereka mengkritik sebuah peperiksaan sejarah menggunakan "kata-kata kesat." William Khor Wai Loon dituduh pada Mac mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan seksyen 233 CMA bersabit sebuah hantaran Instagram yang menghina Agong. Reymi Abdul Rahim pula dituduh pada Julai di bawah seksyen 233 CMA bersabit hantaran Twitter yang didakwa menghina sultan Johor dan keluarga diraja Johor.

Pada Julai, ahli politik pembangkang yang juga menteri besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa di bawah Akta Hasutan kerana kenyataannya menyentuh kedudukan raja-raja Melayu. Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan dakwaan tersebut dan menyatakan, dalam hal ini penggunaan Akta Hasutan tidak dapat dielakkan kerana ia menyentuh "soal kedudukan dan martabat raja-raja Melayu."

Pada September, Mahkamah Rayuan menolak rayuan penceramah bebas, Wan Ji, lalu memerintahkannya untuk memulakan hukuman sembilan bulan bersabit hantaran Facebook yang menghina Sultan Selangor.

Polis menangkap aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, juga dikenali sebagai Chegubard, pada 14 September bersabit sebuah video TikTok yang mengkritik perdana menteri. Polis sekali lagi memanggil Chegubard dan beberapa orang lain untuk disoal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 susulan perhimpunan pada Hari Malaysia (16 September), sebagai protes ke atas penarikan balik tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi dan Digital, melaksanakan larangan akses kepada beberapa portal berita dalam talian bagi menyekat suara-suara lantang dan kritikal. Antara Jun hingga Ogos, MCMC telah menyekat laman seperti MalaysiaNow, UtusanTV, Malaysia Today, dan TV Pertiwi. Namun, MCMC mempertahankan larangan tersebut sebagai langkah untuk menangani "penyebaran maklumat palsu, kandungan yang menghina, dan fitnah."

Pada Jun, MCMC turut menyatakan bakal mengambil tindakan perundangan terhadap syarikat Meta kerana didakwa gagal menurunkan kandungan yang memudaratkan daripada Facebook, yang membabitkan “elemen kaum, institusi diraja, agama (3R), fitnah, penyamaran, judi dalam talian dan iklan-iklan penipuan." Kerajaan turut mengkaji CMA supaya pindaan boleh dibuat untuk memberi kuasa yang lebih besar kepada MCMC dan menambah hukuman di bawah Seksyen 233.

Pada September, kerajaan mengharamkan filem "Mentega Terbang" di bawah Akta Penapisan Filem, yang mengangkat tema agama dan kesedihan. Malah, filem tersebut dikeluarkan daripada platform penstriman pada Mac susulan ancaman dan kecaman yang meluas daripada golongan konservatif agama.

Orang Pelarian, Pemohon Suaka dan Migran

Malaysia bukanlah ahli Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai prosedur domestik untuk mengawal selia permohonan suaka. Kira-kira 180,000 orang pelarian dan pemohon suaka—majoritinya dari Myanmar, termasuk lebih 100,000 warga Muslim Rohingya—berdaftar dengan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), tetapi mereka tidak diberikan status undang-undang. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat bekerja secara rasmi atau mendaftar di sekolah-sekolah kerajaan.

Kerajaan baharu masih menafikan akses UNHCR ke pusat tahanan imigresen. UNHCR telah dihalang daripada membuat penilaian perlindungan yang diperlukan oleh orang tahanan sejak Ogos 2019. Berdasarkan laporan parlimen, antara 10,000 hingga 18,000 migran dan orang pelarian sedang ditahan di pusat tahanan imigresen di seluruh negara, termasuk lebih 1,000 kanak-kanak.

Tahanan imigresen terperuk dalam keadaan sesak, tidak bersih, sering berdepan layanan yang memalukan serta penderaan fizikal dan psikologi selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya, tanpa pengawasan mahkamah. Pada Februari dan April, menteri dalam negeri menyatakan kerajaan bakal membebaskan kanak-kanak dari pusat tahanan imigresen, namun, masih belum ada perkembangan setakat ini.

Dari Januari hingga Mei, kerajaan menyatakan bahawa pihak berkuasa telah mengusir pulang lebih 18,000 migran dan pemohon suaka tanpa dokumen dari pusat tahanan imigresen.

Pada Januari, pihak berkuasa mengusir pulang 114 warganegara Myanmar, termasuk kanak-kanak, tanpa memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan permohonan suaka. Ini merupakan pelanggaran yang jelas terhadap larangan 'refoulement' di sisi undang-undang adat antarabangsa, yakni, menghantar pelarian pulang secara paksa ke sebuah negara yang wujud ancaman terhadap nyawa atau kebebasan mereka. Rentetan rampasan kuasa oleh pihak tentera di Myanmar, pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah penggantungan ke atas pengusiran pulang pemohon suaka. Namun, penggantungan tersebut ditarik balik pada Disember 2022.

Pada Ogos dan awal September 2023, berikutan serbuan, pihak berkuasa menahan beratus-ratus migran tanpa dokumen, termasuk kanak-kanak.

Pada 4 Julai, aktivis yang juga pelarian dari Myanmar, Thuzar Maung dan keluarganya diculik oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali dari rumah mereka di Kuala Lumpur. Keberadaan mereka masih tidak diketahui.

Sistem Kehakiman Jenayah

Parlimen meluluskan dua rang undang-undang pada April bagi memansuhkan hukuman mati mandatori. Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada Julai, memansuhkan hukuman mati mandatori untuk 12 kesalahan yang membawa hukuman tersebut, manakala untuk 7 kesalahan lain, hukuman mati dihapuskan daripada senarai hukuman. Namun, undang-undang baharu ini masih mengekalkan hukuman mati bagi jenayah mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu hukuman paling kerap dalam kalangan banduan yang berdepan hukuman gantung sampai mati.

Malaysia menahan individu tanpa perbicaraan di bawah undang-undang yang restriktif. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membenarkan penahanan preventif sehingga 28 hari tanpa semakan mahkamah untuk pelbagai "kesalahan keselamatan" yang luas takrifannya. Bahkan, tatacara berkenaan bukti dan prosedur perbicaraan yang dilaksanakan juga berbeza untuk kesalahan bersabit SOSMA, selain tidak dibenarkan ikat jamin. Pada Julai, ahli keluarga 69 tahanan di bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di luar Penjara Sungai Buloh. Polis telah menyiasat protes tersebut di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) memberi kuasa kepada lembaga lantikan pihak berkuasa untuk memerintahkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun, yang boleh dilanjutkan tanpa had tempoh.

Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai adalah sebuah suruhanjaya yang lemah tanpa sebarang kuasa untuk membuat serbuan dan rampasan, kuasa yang terhad untuk mengarahkan agar bukti dikemukakan, dan tiada kuasa untuk menjalankan perbicaraan.

Kebebasan Beragama

Malaysia menyekat hak penganutnya daripada mengikuti fahaman Islam selain Sunni. Pengikut Syiah atau aliran lain berisiko ditangkap atas dakwaan menyelewengkan agama. Pada Mac, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Sisters in Islam (SIS), iaitu sebuah kumpulan masyarakat sivil yang mengangkat hak wanita Muslim, untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan pada 2014, yang mengisytiharkan kumpulan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. SIS telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan mereka.

Pada April, Siti Nuramira Abdullah didenda RM8,000 (AS$1,800) di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan bersabit kesalahan membuka tudung serta menanggalkan baju kurung yang dipakainya (sejenis baju tradisi), sewaktu persembahan komedi terbuka pada 2022.

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap warga LGBT yang disokong kerajaan masih berleluasa di Malaysia, termasuklah amalan “conversion” yang merupakan usaha untuk menukar orientasi seksual dan identiti gender warga LGBT. Undang-undang persekutuan menghukum “seks di luar tabii”, yang ditafsirkan sebagai seks suka sama suka sesama jenis, sehingga 20 tahun dalam penjara serta sebatan mandatori. Undang-undang Syariah di peringkat persekutuan dan negeri juga mentakrifkan hubungan seks sesama jenis dan ketidakpatuhan gender sebagai jenayah.

Pada Januari, Anwar menolak pendapat bahawa golongan LGBT di Malaysia akan diiktiraf dan dilindungi di bawah kerajaannya. Beliau berkata: "Kadang orang politik ini dia kata umpama kalau Anwar jadi perdana menteri... LGBT disahkan. Ini igauan siang hari. Tentunya tidak berlaku."

Pada Ogos, Kementerian Dalam Negeri mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan berkaitan LGBT, queer, dan plus (LGBTQ+) yang terdapat pada mana-mana produk jam Swatch, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang bersifat drakonian, termasuk larangan terhadap pengeluaran, import, penjualan, pengedaran, atau pemilikan jam tangan tersebut dan bahan berkaitan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun. Pihak berkuasa merampas jam-jam tangan tersebut dari semua pasaraya pada bulan Mei.

Kementerian Komunikasi dan Digital mengarah pembatalan baki dua hari acara Good Vibes Festival pada Julai, berikutan tindakan ahli kumpulan The 1975 bercium sebagai protes terhadap undang-undang anti-LGBT di Malaysia.

Hak Wanita

Pada Februari, Kabinet mengumumkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing. Akan tetapi, pindaan tersebut turut meletakkan syarat yang berisiko melanjutkan status tanpa warganegara (stateless) kanak-kanak terbabit. Ketika laporan ini ditulis, pindaan tersebut telah dibincangkan di kabinet dan sudah dipersembah kepada Majlis Raja-Raja.

Pada Mac, polis membuka kertas siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil bersabit perarakan sempena Hari Wanita di Kuala Lumpur.

Alam Sekitar dan Hak Orang Asli

Komuniti Orang Asli terus-menerus diketepikan dan terpaksa berpindah akibat aktiviti perniagaan yang dilakukan tanpa rundingan dan pampasan yang sewajarnya untuk mereka.

Pada Januari, Mahkamah Rayuan memerintahkan kerajaan negeri Johor untuk memindahkan 135 keluarga Orang Asli suku kaum Seletar ke penempatan baharu kerana tanah mereka telah dijual kepada pemaju.

Pada 4 Julai, polis menahan seorang lelaki Orang Asli yang membantah kehadiran juruukur syarikat pembalakan di Pahang. Syarikat tersebut dilaporkan sedang membuat persiapan untuk membalak di kawasan lindungan tadahan air, di tanah adat Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Ibam.

Sebuah kumpulan Orang Asli membuat laporan polis pada September bagi mewakili 1,000 penduduk di Gua Musang yang mendakwa projek pembalakan dan perladangan telah mengakibatkan pencerobohan  di penempatan mereka sejak beberapa bulan.

Pada September, Kumpulan Samling, sebuah syarikat multinasional Malaysia dalam industri kayu dan kelapa sawit, menarik balik tuntutan fitnah terhadap organisasi Orang Asli SAVE Rivers selepas mencapai penyelesaian. Saman itu difailkan pada 2021 atas dakwaan, penerbitan SAVE Rivers yang menyebut Samling gagal memperoleh persetujuan bebas, lebih awal, dan bermaklumat (Free, Prior, Informed Consent) daripada komuniti Orang Asli sebelum menebang di tanah adat mereka, berunsur fitnah.

Kerajaan telah mengkritik pengenalan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) oleh Kesatuan Eropah (EU) yang berkuat kuasa pada Jun. Peraturan tersebut mewajibkan syarikat-syarikat EU untuk membuktikan produk import dan eksport mereka tidak bersabit pemusnahan hutan dan menegakkan hak asasi manusia. Malaysia, Indonesia, dan EU telah menubuhkan sebuah pasukan kerja bersama untuk merundingkan perdagangan minyak kelapa sawit di bawah EUDR.

Sementara itu, kerajaan sedang mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan projek pengimbangan karbon, khususnya di kawasan berhutan. Akan tetapi, pihak berkuasa negeri tidak mempunyai dasar yang menyeluruh untuk melindungi hak asasi manusia dan mengurangkan risiko kepada komuniti-komuniti. Kerajaan juga belum mengiktiraf pemilikan karbon oleh masyarakat Orang Asli di tanah adat mereka.