Skip to main content

Malaysia: Hentikan Penahanan Anwar Ibrahim

Pemenjaraan Ketua Pembangkang Memperolok Pernyataan Demokrasi

(New York, 9 Februari 2016)- Pada ulangtahun pertama penahanan Anwar Ibrahim atas tuduhan-tuduhan yang berbaur politik, kerajaan Malaysia sepatutnya membebaskan bekas perdana menteri dan ketua pembangkang politik tanpa syarat, ujar Human Rights Watch hari ini. Kerajaan Malaysia sepatutnya juga memastikan bahawa Anwar Ibrahim mendapat perkhidmatan perubatan yang sewajarnya ketika dipenjara dan memudahkan perjalanannya ke luar negara untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit serius yang sedang dialami beliau dalam penjara sepertimana yang telah dilaporkan.

Anwar Ibrahim berucap di sebuah perhimpunan sehari sebelum keputusan rayuan akhirnya di Kuala Lumpur pada 9 Februari 2015. © 2015 Reuters

“Pensabitan Anwar Ibrahim oleh Malaysia adalah berbaur politik, dan beliau sudah pun merana selama setahun dalam penjara akibat ketidakadilan ini,” ujar Phil Robertson, timbalan pengarah Asia di Human Rights Watch. “Setiap hari Anwar berada di dalam penjara, keyakinan dalam sistem keadilan semakin terhakis. Kerajaan sepatutnya membebaskan Anwar dan memansuhkan undang-undang negara berkenaan liwat yang bersifat mendera dan lapuk.”

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Anwar bersalah atas kesalahan liwat di bawah kanun keseksaan Malaysia. Anwar ditahan dan dengan serta-merta menjalani hukuman lima tahun penjara. Satu permintaan untuk pengampunan ditolak pada bulan Mac 2015. Rayuan atas keputusan menolak permintaan tersebut masih belum diputuskan.

Pada bulan November 2015, Kumpulan Gerak Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Penahanan Sewenang-Wenang mendapati bahawa pemenjaraan Anwar melanggar larangan-larangan penyeksaan, atau layanan kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah. Secara khususnya, Kumpulan Gerak Kerja tersebut mendapati bahawa “remedi yang sewajarnya adalah membebaskan Encik Ibrahim dengan segera, dan memastikan hak-hak politiknya yang ditarik berdasarkan penahanan sewenang-wenangnya itu dikembalikan semula.”

Polis telah menangkap Anwar pada 16 Julai 2008, berdasarkan aduan daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan, seorang pembantu politik, bahawa Anwar melakukan seks secara rela dengannya. Perbicaraan asal telah dicemari kebimbangan-kebimbangan berkenaan perbicaraan yang adil, termasuk keengganan pihak pendakwa untuk memberikan peguam-peguam pembela akses kepada bukti perubatan dan bukti-bukti lain terhadap anak guam mereka. Walaubagaimanapun, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar pada 9 Januari 2012, dengan memutuskan bahawa sampel-sampel DNA yang merupakan perkara utama dalam kes pendakwaan tidak dikendalikan atau dikekalkan dengan sebaiknya dan oleh yang demikian mungkin dicemari. Hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa satu-satunya bukti utama lain adalah kenyataan-kenyataan mangsa, yang mana tidak disokong.

Kerajaan merayu keputusan tersebut dan pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan pembebasan tersebut dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar. Perbicaraan rayuan yang pada asalnya dijadualkan pada bulan April, telah dengan tergesa-tergesa diawalkan pada 6-7 Mac. Keputusan dan perbicaraan penjatuhan hukuman dijalankan pada hari yang sama walaupun peguam-peguam pembela telah memohon agar mereka diberi lebih masa, termasuk keperluan bukti perubatan. Perbicaraan penjatuhan hukuman dijalankan selepas sejam waktu berehat pada hari perbicaraan berjalan sehingga pukul 5 petang.

Pensabitan ke atas Anwar telah menghalangnya daripada bertanding untuk kerusi dewan negeri di Selangor pada 23 Mac. Jika beliau diberi kebenaran untuk bertanding dan memenangi kerusi tersebut, beliau akan layak untuk mendapatkan jawatan menteri besar Selangor, satu perkembangan yang ditentang hebat oleh gabungan Barisan Nasional.

Hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar juga membawa selanjutnya kepada penggantungannya selama lima tahun untuk bertanding untuk jawatan setelah dibebaskan dari penjara di bawah undang-undang pilihanraya Malaysia, yang mengenakan penggantungan ke atas sesiapa yang dipenjara lebih daripada setahun-kesannya adalah pengakhiran kerjaya politik beliau. Sejurus selepas pemenjaraan Anwar, Pakatan Rakyat yang merupakan pakatan parti-parti yang pernah diketuai beliau telah berpecah.

“Pensabitan dan pemenjaraan Anwar telah membuang ancaman utama kepada kerajaan Perdana Menteri Najib Razak,” ujar Robertson. “Pensabitan tersebut telah dengan efektif membuang seorang pemimpin pembangkang yang berkarisma, yang telah pun dalam usia enam puluhan, daripada bidang politik untuk sepuluh tahun minimum.

Mengikut peguam-peguamnya, Anwar sedang mengalami masalah-masalah kesihatan yang serius, termasuk satu kecederaan besar pemutar dengan otot-otot dan tendon-tendon yang terkoyak, yang mana masih belum mendapat rawatan yang sewajarnya di penjara. Peguam-peguam dan keluarga Anwar telah membangkitkan kebimbangan-kebimbangan berkenaan kesihatannya jika sekiranya beliau dirawat melalui pembedahan di Malaysia, dan telah cuba meyakinkan kerajaan untuk membenarkannya pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan. Mereka juga telah memohon jaminan bahawa sekiranya Anwar ke luar negara, kerajaan akan membenarkannya untuk pulang dan tidak cuba untuk membuangnya selamanya.

Ulangtahun pemenjaraan Anwar tiba lima hari sebelum Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ditetapkan untuk menghoskan satu sidang kemuncak dengan pemimpin-pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Amerika Syarikat. Jemputan kepada Perdana Menteri Najib Razak, yang diselubungi skandal rasuah besar melibatkan ratusan juta dolar deposit dalam bank akaun peribadinya, telah menyebabkan kemarahan masyarakat sivil di Malaysia.

“Presiden Obama tidak sepatutnya berurusan seperti biasa dengan Perdana Menteri Najib di sidang kemuncak US-ASEAN,” ujar Robertson. “Ia akan menjadi satu pengkhianatan terhadap rakyat Malaysia jika Obama tidak secara terbuka menggesa pembebasan Anwar, dan penarikan tuduhan-tuduhan berbaur politik atas hasutan dan jenayah-jenayah lain yang mana sedang dihadapi ramai aktivis-aktivis di Malaysia hari ini.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country