Skip to main content

Malaysia: Reformasi Hak Asasi Terabai

Hentikan Kengkangan terhadap Kebebasan Bersuara, Mengancam Kumpulan-kumpulan, dan Mesasarkan Ahli-Ahli Politik

(New York) – Perdana Menteri Najib Razak memungkiri janji beliau untuk memansuhkan undang-undang hasutan Malaysia dan turut memerhati tangkapan beramai-ramai ahli politik pembangkang serta aktivis sosial, kata Human Rights Watch hari ini dalam Laporan Dunia 2015 (World Report 2015). Pihak berkuasa meneruskan pendakwaan yang bermotifkan politik terhadap ahli parlimen dari parti pembangkang, Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat.

“Penukaran haluan yang memalukan oleh Perdana Menteri Najib terhadap janji beliau untuk menghentikan hasutan menunjukkan kerelaan beliau untuk mendahulukan politik sebelum hak asasi manusia,” kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia, Human Rights Watch. “Situasi hak asasi manusia di Malaysia sedang menjunam kerana kerajaan jelasnya percaya bahawa kelangsungan pemerintahan mereka bergantung kepada kengkangan terhadap kebebasan bersuara, ancaman terhadap kumpulan-kumpulan pembangkang, dan sasaran terhadap golongan yang terkemuka serta berpengaruh dengan tindakan undang-undang.”

Dalam laporan dunia edisi ke-25, setebal 656 muka surat, Human Rights Watch menilai amalan hak asasi manusia di lebih 90 negara. Dalam pengenalan laporan tersebut, Pengarah Eksekutif Kenneth Roth menggesa kerajaan-kerajaan untuk menyedari bahawa hak asasi manusia menyediakan panduan moral yang berkesan dalam situasi pergolakan, dan pencabulan hak asasi manusia boleh mencetuskan atau memburukkan lagi ancaman keselamatan yang serius. Faedah jangka pendek yang diperoleh dengan memperlekehkan nilai-nilai asas kebebasan dan tidak mendiskriminasi jarang sekali menguntungkan dalam jangka panjang.

Pada tahun 2014, pihak berkuasa Malaysia telah menahan ramai yang dilihat sebagai kritikal terhadap kerajaan, pemimpin politiknya, parti memerintah, dan sultan-sultan Malaysia di bawah Akta Hasutan. Sekurang-kurangnya 20 orang didakwa, termasuklah empat ahli parlimen dari parti pembangkang bertahap senior. Penangkapan tersebut mencetuskan bantahan umum daripada Majlis Peguam Negara dan organisasi-organisasi lain, serta semakan kehakiman terhadap akta hasutan tersebut.

Najib, yang pada 2012 telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan, mengumumkan pada 27 November 2014, bahawa undang-undang tersebut akan disemak semula dan diperkukuhkan untuk menghukum mereka yang melanggar kesucian agama Islam serta agama lain atau menyeru pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Pihak berkuasa Malaysia juga meneruskan pendakwaan bermotifkan politik untuk melumpuhkan parti politik pembangkang. Pada bulan Mac, mahkamah rayuan menukar keputusan terhadap pemimpin parlimen pembangkang Anwar Ibrahim yang mendapati beliau tidak bersalah atas tuduhan liwat pada 2012 dan seterusnya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap beliau dalam satu prosiding kehakiman yang tergesa-gesa. Jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah rayuan, beliau berdepan hukuman penjara dan akan kehilangan kerusi parlimennya. Pendakwaan berulang oleh kerajaan terhadap Anwar di bawah undang-undang liwat (kanun keseksaan seksyen 377), yang pernah hanya digunakan tujuh kali sahaja sejak 1938, menunjukkan kemudaratan yang dicetuskan oleh undang-undang yang mendiskriminasi ini selagi ia dikekalkan sebagai undang-undang.

Polis Diraja Malaysia meneruskan pencabulan hak asasi tahanan dalam tahanan polis kerana pihak polis menikmati kekebalan daripada apa-apa hukuman. Terdapat sekurang-kurangnya 10 kes baharu mengenai kematian dalam tahanan pada 2014, dan pihak polis menggunakan kekerasan yang melampau semasa penangkapan suspek. Namun, pihak polis menghalang cadangan untuk pemantauan luar yang bebas dan efektif seperti Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis yang bebas.

Imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam sederhana dicemari oleh sekatan kerajaan terhadap kebebasan bersuara dan berpersatuan pada 2014. Pendaftar Pertubuhan yang dikawal oleh kerajaan mengetatkan lagi pengawasan ketatnya terhadap kumpulan-kumpulan sivil yang dilihat sebagai kritikal terhadap kerajaan, menafikan lesen penerbitan terhadap media yang kritikal, dan mendakwa seorang aktivis dengan undang-undang penapisan filem.

Kerajaan terus menindas golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Namun, pada November 2014, dalam satu tindakan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, mahkamah rayuan Negeri Sembilan sebulat suara memutuskan bahawa ordinan undang-undang Syariah yang melarang lelaki berlagak seperti perempuan tidak berperlembagaan. Pegawai kanan kerajaan dan negeri mengkritik keputusan tersebut sebagai “anti-Islam,” dan seorang menteri kanan menyeru orang Islam untuk mempertahankan ajaran Islam “dalam apa cara sekalipun.”

“Kerajaan Malaysia kelihatan mempertahankan reputasi globalnya melalui keahlian barunya di Majlis Keselamatan PBB daripada menangani masalah hak asasi yang serius di negara ini,” kata Robertson. “Kerajaan perlu menukar haluan ke arah hak asasi manusia pada 2015 sekiranya kerajaan benar-benar mahu meningkatkan kedudukan antarabangsanya.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country