Skip to main content

World Report 2015: Malaysia

Events of 2014

Setelah kemenangan parti pemerintah atau gabungan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2013, walaupun parti pembangkang memenangi undi popular secara majoriti, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk mengengkang kebebasan bersuara dan hak sivil serta politik lain yang masih berterusan sehingga kini. Pembela hak asasi, aktivis, tokoh politik, termasuklah pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, berhadapan dengan penganiayaan dan penindasan hak asasi manusia yang berterusan.

Kebebasan Bersuara

Artikel 10 dalam Perlembagaan Perekutuan Malaysia menjamin bahawa setiap warganegara mempunyai kebebasan bersuara, akan tetapi kerajaan Malaysia kerap kali mencabul hak tersebut.

Ancaman terbesar kepada kebebasan bersuara datang daripada penggunaan berulang Akta Hasutan untuk mendakwa aktivis dan ahli politik daripada parti pembangkang yang membuat kenyataan yang mengkritik kerajaan, pemimpin politik, ataupun parti Perdana Menteri, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), atau untuk membuat ucapan yang dianggap oleh kerajaan sebagai penghinaan kepada institusi sultan serta raja di Malaysia atau ucapan yang dianggap tidak menghormati agama.

Dari Januari 2013 kepada November 2014, kerajaan telah mendakwa sekurang-kurangnya 20 orang di bawah akta hasutan, termasuklah empat ahli parlimen pembangkang. Tuduhan juga dikenakan ke atas wakil rakyat, aktivis sosial dan NGO, penulis blog internet, ahli akademik, dan lain-lain. Empat orang, termasuklah pakar undang-undang, Mendiang Karpal Singh, telah disabitkan dengan hasutan, dan beberapa orang juga telah dihukum penjara atau didenda.

Penggunaan meluas akta ini telah menandakan tindakan patah balik oleh Perdana Menteri Najib Razak yang sebelum ini telah menjanjikan untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Harmoni kononnya. Atas desakan daripada ahli-ahli politik konservatif dalam UMNO, Najib telah mengabaikan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) yang ditubuhkan oleh beliau sendiri untuk memberikan usul perundangan dan menjalankan perundingan berkenaan Akta Harmoni. Pada 16 Oktober, dalam perarakan umum keempat dalam sejarahnya, Majlis Peguam Malaysia telah menggesa keraajan untuk memansuhkan Akta Hasutan. Pada 27 November, Najib berucap pada konvensyen tahunan UMNO bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan, dan pindaan akan dibuat untuk memperketatkannya.

Pada 1 Oktober, Profesor Azmi Sharom memfailkan semakan kehakiman terhadap akta tersebut. Beliau mendakwa Akta Hasutan melanggar kebebasan bersuara yang dijamin dalam artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada awal November, Mahkamah Tinggi memindahkan kes tersebut kepada Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di Malaysia untuk mempertimbangkan semakan kehakiman tersebut.

Sepanjang tahun 2014, kerajaan juga telah mendakwa dan menghukum aktivis untuk mengekspresikan pandangan yang pada hemah kerajaan dilihat sebagai satu pelanggaran kepada peruntukan kanun keseksaan atas kesalahan memfitnah serta "menghina dengan niat untuk mencetuskan gangguan terhadap keamanan." Kerajaan juga menggunakan artikel 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang mengharamkan sebarang komunikasi yang dianggap oleh kerajaan sebagai "lucah, sumbang, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan."

Kerajaan terus menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), yang memerlukan semua penerbit untuk mendapatkan lesen, bagi mengehadkan kandungan penerbitan. Menteri Dalam Negeri boleh menggantung atau menarik lesen mana-mana penerbit pada bila-bila masa atas sebab keselamatan, ketenteraman awam, atau moral.

Malaysiakini, sebuah akhbar harian online, sentiasa menjadi sasaran kerajaan. Walaupun keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober 2013 menyatakan bahawa lesen untuk menerbit sesuatu adalah sebahagian daripada hak perlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri telah menolak untuk mengeluarkan lesen bagi Malaysiakini atas alasan artikel mereka mencetuskan "kontroversi," "kurang neutral," dan boleh menyebabkan pembacanya "membenci pemimpin negara."  Pada 15 Mei, Perdana Menteri Najib menyaman Malaysiakini bagi fitnah berdasarkan komen pembaca terhadap dua artikel Malaysiakini, satu memfokuskan rasuah kerajaan, dan satu lagi ke atas keupayaan kepimpinan Najib. Pada Ogos 2013, akhbar FZ Daily menerima lesen untuk menerbit akhbar mereka, yang telah digantung seminggu kemudian dan dibatalkan pada Januari 2014. Sebuah lagi akhbar, The Heat, telah digantung lesen tanpa sebarang penjelasan pada 21 Disember 2013; mereka hanya dibenarkan menerbit akhbar mereka kembali pada Februari 2014.

Kerajaan juga telah meneruskan pendakwaan terhadap aktivis NGO, Lena Hendry pada 2014 setelah didakwa melanggar Akta Penapisan Filem atas penglibatan beliau dalam tayangan filem dokumentari "No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka" di Kuala Lumpur pada Julai 2013.

Kebebasan Berkumpul dan Berpersatuan

Penganjur perhimpunan, perarakan, dan demonstrasi mempunyai lebih ruang pada tahun 2014 untuk memprotes polisi kerajaan secara spontan setelah satu keputusan mahkamah rayuan pada Mei yang mengetepikan peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA) yang memerlukan pihak penganjur memberikan notis kepada pihak polis 10 hari sebelum perhimpunan, perarakan atau demonstrasi dilakukan oleh pihak penganjur. Walau bagaimanapun, kerajaan telah merayu keputusan tersebut, dan pendakwa raya kerajaan bertegas untuk meneruskan tuduhan terhadap sekurang-kurangnya 20 aktivis politik yang didakwa melanggar kehendak notis tersebut semasa mereka menganjurkan Black 505, sebuah protes selepas pilihanraya Mei 2013.

Kerajaan membenarkan perhimpunan 1 Mei yang memprotes kenaikan harga barang dan cukai untuk diteruskan tanpa sekatan. Walau bagaimanapun pada 22 Jun, polis secara ganas memukul peserta Himpunan Hijau yang memprotes pemberian lesen oleh kerajaan kepada kilang nadir bumi (rare earth) Lynas di Pahang. Kemudian, 15 penunjuk perasaan telah ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis di Kuantan, di mana samseng telah mengganggu penyokong yang menunggu di luar. Pihak polis tidak melakukan apa-apa untuk melndungi mereka yang dikasari oleh samseng di kawasan ibu pejabat polis.

Kerajaan mengetatkan hak kebebasan untuk berpersatuan dengan mengenakan sekatan bagi organisasi yang mempunyai tujuh atau lebih ahliuntuk mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). ROS yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri mempunyai "budi bicara mutlak" untuk mengisytiharkan sebuah persatuan sebagai tidak sah. Pada November, Menteri tersebut telah mengisytiharkan Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) sebagai pertubuhan haram. ROS berdiam diri selama hampir dua tahun dalam pertikaian mereka dengan parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP), di mana ROS enggan mengiktiraf jawatankuasa eksekutif pusat parti itu atau 120 cawangan partinya. Kementerian Dalam Negeri telah turut menyatakan bahawa pergerakan hak asasi Negara-Ku akan dianggap "haram" jika pergerakan tersebut tidak berdaftar dengan ROS.

Dakwaan Politik Anwar Ibrahim dan Karpal Singh

Kerajaan meneruskan penganiayaan politik terhadap pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim. Pendakwa raya telah memfailkan rayuan pembebasan terhadap tuduhan liwat pada 2012 dan dalam satu proses rayuan mahkamah yang tergesa-gesa, pada 7 Mac 2014, mahkamah membatalkan keputusan tersebut, dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar Ibrahim. Rayuan Mahkamah Persekutuan telah didengari pada akhir Oktober dan awal November, tetapi keputusan masih belum diumumkan pada masa laporan ini ditulis.

Begitu juga, pada Februari 2014, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan pembebasan tuduhan hasutan yang bermotifkan politik terhadap mendiang pengerusi DAP, Karpal Singh. Beliau juga dikenakan denda yang mampu menghilangkan kelayakan beliau daripada bertugas sebagai seorang ahli parlimen. Karpal membuat rayuan, tetapi meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada April sebelum rayuan itu dapat didengari oleh mahkamah.

Penindasan dan Kekebalan Polis

Kes-kes terbaharu penyeksaan polis terhadap suspek dalam tahanan, dalam sesetengah kes telah menyebabkan kematian, dan penggunaan kekerasan yang berlebihan dalam mengendalikan sesuatu kes terus dilaporkan pada tahun 2014. Sekurang-kurangnya 10 kematian dalam tahanan polis telah direkodkan dalam masa sembilan bulan pertama tahun ini.

Laporan Human Rights Watch Tiada Jawapan, Tiada Permintaan Maaf: Penindasan dan Akauntabiliti Polis di Malaysia yang dikeluarkan pada Mac mendapati corak dalam kekebalan polis dan juga kurang pengawasan terhadap pihak polis yang berkesan. Daripada melakukan siasatan susulan terhadap hasil kajian dalam laporan Human Rights Watch, pihak polis telah mengenepikan laporan tersebut dan tidak mempertimbangkan cadangan substantif dalam laporan tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi hak serta akauntabiliti pihak polis.

Pada 15 April, kerajaan telah mengumumkan penubuhan dan operasi "mahkamah koroner" dengan hakim mahkamah sesyen di setiap negeri ditugaskan untuk memeriksa kematian yang melibatkan salah laku oleh pihak berkuasa dan kematian dalam tahanan. Walaupun hal ini merupakan satu penambahbaikan kecil kepada sistem sebelumnya, di mana hakim mahkamah majistret yang tidak berpengalaman menyelia inkues, pendekatan baru ini masih lagi bergantung sepenuhnya terhadap pihak polis untuk menyiasat pegawai polis yang lain, situasi membenarkan penutupan dan meneruskan kekebalan pihak polis berleluasa.

Kerajaan terus tidak mengendahkan seruan Majlis Peguam Malaysia dan kumpulan masyarakat sivil untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diberi mandat untuk menerima aduan berkenaan  polis, bebas menyiasat penganiayaan, dan mengenakan tindakan terhadap mereka yang didapati terlibat dalam salah laku. Pada 5 November, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan pengerusi baru dan beberapa pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), alternatif pilihan kerajaan yang sebenarnya tidak berkesan sehingga kini akibat kekurangan sumber yang diperlukan atau kepimpinan berkesan untuk memastikan pengawasan serta akauntabiliti polis dan agensi penguatkuasaan lain di bawah mandatnya.

Sistem Keadilan Jenayah

Kerajaan mengetepikan langkah positif yang telah diambil dalam tahun-tahun sebelum ini, termasuklah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah), apabila ia meminda Akta Pencegahan Jenayah (PCA) untuk membenarkan penahanan administratif atau tanpa bicara seseorang suspek tanpa semakan kehakiman. Di bawah akta ini, lima ahli lembaga diberikan kuasa untuk mengenakan tahanan selama dua tahun, yang boleh diperbaharui tanpa had, atau mengarahkan pemasangan peranti pengawasan elektronik terhadap suspek yang disyaki.

Begitu juga dengan Akta Langkah-Langkah Khas Kesalahan Keselamatan (SOSMA) 2012, yang menggantikan ISA, yang masih lagi membenarkan penahanan oleh pihak polis, walaupun tempohnya dipendekkan tanpa input badan kehakiman. Akta tersebut juga meluaskan definisi kesalahan keselamatan, menyerahkan kuasa kepada pihak polis berbanding dengan badan kehakiman untuk memintas komunikasi, dan dalam kes di mana suspek telah dibebaskan, rayuan terhadap pesalah dibenarkan tanpa had dan dalam pada masa yang sama pesalah itu boleh ditahan oleh pihak polis atau berada dalam tahanan polis, atau dipasang dengan peranti pengawasan.

Ketua Polis Negara Malaysia menolak seruan masyarakat sivil untuk memansuhkan Akta Dadah Berbahaya (DDA), yang membenarkan penahanan suspek tanpa bicara atau waran. Agensi Anti-Dadah Negara terus menjalankan lebih kurang 20 pusat pemulihan dadah (baru-baru ini ditukar nama kepada Pusat Rehabilitasi Rawatan & Jagaan) di mana mereka yang mengambil dadah ditahan di antara enam bulan sehingga dua tahun di pusat-pusat pemulihan dadah tersebut.

Malaysia mengekalkan hukuman mati untuk pelbagai jenayah, termasuklah pengedaran dadah, dan kerajaan tidak mendedahkan bila dan bagaimana keputusan dibuat bagi perkara-perkara yang boleh disabitkan hukuman mati. Lebih daripada 1,000 orang dianggarkan telah dikenakan hukuman mati. Malaysia memberikan komitmen untuk menyemak semula panduan hukuman bagi pengedaran dadah selaras dengan komitmennya di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Oktober 2013. Walau bagaimanapun hasil semakan tersebut, yang telah dilaksanakan oleh pejabat Hakim Negara, masih belum dikeluarkan pada masa laporan ini ditulis.

Pelarian, Pencari Suaka, dan Mangsa Pemerdagangan Manusia

Undang-undang imigresen Malaysia tidak mengiktiraf pencari suaka atau pelarian. Kerajaan belum meraktifikasi Konvensyen Pelarian. Oleh yang demikian, kerajaan Malaysia tidak mahu bertanggungjawab terhadap pendidikan kanak-kanak pelarian atau pekerja migran, dan tidak memberikan pelarian kebenaran untuk bekerja secara sah.

Undang-Undang Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran menggabungkan pemerdagangan serta penyeludupan Manusia, dan gagal untuk melindungi mangsa pemerdagangan secara berkesan. Pada 2014, Amerika Syarikat menurunkan Malaysia ke tingkat 3 dalam laporan "Pemerdagangan Manusia."

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) sangat meluas di Malaysia. Pada September, Human Rights Watch mengeluarkan laporan "Saya Takut untuk Menjadi Seorang Wanita": Penindasan Hak Asasi terhadap Golongan Tansgender di Malaysia yang memfokuskan kepada impak undang-undang Syariah (Islam) di peringkat negeri yang melarang berpakaian atau berlagak seperti perempuan. Laporan ini mendedahkan bahawa golongan transgender berdepan tangkapan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa, penganiayaan fizikal dan seksual, pemenjaraan, penafian serta diskriminasi dalam penjagaan kesihatan dan pekerjaan, serta penindasan yang lain. Tiga orang mak nyah telah memfailkan semakan kehakiman terhadap ordinan Syariah di Negeri Sembilan, dan pada 7 November mereka telah memenangi rayuan mereka, yang juga merupakan satu kemenangan besar bagi hak asasi di Malaysia. Walau bagaimanapun, pendakwa raya kerajaan Negeri Sembilan telah merayu keputusan ini.

Aktor Utama Antarabangsa

Malaysia berusaha untuk menempatkan dirinya dalam PBB dan komuniti antarabangsa sebagai negara Islam yang sederhana yang bersedia untuk melawan pelampau Islam, posisi yang mendapatkan sokongan daripada Amerika Syarikat dan sekutunya dari NATO. Pada Oktober, Malaysia telah dipilih untuk menduduki Majlis Keselamatan PBB untuk penggal 2015-2016.

Pada April, Malaysia dilawati Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan hubungan mereka kepada "perkongsian menyeluruh." Obama secara jelas membangkitkan hak asasi manusia semasa lawatan tersebut.

Malaysia juga terus mengukuhkan hubungannya dengan China, rakan perdagangan terbesarnya, walaupun timbul pergeseran antara kedua-dua negara tersebut akibat kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines pada 8 Mac yang menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur yang membawa 239 penumpang.