Skip to main content
Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Yousef bin Ahmed al-Othaimeen (Tengah), dan Menteri Luar Arab Saudi, Ibrahim Al-Assaf (Kanan) berbicara sebelum sesi bergambar di mesyuarat menteri-menteri luar negara Islam dan Arab, di Jeddah pada 30 Mei 2019. © 2019 BANDAR ALDANDANI/AFP/Getty Images

(New York) – Lebih dua belas negara ahli Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) menandatangani kenyataan yang menyokong dasar China di Xinjiang tanpa mempedulikan penindasan berleluasa ke atas penganut Islam di daerah tersebut, ujar Human Rights Watch hari ini. Surat yang menyokong kerajaan China tersebut merupakan respons terhadap kenyataan bersama oleh 22 negara di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu lepas yang bimbang akan pelanggaran hak asasi yang berleluasa di Xinjiang, sekali gus menggesa agar pemantau antarabangsa dibenarkan masuk tanpa syarat.

Kerajaan China telah menindas 13 juta warga etnik Uyghur dan Muslim Turkic lain di Xinjiang dengan penahanan arbitrari beramai-ramai, indoktrinasi politik secara paksa, pergerakan yang disekat dan penganiayaan agama. Anggaran sahih menunjukkan lebih sejuta penganut Islam ini ditahan dalam kem “pendidikan politik.” Bahkan, pihak berkuasa China turut meletakkan warga Islam Xinjiang di bawah pemantauan tanpa had dan mengerahkan lebih sejuta penguatkuasa untuk mengawasi orang Islam, termasuklah mengadakan pelbagai program yang melanggar hak mereka.

“Kerajaan China meraih sokongan dua belas negara majoriti Islam ini untuk mengaburi dunia daripada menyedari rekod pelanggaran hak asasi yang dahsyat di Xinjiang,” ujar Sophie Richardson, pengarah Human Rights Watch di China. “Sepatutnya negara-negara OIC diharapkan bergabung suara dengan kerajaan-kerajaan negara lain yang mengutuk penzaliman yang berlaku terhadap penganut Islam Xinjiang. Sebaliknya, mereka bersatu suara dengan Beijing untuk menafikan perkara tersebut.”

Sungguhpun berlaku penzaliman secara sistematik terhadap warga Islam di Xinjiang, dua belas negara yang menyokong “dasar mencegah keganasan dan pemulihan pemikiran radikal di Xinjiang” memuji China atas dasar tersebut kerana kononnya membawa “persekitaran lebih menggembirakan, memuaskan dan jaminan keselamatan.” Negara-negara majoriti Islam yang menandatangani surat tersebut termasuklah: Algeria, Bahrain, Mesir, Kuwait, Arab Saudi, Oman, Pakistan, Qatar, Somalia, Sudan, Syria, Tajikistan, Turkmenistan, dan Emiriah Arab Bersatu.

Kempen penindasan China di Xinjiang ialah penanda penting untuk melihat sama ada ahli-ahli OIC memberikan tekanan terhadap China untuk menamatkan penzaliman sistemik terhadap umat Islam, apatah lagi China semakin memperlihatkan kuasanya. Namun, pertubuhan berusia 57 tahun ini banyak mendiamkan diri dalam beberapa bulan belakangan, malah ada kalanya memuji usaha China. Ketika pertemuan menteri-menteri luar OIC di Abu Dhabi pada bulan Mac lepas, mereka langsung tidak mempedulikan penderitaan orang Islam di Xinjiang, sebaliknya memuji usaha China yang didakwa “menjaga kebajikan rakyat beragama Islam” dan “mengalu-alukan kerjasama berterusan” dengan China.

Selain itu, para wakil OIC turut menyertai lawatan diplomatik ke Xinjiang yang dikawal ketat dan telah diuruskan oleh kerajaan China. Sewaktu lawatan, wakil-wakil OIC langsung tidak mengkritik pelanggaran hak asasi oleh China. Akan tetapi, OIC pantas memetik mandatnya untuk “melindungi hak, maruah dan identiti agama dan budaya” minoriti Islam lantas mengecam penzaliman terhadap warga Islam Rohingya di Myanmar.

Beberapa negara ahli OIC termasuk Afghanistan, Albania, Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Morocco, Tunisia, dan Turki tidak menandatangani surat sokongan terhadap China tersebut. Namun begitu, tiada satu pun negara majoriti Islam yang menyatakan sokongan terhadap laungan global yang julung-julung kalinya diadakan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang menuntut agar penganiayaan ini disiasat. Negara-negara OIC wajar menandatangani kenyataan bersama ini sebelum tarikh luputnya pada 26 Julai.  

“Kempen penganiayaan di Xinjiang telah menggugat kredibiliti OIC,” kata Richardson. “Jika OIC mahu menjadi suara global bagi hak orang Islam yang dizalimi, OIC perlu menerima hakikat sebenar dan mengutuk dasar China yang kejam di Xinjiang.”

 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country