(New York) - Situasi hak asasi Malaysia meningkat secara signifikan pada 2018 setelah pemilihan kerajaan baharu yang bertanding atas manifesto yang menjanjikan rekod asasi Malaysia “dihormati dunia,” begitu menurut Human Rights Watch hari ini sejurus selepas melancarkan Laporan Dunia 2019. Namun, komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan diuji lantaran reaksi ahli gabungan kerajaan terdahulu serta pemimpin agama konservatif yang berkeras menolak arus perubahan.

Pada bulan September, perdana menteri yang baru dilantik, Mahathir Mohamad bersuara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa “Malaysia Baharu” akan berpegang pada “prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesaksamaan, kebertanggungjawaban, akauntabiliti, dan juga kelestarian.” Beliau turut berjanji akan meratifikasi kesemua instrumen penting PBB berkait perlindungan hak asasi manusia yang masih belum dimeterai.

“Sejak berlakunya pilihan raya besar di Malaysia pada bulan Mei lepas, Malaysia ibarat bintang kejora dalam erti kata perkembangan hak asasi manusia di Asia Tenggara,” ujar Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch bahagian Asia. “Tetapi, perubahan ini akan berterusan hanya jika kerajaan baharu tidak mungkir janji dan berusaha menepati semua janji berhubung peningkatan hak asasi.”

Dalam laporan dunia setebal 674-muka surat, iaitu edisinya yang ke-29, Human Rights Watch mengamati amalan-amalan berhubung hak asasi manusia dalam hampir 100 negara dunia. Menurut Kenneth Roth, Pengarah Eksekutif dalam esei pendahuluannya

Kerajaan baharu mengumumkan rancangannya untuk memansuhkan hukuman mati lalu meletakkan moratorium ke atas semua hukuman tersebut. Menurut mereka, Akta Hasutan yang sering disalahgunakan akan dimansuhkan lantas mengisytiharkan pembekuan ke atas penggunaan akta tersebut sehingga tarikh pemansuhan. Namun begitu, pembekuan tersebut tidak bertahan lama kerana kerajaan kembali menggunakannya pada bulan Disember lantaran keganasan yang tercetus di sebuah kuil Hindu. Kerajaan turut mengumumkan bahawa ia bakal mewujudkan Mekanisme Bebas Menyiasat Aduan dan Salah Laku Polis bagi mengatasi isu penyiksaan dan pembunuhan suspek dalam tahanan polis, termasuk kekasaran melampau oleh polis apabila mengejar dan menahan suspek.

Usaha kerajaan untuk memansuhkan Undang-Undang Antiberita Tidak Benar yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu telah disekat oleh ahli Dewan Negara yang rata-rata adalah sekutu kerajaan dahulu. Malah, mereka mungkin menyekat pembaharuan undang-undang akan datang.

Walaupun kerajaan telah berjanji untuk menaikkan usia minimum perkahwinan kepada usia 18 tahun bagi kedua-dua undang-undang sivil dan Syariah (Undang-Undang Islam), perkembangan masih lembab dan pengecualian kepada usia minimum perkahwinan ini masih dikekalkan di negeri-negeri yang sudah menaikkan usia tersebut. Kerajaan baharu juga telah memberikan komitmen untuk menambah baik situasi orang pelarian dan pemohon suaka tetapi masih belum mengambil langkah konkrit ke arah tujuan tersebut.

Selain itu, kerajaan juga tidak meneruskan komitmennya untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi susulan bantahan daripada parti-parti pembangkang dan aktivis Melayu yang mendakwa bahawa ratifikasi tersebut akan menghakis dan menjejaskan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, diskriminasi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) terus berleluasa walaupun kerajaan telah berubah. Undang-undang persekutuan menghukum “perlakuan seks luar tabii” dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun, manakala undang-undang Syariah di beberapa negeri lain juga turut melarang hubungan seks sejenis serta ekspresi gender yang tidak mematuhi norma semasa, lantas mengakibatkan golongan transgender kerap ditahan.

Menteri hal ehwal agama yang baharu menyeru agar diskriminasi terhadap golongan LGBT dihapuskan di tempat kerja. Namun begitu, beliau juga membuat kenyataan jelas bahawa sebarang perwatakan seksualiti atau identiti gender alternatif akan didakwa di bawah undang-undang sedia ada. Beliau juga menyokong program-program yang dirangka khusus untuk mengubah orientasi seksual individu, sedangkan program-program seumpama ini pada keseluruhannya dikritik. Pada 21 September, Perdana Menteri Mahathir menyatakan bahawa Malaysia “tidak boleh menerima budaya LGBT.”

“Kerajaan baharu telah memberikan komitmen yang cukup impresif untuk menambah baik situasi hak asasi manusia di Malaysia, namun terlalu banyak daripada komitmen tersebut hanyalah kata-kata yang tertera di atas kertas,” kata Robertson. “Kerajaan wajarlah bertindak untuk melaksanakan komitmen tersebut di Parlimen agar semua komuniti di Malaysia berupaya meraih manfaat.”