Skip to main content

Malaysia: Gugurkan Tuduhan dan Bebaskan Penganjur dan Penyokong Bersih

Kenyataan bersama daripada Para Pemerhati Antarabangsa Bersih 5

(Kuala Lumpur) - The Asian Forum for Human Rights and Development (FORUM-ASIA), Asia Pacific Forum on Women, Law and Development (APWLD), Fortify Rights, Human Rights Watch, the International Commission of Jurists (ICJ), dan Southeast Asian Press Alliance (SEAPA) yang berperanan sebagai pemerhati antarabangsa bagi perhimpunan Bersih 5 serta perjumpaan-perjumpaan berkaitan menyeru pihak berkuasa Malaysia agar menggugurkan semua tuduhan terhadap penganjur dan aktivis Bersih. Pihak berkuasa wajar memulangkan barangan yang dirampas dari pejabat Bersih dan berhenti melakukan tangkapan secara arbitrari membabitkan perhimpunan tersebut. Kami menyifatkan semua tangkapan tersebut sebagai melanggar hak bersuara, hak berhimpunan secara aman dan hak berpersatuan.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, atau dikenali sebagai Bersih, merupakan gabungan beberapa pertubuhan bukan Kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 bagi menuntut pilihan raya yang bebas, bersih dan adil. Sejak ditubuhkan, Bersih telah menganjurkan empat perhimpunan aman sebelum ini yang berjaya meraih sokongan ribuan rakyat Malaysia di seluruh negara, termasuk di luar negara. Sepanjang tahun lepas, Bersih berdepan ancaman daripada pelbagai pihak, termasuk Kerajaan Malaysia yang melemparkan tuduhan terhadap Bersih dan pengerusinya, Maria Chin Abdullah yang hanya menganjurkan dan menyertai aktiviti aman. 

Setakat ini, empat orang ahli jawatankuasa penganjur Bersih dan lebih 20 penyokong Bersih berdepan pelbagai pertuduhan jenayah, antaranya, Seksyen 124 (c), 147, 153 dan 511 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan. Tangkapan telah dibuat sebelum dan selepas perhimpunan Bersih 5 yang berlangsung pada 19 November 2016 di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain di Malaysia.

Pada petang 18 November 2016, sehari sebelum perhimpunan tersebut, pihak berkuasa Malaysia bertindak menyerbu pejabat Bersih dan menahan pengerusinya, Maria Chin Abdullah dan pengurus sekretariat, Mandeep Singh. Ahli-ahli pasukan pemerhati antarabangsa menyaksikan serbuan tersebut yang berlaku selama beberapa jam dan melibatkan rampasan komputer, peralatan pejabat serta dokumen, termasuk rekod kewangan dan gaji pekerja.

Maria Chin Abdullah ditangkap dan ditahan pada 18 November di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (atau singkatannya, SOSMA). Peguam Maria mengesahkan bahawa beliau akan ditahan selama 28 hari penuh seperti yang dibenarkan di bawah SOSMA. Ini merupakan kes pertama di bawah SOSMA yang digunakan oleh pihak kerajaan terhadap seorang ahli masyarakat sivil. Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun. Maria Chin Abdullah kini dikurung sendirian di pusat tahanan yang tidak didedahkan lokasinya. Beliau dilaporkan telah dinafikan hak untuk bertemu dengan peguam dan keluarga beliau semasa 48 jam pertama penahanannya. Para peguam beliau kemudiannya melaporkan bahawa Maria Chin Abdullah sedang dikurung dalam bilik tidak bertingkap bersaiz 15 kaki x 8 kaki, tanpa katil, berlantaikan konkrit dengan dua lampu mentol yang menyala berterusan 24 jam sehari.

Kami selaku pemerhati antarabangsa bimbang dengan keadaan Maria Chin Abdullah ditahan dan penggunaan SOSMA untuk menahan beliau. Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk membebaskan beliau dengan segera. Kami berpendapat bahawa SOSMA ialah undang-undang yang melanggar hak asasi manusia kerana melarang para tahanan berkomunikasi sehingga 48 jam dan membenarkan penahanan tanpa tuduhan atau semakan kehakiman sehingga 28 hari. Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk memansuhkan atau meminda sebahagian besar SOSMA agar mematuhi perundangan dan standard antarabangsa. Semasa perbahasan di Parlimen untuk meluluskan SOSMA, pihak kerajaan menegaskan bahawa undang-undang ini bertujuan melindungi keselamatan rakyat. Namun sebaliknya, pihak berkuasa telah menggunakan SOSMA untuk mengekang hak-hak asasi manusia, dan dengan demikian menyalahgunakan undang-undang tersebut.

Sekurang-kurangnya 14 penyokong pro-Bersih yang lain ditahan pada hari perhimpunan tersebut dan pada hari-hari berikutnya. Ramai daripada mereka yang ditahan telah dibebaskan selepas 48 jam. Tetapi, menurut penganjur Bersih, mereka menjangkakan pihak berkuasa akan membuat lebih banyak tangkapan secara arbitrari dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Pihak berkuasa Malaysia turut menahan enam anggota kumpulan "baju merah" dan "baju hitam" yang merupakan kumpulan anti-Bersih. Antara yang ditahan ialah Jamal Yunos dan Ariffin Abu Bakar, masing-masing pemimpin “baju merah” dan “baju hitam”. Kumpulan-kumpulan anti-Bersih ini didakwa mengancam dan melakukan serangan fizikal serta serangan lain ke atas ahli-ahli jawatankuasa penganjur Bersih, para penyokong pro-Bersih dan wartawan pada minggu-minggu menjelang hari perhimpunan. Walaupun terdapat kebimbangan berlakunya serangan daripada kumpulan-kumpulan ini semasa hari perhimpunan, pasukan pemerhati antarabangsa melihat hanya segelintir sahaja ahli kumpulan ini yang hadir dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Penangkapan ini melanggar standard hak asasi manusia antarabangsa. Kerajaan Malaysia wajar membebaskan semua yang ditahan berkaitan dengan perhimpunan Bersih 5 dengan segera.

Pelapor Khas PBB bagi hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan, Maina Kiai, dalam satu kenyataannya mengulas mengenai tangkapan sebelum perhimpunan aman tersebut sebagai "sekatan awal terhadap hak berhimpun."

Meskipun berlaku tangkapan secara arbitrari dan ancaman oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap penganjur Bersih, pasukan pemerhati antarabangsa melihat bahawa perhimpunan Bersih 5 masih berlangsung dengan aman. Berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia berkumpul di pusat-pusat pertemuan di seluruh Kuala Lumpur pada hari perhimpunan tersebut. Beratus-ratus penyokong pro-Bersih juga berkumpul di Kuching, Malaysia. Pasukan pemerhati antarabangsa melihat bahawa pihak penganjur perhimpunan telah berusaha sedapat mungkin untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan sepanjang perhimpunan tersebut.

Pasukan pemerhati antarabangsa turut menyaksikan sekatan-sekatan dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia bertujuan untuk menghalang para penunjuk perasaan daripada memasuki kawasan perhimpunan yang ditetapkan, iaitu Dataran Merdeka. Para pemerhati menyaksikan bilangan pasukan keselamatan yang besar dikirim ke pelbagai lokasi di sepanjang laluan perhimpunan masuk ke Dataran Merdeka. Di sesetengah kawasan, pihak berkuasa turut memasang meriam air yang dihalakan ke arah penunjuk perasaan Bersih yang menghampiri kawasan tersebut. Pihak berkuasa juga menyekat semua jalan masuk ke Dataran Merdeka.

Para pemerhati berpendapat bahawa sekatan-sekatan ini melanggar hak-hak peserta perhimpunan untuk berhimpun secara aman. Kami ingin mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa Majlis Hak Asasi Manusia PBB, dalam resolusi 2013, menggesa Negara-negara untuk "memudahkan bantahan aman dengan menyediakan para penunjuk perasaan akses kepada ruang awam dan jika perlu, melindungi mereka daripada sebarang bentuk ancaman." (UN Doc. A/HRC/22/L.10, para. 3, 18 Mac 2013)

Hak untuk kebebasan berhimpun secara aman dilindungi di bawah undang-undang dan standard hak asasi manusia antarabangsa, termasuklah Perkara 20 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Undang-undang antarabangsa membenarkan pihak berkuasa negara untuk menyekat perhimpunan aman hanya dalam keadaan tertentu, dan hanya apabila syarat-syarat khusus dipatuhi. Misi pemerhati ini berpendapat bahawa tiada satupun syarat-syarat tersebut dipatuhi ketika berlakunya perhimpunan Bersih.

Para pemerhati mengingatkan Malaysia akan tanggungjawabnya untuk melindungi hak-hak kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman berlandaskan perlembagaan serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Pihak berkuasa perlu memastikan agar perhimpunan aman pada masa depan dapat berlangsung tanpa sebarang gangguan yang tidak wajar.

Kami menyeru kepada kerajaan Malaysia untuk menggugurkan kesemua pertuduhan terhadap ahli-ahli Bersih dan para penyokongnya serta membebaskan semua yang ditahan dengan serta-merta. Semua barangan yang dirampas ketika serbuan tidak berasas ke atas pejabat Bersih pada 18 November itu juga mesti segera dikembalikan.

Akhir sekali, para pemerhati ingin menghulurkan penghargaan kerana berupaya memanfaatkan pemerhatian secara bersama dengan pemantau daripada Majlis Peguam Malaysia yang turut hadir untuk memantau serta menawarkan bantuan guaman, di samping empat wakil pesuruhjaya dan kakitangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM ) yang turut memantau perhimpunan itu.

Ditandatangani oleh:

1. The Asian Forum for Human Rights and Development (FORUM-ASIA)
2. Asia Pacific Forum on Women, Law and Development (APWLD)
3. Fortify Rights
4. Human Rights Watch (HRW)
5.International Commission of Jurists (ICJ)
6. Southeast Asian Press Alliance (SEAPA)

 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic