Pada bulan ini, Dewan Rakyat Malaysia meluluskan pindaan kepada Akta Kanak-Kanak 2001. Akan tetapi, Akta ini dipinda tanpa sebarang pengharaman ke atas perkahwinan kanak-kanak perempuan dan lelaki bawah 18 tahun walaupun telah digesa berbuat demikian oleh beberapa ahli parlimen dan aktivis hak asasi.

Perbahasan tentang pindaan tersebut langsung tidak mengambil kira masalah sebenar melibatkan perkahwinan bawah umur, iaitu mudarat dan kesan jangka panjang ke atas remaja perempuan akibat berkahwin terlalu awal.

Di serata dunia, sudah terdapat banyak bukti bahawa berkahwin bawah umur berbahaya bagi gadis remaja.  

Gadis yang berkahwin bawah umur lebih cenderung meninggalkan persekolahan dan lebih besar kemungkinan dibelenggu kemiskinan. Sesudah menjadi isteri, risiko gadis-gadis ini menjadi mangsa penderaan rumah tangga lebih tinggi berbanding wanita yang berkahwin pada usia lebih lewat.

Berkahwin bawah umur juga sering disusuli dengan kehamilan pada usia mentah dan risiko kesihatan yang amat serius – termasuk risiko maut – ke atas si gadis dan bayinya.

Risiko maut bagi gadis berusia antara 15 hingga 19 tahun sewaktu melahirkan bayi adalah dua kali ganda berbanding wanita berumur antara 20 hingga 24 tahun.

Risiko bayi mati ketika lahir atau mati hanya beberapa minggu sesudah kelahiran, 50 peratus lebih tinggi bagi gadis bawah 20 tahun dari negara-negara miskin dan berpendapatan sederhana, berbanding bayi yang ibunya dalam lingkungan usia 20 hingga 29 tahun.

Membenarkan perkahwinan bawah umur

Sungguhpun undang-undang sivil Malaysia mensyaratkan umur minimum 18 tahun sebelum dibenarkan berkahwin, undang-undang ini sarat dengan kekecualian.

Gadis bukan Islam berumur 16 tahun ke atas boleh berkahwin jika mendapat izin Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri masing-masing.

Bagi gadis Islam pula, undang-undang Syariah menetapkan umur minimum 16 tahun untuk berkahwin. Akan tetapi, gadis Islam boleh berkahwin walaupun belum berusia 16 tahun, tanpa sebarang had umur, jika mendapat izin Mahkamah Syariah.

Statistik sebenar kadar perkahwinan bawah umur di Malaysia sukar diperoleh. Namun, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaporkan bahawa pada tahun 2010, seramai 16,000 gadis bawah 15 tahun di Malaysia sudah pun berkahwin.  

Susulan lawatan kenegaraan pakar khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Malaysia pada 2014, beliau menyuarakan kerisauannya tentang kekerapan perkahwinan bawah umur di Malaysia. Memetik kenyataannya, beliau “amat bimbang kerana maklumat yang diterima menunjukkan pihak berkuasa Malaysia turut menggalakkan perkahwinan bawah umur atas alasan mahu mengurangkan perlakuan seks luar nikah, kelahiran bayi luar nikah dan gejala pembuangan bayi.”

Dalam tahun-tahun belakangan ini, kempen mengharamkan perkahwinan bawah umur semakin mendapat perhatian serius di peringkat antarabangsa.

Selain itu, resolusi Majlis Hak Asasi Manusia dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang perkahwinan bawah umur juga berjaya meletakkan agenda ini dalam Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tempoh 2016-2030.

Matlamat Pembangunan Lestari ke-5 berkenaan kesamarataan gender merangkumi sembilan sasaran. Satu daripadanya ialah, “Menghapuskan semua amalan berbahaya, antaranya, perkahwinan kanak-kanak, perkahwinan bawah umur dan kahwin paksa, serta amalan khatan perempuan (female genital mutilation).”

Banyak negara dunia telah melaksanakan pelan tindakan kebangsaan bertujuan menghapuskan perkahwinan bawah umur. Kini, sokongan dana bagi membiayai kempen tersebut meningkat secara signifikan.

Oleh itu, keengganan Malaysia meminda undang-undang bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur melawan arus kemajuan global yang giat memerangi gejala perkahwinan bawah umur.

Berkahwin untuk menyembunyikan jenayah

Kekerapan perkahwinan bawah umur hanyalah satu daripada pelbagai pencabulan hak asasi gadis remaja dan wanita di Malaysia.

Joint Action Group on Gender Equality, gabungan organisasi bukan kerajaan di Malaysia yang memperjuangkan kesamarataan gender turut membangkitkan isu yang merisaukan, iaitu mangsa rogol dipaksa berkahwin dengan perogol atau dengan lelaki lain untuk menyembunyikan jenayah tersebut.

Bayi luar nikah, atau bayi yang disyaki lahir luar nikah berdepan stigma masyarakat.

Undang-undang yang menghukumkan seks luar nikah sebagai jenayah menyebabkan mereka yang belum berkahwin, terutamanya golongan remaja, takut mendapatkan perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif. Mereka juga terdorong berkahwin awal kerana takut didakwa di mahkamah.

Walaupun dasar pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kebangsaan diperkenalkan pada 2012, gadis remaja dan wanita amnya masih berdepan kesukaran untuk memperoleh maklumat mengenai perkhidmatan perancang keluarga dan kesuburan. Di samping itu, khatan perempuan, iaitu membuang bibir genital luar perempuan bukan kerana perubatan – masih berleluasa.

Disebabkan keengganan Dewan Rakyat mengharamkan perkahwinan bawah umur, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan untuk meminda semua undang-undang perkahwinan agar umur minimum berkahwin dinaikkan kepada 18 tahun. Dewan Negara akan membahaskan versi rang undang-undang tersebut – Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 – yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Ketika memeterai Konvensyen Mengenai Penyingkiran Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita pada 1995, Malaysia berjanji akan menunaikan komitmennya demi memastikan kesamarataan hak wanita dan lelaki.

Dalam hal ini, pengharaman perkahwinan bawah umur ialah faktor penting demi merealisasikan kesamarataan hak di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Dewan Negara wajar bertindak untuk melindungi semua anak gadis di Malaysia, tanpa mengira agama, dengan meminda Akta Kanak-Kanak 2001, atau paling tidak, menggubal undang-undang baharu mensyaratkan umur minimum berkahwin bagi semua wanita dan lelaki sebagai 18 tahun, tanpa sebarang kekecualian.