Skip to main content

MALAYSIA: Hentikan Memperlakukan Kritikan Sebagai Suatu Jenayah

Menjelang Persidangan ASEAN, Hentikan Peningkatan Tindakan Keras Terhadap Kartunis, Pihak Media, Pembangkang

Salah satu dari kartun Zunar yang membidas penggunaan Akta Hasutan oleh kerajaan untuk menahan dan memenjarakan pengkritik.  © 2013 Zunar

(Kuala Lumpur, 27 Oktober 2015) – Ruang untuk perbincangan umum dan kebebasan bersuara di Malaysia semakin sempit apabila pihak kerajaan meningkatkan penggunaan undang-undang jenayah untuk mendiamkan pengkritiknya dan memadamkan ketidakpuashatian awam, kata Human Rights Watch dalam suatu laporan baru. Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan pemimpin-pemimpin negara lain akan berkumpul di ibu negara, Kuala Lumpur, pada 18 November, membuka peluang untuk menuntut penambahbaikan   undang-undang  kejam ini serta mengakhiri penapisan.

“Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Malaysian telah beberapa kali memungkiri janji mereka untuk meminda undang-undang yang menjenayahkan kebebasan bersuara secara aman. Sebaliknya, Malaysia telah meningkatkan kerakusanya dengan mendakwa pengkritiknya,” kata Brad Adams, pengarah di Human Rights Watch rantau Asia. “Pihak kerajaan sebenarnya mempermainkan  pengisytiharannya terhadap demokrasi dan hak-hak asasi apabila memperlakukan kritikan sebagai suatu jenayah.”

Laporan tersebut, “MEWUJUDKAN BUDAYA KETAKUTAN: Penjenayahan  Hak Bersuara Secara Aman di Malaysia,” mendokumentasikan penggunaan dan penyalahgunaan oleh  kerajaan terhadap beberapa undang-undang  yang sengaja dibahasakan secara luas dan samar-samar untuk menjenayahkan kebebasan bersuara, termasuk perbahasan terhadap perihal kepentingan awam. Laporan-laporan turut menekankan trend penyalahgunaan  proses undang-undang, termasuk penangkapan  lewat malam dan reman yang tidak wajar serta pendakwaan terpilih.

Penunjuk perasaan berkemeja-T kuning Bersih 4 mendengar ucapan jalanan di Kuala Lumpur yang menyampaikan tuntutan utama gerakan tersebut – pilihanraya yang bersih, kerajaan yang bersih, selamatkan ekonomi , dan hak untuk membantah  – pada 29 Ogos 2015, sehari selepas Menteri Dalam Negeri menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk mengisytiharkan bahawa kemeja-T serta lain-lain barangan berjenama Bersih sebagai haram. © 2015 Storm Tiv, Human Rights Watch

Laporan tersebut adalah berdasarkan analisa mendalam undang-undang  seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman, dan beberapa peruntukan Kanun Keseksaan. Laporan tersebut memuatkan temubual bersama aktivis-aktivis masyarkat sivil, wartawan, peguam, ahli akademik, ahli-ahli politik pembangkang, dan juga kenyataan  awam oleh pihak kerajaan serta kenyataan  media mengenai prosiding jenayah yang melibatkan kebebasan bersuara atau berhimpun secara aman. Human Rights Watch telah menulis kepada Menteri Dalam Negeri Malaysia, Ketua Pendakwaraya, Ketua Polis Negara dan pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk meminta pandangan mereka terhadap isu-isu yang ditimbulkan dalam laporan tersebut – tiada antara mereka yang membalas.

Apabila Perdana Menteri Najib Razak menyandang  jawatan pada April 2009, beliau telah berikrar untuk “menegakkan kebebasan awam” serta “menghormati hak-hak asasi rakyat.”  Walau bagaimanapun, setelah barisan parti pemerintah gagal mendapatkan undi popular dalam pilihanraya 2013, tindakan keras terhadap para pengkritik telah dimulakan. Tindakan keras tersebut semakin dipergiatkan semenjak tahun lepas apabila berdepan  dengan liputan kritis dari media masa di samping ketidakpuashatian orang ramai atas pelbagai isu termasuk pengenaan cukai barang dan perkhidmatan baru serta tuduhan rasuah yang semakin berlingkar-lingkar melibatkan syarikat koprat milik kerajaan, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mana lembaga penasihatnya dipengerusikan Perdana Menteri Najib.

Daripada membahaskan merit dalam isu-isu tersebut, pihak kerajaan telah membalas dengan menangkap dan adakalanya mendakwa mereka dengan pandangan kritikal itu, termasuk ahli-ahli politik pembangkang, aktivis-aktivis, para wartawan dan rakyat biasa, menggantungkan dua akhbar cetak yang kritis untuk tempoh tiga bulan, menyekat laman-laman web, dan mengisytiharkan perhimpunan aman sebagai “haram”. Dalam melakukan tindakan menindas ini, pihak kerajaan telah dibantu oleh kewujudan undang-undang  yang sengaja dibahasakan luas dan samar-samar yang membolehkan pengenaan hukuman  jenayah untuk kebebasan bersuara dalam cara yang tidak konsisten dengan piawaian undang-undang antarabangsa untuk perlindungan hak-hak ini. “Malaysia patut hentikan penyekatan media masa dan mendiamkan pengkritik,” kata Adams. “Perbuatan-perbuatan ini semakin mendapat perhatian komuniti antarabangsa, dan menghantar isyarat bahawa kedaulatan undang-undang semakin terancam.”

Penunjuk perasaan berkumpul mendengar ucapan di pentas utama pada hari kedua perhimpunan 2 hari Bersih 4 yang diadakan selama 34 jam itu, di depan salah satu daripada dua tempat masuk Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada August 30, 2015.  © 2015 Phil Robertson, Human Rights Watch

Di antara  kes-kes membimbangkan yang didokumentasikan adalah kes Azmi Sharom, profesor undang-undang di Universiti Malaya, yang menghadapi bicara atas pertuduhan hasutan kerana menyatakan pendapatnya dalam bidang perundangan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan di Perak lebih dari enam tahun lalu adalah melanggar undang-undang. Dr. Sharom terkejut apabila kenyataannya  dianggap sebagai hasutan, sambil menegaskan: “Saya seorang profesor undang-undang yang menyatakan pendapat perundangan.” Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menolak pertikaian berkenaan keperlembagaan  Akta Hasutan  dua minggu yang lepas, untuk mengisytiharkan undang-undang  tersebut tidak konsisten dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia terhadap kebebasan bersuara, oleh itu perbicaraan kesnya akan diteruskan. .

Salah seorang  kartunis politik yang termasyhur di Asia adalah Zulkiflee Anwar Ulhaque – lebih dikenali di bawah nama penanya Zunar. Kartun-kartun dan buku-buku kartunnya memaparkan isu-isu politik yang meluas dari rasuah ke salahlaku polis, dan beliau telah lama menjadi sasaran gangguan dari pihak kerajaan. Zunar menunggu perbicaraan atas sembilan  pertuduhan hasutan, satu bagi setiap tweet yang dihantar beliau  mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang menegakkan pensabitan liwat terhadap bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim. Pihak berkuasa Malaysia telah menggunakan undang-undang  yang berganda untuk mengharamkan dan menyita beratus-ratus salinan buku-buku kartunnya, mengancam pencetak yang mencetak buku-bukunya dengan penarikan balik lesen penerbitan mereka, dan menyiasat bukan sahaja Zunar tetapi mereka yang bekerja untuknya. Sekiranya disabitkan semua pertuduhan, beliau akan menghadapi  43 tahun dalam penjara.

Maria Chin Abdullah, pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), telah dikenakan pertuduhan mengambil bahagian dalam “protes  jalanan” yang haram pada bulan Februari, apabila beliau menghadiri salah satu di antara siri protes  yang diadakan bagi membantah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar Ibrahim. Pertuduhan telah difailkan seminggu selepas Bersih mengadakan suatu perhimpunan aman yang dihadiri ramai sepanjang tempoh 34 jam menuntut penambahbaikan institusi-institusi bagi melawan rasuah dan meminta Perdana Menteri Najib memberi penjelasan dalam cara beliau menguruskan 1MDB atau meletak jawatan. Pihak kerajaan telah melabel  bantahan tersebut sebagai “haram”, mengharamkan logo Bersih dan kemeja T kuning rasmi Bersih, sambil mengkehendaki Abdullah serta enam yang lain yang terlibat dalam pengaturan protes  tersebut  disoalsiasat kerana kononnya terlibat dalam “aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen” selaras dengan peruntukan seksyen 124 kanun keseksaan – suatu undang-ndang  yang membawa hukuman  penjara untuk tempoh  sehingga dua puluh tahun.

Human Rights Watch telah menggesa  kerajaan Malaysia untuk menggugurkan semua pertuduhan yang masih belum selesai dalam kes-kes tersebut, termasuk penyalahgunaan  soalsiasat dan pendakwaan terhadap ucapan kritis serta penglibatan dalam perhimpunan aman. Malaysia patut menghentikan penyalahgunaan  proses undang-undang untuk mengganggu dan menahan pengkritik, dan patut meminda atau memansuhkan undang-undang  yang mengenakan hukuman  jenayah terhadap ucapan atau perhimpunan agar  undang-undang  tersebut selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Pada Mac 2014, pihak kerajaan Malaysia telah memaklumkan Majlis Hak-Hak Asasi Manusia PBB bahawa ia komited untuk mengatur langkah memperbaiki pematuhannya kepada piawaian hak-hak asasi manusia antarabangsa,” kata Adam. “Sekiranya mahu diambil serius sebagai ahli yang menghormati hak dalam komuniti antarabangsa , ia perlu menghormati ikrar tersebut dan menghentikan penjenayahan yang berterusan terhadap pendapat yang bertentangan atau mengkritik.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country