Skip to main content

Malaysia: Hentikan Penahanan Mak Nyah

Pendakwaan Untuk ‘Berpakaian Perempuan’ Melanggar Hak Privasi, Kebebasan Bersuara

(Bangkok) – Sebuah mahkamah Syariah di Malaysia telah menghukum 16 orang mak nyah dengan penjara tujuh hari dan denda kerana “berpakaian perempuan” yang melanggar hak kebebasan bersuara dan privasi mereka, kata Human Rights Watch hari ini.

Pada 9 Jun 2014, sebuah mahkamah Syariah di Malaysia, di Negeri Sembilan telah menghukum 16 orang mak nyah dalam satu perbicaraan di mana mereka tidak mempunyai akses kepada peguam. Para pegawai jabatan agama negeri menahan mak nyah ini, bersama seorang kanak-kanak mak nyah, di sebuah majlis perkahwinan dalam rumah persendirian pada malam 8 dan 9 Jun di bawah undang-undang Syariah, yang menyatakan “seorang lelaki yang menyerupai seorang wanita” sebagai jenayah. Semua mengaku bersalah, kecuali seorang di bawah umur dibebaskan.

“Tiada seorang pun yang perlu ke penjara disebabkan pakaian yang mereka pakai,” kata Neela Ghoshal, penyelidik kanan hak-hak lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) di Human Rights Watch. “Para pegawai jabatan agama Malaysia tidak sepatutnya menahan mak nyah ini, dan hakim tidak sepatutnya menghukum mereka.”

Para pegawai jabatan agama telah menyusup masuk ke majlis perkahwinan itu dan menahan mak nyah, sebahagian daripada mereka adalah perancang perkahwinan, lebih dikenali sebagai “mak andam,” sementara yang lain adalah tetamu jemputan perkahwinan tersebut. Pegawai-pegawai ini telah memukul seorang daripada mereka – mencekik dan menendangnya – serta mengoyakkan pakaian seorang lagi mak nyah dalam tahanan tersebut, menurut Justice for Sisters, sebuah kumpulan hak asasi transgender di Malaysia. Selepas mereka dijatuhi hukuman pada 9 Jun, kerana mereka secara undang-undang dianggap sebagai “lelaki”, mereka dipindahkan ke penjara lelaki di Sungai Udong. Di sana, pihak berkuasa penjara secara paksa mencukur rambut mereka dalam apa yang disifatkan oleh mak nyah ini sebagai usaha untuk menafikan identiti jantina mereka.

Pada 11 Jun, seorang peguam pembelaan memfailkan permintaan untuk hukuman mak nyah ini disemak semula dan untuk mendapatkan pembebasan dengan ikat jamin. Menurut aktivis Justice for Sisters pada perbicaraan itu, tindakan hakim kelihatan menunjukkan bias bersifat peribadi dalam kes ini. Hakim bertanyakan kepada yang tertuduh, “Bukankah lebih baik jika [awak] berada dalam penjara?” Beliau memberitahu mereka bahawa kepala mereka yang botak menjadikan mereka “tampan.” Beliau menetapkan syarat ikat jamin yang mustahil dicapai bagi kebanyakan mak nyah tersebut, termasuk ibu bapa mereka – sesetengah mereka tinggal di negeri yang berjauhan atau sedang sakit – untuk ke mahkamah secara fizikal dalam masa 30 minit untuk menjamin mereka keluar. Mereka ini menjalani hukuman selama lima hari sebelum pegawai penjara membebaskan mereka awal pada 13 Jun kerana tarikh pembebasan mereka jatuh pada hari minggu.

Orang Islam di Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang jenayah persekutuan dan kepada enakmen jenayah Syariah peringkat negeri, yang berbeza mengikut negeri. Kesemua 13 negeri dan wilayah persekutuan menyatakan wanita transgender sebagai penjenayah, dan sekurang-kurangnya tiga negeri menyatakan lelaki transgender sebagai penjenayah, semata-mata atas dasar bagaimana mereka berpakaian. Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan menyatakan, “Mana-mana orang lelaki yang, memakai pakaian wanita dan menyerupai wanita di tempat awam adalah melakukan satu kesalahan.” Undang-undang ini menetapkan hukuman sehingga 1000 ringgit (kira-kira US$300) dan enam bulan penjara.

Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia tidak membenarkan golongan transgender untuk menukar tanda jantina mereka pada kad pengenalan mereka untuk dipadankan dengan jantina mereka, membawa kepada kitaran penahanan yang tidak berkesudahan.

Perlembagaan undang-undang telah dicabar dalam satu kes pada masa ini di hadapan Mahkamah Rayuan Putrajaya. Pempetisyen – tiga mak nyah yang telah ditahan di bawah undang-undang Negeri Sembilan dalam insiden sebelumnya – berhujah bahawa undang-undang itu melanggar hak asasi yang dilindungi perlembagaan Malaysia, yang lebih tinggi berbanding undang-undang Syariah negeri. Ini termasuklah kebebasan bersuara (artikel 10), perlindungan sama rata (artikel 8), dan kebebasan bergerak (artikel 9). Human Rights Watch telah mengemukakan ringkasan amicus (“rakan mahkamah”), berhujah bahawa undang-undang juga melanggar hak asasi tanpa diskriminasi, privasi, dan kebebasan bersuara dan bergerak yang diiktiraf oleh Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia. Cabaran perlembagaan itu telah didengar sebahagiannya pada 22 Mei, dan telah ditangguhkan pada 17 Julai.

“Kelakuan diskriminasi kedua-dua pegawai jabatan agama dan hakim mahkamah Syariah menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang menentang ‘berpakaian perempuan’ harus dimansuhkan,” Thilaga Sulathireh, seorang aktivis bersama Justice for Sisters, memberitahu Human Rights Watch. “Tidak perlu seorang lagi transgender dihukum dengan kekejaman, penghinaan dan ketidakadilan seperti ini.”

Undang-undang Negeri Sembilan bukan sahaja mendiskriminasikan, kata Human Rights Watch, tetapi dalam kes 16 mak nyah tersebut, telah dikendalikan dengan cara arbitrari. Seorang daripada mak nyah ini ditahan pada 8 Jun memakai pakaian yang neutral jantina tetapi telah diberitahu oleh pegawai jabatan agama bahawa mereka menahannya kerana mereka mendakwa kelakuannya kelihatan terlalu feminin. Tambahan pula, sementara undang-undang merujuk kepada apa yang dipakai seseorang “di mana-mana tempat awam,” pegawai-pegawai dalam kes ini menyerbu sebuah majlis perkahwinan di sebuah rumah persendirian. Tuan rumah perkahwinan berhasrat untuk memfailkan aduan mengenai pegawai jabatan agama dengan pihak polis di Negeri Sembilan, tetapi polis enggan untuk menerima aduan tersebut.

“Para pegawai negeri dan polis telah lama mempunyai kebebasan untuk melanggar hak-hak mak nyah,” kata Ghoshal. “Keputusan mahkamah rayuan bulan hadapan akan mempunyai kesan besar kepada sama ada golongan transgender akan terus berdepan tahanan dan berbagai-bagai penindasan di Malaysia.” 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic