Skip to main content

(New York) – Human Rights Watch meratapi pemergian aktivis hak asasi manusia yang bersemangat waja dan berdedikasi, Irene Fernandez. Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 31 Mac 2014, pada usia 67 tahun.

“Komitmen tinggi Fernandez untuk menuntut keadilan bagi golongan yang ditindas adalah satu legenda, bukan saja di Malaysia malah di seluruh Asia,” kata Kenneth Roth, pengarah eksekutif. “Kebanyakan kami di Human Rights Watch telah bekerja bersama Irene selama beberapa tahun, dan kami amat bersedih dengan kehilangan ini dari segi peribadi serta kepada komuniti hak asasi manusia.”

Peguambela terkemuka bagi hak asasi pendatang serta wanita di Malaysia selama berdekad-dekad, Fernandez membantu mengasaskan organisasi hak asasi berpusat di Kuala Lumpur, Tenaganita (Tenaga Wanita) pada tahun 1991. Tenaganita menyediakan khidmat perundangan dan menjalankan pembelaan mewakili mangsa pendatang terhadap penderaan, mangsa perdagangan, pelarian, serta penuntut suaka. Sebagai pengiktirafan terhadap kerja keras dan kepimpinan beliau, Human Rights Watch pada tahun 1996 menganugerahkan Fernandez dengan anugerah pemantauan hak asasi manusia.

Fernandez telah berulang kali diganggu oleh kerajaan Malaysia kerana aktivitisme beliau. Pada tahun 1995 Tenaganita mengeluarkan satu laporan yang menceritakan seksaan dan keganasan seksual yang dikenakan terhadap tahanan oleh penjaga penjara, serta kekurangan makanan dan minuman dalam kem tahanan imigresen Malaysia. Fernandez telah ditahan pada Mac 1996 dan didakwa dengan penerbitan berita palsu yang berniat jahat di bawah undang-undang drakonian Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selepas tujuh tahun perbicaraan, beliau didapati bersalah pada tahun 2003 dan dijatuhi hukuman setahun penjara. Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan, tetapi kerajaan menggunakan sabitan beliau untuk menghalang beliau bertanding untuk parlimen dalam pilihan raya 2004. Sabitan itu telah dilucutkan pada November 2008, mengakhiri kes selama 13 tahun itu.
Beliau juga merupakan jawatankuasa penganjur pilihan raya Tribunal Penduduk Malaysia yang ke 13 yang telah dibubarkan.

Fernandez telah menerima beberapa lagi anugerah, termasuk Anugerah Amnesty Antarabangsa pada tahun 1998; Anugerah PEN Antarabangsa pada 2000; Anugerah Jonathan Mann pada 2004; dan Anugerah Right Livelihood pada 2005.

“Sekali anda menemui Irene, anda tidak akan melupainya,” kata Mickey Spiegel, penasihat kanan Asia. “Beliau merupakan satu inspirasi, seorang guru, seorang contoh kepada kebanyakan daripada kami. Pemergian beliau menandakan pengakhiran sebuah era.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country