Skip to main content

Malaysia: Gugurkan Kes Jenayah Bersabit Tayangan Filem

Lena Hendry Berdepan Hukuman Penjara Sehingga 3 tahun

(Bangkok) - Pihak berkuasa Malaysia wajar menghentikan pendakwaan yang berlarutan terhadap aktivis hak asasi, Lena Hendry setelah beliau menayangkan sebuah filem dokumentari yang belum diluluskan lembaga penapis, begitu menurut Human Rights Watch dalam kenyataannya hari ini. Pada 21 September  2016, Mahkamah Tinggi membatalkan pembebasan Hendry dan mengarahkan perbicaraan semula kes itu selepas pihak kerajaan membuat rayuan.

Lena Hendry © 2015 Lena Hendry


Hendry, seorang kakitangan kumpulan hak asasi manusia, Pusat KOMAS, didakwa di bawah Akta Penapisan Filem Malaysia kerana menganjurkan tayangan persendirian sebuah filem dokumentari hak asasi manusia yang memenangi anugerah, "No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka," pada 3 Julai 2013, di Kuala Lumpur. Pada awalnya, majistret membebaskan beliau daripada pertuduhan tersebut pada bulan Mac setelah mendapati pihak kerajaan gagal mengemukakan kes yang menunjukkan beliau bersalah.

“Pendakwaan Lena Hendry susulan tayangan persendirian sebuah filem yang memenangi anugerah termasuk tindakan ugutan, ancaman dan pertuduhan jenayah yang semakin giat dilakukan oleh kerajaan Malaysia terhadap pembela hak asasi manusia,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch bahagian Asia. “Kerajaan Malaysia wajar mengakhiri pengalaman pahit Hendry yang berlarutan selama tiga tahun dengan menggugurkan pendakwaan dan meminda Akta Penapisan Filem dengan segera agar tiada aktivis lain dihadapkan dengan hukuman penjara hanya kerana menayangkan sebuah filem.”

Pihak berkuasa mendakwa Hendry di bawah seksyen 6 Akta Penapisan Filem Malaysia, yang melarang "penyebaran, pengedaran, pameran, pengeluaran, penjualan, sewa” atau “pemilikan” mana-mana filem, sama ada yang diimport atau dihasilkan dalam negeri, tanpa diluluskan terlebih dahulu oleh Lembaga Penapis Filem yang dilantik oleh kerajaan. Undang-undang mentakrifkan “filem” dengan skop yang sangat luas, malah turut merangkum video rakaman di rumah atau video yang diambil dari telefon pintar. Jika disabit kesalahan, Hendry berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM30,000 (AS $7,000). Mahkamah tertinggi Malaysia telah menolak isu perlembagaan yang dibangkitkan terhadap undang-undang tersebut pada bulan September 2015.

Pendakwaan Hendry melanggar hak kebebasan bersuara di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kata Human Rights Watch. Hukuman jenayah atas sebab memiliki atau menayangkan filem secara peribadi tanpa kelulusan kerajaan merupakan suatu tekanan kepada hak asasi. Hukuman seumpama ini juga bercanggah dengan undian pihak kerajaan pada November 2015 yang memihak kepada resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pembela hak asasi manusia di seluruh dunia.

Pendakwaan ini dilihat bertujuan menyekat aktiviti-aktiviti KOMAS dengan menghalang usahanya untuk menyampaikan maklumat dan berkongsi pandangan tentang isu-isu hak asasi manusia. “No Fire Zone” mengisahkan kisah jenayah perang yang dilakukan dalam bulan-bulan terakhir perang sivil di Sri Lanka pada tahun 2009, termasuklah serangan tentera Sri Lanka yang sewenang-wenangnya membunuh beribu-ribu orang awam serta hukuman mati di luar batas undang-undang terhadap para pejuang yang ditangkap serta penyokong kumpulan pemisah Liberation Tigers of Tamil Eelam.

“Akta Penapisan Filem merupakan undang-undang yang digubal sejak zaman sebelum internet yang boleh disalahgunakan oleh pegawai-pegawai kerajaan dengan mudah dan perlu dimansuhkan segera,” ujar Robertson. “Alasan sebenar di sebalik kuasa yang meluas ini adalah bagi membolehkan pihak kerajaan menyekat sebarang tayangan menurut kehendak mereka daripada tontonan rakyat Malaysia, serta mendakwa sesiapa sahaja yang berani menayangkan filem tersebut.”

Pada 22 Mac 2017, Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengenakan hukuman denda sebanyak RM10,000 (AS $ 2,260) terhadap Lena Hendry selepas disabitkan di bawah Akta Penapisan Filem Malaysia pada bulan Februari, selepas penayangan sebuah filem dokumentari mengenai Sri Lanka. Sabitan dan hukuman tersebut melanggar hak kebebasan bersuara di bawah undang-undang antarabangsa dan perlu dibatalkan segera, tegas Human Rights Watch.

"Sabitan yang tidak berasas, malah hukuman yang dikenakan terhadap Hendry ini menunjukkan perbuatan kerajaan Malaysia yang menyekat golongan aktivis semakin melampau,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia. "Kerajaan harus membatalkan sahaja kes ini dan memansuhkan Akta Penapisan Filem sebelum pendakwaan seumpama ini mencari sasaran seterusnya."

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country