Skip to main content

Malaysia: Janji Perubahan Tidak Dipenuhi

Himpunan Aman, Penahanan tanpa Perbicaraan Masih Berterusan

(New York) - Janji-janji yang ditabur Perdana Menteri Malaysia Najib Razak sepanjang tahun 2011 bagi “mendukung kebebasan awam” dan membina “demokrasi yang bersifat terangkum dan benar-benar berfungsi” ibarat jauh panggang dari api, ujar Human Rights Watch hari ini dalam Laporan Dunia 2012 mereka. Hak asasi manusia dan reformasi politik pasti menjadi isu-isu genting dalam pilihan raya umum yang akan datang, dan ramai menjangka pilihan raya ini akan diadakan awal penggal pertama 2012.

Sepanjang tahun 2011, kerajaan Malaysia telah menahan secara arbitrari pengkritik-pengkritik yang lantang bersuara, menyembur gas pemedih mata dan menyerang beribu-ribu orang yang berhimpun secara aman menuntut reformasi pilihan raya bersih dan adil, malah menggantikan sekatan yang sudah sekian lama wujud terhadap perhimpunan aman dengan undang-undang kawalan yang lebih drakonian.

“Pemimpin-pemimpin Malaysia menipu diri mereka sendiri sekiranya mereka fikir mereka boleh memungkiri janji-janji yang telah mereka buat kepada rakyat untuk menghormati hak mereka berhimpun secara aman dan mengkritik kerajaan tanpa rasa takut,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch bagi rantau Asia. “Semakin rancak Perdana Menteri Najib dan pemimpin-pemimpin politik kerajaan bermain dengan cakap besar mereka dan memperlekeh hak-hak asasi, semakin besar kemungkinan rakyat akan memberontak terhadap mereka.”

Dalam Laporan Dunia 2012 tersebut, Human Rights Watch telah meneliti keadaan hak asasi manusia sepanjang tahun di lebih 90 buah negara, termasuklah kebangkitan kuasa rakyat di seluruh jazirah Arab yang memang tidak disangka. Namun begitu, pertempuran ganas bagi menentang kebangkitan ini juga bererti peranan masyarakat antarabangsa amat mustahak supaya kerajaan demokrasi yang akan dibentuk nanti menghormati prinsip hak asasi, kata Human Rights Watch dalam laporan tersebut.

Pada 15 September 2011, Datuk Najib telah mengumumkan beberapa pembaharuan dan berjanji memansuhkan undang-undang yang membenarkan penahanan berpanjangan tanpa semakan kehakiman, termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah); meneliti seksyen 27 Akta Polis yang memberi kuasa kepada ketua-ketua polis daerah untuk menolak permohonan permit bagi perhimpunan awan dan demonstrasi; serta pindaan ke atas Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar yang memerlukan lesen tahunan untuk penerbitan yang sah.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah positif dengan memansuhkan dua buah undang-undang yang mengekang dan jarang dipakai, yakni  Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, dan tidak lama kemudian membatalkan pengisytiharan darurat dari 1966, 1969 dan 1977 yang memberi kuasa kepada Ordinan Darurat. Namun, perkembangan ini terjejas dengan Akta Perhimpunan Awam yang baru diluluskan secara tergesa-gesa selepas itu. Akta ini mengharamkan semua perhimpunan bergerak contohnya berkawad dan perarakan; memberi polis kuasa arbitrari ke atas mana-mana mesyuarat awam; malah menyenaraikan satu daftar tempat-tempat yang dilarang berhimpun sehinggakan terlampau sukar mengadakan suatu bantahan di kawasan bandar.

“Undang-undang perhimpunan awam Malaysia yang baru diperkenalkan ini adalah lebih mengekang daripada undang-undang yang digantikannya,” ujar Robertson. “Ini sama sekali bukan perubahan yang diperlukan Malaysia”.

Pihak polis di Malaysia telah berulang kali mengehadkan perhimpunan aman, kebebasan berpersatuan dan kebebasan bersuara sepanjang 2011. Bermula lewat Mei, apabila BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) mengumumkan himpunan aman (March for Democracy) bagi menuntut reformasi pilihan raya, pihak kerajaan telah bertindak menjadikan pemimpin-pemimpin serta peserta-peserta sebagai sasaran serangan balas mereka. Kerajaan telah mengisytiharkan gabungan tersebut sebagai organisasi haram di bawah Akta Pertubuhan, menangkap penyokong-penyokong yang memakai T-shirt Bersih, menyerbu bilik sekretariat mereka, menahan pemimpin-pemimpin Parti Sosialis Malaysia secara arbitrari di bawah Ordinan Darurat, mengeluarkan perintah larangan perjalanan terhadap pemimpin-pemimpin Bersih melarang mereka memasuki ibu kota Kuala Lumpur, dan menutup terus laluan perhimpunan itu. Apabila langkah-langkah yang diambil ini gagal untuk menahan peserta-peserta perhimpunan daripada terus mara, pasukan keselamatan terus menyerang mereka ini dengan gas pemedih mata dan air kimia dari penyembur air dan menangkap seramai 1,697 orang.

“Perbuatan pihak berkuasa Malaysia untuk menghancurkan perarakan aman Bersih memperlihatkan wajah sebenar mereka sebagai sebuah kuasa mutlak yang sanggup bertindak sewenang-wenang dan tidak mempedulikan hak asasi semata-mata untuk mengekalkan kuasa,” kata Robertson lagi. “Nampaknya rakyat Malaysia hanya dibenarkan bersuara dan berhimpun dengan bebas hanya jika mereka menyokong kerajaan.”

Pada November 2011, kerajaan telah menggunakan ISA untuk menahan 13 orang yang dituduh sebagai pengganas. Meskipun pengumuman untuk memansuhkan ISA telah dibuat oleh kerajaan, mereka masih terus menahan 13 orang tersebut tanpa tuduhan melakukan apa-apa kesalahan di bawah kanun jenayah.

Pada 9 Januari 2012, sebuah mahkamah Kuala Lumpur telah membebaskan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, atas tuduhan melibatkan diri dengan perlakuan seksual sejenis, dengan persetujuan, atas sebab bukti DNA yang dikemukakan oleh pihak pendakwa mungkin telah dicemari. Kes terhadap Anwar ini bermotifkan politik dan tercela dengan pelbagai perkara-perkara yang tidak kena. Semasa perbicaraan, pihak pendakwa enggan menyerahkan bukti penting seperti yang dikehendaki oleh kanun prosedur jenayah Malaysia.

Kerajaan Malaysia perlu menarik semula undang-undang warisan era penjajah yang mengkategorikan sebarang perlakuan seksual sejenis sebagai jenayah, kata Human Rights Watch lagi. Ia juga sepatutnya menggantikan undang-undang perlakuan seks tanpa persetujuan dengan undang-undang yang lebih moden dan bersifat gender neutral terhadap jenayah rogol.

“Sepatutnya Anwar tidak langsung dihadapkan ke mahkamah,” ujar Robertson. “ Malaysia seharusnya berhenti terus daripada menggunakan undang-undang liwat yang sudah ketinggalan zaman bagi tujuan memfitnah pemimpin lawan, dan menghormati keanggotaannya dalam Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-bangsa Bersatu dengan membatalkan semua undang-undang yang mengkategorikan perlakuan seksual sejenis sebagai jenayah.

Sepanjang 2011, Malaysia langsung tidak membuat perubahan kepada dasar-dasar imigresen, yang tidak membezakan antara orang pelarian, pemohon suaka, mangsa pemerdagangan manusia dan migran tanpa dokumen. Sebuah perjanjian pertukaran orang pelarian yang dicadangkan bersama Australia yang menyebut bahawa Malaysia tidak perlu melindungi hak pemohon suaka, telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Australia sebagai menyalahi undang-undang. Malaysia masih jauh ketinggalan dalam perlindungan ke atas mangsa pemerdagangan manusia, lebih-lebih lagi pekerja migran sektor domestik  - yang terpinggir daripada perlindungan penting di bawah Akta Kerja di Malaysia.

“Rakan-rakan perniagaan utama Malaysia, termasuk AS, Kesatuan Eropah dan Australia, perlu mengingatkan Malaysia bahawa dasar hormat kepada hak asasi manusia adalah teras penting untuk sebuah negara demokrasi yang bersifat terangkum dan maju,” sambung Robertson lagi.

  

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country