Skip to main content


(New York, 19 Jun, 2017) – Penulis blog dan aktivis hak asasi Vietnam ketika ini dipukul, diugut malah terancam oleh penyerang yang bebas bertindak, begitu menurut Human Rights Watch dalam sebuah laporannya yang disiarkan hari ini. Kerajaan Vietnam wajar bertindak untuk menghentikan semua serangan tersebut dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab. Negara-negara penderma juga wajar menegur pihak berkuasa Vietnam agar menghentikan tindakan keras terhadap aktivis dan mengingatkan mereka bahawa sekatan ke atas kebebasan Internet, kebebasan bersuara secara aman dan aktivisme bakal berdepan masalah.

Laporan bertajuk “No Country for Human Rights Activists: Assaults on Bloggers and Democracy Campaigners in Vietnam,” dengan 65 halaman mengetengahkan 36 insiden yang berlaku antara Januari 2015 dan April 2017 yang menyaksikan kumpulan lelaki berpakaian biasa yang tidak dikenali memukul pejuang hak asasi dan penulis blog sehingga cedera parah. Ramai mangsa serangan melaporkan bahawa kejadian memukul tersebut berlaku di depan polis beruniform yang hanya membiarkan mangsa diserang tanpa sebarang campur tangan.

“Sudahlah aktivis di Vietnam berdepan risiko penjara jika berani bersuara, tetapi kini mereka berdepan risiko dalam kehidupan seharian hanya kerana berani memperjuangkan hak asasi mereka,” ujar Brad Adams, pengarah Human Rights Watch bagi rantau Asia. “Kerajaan Vietnam harus memberi isyarat jelas bahawa ia tidak akan bertolak-ansur dalam hal ini dan menghentikan tindakan terhadap pejuang asasi.”

Human Rights Watch merekodkan taktik serangan terhadap penulis blog dan aktivis hak asasi di seluruh Vietnam, antaranya di Hanoi, Ho Chi Minh City, Da Nang, Nha Trang dan Vung Tau dan di beberapa daerah lain seperti di Quang Binh, Nghe An, Ha Tinh, Binh Duong, Lam Dong dan Bac Giang.

Kerajaan Vietnam harus sedar bahawa sikap mereka yang membiarkan serangan ganas seperti ini tidak akan membawa keamanan sosial dan kestabilan yang dicanangkan, malah sebaliknya, akan mengheret negara kepada huru-hara dan kekacauan.
Brad Adams

Pengarah bagi rantau Asia

Dalam banyak kes, serangan berlaku di lokasi umum sekitar bandar Vietnam, seperti yang berlaku terhadap La Viet Dung, aktivis alam sekitar yang diserang ketika beliau sedang pulang selepas suatu keramaian Kelab Bola Sepak No-U di Hanoi pada Julai 2016. Dung diserang dengan bata oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali sehingga tengkoraknya retak. Pada Mei 2014, Tran Thi Nga, seorang aktivis hak asasi juga dipukul oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di Hanoi dengan batang besi sehingga tulang lutut kanannya dan lengan atas kirinya patah. Serangan seumpama ini turut berlaku di lokasi ramai seperti di kedai makan. Pada Jun 2016, Nguyen Van Thanh, pejuang demokrasi ditumbuk di bahagian mukanya oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Kejadian berlaku di sebuah kedai makan di Da Nang. Akan tetapi, polis yang tiba kemudian langsung tidak menyiasat serangan tersebut, bahkan menahan Nguyen Van Thanh selama beberapa jam dan menyoalnya tentang penulisan politik beliau.

Dalam kes-kes berasingan, lelaki yang tidak dikenali mengheret aktivis ke dalam kereta atau van, memukul lantas meninggalkan mereka di kawasan yang tiada penghuni. Sebagai contoh, pada April 2017, sekumpulan lelaki berpakaian biasa dan bertopeng muka menculik dua aktivis hak asasi iaitu Huynh Thanh Phat dan Tran Hoang Phuc di Ba Don, sebuah daerah di Quang Binh. Kedua-duanya diheret masuk ke van lalu dibawa ke tempat lain. Mereka dipukul dengan tali pinggang dan kayu dalam van tersebut kemudian ditinggalkan di dalam hutan. Pada Februari 2017 sebelum itu, sekumpulan lelaki berpakaian biasa menculik aktivis hak asasi, Nguyen Trung Ton berserta sahabatnya, Nguyen Viet Tu, mengheret mereka masuk ke dalam van dan memandu mereka ke tempat lain. Kejadian ini juga berlaku di Ba Don. Kumpulan lelaki tersebut bertindak menanggalkan pakaian Ton dan Tu, menutup kepala mereka dengan jaket milik mereka lantas memukul kedua-duanya dengan tiub besi. Ton dan Tu kemudiannya ditinggalkan di dalam hutan. Nguyen Trung Ton cedera teruk sehingga terpaksa menjalani pembedahan di hospital.

“Perbuatan samseng seperti menculik dan memaksa aktivis masuk ke dalam van secara terang-terangan lalu memukul mereka menunjukkan betapa penyerang langsung tidak takut akan pihak berkuasa,” kata Brad Adams. “Kerajaan Vietnam harus sedar bahawa sikap mereka yang membiarkan serangan ganas seperti ini tidak akan membawa keamanan sosial dan kestabilan yang dicanangkan, malah sebaliknya, akan mengheret negara kepada huru-hara dan kekacauan.”

Aktivis turut dipukul hanya kerana menyertai acara awam seperti bantahan melindungi alam sekitar, tunjuk perasaan menyokong pembebasan warga aktivis atau sebarang acara yang berkaitan hak asasi. Pada Disember 2015, Nguyen Van Dai, seorang pejuang hak asasi telah memberikan ceramah tentang hak dan perlembagaan. Ceramah tersebut dibuat di mukim Nghe An, daerah Nam Dan. Sebaik sahaja Nguyen Van Dai dan tiga rakan aktivisnya meninggalkan lokasi tersebut, sekumpulan lelaki bertopeng muka menahan teksi mereka, mengheret mereka keluar dan memukul mereka.

Bukan setakat itu, aksi solidariti seperti melawat rumah bekas tahanan politik atau menyambut tahanan politik yang pulang juga menyebabkan aktivis diserang secara ganas. Pada Ogos 2015, sekumpulan penulis blog dan aktivis termasuk Tran Thi Nga, Chu Manh Son, Truong Minh Tam, Le Thi Huong, Phan Van Khanh dan Le Dinh Luong menziarahi bekas tahanan politik, Tran Minh Nhat selepas beliau bebas daripada empat tahun penjara atas dakwaan bersubahat dengan sebuah parti luar negara yang diharamkan. Sejurus meninggalkan Lam Dong dalam beberapa bas yang berbeza, lelaki yang tidak dikenali dan berpakaian biasa menaiki bas-bas tersebut, mengheret mereka keluar dan memukul mereka di depan orang ramai.

Dalam semua kes yang diketengahkan dalam laporan ini kecuali satu kes, Human Rights Watch mendapati, tidak ada seorang pun daripada penyerang terbabit yang telah dikenal pasti dan didakwa sedangkan mangsa sering melaporkan kejadian pukul ini kepada polis. Sebaliknya, beberapa mangsa,  antaranya aktivis Nguyen Van Dai and Tran Thi Nga ditahan dan didakwa di bawah artikel 88 kanun keseksaaan atas kesalahan melakukan propaganda terhadap negara. Tindakan ini menimbulkan tanda tanya tentang hubungan pihak berkuasa dengan semua penyerang dalam kes-kes tersebut, sama ada pihak berkuasa hanya menutup sebelah mata atau sebenarnya terlibat secara langsung dengan kumpulan penyerang tersebut.

Laporan Human Rights Watch ini memetik insiden dari sumber media asing termasuk Radio Free Asia (RFA), Voice of America (VOA), British Broadcasting Corporation (BBC), Saigon Broadcasting Television Network, media sosial termasuk Facebook dan YouTube, laman web politik bebas seperti Dan Lam Bao (kewartawanan rakyat), Dan Luan (perbincangan rakyat), Viet Nam Thoi Bao (warta Vietnam), Tin Mung Cho Nguoi Ngheo (‘berita gembira bagi warga miskin’), Defend the Defenders dan banyak blog peribadi yang lain. Banyak kes yang dimuatkan dalam laporan ini belum pernah diterbitkan dalam bahasa selain bahasa Vietnam. Kes-kes ini juga tidak dilaporkan dalam media yang disokong kerajaan Vietnam.

“Penapisan media kerajaan menyebabkan ramai pengkritik di Vietnam meluahkan perasaan bimbang mereka di Internet,” ujar Adams. “Taktik serangan ke atas penulis blog dan aktivis ini jelas bertujuan untuk mengunci mulut pengkritik yang tidak mempunyai pilihan lain untuk menyalurkan kegusaran mereka.”

Peningkatan kes memukul ini berlaku serentak dengan pengurangan tangkapan bermotifkan politik pada ketika Vietnam sedang berunding dengan Amerika Syarikat tentang perjanjian perdagangan Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership, TPP). Rekod hak asasi Vietnam merupakan tumpuan utama dalam rundingan tersebut serta perbahasan kongres AS. Besar kemungkinan Vietnam mahu menunjukkan bahawa tangkapan politik semakin berkurangan, namun hakikatnya ia masih mengenakan tindakan keras ke atas pembangkang. Ironinya, ramai daripada mangsa pukul ialah bekas tahanan politik, termasuk Tran Minh Nhat, Nguyen Dinh Cuong, Chu Manh Son dan Mai Thi Dung. Namun, bukti terbaru menunjukkan bahawa tangkapan sedang meningkat manakala serangan pukul terhadap aktivis pula masih berterusan.

“Golongan aktivis dan penulis blog yang berani ini dizalimi setiap hari, akan tetapi mereka masih meneruskan perjuangan mereka,” ujar Brad Adams. “Negara penderma antarabangsa dan rakan dagang Vietnam harus membela perjuangan aktivis dengan menggesa kerajaan Vietnam agar menghentikan tindakan memukul ini dan membawa semua penyerang ke muka pengadilan.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.