Di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan Malaysia telah memungkiri janji-janjinya untuk menangani penindasan dan rasuah. Bidang kuasa penapisan diperluas oleh pihak berwajib, manakala undang-undang yang bersifat kabur dan 'tangkap muat' seringkali digunakan untuk menghukum kebebasan bersuara. Orang pelarian dan migran ditahan secara arbitrari untuk tempoh yang tidak menentu, tanpa pengawasan mahkamah. Selain itu, pihak berkuasa turut menindas golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) menggunakan retorik berbaur benci serta menangkap mereka.
Kebebasan Ekspresi dan Berhimpun
Kerajaan telah mencadangkan pindaan untuk memperluas bidang kuasa undang-undang yang bersifat menindas, termasuklah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).
Pada April, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin, dikenali sebagai Chegubard, didakwa menghasut berhubung satu hantaran Facebook yang memetik sebuah laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri Anwar turut terbabit mengeluarkan lesen kasino untuk Forest City. Chegubard juga berdepan dua tuduhan berbeza, iaitu menghasut dan memfitnah Agong Ibrahim Iskandar berhubung hantaran lain di media sosial.
Pada Mei, penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris, dikenali sebagai Papagomo, didakwa atas kesalahan menghasut untuk mendatangkan kebencian terhadap Agong berhubung hantaran di laman X.
Pada Ogos, bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa menghasut kerana mempersoalkan kuasa perlembagaan mantan Agong sebelum ini. Anwar pula berkali-kali mempertahankan Akta Hasutan.
Akta Keselamatan Siber Malaysia yang baru dikuatkuasakan pada Ogos juga memperluas bidang kuasa kerajaan untuk memantau ekspresi dalam talian, termasuk kandungan ditulis wartawan.
Bermula 1 Januari 2025, platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar wajib memohon lesen untuk beroperasi, begitu menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Namun, kumpulan masyarakat sivil berkata bahawa peraturan terbabit tidak mempunyai garis panduan yang jelas dan tidak diawasi pihak berwajib.
Orang Pelarian, Pemohon Suaka dan Migran
Malaysia bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai prosedur domestik untuk mengawal selia permohonan suaka. Kira-kira 190,000 orang pelarian dan pemohon suaka—termasuk lebih 110,000 warga Muslim Rohingya dan kira-kira 54,280 kanak-kanak—berdaftar dengan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), tetapi tidak diberikan status undang-undang, justeru mereka tidak dapat bekerja secara rasmi atau mendaftar di sekolah-sekolah kerajaan.
Kerajaan Malaysi kini menahan kira-kira 16,000 warga migran, pelarian, dan pemohon suaka di pusat tahanan imigresen. Orang tahanan ditahan berbulan-bulan atau bertahun-tahun dalam keadaan sesak, kotor, sering berdepan penganiayaan fizikal dan psikologi, tanpa pengawasan mahkamah, dan berisiko ditahan untuk tempoh yang tidak menentu. Penjagaan perubatan yang tidak mencukupi serta malnutrisi turut berleluasa di pusat-pusat ini.
Dari Januari hingga Jun, 20 kematian dilaporkan di pusat-pusat tahanan imigresen di Malaysia.
Kerajaan menafikan akses UNHCR ke pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019, termasuk ke pusat Baitul Mahabbah yang dikhususkan untuk kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah, yang ditubuhkan sejak September 2023. Ketika laporan ini ditulis, terdapat 170 kanak-kanak—sebahagiannya tanpa penjaga—di pusat Baitul Mahabbah, sedangkan pusat ini bukanlah alternatif yang sesuai untuk kanak-kanak.
Pihak berkuasa Malaysia telah melakukan 11,900 serbuan imigresen dan menahan sekurang-kurangnya 28,000 migran tanpa dokumen antara Januari dan Ogos.
Pada September, Malaysia mendeportasi Nuon Thoeun kerana mengkritik pemimpin Kemboja di Facebook. Menurut laporan, deportasi tersebut dibuat susulan permintaan pihak berkuasa Kemboja. Beliau kini berdepan pertuduhan menghasut yang bermotifkan politik.
Sistem Kehakiman Jenayah
Biarpun Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023, ia masih mengekalkan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Mahkamah sering menjatuhkan hukuman bersabit kesalahan dadah berdasarkan andaian secara undang-undang bahawa tertuduh memang bersalah, sekali gus memindahkan beban pembuktian kepada pihak tertuduh. Enam puluh lima peratus banduan yang menunggu hukuman mati dihukum bersabit kesalahan mengedar dadah. Mereka yang terlepas daripada hukuman mati masih boleh dikenakan hukuman sebat, namun ini dianggap sebagai satu bentuk penyeksaan di bawah undang-undang antarabangsa.
Malaysia menahan individu tanpa perbicaraan di bawah undang-undang yang restriktif. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membenarkan penahanan preventif sehingga 28 hari tanpa semakan mahkamah untuk pelbagai "kesalahan keselamatan" yang luas takrifannya. Pada Julai, rang undang-undang untuk meminda SOSMA telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di parlimen. Majlis Peguam Malaysia menyeru agar SOSMA dimansuhkan.
Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) memberi kuasa kepada lembaga lantikan kerajaan untuk memerintahkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun, yang boleh dilanjutkan tanpa had tempoh.
Kebebasan Beragama
Malaysia menyekat hak penganutnya daripada mengikuti fahaman Islam selain Sunni. Pengikut Shia atau aliran lain berisiko ditangkap atas dakwaan menyelewengkan agama.
Pada Januari, dua pembikin filem “Mentega Terbang” didakwa di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana “melukakan perasaan agama orang lain”. Filem tersebut mengetengahkan kisah seorang remaja beragama Islam yang cuba memahami fahaman agama lain.
Pada Mei, pengasas KK Mart, Chai Kee Kan dan isterinya yang juga pengarah syarikat, Loh Siew Mui, dituduh kerana “melukakan perasaan agama orang lain” kerana menjual stokin yang tertera perkataan “Allah.”
Orientasi Seksual dan Identiti Gender
Diskriminasi terhadap warga LGBT yang disokong kerajaan masih berleluasa di Malaysia, termasuklah amalan “conversion”. Undang-undang persekutuan menghukum “seks di luar tabii”, yang ditafsirkan sebagai seks suka sama suka sesama jenis, dengan hukuman sehingga 20 tahun dalam penjara serta sebatan mandatori. Undang-undang Sharia (Islam) di peringkat persekutuan dan negeri juga mentakrifkan hubungan seks sesama jenis dan ketidakpatuhan gender sebagai perbuatan jenayah.
Pada Mac, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa “Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang gaya hidup LGBTQ” dan kerajaan akan terus mengharamkan filem yang memaparkan “tema LGBTQ.”
Hak Wanita
Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berwarganegara Malaysia dan bapa berwarganegara asing. Namun, pindaan tersebut tidak komprehensif dan menafikan hak kanak-kanak yang lahir sebelum pindaan tersebut dibuat.
Pada Mac, polis memanggil empat orang dan membuka satu lagi kertas siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil bersabit perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur.
Alam Sekitar dan Hak Orang Asal
Kerajaan telah bertemu dengan Suruhanjaya Eropah sebanyak dua kali untuk menyelesaikan ketegangan yang timbul susulan undang-undang Kesatuan Eropah yang mengehadkan import barangan kayu dan minyak sawit yang terkait dengan pemusnahan hutan. Pada September, kerajaan menyekat akses perkumpulan masyarakt sivil untuk turut serta dalam perbincangan tersebut.
Operasi perniagaan berterusan di hutan yang dituntut oleh orang Asal, bahkan, satu perjanjian karbon telah dimeterai di Sabah. Di Perak pula, mahkamah tinggi memutuskan bahawa kerajaan gagal melindungi tanah orang Asal daripada dicerobohi syarikat-syarikat hidroelektrik.
Pada Jun, pihak berkuasa Sabah mengusir secara paksa beratus-ratus orang Bajau Laut – sebuah masyarakat etnolinguistik yang tidak bernegara dan hidup seperti nomad. Aktivis Sabah, Mukmin Nantang, yang mendedahkan perkara tersebut kini sedang disiasat polis bersabit tuduhan menghasut.