Skip to main content

Malaysia

Peristiwa 2022

Seorang wanita di sebuah pusat mengundi sedang memasukkan kertas undinya ketika pilihanraya umum ke-15, Kuala Lumpur, Malaysia, 19 November 2022.

© 2022 Afif Abd Halim/NurPhoto via AP

Di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob yang menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2021, kerajaan Malaysia bertindak agresif mengekang kebebasan bersuara dan protes aman dengan tindakan mengancam, menggertak dan menangkap aktivis dan pengkritik kerajaan secara arbitrari. Pihak berkuasa sering menggunakan retorik berbaur kebencian terhadap orang pelarian, migran  dan juga warga lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Golongan ini digambarkan seolah-olah mereka adalah ancaman kepada keselamatan dan identiti negara.

Ismail Sabri membubarkan parlimen pada 10 Oktober sebagai persediaan menghadapi pilihanraya umum Malaysia yang ke-15, yang telah pun diadakan pada 19 November. Pertarungan sengit tersebut membawa kepada parlimen tergantung selama seminggu sehingga mencetuskan kegelisahan rakyat. Akhirnya, Yang Dipertuan Agong berkenan menerima Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah pada 24 November sebagai Perdana Menteri ke-10. Parlimen kerajaan baharu bersidang pada 19 Disember dan meluluskan usul percaya terhadap Anwar, yang merupakan ahli pembangkang selama lebih dua dekad, malah pernah merengkok selama 10 tahun di penjara akibat tuduhan bermotifkan politik.

Pada Ogos sebelumnya, Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi Malaysia, menolak rayuan bekas Perdana Menteri Najib Razak. Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun bersabit kesalahannya menyeleweng dana milik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai berbilion-bilion ringgit.

Kebebasan Ekspresi dan Berhimpun

Kerajaan menggunakan pelbagai undang-undang yang tafsirannya kabur dan tidak jelas untuk mendakwa aktivis yang kritikal dengan menggunakan perundangan seperti Akta Hasutan 1948 dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (CMA).

Pereka grafik Fahmi Reza berkali-kali berdepan dengan soal siasat dan penangkapan susulan satira politiknya. Pada Februari, dia didakwa dua kali di bawah seksyen 233 CMA bersabit kesalahan memuatnaik poster karikatur menggambarkan pihak berkuasa di media sosial. Dia dilepaskan tanpa dibebaskan dalam salah satu kes tersebut. Pada April, dia ditangkap di bawah seksyen 233 CMA dan Akta Hasutan bersabit lukisannya iaitu sebuah kartun monyet berpakaian seiras kerabat raja-raja Malaysia.

Pada Julai, Siti Nuramira Abdullah didakwa atas kesalahan mencetus perpecahan agama di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan susulan lakonannya di pentas terbuka komedi yang dituduh menghina Islam. Dalam aksi komedi tersebut, dia menanggalkan tudung kepala dan baju kurungnya, iaitu baju tradisi wanita Melayu. Teman lelakinya turut didakwa di bawah seksyen 233 CMA kerana memuatnaik video lakonan tersebut di media sosial. Pihak berkuasa turut membatalkan lesen operasi kelab komedi terbabit, sementara pemiliknya disenarai hitam secara kekal bagi menyekat mereka daripada mendaftar apa-apa perniagaan seterusnya.

Selain itu, polis menggertak orang ramai yang menyertai perhimpunan aman. Pada Januari, orang ramai yang menyertai beberapa siri protes yang menuntut agar ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia digantung jawatannya, telah dipanggil untuk disoal siasat, termasuk empat ahli parlimen.

Polis turut menyoal siasat tiga ahli organisasi bukan kerajaan (NGO), Lawyers for Liberty, pada April susulan protes yang mereka adakan di luar kawasan kedutaan Singapura berhubung hukuman mati yang dijatuhkan oleh kerajaan Singapura ke atas seorang lelaki lembam (tahap IQ rendah) warga Malaysia. Polis turut menyiasat ahli Majlis Peguam Malaysia kerana mengadakan acara nyalaan lilin pada malam sebelum hukuman mati tersebut dilaksanakan.

Pada Jun, pihak berkuasa menghalang 300 peguam daripada berarak ke parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan untuk melindungi kebebasan badan kehakiman. Polis menekankan bahawa kumpulan peguam tersebut tidak mempunyai permit polis sedangkan permit sudah tidak lagi diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Pada Julai, polis menghalang perkumpulan pelajar dan aktivis politik daripada berarak ke Dataran Merdeka untuk membantah kenaikan kos sara hidup. Polis turut membuka kertas siasatan ke atas ahli demonstrasi dan mengeluarkan saman terhadap 300 peserta protes tersebut.

Kebebasan media turut tergugat sepanjang tahun 2022. Pada Mac, panel tujuh orang hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Malaysiakini, sebuah portal berita dalam talian, untuk membatalkan sabitan hina mahkamah yang dijatuhkan kepada Malaysiakini berhubung lima komen pembaca dalam portal tersebut.

Salah Laku dan Impuniti Polis

Polis sering diberi impuniti biarpun terkait isu penderaan suspek dalam tahanan. Standard penjagaan orang dalam tahanan adalah rendah, malah kematian berpunca daripada penyakit yang boleh dirawat kerap dilaporkan. Sekurang-kurangnya 20 orang dalam tahanan mati dalam tahanan polis tahun ini.

Pada Julai, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis diwujudkan setelah kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang berkait akauntabiliti polis di parlimen, namun usaha ini dilihat sebagai satu kemunduran. Hal ini kerana Suruhanjaya tersebut langsung tidak mempunyai kuasa geledah dan rampas, kuasa memperoleh bukti amat terhad, dan ia langsung tiada kuasa untuk mengadakan perbicaraan.

Orang Pelarian, Pemohon Suaka dan Mangsa Pemerdagangan Manusia

Malaysia bukan ahli kepada Konvensyen berkaitan Status Pelarian 1951. Kira-kira 185,000 orang pelarian dan pemohon suaka – majoritinya daripada Myanmar, termasuk lebih 100,000 warga etnik Muslim Rohingya – berdaftar dengan agensi perlindungan pelarian di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR). Namun, mereka tidak diberikan status sah dari aspek undang-undang, justeru tidak dibenarkan bekerja atau belajar di sekolah kerajaan. Ini membuatkan mereka sering ditindas, dieksploitasi dan dianiaya.

Bermula Ogos 2019, kerajaan telah menafikan akses kepada UNHCR untuk memasuki pusat tahanan imigresen, lalu menyebabkan agensi tersebut gagal menilai permohonan suaka orang tahanan yang memerlukan perlindungan. Ketua pengarah imigresen melaporkan pada April bahawa lebih 17,500 pemohon suaka ditahan di pusat tahanan di seluruh negara, termasuk lebih 1,500 kanak-kanak.

Dari Jun hingga Oktober, jabatan imigresen mendeportasi lebih 1,700 warga Myanmar, termasuklah bekas tentera, tanpa menilai terlebih dahulu tuntutan suaka serta perlindungan sewajarnya untuk mereka.

Pada April, lebih 500 pelarian Rohingya lolos daripada sebuah pusat tahanan imigresen. Enam daripada mereka, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh ketika melintasi jalan sewaktu melarikan diri. Menurut menteri dalam negeri, warga Rohingya tersebut sudah ditahan lebih dua tahun.

Keadaan pusat tahanan imigresen juga tidak memuaskan. Menurut laporan sekumpulan NGO Indonesia , sekurang-kurangnya 149 warga Indonesia mati di pusat tahanan Malaysia antara Januari 2021 hingga Jun 2022.

Pada Julai, kerajaan memulakan suatu skim pendaftaran, Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) yang mewajibkan semua pelarian dan pemohon suaka membuat pendaftaran biometrik identiti mereka. Menteri dalam negeri menyatakan, kad tersebut akan diiktiraf sebagai satu-satunya kad pelarian yang sah, bukan kad UNHCR. Sistem ini dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta bermotifkan keuntungan yang diterajui oleh mantan ketua perisikan polis negara.

Pada September, ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara turut mencadangkan agar agensi UNHCR di Malaysia ditutup bagi mengelakkan “campur tangan asing” dalam urusan pelarian.

Kebebasan Beragama

Malaysia menyekat hak penganutnya daripada mengikuti fahaman Islam selain Sunni. Pengikut Syiah atau aliran lain berisiko ditangkap atas dakwaan menyelewengkan agama. Pada Jun, menteri hal ehwal agama memberi amaran agar penganut Islam tidak menyertai sebuah pesta budaya Jepun atas alasan ia berunsurkan agama lain.

Keadilan Hukuman Jenayah

Pada Jun, kerajaan mengemukakan usul untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Pada Oktober, pindaan tersebut dibentangkan di Parlimen namun tidak diluluskan kerana parlimen dibubarkan untuk menghadapi pilihanraya umum.

Malaysia menahan individu tanpa perbicaraan di bawah undang-undang yang restriktif. Kedua-dua Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) memberi kuasa kepada lembaga lantikan pihak berkuasa untuk memerintahkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun, yang boleh dilanjutkan tanpa had tempoh, pengawasan elektronik dan pelbagai syarat restriktif bagi mengekang kebebasan bergerak dan berpersatuan. Pada April, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan pengecualian semakan hakim ke atas penahanan orang tahanan di bawah POCA adalah tidak sah.

Pada Julai, parlimen meluluskan lanjutan lima tahun ke atas peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA, yang membenarkan penahanan bermotifkan pencegahan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman, setelah lanjutan tersebut gagal diluluskan pada Mac.

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap warga LGBT yang disokong kerajaan masih berleluasa di Malaysia, termasuklah amalan “conversion” yang merupakan usaha untuk menukar orientasi seksual dan identiti gender warga LGBT.

Undang-undang persekutuan menghukum “seks di luar tabii”, yang ditafsirkan sebagai seks suka sama suka sesama jenis, sehingga 20 tahun dalam penjara serta sebatan mandatori. Undang-undang Syariah di peringkat persekutuan dan negeri juga mentakrifkan hubungan seks sesama jenis dan ketidakpatuhan gender, sekali gus, menyebabkan ramai warga transgender sering ditangkap.

Pada Mac, Google memadamkan aplikasi “terapi ‘conversion’” yang diterbitkan kerajaan pada 2016 daripada laman Play Store.

Pada Jun, Malaysia mengharamkan filem Disney “Lightyear” setelah Disney enggan akur kepada perintah Lembaga Penapisan Filem untuk mengeluarkan babak yang dikatakan “menggalakkan gaya hidup LGBT”, termasuklah adegan ciuman sesama seks. Pada Julai, filem “Thor: Love and Thunder” turut diharamkan setelah Disney enggan mengeluarkan babak “berunsur LGBT” daripada filem tersebut.

Hak Wanita

Pada Ogos, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 bagi membenarkan kerakyatan automatik diberikan kepada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita warganegara Malaysia bersuamikan warga asing, di luar negara. Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut mengembalikan semula amalan diskriminasi terhadap wanita yang dinafikan hak saksama seperti lelaki untuk memberikan hak kerakyatan kepada pasangan dan anak-anak mereka.

Pada April, sebuah mahkamah Syariah memerintahkan hukuman penjara tujuh hari ke atas seorang ahli Parlimen, Maria Chin Abdullah atas dakwaan beliau menghina mahkamah susulan kritikannya pada 2019 terhadap keputusan mahkamah Syariah yang menghukum seorang wanita hanya kerana wanita tersebut menukar tarikh membenarkan bekas suaminya untuk melawat anak-anak mereka. Kenyataan Maria Chin Abdullah ialah wanita didiskriminasi oleh sistem Syariah. Usaha Maria untuk mencabar keputusan mahkamah masih belum diputuskan ketika laporan ini ditulis. Wanita terbabit, Emilia Hanafi, terpaksa menjalani hukuman penjara 7-hari tersebut pada Jun-Julai.

Hak Kanak-Kanak

Malaysia masih membenarkan perkahwinan sesama kanak-kanak bawah umur di bawah undang-undang sivil dan Syariah. Gadis berusia 16 dan 17 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran ketua menteri negeri masing-masing. Untuk penganut Islam, kebanyakan undang-undang Syariah negeri menetapkan umur minimum iaitu 16 tahun untuk anak gadis dan 18 tahun untuk anak teruna biarpun ini menyalahi obligasi Malaysia terhadap undang-undang hak asasi antarabangsa. Bahkan, perkahwinan bawah umur dibenarkan tanpa had umur, asal sahaja mereka mendapat kebenaran mahkamah Syariah.

Pada Mac, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menyatakan di parlimen bahawa parlimen tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Alam Sekitar

Pada Mac, projek hidroelektrik Nenggiri di Kelantan mula dibina biarpun berdepan kebimbangan komuniti orang Asli di situ. Sebuah perkumpulan orang Asli di Kelantan turut membantah pembinaan empangan tersebut atas dakwaan ia menggugat tempat tinggal, tanah turun-temurun, kehidupan seharian, budaya dan identiti mereka, malah mengancam akses mereka kepada sumber air bersih dan makanan harian. Mereka mendakwa tidak diberikan pampasan sewajarnya.

Kerajaan negeri Sabah pula masih berahsia tentang perjanjian jual beli karbon yang bakal menyaksikan sehingga 4.9 juta ekar tanah hutan tropika di Sabah dikendalikan oleh syarikat Singapura, Hoch Standard untuk tempoh 200 tahun. Pihak berkuasa Sabah langsung tidak melakukan apa-apa konsultasi dengan orang Asli atau komuniti setempat yang akan terancam secara langsung akibat perjanjian tersebut. Butiran sebuah lagi perjanjian urus niaga karbon di Sabah telah dimulakan pada 2021 tetapi hanya diumumkan secara terbuka pada Ogos 2022. Sehingga kini, ia juga tidak didedahkan secara terperinci.

Pada Januari, mereka yang mengkritik peranan kerajaan kerana membiarkan pembalakan berleluasa sehingga menyebabkan banjir besar pada Disember 2021 telah disiasat pihak berkuasa. Fahmi Reza turut dipanggil polis berhubung poster beliau yang melukis jata negeri Pahang berbentuk imej dua bilah kapak dan sebatang pokok, rentetan banjir besar di Pahang. Polis turut menyoal siasat seorang wartawan Free Malaysia Today berhubung laporannya yang mengkritik respons kerajaan dalam banjir tersebut.

Peranan Penting di Peringkat Antarabangsa

Malaysia amat kritikal berhubung kegagalan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menangani krisis berpanjangan di Myanmar. Menteri Luar ketika itu, Saifuddin Abdullah menggesa blok ASEAN untuk menjalin hubungan rasmi dengan Kerajaan Perpaduan Negara Myanmar yang menjadi pembangkang sebelumnya.