Walaupun beberapa pembaharuan telah dilaksanakan, Malaysia masih terus menggunakan undang-undang represif untuk menjadikan perbezaan pendapat sebagai suatu kesalahan, menapis kata-kata bersifat kritikal, serta mengganggu aktivis hak asasi manusia. Orang pelarian dan migran pula ditahan dengan tempoh yang tidak menentu, dalam keadaan yang sesak dan kotor.
Pada 2025, Malaysia menerajui Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai pengerusi bergilir.
Kebebasan Ekspresi, Berhimpun dan Beragama
Pada 12 Februari, polis menangkap Sevan Dorsaisamy, pengarah eksekutif SUARAM, sebuah organisasi hak asasi manusia, atas dakwaan menceroboh ketika beliau secara aman cuba berbincang dengan pihak Kementerian Dalam Negeri berhubung keadaan penahanan di Penjara Sungai Buloh.
Pada Februari, kerajaan mengumumkan cadangan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) serta mengenakan moratorium terhadap siasatan yang sedang berjalan. Pada 1 Julai, mahkamah tertinggi Malaysia secara sebulat suara memutuskan bahawa seksyen 9(5) akta tersebut, yang menjadikan satu kesalahan sekiranya penganjur perhimpunan tidak memberitahu pihak polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan aman dilangsungkan, adalah peruntukan yang tidak patuh perlembagaan. Namun, pada 22 Julai, kumpulan masyarakat sivil dan aktivis hak asasi manusia telah dihalang oleh polis dan pasukan kawalan rusuhan daripada mengadakan protes di kawasan Parlimen.
Pada Disember 2024, parlimen Malaysia meluluskan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberikan kuasa meluas kepada pihak berkuasa untuk menapis kandungan dalam talian. Namun, pada Ogos 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan “menghina” dan “menjengkelkan” dalam seksyen 233 akta tersebut, yang sudah sekian lama sering digunakan untuk mengekang perbezaan pendapat, adalah tidak patuh perlembagaan.
Kerajaan Malaysia turut melaksanakan penapisan secara meluas terhadap penerbitan buku, termasuk karya yang membincangkan isu gender dan seksualiti, di bawah seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Undang-undang baharu di negeri Terengganu pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun terhadap lelaki beragama Islam yang gagal menunaikan solat Jumaat tanpa alasan yang sah.
Orang Pelarian, Pemohon Suaka dan Migran
Malaysia bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai prosedur domestik untuk mengawal selia permohonan suaka. Kira-kira 210,000 orang pelarian dan pemohon suaka—termasuk lebih 124,000 warga Muslim Rohingya dan kira-kira 64, 800 kanak-kanak—berdaftar dengan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), akan tetapi mereka ini tidak diberikan status undang-undang, justeru mereka tidak dapat bekerja secara rasmi atau mendaftar di sekolah-sekolah kerajaan.
Pada 2025, pihak berkuasa Malaysia telah meningkatkan operasi serbuan imigresen dengan ketara. Antara Januari dan Mei, dianggarkan seramai 34,000 individu telah ditahan.
Setakat Julai 2025, kerajaan Malaysia menahan kira-kira 18,000 migran, orang pelarian dan pemohon suaka di pusat tahanan imigresen tanpa sebarang pengawasan kehakiman. Para tahanan berdepan risiko penahanan tanpa tempoh yang ditetapkan. Sejak 2019, kerajaan telah menafikan akses UNHCR ke pusat tahanan imigresen serta pusat Baitul Mahabbah, iaitu fasiliti khusus bagi kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah. Menteri Dalam Negeri juga memaklumkan Parlimen bahawa setakat Julai 2025, 10 peratus daripada orang tahanan terdiri kanak-kanak.
Sistem Kehakiman Jenayah
Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023. Proses menjatuhkan hukuman semula selepas tarikh tersebut menyaksikan bilangan hukuman mati menurun secara ketara. Setakat Januari 2025, jumlah hukuman mati ialah 140, berbanding 1,300 pada November 2023.
Walau bagaimanapun, Malaysia masih mengekalkan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Seramai 40 banduan berdepan hukuman mati bersabit kesalahan dadah. Hukuman sebat, yang merupakan satu bentuk penyeksaan di bawah undang-undang antarabangsa, masih kekal sebagai hukuman alternatif mandatori kepada hukuman mati bagi beberapa kesalahan lain.
Malaysia turut menahan individu tanpa perbicaraan di bawah undang-undang yang restriktif, antaranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Namun, susulan tekanan berterusan daripada masyarakat sivil, Kementerian Dalam Negeri, ketika laporan ini ditulis, sedang memuktamadkan semakan ke atas SOSMA, dengan cadangan pindaan yang bakal dibahaskan di parlimen.
Orientasi Seksual dan Identiti Gender
Diskriminasi yang disokong di peringkat negeri terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kekal berleluasa, termasuklah peruntukan dana kerajaan negeri untuk proses “pemulihan” orientasi seksual. Undang-undang sivil Malaysia serta undang-undang syariah di peringkat negeri dan wilayah turut menjadikan hubungan sesama jenis dan ketidakpatuhan terhadap norma gender suatu kesalahan.
Pada Jun, pihak berkuasa di negeri Kelantan telah menyerbu satu acara yang didakwa sebagai “pesta gay”, menahan 20 lelaki, dan mendakwa tiga individu atas kesalahan memiliki “bahan pornografi homoseksual.” Namun, Majlis AIDS Malaysia dan Kementerian Kesihatan kemudiannya mengesahkan bahawa acara tersebut sebenarnya merupakan program penglibatan kesihatan yang menawarkan maklumat berkaitan HIV. Bahkan, Ketua Polis Kelantan turut mengesahkan bahawa pihak berkuasa tidak menemui sebarang bukti aktiviti seksual.
Pada November, pihak berkuasa tempatan menyerbu sebuah gimnasium dan sauna di Kuala Lumpur yang disyaki “beroperasi sebagai pusat penganjuran aktiviti sesama jenis.” Seramai 202 individu ditahan dalam operasi tersebut; 171 lelaki warganegara Malaysia dibebaskan selepas 24 jam, manakala 31 warga asing direman untuk tujuan pemprosesan imigresen.
Pada Mei, penganjur sebuah acara terpaksa menangguhkan bengkel mereka bertajuk “Pride Care: Queer Stories and Sexual Health Awareness” susulan kecaman terbuka daripada menteri hal ehwal agama, siasatan polis, serta gangguan dalam talian terhadap pihak terlibat.
Hak Wanita
Pada Jun, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sebahagian fatwa yang dikeluarkan pada 2014 terhadap Sisters in Islam (SIS), sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak wanita.
Malaysia telah melancarkan Dasar Wanita Negara yang pertama serta Pelan Pembangunan Wanita pada Mac 2025, yang merangkumi akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, serta penyertaan ekonomi dan politik.
Pejuang hak asasi terus mengetengahkan kelemahan dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008. Selain itu, Majlis Peguam Malaysia juga menyeru agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi melarang sebarang diskriminasi berasaskan kelainan upaya.
Alam Sekitar dan Hak Orang Asal
Pada Februari, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan bahawa ia tidak lagi akan memberikan cagaran tanah bersyarat kepada syarikat-syarikat kelapa sawit, setelah hampir tujuh tahun kerajaan persekutuan mengehadkan peluasan ladang kelapa sawit di seluruh negara.
Pada Ogos pula, Malaysia melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Perniagaan dan Hak Asasi ((NAPBHR), yang mewajibkan kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu termasuk rang undang-undang berkaitan perubahan iklim serta akta kebebasan maklumat bagi membolehkan sesiapa sahaja mengakses laporan penilaian impak alam sekitar.