Skip to main content

Malaysia

Events of 2021

Golongan muda Malaysia protes duduk di samping kain rentang yang tercatat “Kerajaan Gagal” sekali gus menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas dakwaan salah urus Covid-19, Kuala Lumpur, 31 Julai 2021.

© 2021 Zahim Mohd/NurPhoto via AP 

Tatkala berdepan dengan ketidakstabilan politik, kerajaan Malaysia bertindak menggunakan taktik kekerasan, antaranya, menyiasat dan menangkap secara arbitrari golongan yang kritikal terhadap kerajaan serta dasar kerajaan, menguatkuasakan dasar antimigran yang ketat, dan mengugut akan mengenakan tindakan lebih keras terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Pada bulan Ogos, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan lalu diganti oleh Ismail Sabri, namun pendekatan kerajaan terhadap isu hak asasi tidak menampakkan banyak perubahan.

Serangan ke atas Pembela Hak Asasi

Kerajaan masih menggunakan undang-undang yang kabur dan terlalu luas skop takrifannya, termasuklah Akta Hasutan serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) bagi mendakwa pembela hak asasi yang kritikal.

Pada 23 April 2021, polis menangkap pelukis grafik dan aktivis, Fahmi Reza bersabit senarai audio Spotify yang dicipta Fahmi sebagai respons sindiran terhadap sebuah ciapan oleh permaisuri agung bersifat kontroversi. Sesudah empat bulan siasatan dijalankan, polis menggugurkan kes hasutan tersebut. Reza ditangkap semula pada 4 Oktober bersabit sebuah karikatur perdana menteri Malaysia.

Pada bulan Mei 2021 pula, pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Zulfikar Anwar Ulhaque, seorang kartunis politik yang dikenali sebagai Zunar, atas tuduhan bersabit CMA dan seksyen 505(c) Kanun Jenayah membabitkan lukisan yang menyindir ketua menteri negeri Kedah.

Pada bulan Julai pula, pihak berkuasa membuka kertas siasatan ke atas pencipta sebuah filem animasi pendek yang memaparkan keganasan yang menurut seorang budak lelaki berlaku ketika dalam tahanan polis. Polis mendakwa mereka atas tuduhan bersabit fitnah jenayah dan kesalahan lain di bawah kanun jenayah. Dalam bulan yang sama, pihak berkuasa mendakwa seorang aktivis, Heidy Quah atas tuduhan melanggar CMA pada bulan Jun 2020 susulan hantaran Facebook yang mendakwa layanan buruk terhadap orang pelarian di sebuah pusat tahanan imigresen.

Peserta perhimpunan aman juga turut menjadi sasaran siasatan polis.

Pada 24 April, pihak berkuasa menangkap aktivis, Mukmin Nantang  berserta enam peserta lain kerana bantahan terhadap lanjutan 14 hari perintah kawalan pergerakan di sebuah kampung di Sabah. Pada 6 Julai, polis mengumumkan bahawa mereka sedang menyiasat dakwaan hasutan dan kesalahan lain melibatkan kempen “bendera hitam” yang menggesa orang ramai untuk mengibarkan bendera hitam sebagai tanda kekecewaan mereka terhadap kerajaan. Pada 24 Julai, sekurang-kurangnya 31 peserta yang terlibat dalam konvoi bendera hitam dalam sebuah kenderaan dipanggil ke balai untuk disoal siasat.

Pada 21 Julai, sebuah gabungan belia mengumumkan protes bertarikh 31 Julai sebagai bantahan terhadap cara pengendalian pandemik Covid-19 oleh kerajaan. Pada 29 Julai, polis menangkap aktivis muda, Sarah Irdina di rumahnya. Pada hari yang sama, polis menyoal siasat tiga peserta gabungan belia tersebut di bawah CMA dan kanun jenayah bersabit kesalahan “membuat kenyataan yang mencetuskan kemarahan awam.”

Pada 19 Ogos, 31 peserta perarakan yang memasang lilin bagi memperingati pesakit Covid-19 yang mati telah ditahan polis secara paksa. Sekurang-kurangnya seorang peserta membuat laporan polis kerana cedera fizikal oleh polis.

Kebebasan Media

Kebebasan media merosot tahun ini. Pada 18 Februari, mahkamah tertinggi di Malaysia memutuskan Malaysiakini, sebuah portal berita dalam talian, bersalah kerana menghina mahkamah lantaran lima komen daripada pembaca, biarpun portal tersebut menurunkan komen-komen tersebut sejurus dimaklumkan tentangnya. Mahkamah mengenakan denda RM500,000 (US$124,000) ke atas Malaysiakini. Pihak berkuasa juga membuka siasatan menghina mahkamah setelah ketua editor portal itu, Steven Gan, memberikan komennya tentang keputusan mahkamah.

Pada bulan Mei, polis memanggil dua wartawan Malaysiakini untuk disoal siasat rentetan liputan mereka bersabit kekejaman polis yang menyebabkan kematian dalam tahanan. Pada bulan Julai, polis turut memanggil Boo-Su Lyn, pekerja portal penjagaan kesihatan, Code Blue bersabit artikel beliau mengenai wabak Covid-19 di sebuah pusat vaksinasi.

Pada 2 Julai, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman terhadap Malaysiakini bersabit jenayah fitnah. Mahkamah menggunakan tafsiran yang sempit berkait kepentingan awam dari segi common law, sekali gus mengancam hak kebebasan media. Kes yang dibawa oleh Raub Australian Gold Mining Company ini melibatkan artikel dan video terbitan Malaysiakini tentang kemungkinan pencemaran daripada sebuah lombong emas.

Salah Laku Polis dan Impuniti

Salah laku polis terhadap suspek dalam tahanan masih merupakan masalah serius, termasuk isu kebertanggungjawaban dalam kes-kes terbabit. Standard penjagaan orang tahanan masih bermasalah, bahkan, ada orang tahanan mati akibat penyakit yang boleh dirawat. Menurut Menteri Dalam Negeri, setakat bulan Ogos, 42 orang mati dalam tahanan dan 28 daripadanya mati di pusat tahanan imigresen.

Orang Pelarian, Pemohon Suaka dan Mangsa Pemerdagangan Manusia

Malaysia masih belum meratifikasi Konvensyen Orang Pelarian (Refugee Convention) 1951. Lebih 179,000 orang pelarian dan pemohon suaka yang kebanyakannya dari Myanmar, kini berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia namun tidak diberikan status sah justeru tidak dibenarkan bekerja atau memasuki sekolah kerajaan.

Sejak bulan Ogos 2019, kerajaan Malaysia menolak permintaan UNHCR untuk diberikan akses masuk ke pusat tahanan imigresen, sementara menteri dalam negeri pula menolak semua permohonan akses. Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat 26 Oktober 2020, seramai 756 kanak-kanak ditahan di pusat tahanan imigresen di seluruh negara, termasuklah 326 dari Myanmar yang ditahan tanpa ibu bapa atau penjaga. Pada bulan Mei, pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam menyatakan kebimbangannya kerana remaja gadis Rohingya yang diperdagangkan ke Malaysia sebagai isteri bawah umur turut ditahan di pusat tahanan imigresen. Pada bulan Februari, Malaysia mendeportasi 1086 warga Myanmar hanya selang beberapa minggu setelah berlaku peralihan tampuk kuasa  di Malaysia yang menolak kerajaan yang diundi secara sah.  

Pihak berkuasa imigresen melakukan serbuan berulang kali dan menahan beribu-ribu pekerja tanpa dokumen sah biarpun tindakan tersebut berisiko menghindari mereka daripada mendapatkan vaksin atau rawatan disebabkan Covid-19.

Dalam laporan Pemerdagangan Manusia terbitannya, Amerika Syarikat merendahkan skor Malaysia ke Tahap 3 kerana Malaysia “tidak mengambil langkah signifikan” untuk membanteras pemerdagangan manusia.

Kebebasan Beragama

Malaysia mengekang penganut Islam daripada menganut fahaman selain Sunni, sementara pengikut Shia atau fahaman lain berisiko ditangkap atas sebab mengikut ajaran sesat.

Pada bulan Mac, kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan perintah bertarikh tahun 1986 yang menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan “Allah” dan perkataan berunsur Islam yang lain.

Pada bulan September pula, kerajaan mengisytiharkan ia sedang menggubal perundangan baharu bagi mengekang penyebaran agama-agama selain agama Islam di Wilayah Persekutuan.

Sistem Keadilan Jenayah

Malaysia membenarkan hukuman mati untuk beberapa jenayah dan mewajibkan hukuman mati bersabit 11 jenis kesalahan.

Malaysia menahan individu tanpa perbicaraan di bawah perundangan yang bersifat restriktif. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA membenarkan penahanan preventif sehingga 28 hari tanpa sebarang semakan kehakiman bagi beberapa “kesalahan keselamatan.” Pada 1 September, menteri dalam negeri menyebut, individu yang “mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur hasutan sehingga menakutkan orang ramai” akan berdepan kesalahan di bawah SOSMA.

Kedua-dua Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 membenarkan beberapa badan khas dilantik kerajaan dengan bidang kuasa untuk menahan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun, dengan tempoh tahanan boleh diperbaharui pada bila-bila masa, tanpa syarat. Ini bagi memantau pergerakan individu terbabit secara elektronik dan menyekat kebebasannya untuk bergerak dan berpersatuan. Belum ada sebarang semakan kehakiman untuk sekatan tersebut.

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap golongan LGBT masih berleluasa di Malaysia. Perundangan persekutuan menghukum “perlakuan seks luar tabii” dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan mandatori. Selain itu, undang-undang Syariah di beberapa negeri lain juga turut melarang hubungan seks sejenis serta ekspresi gender yang tidak mematuhi norma semasa, sekali gus menyebabkan golongan transgender kerap ditangkap. Pada bulan Februari, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menetapkan “seks luar tabii” sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pihak berkuasa sudah mengusulkan pelbagai cadangan pindaan kepada undang-undang Syariah yang akan memberi kesan negatif terhadap golongan LGBT jika diluluskan. Ini termasuklah hukuman yang lebih berat bagi kesalahan seks sejenis dan ekspresi gender. Pada bulan September, jawatankuasa fatwa negeri Perlis mengumumkan bahawa mereka yang berpakaian tidak selari dengan gender masing-masing dilarang memasuki masjid.

Pada bulan Januari, pihak penguatkuasa agama Islam menangkap Nur Sajat, usahawan kosmetik dan personaliti media sosial, atas dakwaan “menghina Islam” kerana mengenakan pakaian wanita Islam di sebuah majlis agama. Pada 23 Februari, apabila Nur Sajat gagal hadir di mahkamah, mahkamah Syariah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya. Pada 25 Februari, pihak penguatkuasa agama Islam mengisytiharkan sekurang-kurangnya 122 pihak penguatkuasa agama sedang “mencari dan akan menangkap Nur.’’ Pada bulan Oktober, Malaysia memfailkan permintaan ekstradisi di Thailand dan Australia untuk membawa Nur Sajat pulang. Namun, pada 18 Oktober, Nur Sajat mengumumkan yang dia sudah berada di Australia dan telah diberikan suaka politik.

Hak Wanita

Pada bulan September, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan pasangan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik, sekali gus membatalkan diskriminasi selama ini yang hanya membenarkan kanak-kanak kepada bapa warganegara Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan. Kerajaan Malaysia sedang merayu terhadap keputusan tersebut.

Pelajar perempuan dipaksa melalui “pemeriksaan datang bulan” untuk membuktikan mereka benar-benar datang haid dan tidak perlu berpuasa. Selain itu, seorang pelajar yang melaporkan dalam media sosial bahawa gurunya mempersendakan perlakuan rogol dalam kelas telah diugut akan dibuang sekolah, dibuli di media sosial, bahkan disiasat atas dakwaan “menghina secara Fsengaja dengan niat membuat provokasi yang mengancam keamanan negara.”

Hak Kanak-Kanak

Malaysia masih membenarkan perkahwinan kanak-kanak di bawah undang-undang sivil dan Syariah. Gadis berusia 16 dan 17 tahun dibenarkan berkahwin jika mendapat izin daripada ketua menteri negeri masing-masing. Bagi penganut Islam, kebanyakan undang-undang Syariah negeri meletakkan syarat usia minimum 16 tahun untuk gadis dan 18 tahun untuk lelaki, namun mengizinkan perkahwinan di bawah usia tersebut jika diizinkan oleh mahkamah Syariah. Penutupan sekolah di keseluruhan negara akibat Covid-19 dilihat antara faktor peningkatan perkahwinan bawah umur, kerana kajian menunjukkan bahawa pelajar yang berhenti sekolah mempunyai korelasi tinggi dengan peningkatan gadis berkahwin awal.

Kanak-kanak di Malaysia tidak dapat menghadiri sekolah secara bersemuka akibat perintah kawalan susulan Covid-19 sepanjang tahun ini. Kerajaan telah membuka sekolah secara berperingkat bermula Oktober 2021. Penutupan sekolah yang berpanjangan telah mengakibatkan ketidaksamarataan yang sudah sedia wujud bertambah runcing kerana ramai pelajar yang tidak berkemampuan tidak mempunyai kemudahan untuk mengakses pembelajaran dalam talian.

Pemain Utama di Persada Antarabangsa

Malaysia adalah salah satu negara terawal yang menyeru pertubuhan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk memainkan peranannya dalam menyelesaikan krisis di Myanmar. Malaysia juga mengekalkan pendiriannya yang tidak mahu ketua tentera Myanmar menghadiri sidang kemuncak ASEAN pada bulan Oktober. Malaysia turut menyeru agar vaksin Covid-19 diedarkan secara adil. Malaysia telah memenangi kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi penggal 2022-2024.