Penghormatan Malaysia kepada hak asasi telah menjunam pada tahun 2015 dengan bertambahnya gangguan dan penganiayaan pembela-pembela hak asasi, aktivis, susuk pembangkang politik, dan wartawan. Pihak kerajaan bertindak balas kepada ketidakpuashatian orang awam yang memuncak dalam isu-isu dari tuduhan-tuduhan rasuah kepada layanan bekas ketua pembangkan politik Anwar Ibrahim dengan tindakan keras yang menekan, selalunya bersandarkan kepada undang-undang jenayah yang digubal dengan bahasa yang luas dan samar untuk menyasar pengkritik-pengkritik.

Kebebasan Berekspresi

Ancaman terbesar kepada kebebasan bersuara adalah Akta Hasutan, yang mana ia telah digunakan untuk mendakwa mereka yang mengkritik kerajaan atau kehakiman, atau membuat ulasan-ulasan yang dikira kerajaan sebagai menghina kepada sultan-sultan atau tidak menghormati agama.

Mahkamah Persekutuan telah menolak cabaran berperlembagaan kepada undang-undang ini pada bulan Oktober. Lebih daripada 33 orang, termasuk ahli parlimen pembangkang telah didakwa dengan hasutan sejak tahun 2013. Ahli-ahli parlimen yang dikenakan denda lebih daripada RM2000 atau dihukum lebih daripada satu tahun penjara akan kehilangan kerusi-kerusi mereka dan diharamkan daripada berpolitik untuk lima tahun.

Pada bulan April, gabungan Barisan Nasional yang memerintah negara telah meluluskan pindaan-pindaan kepada Akta Hasutan untuk menambah hukuman-hukuman kepada pelanggaran-pelanggaran dan juga untuk memudahkan ia digunakan ke atas ucapan di atas talian. Pindaan-pindaan ini telah mewujudkan satu jenayah baru “hasutan teruk”, yang memberikan hukuman penjara sehingga 20 tahun atas kenyataan-kenyataan “hasutan” yang menyebabkan, walaupun secara tidak langsung, kerosakan kepada harta atau tubuh badan. Undang-undang yang dikuatkan ini adalah pengunduran yang besar oleh Perdana Menteri Najib Razak, yang telah berulang kali berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan apa yang diperkatakannya sebagai Akta Harmoni.

Kerajaan terus menggunakan Akta Penerbitan dan Percetakan untuk menekan penerbitan dan menghadkan kandungannya. Akta ini mengehendaki semua penerbit memperoleh lesen dan membolehkan kerajaan untuk mengharamkan penerbitan “yang mempunyai kebarangkalian memprejudis ketenteraman awam”, atau “yang mempunyai kebarangkalian untuk menggugat pendapat awam”. Pada bulan Julai, Kementerian Dalam Negeri telah menggunakan akta ini untuk menggantung penerbitan dua suratkhabar untuk tiga bulan selepas mereka melaporkan tuduhan-tuduhan rasuah melibatkan dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) milik kerajaan, yang mana lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri Najib. Mahkamah Tinggi menggugurkan penggantungan ini pada bulan September.

Kerajaan juga menggunakan akta ini untuk mengharamkan “sebarang pakaian berwarna kuning” yang mengandungi logo Gabungan Pilihanraya Bebas dan Adil (dikenali sebagai Bersih (dalam Bahasa Melayu) dan sebarang penerbitan berkenaan perhimpunan Bersih yang dirancang. Walaupun wujudnya pengharaman itu, yang mana berkuatkuasa dua hari sebelum perhimpunan besar Bersih yang dirancang di ibu kota Kuala Lumpur, berpuluh-puluh ribu orang memakai kemeja Bersih berwarna kuning ke perhimpunan aman 34 jam itu pada 29 sehingga 30 Ogos. Kerajaan telah memulakan siasatan jenayah ke atas beberapa ahli politik pembangkang kerana memakai kemeja Bersih.

Kerajaan juga menggunakan undang-undang yang menjenayahkan fitnah dan kenyataan-kenyataan yang boleh mengarah kepada perpecahan keamanan untuk menangkap dan mendakwa ahli-ahli politik pembangkang dan aktivis-aktivis untuk ucapan mengkritik. Artikel 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang mengharamkan sebarang komunikasi yang dikira kerajaan sebagai “lucah, tidak sopan, palsu, mengancam atau menyinggung,” telah digunakan untuk mendakwa pengguna-pengguna media sosial, menyiasat media, dan menyekat laman-laman web yang melaporkan skandal 1MDB atau menerbitkan informasi berkenaan perhimpunan Bersih pada bulan Ogos.

Lena Hendry, pengurus program Pesta Filem Kebebasan Pusat Komas, telah ditetapkan untuk dibicarakan pada bulan Disember kerana kononnya telah melanggar Akta Penapisan Filem kerana pembabitannya dalam penayangan filem dokumentari “No Fire Zone : The Killing Fields of Sri Lanka” di Kuala Lumpur pada bulan Julai 2013. Mahkamah Persekutuan Malaysia pada bulan September 2015 menolak cabaran berpelembagaan Hendry ke atas Akta Penapisan Filem.

Kebebasan Berhimpun dan Berpersatuan

Satu siri demonstrasi-demonstrasi besar telah diadakan di Malaysia pada tahun 2015. Dalam semua keadaan, polis tidak mengganggu perhimpunan-perhimpunan ini, tetapi kemudiannya menangkap dan mendakwa ramai di antara mereka yang terlibat dalam “perhimpunan haram” atau kesalahan-kesalahan di bawah kanun keseksaan, atau hasutan, untuk kenyataan-kenyataan yang dibuat semasa perhimpunan-perhimpunan tersebut. Pihak berkuasa telah mengisytiharkan perhimpunan-perhimpunan tersebut sebagai “haram” sekurang-kurangnya dua kali sebelum mereka berlangsung.

Pada bulan Oktober, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan peruntukan Akta Perhimpunan Aman yang membenarkan pendakwaan jenayah ke atas penganjur-penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis 10 hari terlebih dahulu kepada polis, secara langsung bercanggah dengan keputusan yang diberikan pada April 2014 oleh mahkamah yang sama. Selepas keputusan tersebut, kerajaan dengan pantas mendakwa ahli politik Nik Nazmi, yang telah berjaya mencabar undang-undang ini pada tahun 2014, atas kegagalan memberikan notis perhimpunan yang keperlembagaannya dicabar. Pihak berkuasa telah mendakwa dua orang penganjur perhimpunan Bersih pada bulan Ogos atas kegagalan memberikan notis sepatutnya, walaupun penganjur-penganjur Bersih telah bertemu dengan polis dua kali 10 hari sebelum perhimpunan.

Akta Persatuan mengekang hak kebebasan berpersatuan dengan mengehendaki organisasi-organisasi dengan tujuh atau lebih ahli mendaftar dengan pendaftar persatuan. Undang-undang memberikan menteri dalam negeri “budibicara mutlak” untuk mengisytiharkan sesebuah organisasi sebagai haram, dan juga memberikan kerajaan kuasa memantau parti-parti politik. Setakat November, pendaftar kekal terperangkap dalam pertikaian dengan Parti Demokrasi Bertindak (DAP) pembangkang, yang enggan mengiktiraf jawatankuasa eksekutif pusat parti tersebut atau 120 pejabat cawangannya selepas lebih dua tahun siasatan. Berdasarkan laman web Pendaftaran Persatuan, pendaftar telah menolak lebih daripada 38 peratus permohonan-permohonan yang dikemukakan pada tahun 2015 untuk menubuhkan organisasi-organisasi.

Pendakwaan Politik Anwar Ibrahim

Pendakwaan bersifat politik kerajaan ke atas bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat-contoh jelas penggunaan bersifat politik undang-undang diskriminasi-berakhir pada bulan Februari, di mana Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara. Sejak dimasukkan ke penjara beliau telah menderita dengan masalah-masalah kesihatan, termasuk kecederaan bahu dan masalah tulang belakang. Pada bulan Oktober, Kumpulan Gerak Kerja Penahanan Sewang-Wenang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memutuskan bahawa Anwar telah ditahan dengan sewenang-wenangnya dan menuntut beliau dilepaskan dengan segera dan hak-hak politiknya diberikan kembali.

Salah Laku Polis dan Kekebalan

Penyeksaan polis atas saspek-sakpek dalam tahanan, dalam beberapa kes yang menyebabkan kematian, dan penggunaan kekerasaan yang berlebihan dalam memberkas saspek-saspek kekal menjadi masalah yang serius pada tahun 2015. NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia mendokumentasi sekurang-kurangnya 10 kematian yang mencurigakan dalam tahanan polis dalam sembilan bulan pertama tahun ini, walaupun wujudnya janji-janji Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada bulan Mei 2014 untuk memasang peralatan telivisyen litar tertutup di semua tempat dalam tahanan polis.

Kerajaan terus tidak mengendahkan seruan Majlis Peguam Malaysia dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis dengan kuasa untuk menerima aduan-aduan berkenaan perilaku polis, dengan bebas menyiasat salah laku, dan menghukum mereka yang didapati terlibat dalam salah laku. Yang di-Pertuan Agong telah melantik pengerusi baru dan pesuruhjaya-pesuruhjaya baru bagi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan yang sedia ada pada bulan November 2014.

Pada 3 November 2015, suruhanjaya tersebut untuk pertama kalinya mengeluarkan satu laporan yang menyatakan bahawa polis bertanggungjawab dalam satu kematian dalam tahanan, memutuskan bahawa keganasan fisikal semasa tahanan dan soal siasat adalah sebab kematian seoarang lelaki muda dari Johor yang ditahan pada bulan November 2014. Ketua polis negara telah menyatakan bahawa anggota polis yang bertanggubgjawab tidak akan dilindungi daripada pertuduhan jenayah, tetapi pada masa penulisan ini masih tiada sebarang tidakan diambil untuk menunaikan janji tersebut.

Sistem Keadilan Jenayah

Pada bulan Disember 2015, kerajaan telah dengan tergesa-gesa melalui satu Akta Majlis Keselamatan Negara yang bahasanya luas dan samar memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan kawasan-kawasan keselamatan di mana sekatan kuasa-kuasa polis akan digantung dan pihak berkuasa boleh melakukan tangkapan, penggeledahan dan rampasan tanpa waran. Pada bulan April, kerajaan meluluskan Akta Pencegahan Keganasan yang baru dan ketat, yang memberikan lembaga yang dilantik oleh kerajaan kuasa untuk mengenakan penahanan tanpa bicara sehingga dua tahun, boleh diperbaharui selama-lamanya, untuk mengarahkan pemantauan elektronik, dan untuk mengenakan sekatan-sekatan besar ke atas kebebasan bergerak dan kebebasan berpersatuan, tanpa kemungkinan untuk semakan kehakiman.

Pihak berkuasa menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas yang sama ketat, yang membenarkan penahanan pencegahan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman, untuk menahan dua orang yang terlibat dalam usaha mendedahkan rasuah kerajaan. Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang masing-masing telah ditangkap pada 18 September dan 8 Oktober, kerana memfailkan laporan polis berkenaan 1MDB di beberapa negara asing.

Mereka kemudiannya didakwa untuk cubaan melakukan sabotaj ekonomi negara di bawah seksyen 124L Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun.

Malaysia masih mengekalkan hukuman mati untuk pelbagai jenayah, termasuk pengedaran dadah, dan tidak telus berkenaan bila dan bagaimana keputusan dibuat untuk pelaksanaan hukuman. Hampir 1,000 orang dianggarkan menunggu hukuman mati.

Pelarian, Pencari Suaka, dan Mangsa Pemerdagangan

Penemuan kubur besar di sempadan Thailand-Malaysia mengandungi mayat yang disyaki mangsa-mangsa pemerdagangan menunjukkan masalah pemerdagangan yang berterusan di Malaysia. Kira-kira 99 mayat, kebanyakannya dilaporkan etnik Rohingya dari Burma, dijumpai pada bulan Mei, dan 24 kubur lagi ditemui pada bulan Ogos. Tidak banyak informasi dimaklumkan kepada pihak awam berkenaan perkembangan dalam mengenalpasti dan menyiasat saspek-saspek yang terlibat dalam kem-kem pemerdagangan ini atau pegawai-pegawai kerajaan yang mungkin telah membantu dan bersubahat dalam operasi tersebut. 

Kerajaan Malaysia telah gagal untuk melaksanakan dengan efektif pindaan-pindaan yang diluluskan pada tahun 2014 kepada undang-undang anti-pemerdagangan Malaysia 2007, secara khusus dengan mengambil langkah-langkah pentadbiran yang perlu untuk memberikan bantuan dan kebenaran bekerja kepada semua mangsa pemerdagangan yang ingin berbuat demikian, dalam masa yang sama memastikan mereka bebas bergerak. Walaupun wujudnya kegagalan-kegagalan ini, kerajaan Amerika Syarikat telah menaikkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusianya yang mana adalah merupakan langkah politik berkaitan dengan Perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans Pasifik.

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap lesbian, gay, biseksual dan transgender adalah meluas di Malaysia, dan diskriminasi tersebut mencapai tahap tertinggi dalam kerajaan. Perdana Menteri Najib Razak telah dilaporkan menyatakan di seminar antarabangsa pada 18 Ogos bahawa minoriti seksual dan gender memberi ancaman kepada masyarakat Malaysia, berhujah bahawa “kumpulan-kumpulan seperti Islamic State dan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) kedua-duanya menyasarkan generasi muda dan kelihatan berjaya dalam mempengaruhi kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat.”

Mahkamah Persekutuan memutuskan pada bulan Oktober untuk membatalkan keputusan mahkamah rendah yang memutuskan bahawa larangan negeri Negeri Sembilan ke atas “seorang lelaki berkelalukan seperti perempuan” adalah tidak berperlembagaan. Keputusan ini dengan serius menggugat hak-hak transgender. Pada bulan Jun, sembilan orang perempuan transgender disabitkan kesalahan oleh mahkamah Sharia di Kelantan di bawah larangan yang sama.

Pada 10 September, dua orang lelaki bersenjatakan tukul besi dengan ganas memukul salah seorang aktivis transgender terkemuka Malaysia, Nisha Ayub, di luar bangunan pangsapurinya, yang menyebabkan beliau dimasukkan ke hospital. Beliau melaporkan jenayah kebencian tersebut kepada polis, tetapi pada masa penulisan polis masih belum mengenalpasti sebarang saspek.

Suruhanjaya Hak Asasi Negara

Pada bulan November, kerajaan Malaysia mengumumkan pelan-pelan untuk memotong dana Suhakam, suruhanjaya hak asasi manusia negara, sebanyak 50 peratus, dalam apa yang kelihatan jelas sebagai tindakan balas ke atas laporan suruhanjaya yang bebas.

Pelaku-Pelaku Antarabangsa Utama

Malaysia adalah pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Sidang Kemuncak Asia Timur 2015 dan ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Negara ini menempatkan dirinya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa sebagai negara Islam yang sederhana yang bersedia untuk bangkit melawan ekstremism Islamis, yang mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Malaysia juga meneruskan penglibatan dengan China, rakan dagangnya yang terbesar.