Budaya Takut Yang Semakin Berleluasa

Kebebasan Bersuara Secara Aman Dijadikan Suatu Jenayah di Malaysia

Ringkasan

Sejak laporan Human Rights Watch bertajuk Creating a Culture of Fear: The Criminalization of Expression in Malaysia (Mewujudkan Budaya Takut: Menjenayahkan Hak Bersuara di Malaysia) disiarkan pada Oktober 2015, pelaksanaan undang-undang jenayah terhadap hak bersuara dan berhimpun secara aman di Malaysia menerusi tangkapan, soal siasat dan pendakwaan individu semakin berleluasa sepanjang tahun ini. Ramai individu yang diketengahkan dalam laporan tersebut telah didakwa oleh pihak berkuasa Malaysia. Malah, pihak berkuasa terus mengganggu, menangkap dan mendakwa individu yang mengkritik kerajaan atau kaum kerabat diraja Malaysia menggunakan undang-undang jenayah yang tidak jelas atau terlalu luas takrifannya.

Di Malaysia, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) merupakan undang-undang yang paling kerap digunakan terhadap suara-suara yang mengkritik. Individu yang berani mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak atau melontarkan sebarang komen tentang cara kerajaan mengendalikan skandal rasuah besar membabitkan dana pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi sasaran utama. Skandal rasuah 1MDB yang sekian lama berpanjangan telah mencetuskan reaksi daripada ahli politik, aktivis masyarakat sivil dan pengulas politik yang menyeru Perdana Menteri Najib untuk meletak jawatan. Akan tetapi, seruan tersebut tidak dilihat sebagai lumrah negara berdemokrasi, sebaliknya, pihak berkuasa Malaysia menganggap luahan komentar masyarakat sebagai perbuatan jenayah, sekali gus bertindak menyiasat individu-individu terbabit atas tuduhan menghasut, melakukan “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” dan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia.

Begitu juga halnya dengan individu yang memberikan komentar yang dianggap “mengaibkan” Najib atau kerabat diraja, yang turut berdepan siasatan jenayah dan dituduh di bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan. Kerajaan masih mendakwa individu yang menggunakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di bawah Akta Perhimpunan Aman yang begitu ketat dan menggunakan Akta Rahsia Rasmi agar laporan skandal 1MDB tidak didedahkan kepada umum.

Kerajaan Malaysia nampaknya langsung tidak mengendahkan saranan dalam laporan Human Rights Watch 2015 agar undang-undang terbabit dipinda agar selaras dengan standard perundangan antarabangsa. Sebaliknya, kerajaan Malaysia menyatakan bahawa ia akan memperketat undang-undang yang mencabul hak asasi manusia ini, khususnya hak bersuara di media sosial.

Justeru, Human Rights Watch sekali lagi menyeru kerajaan Malaysia agar berhenti menggunakan undang-undang jenayah terhadap hak bersuara dan berhimpun secara aman, dan sebaliknya berusaha untuk mengangkat undang-undang dan dasar negara agar selaras dengan standard hak asasi antarabangsa sekali gus melindungi kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Glosari Istilah dan Akronim

1MDB : 1 Malaysia Development Berhad

Bersih: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil

BN: Barisan Nasional

CMA: Akta Komunikasi dan Multimedia

LTAT: Lembaga Tabung Angkatan Tentera

MCMC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

MP: Ahli Parlimen

OSA: Akta Rahsia Rasmi

PAC: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara

RM: Ringgit Malaysia

TMIThe Malaysian Insider
 

Akta Komunikasi dan Multimedia

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia ialah senjata utama yang digunakan oleh kerajaan Malaysia terhadap individu yang mengkritik atau menggunakan satira ke atas kerajaan atau kerabat diraja Malaysia. Di bawah Seksyen 233(1), hukuman jenayah sehingga satu tahun penjara boleh dikenakan bersabit komunikasi berbentuk “sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.” Penakrifan yang begitu luas membolehkan akta ini digunakan berkali-kali terhadap individu yang dituduh mengaibkan Najib atau kerabat diraja Malaysia di media sosial, individu yang menyeru Najib untuk meletak jawatan, malah terhadap sebuah portal berita dalam talian hanya kerana menyiarkan maklumat berkaitan skandal rasuah 1MDB.

 

Siasatan dan Tuduhan Jenayah terhadap Pengucapan yang “Mengaibkan”: Najib

Pada Januari 2016, sejurus selepas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa Najib dibersihkan daripada semua pertuduhan jenayah berhubung skandal 1MDB, seorang pelukis grafik, Fahmi Reza, bertindak memuat naik imej Najib dengan bedak putih di muka, kening melengkung dan bibir merah ala badut di laman Twitter. Di sisi imej tersebut tertera tulisannya: “Pada 2015, Akta Hasutan digunakan 91 kali. Tapi dalam negara yang penuh dengan korupsi, kita semua penghasut.”

Keesokan harinya, Pusat Tindak Balas Siasatan Siber memberitahu Fahmi bahawa beliau diletakkan di bawah pemantauan polis. Polis turut menyoal siasat beliau mengikut Seksyen 233 CMA dan Seksyen 504 mengikut Kanun Keseksaan, satu lagi akta yang melanggar hak asasi dan telah kami ketengahkan dalam laporan tahun 2015. Seksyen 504 Kanun Keseksaan mensabitkan kesalahan “sengaja mengaibkan” dengan niat orang yang diaibkan akan memecahkan keamanan awam atau melakukan kesalahan lain. Namun demikian, Fahmi terus menggunakan imej tersebut dan pada 4 Jun 2016, polis menangkap beliau dan tiga individu lain berhubung kesalahan menjual baju-T berlakarkan imej Najib berwajah badut. Kesemua individu terbabit kemudiannya dimaklumkan bahawa mereka bakal didakwa bersabit tuduhan menghasut. Dua hari kemudian, pada 6 Jun 2016, polis mendakwa Fahmi bersabit dua pertuduhan mengikut Seksyen 233(1) termasuk kesalahan memuat naik imej badut yang berlaku lebih awal. Kes Fahmi kemudian dipindahkan ke Mahkamah Khas Siber yang mula beroperasi pada bulan September untuk mengendalikan jenayah siber. Setakat laporan ini ditulis, kes ini belum diputuskan.

Individu lain yang berkongsi imej badut tersebut juga tidak terlepas daripada siasatan polis, antaranya, ahli parlimen parti pembangkang, Nurul Izzah yang dipanggil polis untuk disoal siasat mengikut Seksyen 233 selepas beliau berkongsi imej badut tersebut di laman Facebook. Dalam kes lain, iaitu pada April 2016, polis mendakwa Muhammad Zhafran Zuhdi mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (ditakrifkan sebagai “dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan”) atas tuduhan menampal pelekat dengan imej Najib ala badut pada kereta peronda polis selepas perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Namun, Zhafran mengaku tidak bersalah dan setakat laporan ini ditulis, kes beliau belum diputuskan.

Pada 2 Julai 2016, polis menangkap seorang lelaki berusia 76 tahun dan menahannya selama tiga hari kerana disyaki menghantar imej Najib yang “bersifat jelik” dalam mesej WhatsApp. Menurut Ketua Polis Johor, Wan Ahmad Najmuddin Mohd, lelaki tersebut memuat naik imej tersebut atas nama “Pa Ya” dalam kumpulan Whatsapp bernama “Bicara Politik Melayu.” Selepas direman selama tiga hari, polis memohon tempoh reman dilanjutkan lagi sedangkan lelaki tersebut dilaporkan menghidap kencing manis dan darah tinggi. Namun begitu, permohonan reman tersebut ditolak oleh majistret. Penggunaan CMA ke atas mesej Whatsapp yang dikongsikan sesama kumpulan penerima tertentu adalah suatu keadaan yang pastinya membimbangkan.

Pada 4 September, aktivis Lawrence Jeyaraj ditangkap dan ditahan semalaman untuk disoal siasat bersabit tulisannya di Facebook yang dikatakan “mengaibkan” Perdana Menteri Najib. Keesokan harinya, beliau direman selama dua hari. Menurut peguamnya, Eric Paulsen, Lawrence disiasat mengikut Seksyen 233 CMA dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

 

Siasatan/Tuduhan Jenayah kerana Pengucapan yang “Mengaibkan”: Kerabat Diraja Johor

Tulisan di media sosial yang dianggap mengaibkan kerabat diraja Johor turut disabitkan sebagai perbuatan jenayah, malah, gerakan hak asasi manusia di Malaysia iaitu Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melaporkan sekurang-kurangnya 13 kes difailkan pada separuh pertama tahun 2016 bersabit kesalahan ini. Pada 7 Jun 2016, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun ke atas seorang lelaki berusia 19 tahun, Mohammed Amirul Azwan Mohammad Shakri selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan mengaibkan Sultan Johor di laman Facebook. Beliau membuat rayuan terhadap hukumannya yang dikatakan keterlaluan lalu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menanti rayuan kes. Pada 15 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman penjara tersebut dan memerintahkan beliau ditempatkan di sekolah pemulihan Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun, atau dalam kata lain, tempoh tahanan beliau telah dilanjutkan. Seorang peminat bola, Masyhur Abdullah pula ditangkap dan disoal berikutan tulisannya di media sosial yang mengkritik tengku mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan mempertikaikan pemilikan kelab bola sepak Johor oleh beliau.

Sementara itu, polis mendakwa aktivis Khalid Ismath bersabit 11 tuduhan mengikut Seksyen 233 CMA berkaitan tulisannya di halaman ‘solidariti untuk Kamal Hisham Jaafar,’ bekas penasihat undang-undang kerabat diraja Johor yang kini ditahan kerana disyaki menerima rasuah. Pada awalnya, polis menangkap Ismath di bawah CMA pada 7 Oktober 2015 dan menahannya selama tiga hari. Sejurus selepas dibebaskan pada 9 Oktober, polis menangkapnya semula mengikut Akta Hasutan kerana tulisannya yang dimuat naik di Twitter yang mengkritik penahanan Khairuddin Abu Hassan, pengkritik skandal 1MDB, dan Matthias Chang, seorang peguam. Khalid direman semula dan kali ini beliau ditahan selama empat hari. Pada 14 Oktober, beliau disabitkan dengan 11 tuduhan di bawah CMA dan 3 tuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, tetapi dinafikan ikat jamin. Selepas itu, Khalid ditahan sehingga 29 Oktober dan dibenar ikat jamin tempoh sementara berjumlah RM5,000 bagi setiap tuduhan, menjadikan jumlah ikat jamin kesemuanya RM70,000 (US$16,932).

 

Siasatan Jenayah terhadap Individu yang Menyeru Najib untuk Letak Jawatan

Sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat menyeru Najib untuk meletak jawatan kerana disyaki terlibat rasuah tidak terlepas daripada siasatan jenayah mengikut CMA. Joe Haidy, penulis blog yang memulakan halaman ‘LetakJawatan’ di Facebook dan menyuruh Najib untuk meletak jawatan telah disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pada Disember 2015.

 

Laman Web Disekat

Sungguhpun mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamed pernah berjanji pada 1996 bahawa kerajaan tidak akan menapis kandungan internet dan Najib juga mengulangi janji tersebut pada 2011, pihak berkuasa Malaysia telah berulang kali menggunakan CMA untuk menyekat laman web, termasuklah portal berita yang melaporkan salah laku rasuah kerajaan. Pada Januari 2016, kerajaan mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas untuk “menangani isu penyalahgunaan media sosial.” Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak, “tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menggunakan media sosial bagi tujuan memfitnah, menyalahgunakan atau menghasut orang lain untuk memperkecilkan kedudukan atau menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan.”

Pada Mac 2016, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata bahawa jawatankuasa khas yang baru ditubuhkan telah menyekat 52 laman web dalam tiga bulan pertama 2016. Menurut Jailani, secara keseluruhan, kerajaan telah menyekat 399 laman web. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak memaparkan senarai laman web yang telah disekat untuk pengetahuan umum ataupun alasan laman web berkenaan disekat. Justeru, hampir mustahil untuk mengesahkan penyataan beliau kesemua laman web yang disekat “terdiri daripada laman web perjudian, penipuan, pelacuran dan yang memaparkan kandungan lucah, jelik, palsu dan sebagainya.”

Walau bagaimanapun, yang jelas, beberapa laman web yang disekat dikenal pasti pernah melaporkan skandal 1MDB dan isu politik yang lain. Pihak berkuasa juga menyekat Sarawak Report, laman web berita Malaysia yang berpejabat di United Kingdom pada Jun 2015 dan juga laman web Medium yang menerbitkan artikel keluaran laman Sarawak Report pada Januari 2016. Laman web Malaysia Chronicle yang melaporkan isu politik Malaysia dan kerap mengkritik kerajaan juga disekat, termasuk laman web berita serantau Asia Sentinel dan beberapa blog yang memberi komen tentang isu politik. Setakat laporan ini ditulis, Sarawak Report, Medium, Malaysia Chronicle dan Asia Sentinel masih disekat.

Pada 25 Februari 2016, portal berita dalam talian, The Malaysian Insider (TMI) tiba-tiba menyedari bahawa laman webnya disekat. MCMC kemudiannya memaklumkan TMI bahawa kerajaan bertindak menyekat laman web tersebut mengikut Seksyen 233 CMA kerana menyiarkan “artikel-artikel yang tidak ditentukan kesahihannya.” Walaupun tidak dimaklumkan oleh MCMC artikel yang dimaksudkan, TMI telah menyiarkan artikel yang didakwa dipetik oleh sumber daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang mendakwa “terdapat bukti mencukupi” untuk mensabitkan Perdana Menteri Najib atas kesalahan rasuah.

Sekatan yang dilakukan terhadap laman web, TMI menyebabkan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan lantang yang menyebut, “Amerika Syarikat bimbang dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang menyekat akses kepada laporan tempatan dan antarabangsa mengenai hal ehwal semasa Malaysia.” Namun demikian, Kementerian Luar Negara Malaysia (MFA) bertindak mempertahankan sekatan ke atas laman web tersebut menerusi kenyataannya bahawa, kerajaan bertanggungjawab “mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara untuk melindungi perpaduan kaum dan kepelbagaian budaya, norma dan amalan di Malaysia.” Walau bagaimanapun, MFA tidak menyebut artikel atau kandungan TMI yang dimaksudkan yang menyebabkan MCMC menyekat laman web tersebut.

Pada 14 Mac, sewaktu masih disekat, The Malaysian Insider mengumumkan penutupan portal tersebut atas sebab komersial. Ketua Pengarangnya, Jahabar Sadiq memberitahu BBC bahawa TMI sangat bergantung pada sokongan pembaca Malaysia dan portal tersebut telah menghadapi masalah kewangan akibat daripada penurunan pembaca setelah disekat, termasuk pengiklan yang tidak mahu membeli iklan sehinggalah sekatan tersebut ditarik balik.

Penggunaan CMA untuk menyekat laman web yang melaporkan dakwaan salah guna rasuah yang serius dan isu politik lain bukan hanya melanggar hak penulis yang menyiarkan maklumat tersebut tetapi turut menyalahi hak pembaca yang mahukan maklumat atas dasar kepentingan awam.

 

Cadangan Pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia

Sungguhpun masalah sekatan ke atas hak bersuara yang terlampau ketat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia sudah diketengahkan oleh Human Rights Watch dalam laporan Creating a Culture of Fear, pihak berkuasa masih menuntut kuasa yang lebih meluas untuk menapis kandungan di media sosial. Sehubungan dengan itu, pada 26 Jun 2016, Azalina Othman Said, menteri bertanggungjawab dalam hal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan agar kerajaan “meneliti dan menambah baik undang-undang berkaitan siber bagi membendung penyalahgunaan teknologi maklumat dan media sosial yang semakin berleluasa ketika ini.” Setakat ini, pihak berkuasa telah merangka pindaan kepada CMA. Walaupun pindaan rang undang-undang ini belum dimaklumkan kepada orang ramai, terdapat laporan yang menyebut bahawa pindaan tersebut merangkumi beberapa syarat tambahan supaya laman web berita dan penulis blog politik mendaftar terlebih dahulu dengan kerajaan, hukuman ditingkatkan dan kuasa yang lebih meluas diberikan kepada kerajaan untuk menyekat kandungan di laman web.

 

Akta Hasutan

Akta Hasutan 1948 yang digubal semasa zaman penjajahan menghukum sebarang perbuatan yang mempunyai “kecenderungan menghasut” termasuk kecenderungan “bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati” atau “mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan” atau “wilayah Raja” masih digunakan untuk menangkap atau mendakwa penyataan yang kritikal. Undang-undang ini tidak memerlukan kerajaan untuk membuktikan niat menghasut dan mengenakan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda tidak lebih RM5,000 (US$1,220), atau kedua-duanya.

 

Keperlembagaan Akta Dicabar

Pada Oktober 2015, Mahkamah Persekutuan Malaysia yakni mahkamah tertinggi Malaysia menolak usul cabaran keperlembagaan Akta Hasutan yang difailkan oleh profesor madya undang-undang, Azmi Sharom yang didakwa oleh polis atas tuduhan menghasut. Azmi didakwa rentetan tindakannya memberikan pendapat berdasarkan kepakarannya berkenaan krisis di negeri Perak pada 2009 yang didakwanya bercanggah dengan undang-undang dan tidak sepatutnya berulang. Azmi mencabar keperlembagaan Akta Hasutan atas dasar Akta tersebut tidak sah kerana tidak digubal oleh Parlimen dan merupakan lanjutan daripada zaman jajahan British. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan bahawa Akta Hasutan adalah sah dan tidak bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kebebasan bersuara. Keputusan Mahkamah berkisar pada Perkara 10(2)(a) yang memberikan Parlimen hak untuk mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara “yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan.”

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya Parlimen, bukannya pihak mahkamah, yang boleh menentukan takrifan “perlu atau suai manfaat” dalam konteks dan matlamat untuk mengimbangi hak asasi rakyat dengan keselamatan negara. Keputusan mahkamah menunjukkan mahkamah belum bersedia untuk memberi kata putus tentang Akta yang sejak kebelakangan ini digunakan secara berleluasa oleh kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara. Dengan itu, keputusan ini turut menghambat peranan badan kehakiman yang sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan hak asasi rakyat.

Beberapa individu lain yang turut berdepan tuduhan menghasut juga telah memfailkan cabaran keperlembagaan terhadap Akta Hasutan atas alasan bahawa suatu dakwaan menghasut perlu membuktikan niat. Permohonan N. Surendren untuk merujuk persoalan niat menghasut kepada Mahkamah Persekutuan telah ditolak pada 14 April 2016 oleh Mahkamah Tinggi atas alasan bahawa persoalan tersebut telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Begitu juga dengan permohonan yang serupa, yang difailkan oleh Tamrin Ghafar turut ditolak pada Mei 2016. Dalam pada itu, permohonan cabaran keperlembagaan membabitkan Akta Hasutan untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan oleh pengasas Lawyers for Liberty, Eric Paulsen, Zunar, seorang kartunis dan Sivarasa Rasiah, ahli Parlimen pembangkang setakat ini belum diputuskan.

 

Tuduhan Menghasut

Sepanjang tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia terus menyiasat dan memfailkan dakwaan hasutan terhadap individu yang mengkritik kerajaan sedangkan dakwaan tersebut membabitkan insiden yang berlaku berbulan-bulan lamanya sebelum tuduhan difailkan. Kebanyakan kes yang didakwa melibatkan kenyataan yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 untuk mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim kerana meliwat, yakni pendakwaan yang dilihat oleh kebanyakan pemerhati sebagai bermotifkan politik.

 

Antara Kes-kes Terbaru melibatkan Akta Hasutan:

  • Mohammad Fakhrulrazi, Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, didakwa pada 8 September 2015 atas tuduhan menyebut kata-kata menghasut berhubung pembebasan Anwar Ibrahim dalam sebuah perhimpunan pada Februari 2015. Pada 25 Ogos 2016, beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan.
     
  • Ahli Parlimen pembangkang, Sivarasa Rasiah didakwa menghasut pada 21 Oktober 2015 susulan kenyataannya mengenai sistem kehakiman berhubung pemenjaraan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim semasa perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015. Kes ini belum diputuskan dan Sivasara telah memfailkan cabaran keperlembagaan terhadap Akta Hasutan.
     
  • S. Arulchelvan, antara pemimpin utama Parti Sosialis Malaysia (PSM), sebuah parti pembangkang, didakwa menghasut pada 23 November 2015 disebabkan kenyataan yang dibuat oleh PSM pada Februari 2015 yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar Ibrahim. Polis menangkap Arulchelvan dan menahannya semalaman untuk disiasat pada 19 Februari 2015, namun tidak mendakwanya sehingga sembilan bulan kemudian.
     
  • Aktivis, Lawrence Jeyaraj, yang turut disiasat bersabit tuduhan menghasut pada Februari 2015 kerana mengkritik keputusan mahkamah terhadap Anwar Ibrahim telah didakwa menghasut sembilan bulan kemudian, iaitu pada November 2015. Kes ini belum diputuskan.
     
  • Polis membuka siasatan kes di bawah Akta Hasutan terhadap tiga peguam berikutan usul yang dikemukakan dalam mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam, yang menuntut Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara. Pada mesyuarat yang diadakan pada 19 Mac 2016, Majlis Peguam meluluskan usul bagi menggesa Peguam Negara supaya meletakkan jawatan lantas mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara bersabit tindakan Peguam Negara “membersihkan” Perdana Menteri daripada semua salah laku rasuah. Setakat laporan ini ditulis, ketiga-tiga peguam tersebut belum didakwa.
     
  • Azrul Mohammed Khalib yang memulakan petisyen Deklarasi Rakyat di laman Change.org bagi meminta sokongan ramai untuk menandatangani deklarasi tersebut, telah disoal siasat di bawah Akta Hasutan pada 21 April 2016. Deklarasi Rakyat dilancarkan pada Mac 2016 oleh mantan ahli dan juga ahli-ahli semasa dalam perikatan Barisan Nasional yang telah lama memerintah, ahli parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan sebagai usaha untuk menyingkirkan Najib daripada jawatan Perdana Menteri dengan cara yang sah.
     
  • Pada 1 April 2016, polis menangkap aktivis pelajar daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamarudin yang ditahan selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan hasutan. Dakwaan tersebut susulan tindakan Ahmad yang membuat komen menghina Sultan Johor di Twitter pada 2012 – empat tahun sebelumnya. Shukri pernah ditahan dan disiasat bersabit kenyataannya tersebut pada 2012, namun beliau tidak didakwa ketika itu.
     
  • Shazni Munir, aktivis politik pembangkang daripada Parti Amanah disoal siasat pada 4 April 2016 berhubung artikel tulisannya di sebuah laman portal Free Malaysia Today tentang impak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas rakyat Malaysia. Di hujung artikel tersebut, beliau menyeru orang ramai untuk menyertai perhimpunan mansuh GST yang dijadualkan berlangsung pada 2 April. Namun, seruan beliau dipetik dan disiarkan dalam portal Bicara News seolah-oleh beliau menyeru rakyat untuk menumpaskan Barisan Nasional dengan “rusuhan besar-besaran.” Ketua Polis Negara lantas mengarahkan beliau ditangkap. Shazni ditahan semalaman selepas memberi keterangan kepada polis, kemudian dilanjutkan penahanannya selama dua hari lagi. Beliau dilepaskan dengan ikat jamin pada 6 April dan diberitahu polis bahawa beliau disiasat kerana disyaki menghasut dan melakukan “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.”

 

Papan Tanda “Bebas Anwar”

Pada Mac 2016, beberapa papan tanda iklan besar bertajuk #BebasAnwar yang memaparkan wajah Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang yang sedang dipenjarakan sebagai 'tahanan politik' dipasang di negeri Selangor. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan papan-papan iklan tersebut diturunkan kerana “ia memaparkan unsur-unsur hasutan” dan “mengelirukan rakyat.” Polis kemudiannya bertindak menurunkan papan iklan tersebut dan menyiasat Azmin Ali, menteri besar Selangor bersabit kesalahan menghasut kerana “membenarkan” papan tanda itu dipasang. Dalam pada itu, ahli dewan undangan negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Khai Loon turut dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa menghasut kerana mengutuk polis yang menurunkan papan tanda #BebasAnwar, berserta pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. Setakat laporan ini ditulis, kedua-duanya belum didakwa secara rasmi.

 

Kes Bersabit Forum pada Mei 2013

Lima daripada enam individu yang didakwa menghasut bersabit ucapan yang disampaikan dalam sebuah forum pada 13 Mei 2013 bertujuan menyeru rakyat negara agar mencabar keputusan pilihan raya 2013 telah dijatuhkan hukuman dalam pembicaraan yang berasingan sejak 2014. Kes terakhir belum diputuskan setakat ini. Dalam setiap kes, pihak berkuasa berusaha sedapat mungkin untuk memperoleh hukuman paling berat ke atas tertuduh, iaitu hukuman penjara.

  • Aktivis berusia 64 tahun, Hishamuddin Rais ‎didapati bersalah menghasut pada Januari 2015 dan dijatuhi hukuman denda RM‎5,000 (US$1,220). Kerajaan merayu terhadap keputusan tersebut dan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara, lantas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas Hishamuddin. Beliau kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan dan pada 16 Mei 2016, Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dan memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi adalah silap.
     
  • Aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim didapati bersalah menghasut pada September 2014 dan dihukum penjara satu tahun. Pada Februari 2016, Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman 12 bulan penjara kepada denda RM5,000. Pada April 2016, Adam dimaklumkan bahawa kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan hukuman terhadap Adam.
     
  • Safwan Anang didapati bersalah menghasut pada September 2014 dan dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara. Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan rayuan Safwan dan menggantikan hukuman penjara tersebut kepada hukuman denda RM5,000. Pihak kerajaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan agar hukuman penjara dijatuhkan semula ke atas Safwan. Pada 18 Julai 2016, Mahkamah Rayuan menunda keputusan bersabit kes tersebut. Belum ada keputusan dibuat setakat laporan ini ditulis.
     
  • Haris Ibrahim didapati bersalah menghasut pada 14 April 2016 dan dihukum penjara lapan bulan. Beliau telah mengemukakan rayuan terhadap hukumannya manakala kerajaan pula membantah rayuan pembelaan dan memohon tertuduh dikenakan hukuman yang lebih berat.
     
  • Ahli Parlimen PKR, Tian Chua didapati bersalah menghasut pada 28 September 2016. Beliau telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah dan hukuman ke atasnya.
     
  • Kes terhadap Tamrin Ghafar yang didakwa menghasut masih berjalan rentetan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak cabaran keperlembagaan yang difailkan oleh Tamrin berhubung Akta Hasutan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Malaysia menarik balik tuduhan menghasut dalam dua kes yang mendapat perhatian media antarabangsa. Tuduhan terhadap Teresa Kok berhubung video Tahun Baru Cina bersifat satira ditarik balik pada November 2015, iaitu 18 bulan selepas beliau didakwa. Pihak berkuasa turut menarik balik dakwaan terhadap ahli akademik undang-undang, Azmi Sharom pada Februari 2016, hampir 18 bulan selepas beliau didakwa kerana memberikan pendapatnya berhubung krisis politik di negeri Perak pada 2009 yang menurutnya tidak sah dan tidak wajar berulang.

 

Didakwa Bersabit Bantahan Secara Aman

Pihak berkuasa Malaysia terus mendakwa golongan individu berhubung penyertaan mereka dalam bantahan secara aman dan perhimpunan yang lain, sedangkan ini bercanggah dengan tanggungjawab undang-undang antarabangsa Malaysia.

 

Didakwa Bersabit Kesalahan Tidak Memberi Notis

Human Rights Watch telah melaporkan dalam Creating a Culture of Fear bahawa Malaysia menggunakan Akta Perhimpunan Aman untuk menangkap dan mendakwa peserta yang berhimpun secara aman hanya disebabkan kegagalan memberi notis berhubung niat untuk berhimpun. Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hukuman jenayah hanya kerana kegagalan memberi notis adalah menyalahi perlembagaan. Seperti yang kami laporkan, polis masih menangkap peserta perhimpunan aman menggunakan Akta Perhimpunan Aman walaupun mahkamah memutuskan sebaliknya.

Akan tetapi, pada 1 Oktober 2015, sidang hakim Mahkamah Rayuan yang berbeza beralih daripada keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu dan memutuskan bahawa hukuman jenayah adalah sah dan tidak melanggar perlembagaan. Lima hari selepas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, kerajaan sekali lagi mendakwa Nik Nazmi Nik Ahmad. Nik Nazmi sebelum itu berjaya dalam permohanannya untuk mencabar keperlembagaan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman apabila rayuannya dibenarkan oleh sidang hakim Mahkamah Rayuan yang lebih awal. Pertuduhan yang dikemukakan terhadap Nik Nazmi merupakan kali ketiga beliau didakwa mengikut Seksyen 9(5) berhubung perhimpunan yang sama, iaitu perhimpunan Black 505 pada 8 Mei 2013 bagi membantah keputusan pilihan raya umum pada 2013.

Menurut Steven Thiruneelakandan, presiden Majlis Peguam Malaysia, selagi konflik antara kedua-dua keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia, polis dan mahkamah rendah bebas memilih keputusan yang hendak diguna pakai sehingga menyebabkan rakyat Malaysia jadi keliru. Namun, pada 7 September 2016, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa apabila terdapat dua keputusannya yang bercanggah, keputusan yang sah ialah keputusan yang terbaru. Yang pasti, hukuman jenayah hanya kerana kegagalan memberi notis sebelum melangsungkan perhimpunan aman melanggar standard undang-undang antarabangsa yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman, tidak kiralah hukuman ini dibenarkan atau tidak di bawah Perlembagaan Malaysia.

Norma-norma perundangan antarabangsa memastikan tiada siapa pun yang wajar dikenakan dakwaan jenayah hanya kerana menganjurkan atau menyertai perhimpunan aman. Justeru, tindakan mengenakan hukuman jenayah ke atas individu yang gagal memberi notis kepada kerajaan akan niat mereka untuk berhimpun secara aman adalah bercanggah dan tidak selaras dengan kepentingan sesebuah negara.

 

Didakwa Bersabit Perhimpunan Bersih 4.0

Pihak berkuasa Malaysia juga berusaha mengenakan hukuman jenayah terhadap penganjur perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan secara besar-besaran pada 29 dan 30 Ogos 2015 di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sabah hanya atas alasan gagal memberi notis berkenaan perhimpunan tersebut, sedangkan pada ketika itu, Mahkamah Rayuan telah pun memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Pada 22 Oktober 2015, Jannie Lasimbang, naib pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (dikenali dengan nama popularnya, Bersih) di Sabah dan penganjur Bersih 4.0 di Kota Kinabalu didakwa atas alasan gagal mengemukakan notis. Pada 3 November 2015, pihak berkuasa mendakwa pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah juga atas alasan yang sama, iaitu gagal memberi notis perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada tarikh yang sama.

Maria Chin Abdullah memohon untuk membatalkan pertuduhan tersebut bersandarkan hujah bahawa, semasa perhimpunan dianjurkan, hukuman jenayah di bawah Akta Perhimpunan Aman telah diputuskan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan. Menurut peguam Maria, beliau sebenarnya telah cuba memberikan notis tentang perhimpunan yang hendak dianjurkan kepada pihak polis di balai polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, tetapi polis enggan menerima notis tersebut. Pada 18 April 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Maria sambil memutuskan bahawa keputusan terbaru Mahkamah Rayuan terpakai serta-merta dan Maria gagal memberikan notis kepada pihak polis Brickfields untuk mengadakan perhimpunan yang berlangsung di situ. Walau bagaimanapun, pada 7 September 2016, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa tindakan menghukum seseorang disebabkan perbuatan yang tidak dikira sebagai suatu kesalahan jenayah ketika perbuatan tersebut berlaku adalah bertentangan dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Akan tetapi, kes terhadap Jannie Lasimbang belum digugurkan walaupun keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 September telah dimuktamadkan.

 

Siasatan Berhubung Perhimpunan Aman yang Lain

Pihak berkuasa Malaysia juga terus memanggil beberapa individu lain untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan sedangkan perhimpunan telah pun berlangsung berbulan-bulan, malah adakalanya bertahun-tahun sebelumnya. Pada 22 Jun 2016, polis mengambil keterangan daripada Abdul Aziz Bari, Safwan Anang dan Fahmi Zainol berhubung perhimpunan yang dilangsungkan di luar kawasan Universiti Islam Antarabangsa pada 8 November 2014. Pada tarikh tersebut, universiti berkenaan menutup pintu masuknya dan menutup lampu untuk menghalang ceramah berkaitan kebebasan akademik diadakan di dalam kawasan kampus. Oleh sebab profesor undang-undang, Abdul Aziz dan penceramah lain, aktivis Safwan Anang dan Fahmi Zainol dilarang memasuki kampus, kumpulan pelajar terbabit mengadakan ceramah di luar pintu masuk universiti berkenaan. Lapan belas bulan selepas itu, polis memanggil ketiga-tiga individu tersebut untuk disiasat.

Pada 5 Mei 2016, polis memanggil dua ahli Parlimen, Tian Chua dan Sivarasa Rasiah untuk disoal siasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberi notis tentang bantahan yang diadakan di luar Penjara Sungai Buloh pada 9 Februari 2016. Bantahan tersebut dianjurkan sempena ulang tahun pertama Anwar Ibrahim dikenakan hukuman penjara. Menurut Tian Chua, beliau turut disiasat kerana terlibat dalam himpunan solidariti di luar Penjara Sungai Buloh pada 6 Disember 2015. 

Begitu juga, pada 26 Mei 2016, tujuh bulan selepas Nadzirah Yaakop menganjurkan perhimpunan solidariti “candlelight vigil’ menyeru pembebasan suaminya,  Khalid Ismath yang menjalani hukuman penjara, Nadzirah dipanggil oleh polis untuk disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman. Setakat laporan ini ditulis, beliau belum didakwa atas sebarang kesalahan.

 

Didakwa Bersabit “Protes Jalanan yang Menyalahi Undang-undang”

Seksyen 4(1)(c) Akta Perhimpunan Aman menyebut bahawa hak untuk berhimpun di bawah Akta tersebut “tidak meluas kepada...protes jalanan,” yang didefinisikan di dalam Akta ini sebagai ‘suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perhimpunan di tempat yang ditentukan dan melibatkan perarakan atau perhimpunan beramai-ramai bagi maksud membantah atau memajukan sesuatu tujuan atau tujuan-tujuan tertentu.”

Kesalahan menganjurkan atau menyertai “suatu protes jalanan” apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 (US$2,440). Seperti yang disebut dalam laporan Creating a Culture of Fear, larangan meluas membabitkan protes jalanan adalah bercanggah dengan standard undang-undang antarabangsa yang menjamin kebebasan berhimpun.

Pada 8 September 2015, pihak berkuasa Malaysia mendakwa lapan aktivis dan ahli politik pembangkang mengikut Seksyen 4(2)(c) kerana menyertai perhimpunan #KitaLawan pada Februari dan Mac 2015. Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah didakwa bersama-sama dengan anggota sekretariat Bersih, Mandeep Singh, ahli Parlimen PKR, Sim Tze Tzin dan aktivis, Fariz Musa atas tuduhan menyertai perhimpunan #KitaLawan pada 28 Mac. Polis turut mendakwa Fariz Musa serta aktivis, Adam Adli kerana menyertai perhimpunan #KitaLawan pada 28 Februari.  Dua Ahli Undangan Negeri PKR, Lee Chean Chung dan Chang Lih Kang serta aktivis, Rozan Azen Mat Rasep turut didakwa bersabit penyertaan mereka dalam perhimpunan #KitaLawan pada 21 Mac.

Ketiga-tiga kumpulan defenden telah memfailkan cabaran keperlembagaan terhadap larangan ke atas protes jalanan. Setakat laporan ini ditulis, permohonan tersebut belum diputuskan.

 

Didakwa Bersabit Perhimpunan Haram di bawah Kanun Keseksaan Malaysia

Pada 31 Mei 2016, hampir dua tahun selepas perhimpunan diadakan di luar pintu masuk Parlimen pada Jun 2013 bagi membantah keputusan pilihan raya 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman ke atas 15 aktivis bersabit kesalahan “perhimpunan haram” di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan Malaysia, sementara 10 aktivis didapati bersalah atas dua tuduhan tambahan iaitu melakukan rusuhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Antara yang dihukum termasuklah aktivis Adam Adli Abdul Halim, ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dan aktivis berusia 68 tahun, Anne Ooi yang dikenali sebagai Auntie Bersih. Kesemuanya sedang menanti keputusan rayuan yang dikemukakan.

Hukuman yang dijatuhkan kerana penyertaan dalam perhimpunan Black 505 dibuat mengikut peruntukan berhubung “perhimpunan yang menyalahi undang-undang” dalam Kanun Keseksaan lanjutan era sewaktu Malaysia masih dijajah. Perhimpunan yang menyalahi undang-undang, seperti yang didefinisikan di bawah Seksyen 141 Kanun Keseksaan termasuk suatu perhimpunan seramai lima orang atau lebih dengan tujuan bersama hendak “mempertakutkan” kerajaan atau mana-mana penjawat awam dengan kekerasan jenayah atau dengan menunjukkan kekerasan jenayah “hendak menentang pelaksanaan mana-mana undang-undang” atau “hendak melakukan apa-apa khianat atau pencerobohan jenayah, atau lain-lain kesalahan.” Kesalahan bersabit “perhimpunan yang menyalahi undang-undang” boleh dikenakan hukuman sehingga enam bulan penjara, denda, atau kedua-duanya sekali.

Sungguhpun syarat yang disebut di sini seolah-olah merujuk kepada perhimpunan yang menggunakan kekerasan, namun, definisi Seksyen 141 itu sendiri terlalu luas. Perhimpunan yang dituduh bertujuan melakukan “khianat” – suatu istilah yang boleh ditakrifkan dari pelbagai sudut dan cara – tidak semestinya mempunyai unsur kekerasan jenayah. Sementara itu, perhimpunan yang bertujuan “hendak menentang pelaksanaan mana-mana undang-undang” boleh diadakan dengan aman. Dengan menakrifkan perhimpunan seperti ini sebagai perbuatan jenayah sedangkan tiada kekerasan yang berlaku, akta ini bertentangan dengan norma antarabangsa membabitkan perlindungan hak berhimpun secara aman.

Di bawah undang-undang hak asasi antarabangsa, sesebuah perhimpunan harus dianggap aman selagi penganjur perhimpunan tidak menyatakan sebarang niat untuk melakukan kekerasan dan perhimpunan tersebut berlangsung tanpa kekerasan. Ertinya, sesebuah perhimpunan sepatutnya dianggap berniat aman melainkan terdapat bukti yang jelas dan ketara bahawa penganjur atau peserta perhimpunan hendak menggunakan, menggalakkan atau menyeru ke arah kekerasan. Seperti yang telah diterangkan oleh pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab bagi hak berhimpun secara aman, kebebasan berhimpun dengan aman ialah hak asasi setiap individu. Justeru, sesebuah perhimpunan tidak boleh dikatakan mempunyai unsur kekerasan mengikut undang-undang antarabangsa hanya kerana perbuatan beberapa peserta dalam perhimpunan yang bertindak menggunakan kekerasan.

Oleh sebab itu juga, di bawah undang-undang antarabangsa, individu yang tidak terlibat dalam sebarang kekerasan atau mencetuskan kekerasan tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan kesalahan pihak yang berbuat sebaliknya. Justeru, Seksyen 146 yang mensabitkan kesalahan merusuh ke atas setiap peserta dalam perhimpunan sekiranya terdapat peserta yang bertindak dengan kekerasan atau kekejaman jelas bercanggah dengan standard undang-undang antarabangsa. Sekiranya terdapat individu yang bertindak kejam, polis bertanggungjawab mencari jalan untuk menahan pihak terbabit dengan cara yang tidak mengganggu peserta lain dan membawa pihak bersalah ke muka pengadilan. Tidak ada sebab yang sah untuk mendakwa individu yang tidak bersikap keras atau mencetuskan kekejaman.

 

Siasatan Berhubung Perhimpunan “TangkapMO1”

Pada Ogos 2016, selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memohon untuk merampas sejumlah aset menerusi saman sivil berhubung dana yang didakwa diambil daripada 1MDB, sekumpulan pelajar telah menganjurkan perhimpunan untuk meminta individu yang dirujuk sebagai “Malaysian Official No. 1” (orang nombor 1 Malaysia) dalam saman sivil tersebut dan disyaki ramai ialah Perdana Menteri Najib untuk dikenal pasti dan didakwa di mahkamah. Walaupun perhimpunan yang dijadualkan tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak polis seperti yang disyaratkan oleh Akta Perhimpunan Aman, polis kemudiannya mengisytiharkan perhimpunan tersebut sebagai perhimpunan haram kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menolak permohonan para pelajar terbabit untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka. Walaupun polis tidak mengganggu perhimpunan yang berlangsung dengan aman pada 27 Ogos, sembilan individu kemudiannya dipanggil untuk memberi keterangan pada 1 September, termasuk jurucakap perhimpunan “TangkapMO1,” Anis Syafiqah Md Yusof, ahli Parlimen pembangkang, Teo Kok Seong dan ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi. Menurut peguam, Melissa Sasidaran, kesemua aktivis terbabit disiasat bukan hanya mengikut Akta Perhimpunan Aman tetapi juga bersabit tuduhan menghasut dan melakukan “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Pada 6 September, polis mengambil keterangan daripada pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan aktivis, Hishamuddin Rais mengikut Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, satu lagi undang-undang yang terlalu luas takrifannya yang mensabitkan kesalahan kerana membuat kenyataan “hendak menyebabkan, atau yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam” yang mendorong seseorang melakukan sesuatu kesalahan terhadap ketenteraman awam. Polis turut menyiasat bekas pengerusi bersama Bersih 2.0, A. Samad Said dan setiausaha kepada ahli Parlimen PKR, Chua Tian Chang iaitu Rozan Azen Mat Rasip bersabit kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman.

 

Akta Rahsia Rasmi

Seperti yang telah dibangkitkan dalam laporan Creating a Culture of Fear, Akta Rahsia Rasmi Malaysia adalah sebuah undang-undang yang bukan sahaja sudah lapuk, bahkan terlampau luas takrifannya sehingga tiada batasan tentang apa yang dimaksudkan sebagai “rahsia” dan ia bercanggah dengan kepentingan rakyat yang berhak mendapatkan maklumat tentang aktiviti kerajaan. Sepanjang tahun ini sejak laporan HRW 2015 disiarkan, kerajaan Malaysia telah menggunakan Akta Rahsia Rasmi dengan begitu meluas untuk menyembunyikan maklumat membabitkan skandal 1MDB – isu kepentingan awam yang amat mustahak kepada Malaysia – dan mendakwa sesiapa sahaja yang mendedahkan maklumat berkenaan skandal ini. Malah, kerajaan turut mengugut akan menambah hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi kepada hukuman penjara seumur hidup kerana terus diasak dengan maklumat yang dibocorkan mengenai skandal 1MDB tersebut.

Pada Februari 2016, ketua audit negara telah menyiapkan laporan mengenai skandal 1MDB lalu membentangkannya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Namun, pada Mac 2016, dokumen tersebut diklasifikasi sebagai “rahsia rasmi.” Pengerusi  Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Hasan Arifin memberitahu media bahawa “laporan akhir ketua audit negara terhadap pengauditan 1MDB tidak akan diklasifikasi sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 sebaik sahaja PAC membentangkannya kepada Parlimen.” Akan tetapi, walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara sudah pun membentangkan dapatan dalam laporan tersebut kepada Parlimen pada 7 April, setakat ini, laporan ketua audit negara tersebut masih diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi.

Perbuatan mengklasifikasi sesebuah dokumen membabitkan isu berkepentingan awam yang amat mustahak tanpa bukti bahawa pendedahan dokumen tersebut boleh menggugat keselamatan negara atau ketenteraman awam adalah bercanggah dengan standard antarabangsa yang menjamin hak rakyat untuk mendapatkan akses maklumat tersebut. Menurut prinsip-prinsip global mengenai keselamatan negara dan hak akses kepada maklumat (prinsip Tshwane, Tshwane Principles), kepentingan keselamatan negara bukanlah alasan yang sah untuk menafikan pendedahan maklumat penting, apatah lagi jika matlamat utama penafian dibuat adalah bagi melindungi kepentingan yang tiada mengena dengan kepentingan negara. Sebagai contoh, melindungi kerajaan atau penjawat awam daripada ditimpa malu atau mendedahkan salah laku, menyembunyikan maklumat tentang pelanggaran hak asasi manusia atau sebarang pencabulan undang-undang atau peranan institusi awam, memperkukuh atau menjaga kepentingan politik, parti atau ideologi, atau menekan sesuatu bantahan yang sah di sisi undang-undang.

Pada 22 Mac 2016, ahli Parlimen pembangkang, Rafizi Ramli yang menyiasat kegagalan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk membayar wang pencen kepada veteran tentera yang telah bersara telah mencabar kerajaan agar membuat pengakuan bahawa keterlibatan LTAT sebagai kontraktor dalam kontrak 1MDB tidak menjejaskan keupayaan LTAT membuat bayaran kepada pesara tentera mengikut jadual. 1MDB dan LTAT menafikan bahawa pesara tentera lewat dibayar pencen mereka dan turut menafikan bahawa 1MDB mempunyai hutang tertunggak dengan LTAT. Pada keesokan harinya, Rafizi mendakwa bahawa seorang yang tidak dikenali telah meletakkan sebuah dokumen sulit di pejabatnya dan dokumen tersebut disyaki diambil daripada laporan ketua audit negara. Menurut Rafizi, butiran daripada dokumen tersebut menguatkan lagi dakwaannya bahawa 1MDB mempunyai hutang tertunggak dengan LTAT yang tinggi jumlahnya. Pada 28 Mac, Rafizi menunjukkan dokumen tersebut ketika sidang media tetapi tidak memberikan salinan dokumen tersebut kepada pihak media.

Pada 5 April, polis menangkap Rafizi di pintu masuk Parlimen dan beliau kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi dan satu tuduhan bersabit tohmahan terhadap LTAT. Rafizi didakwa ada dalam milikannya tanpa kebenaran yang sah rahsia rasmi yang bersalahan dengan Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta tersebut, sementara pertuduhan kedua bersabit kesalahan mendedahkan kandungan rahsia tersebut dalam sidang akhbar mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv). Jika sabit kesalahan, Rafizi berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi setiap pertuduhan.

Pada 1 September 2016, Mahkamah Sesyen mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rafizi atas tuduhan memiliki dan membocorkan rahsia rasmi, dan mengarahkannya untuk membela diri. Setakat laporan ini ditulis, perbicaraan kes Rafizi masih berjalan.

Menurut Prinsip Tshwane, hanya sekiranya maklumat yang didedahkan berkemungkinan  mendatangkan “ancaman yang jelas dan boleh dikenal pasti akan membawa mudarat yang ketara” kepada keselamatan negara, barulah wajar untuk mempertimbangkan tuduhan jenayah terhadap pihak yang membocorkan maklumat tersebut. Pada masa yang sama, pendedahan yang dibuat demi kepentingan awam wajar diterima sebagai hujah membela diri jika tuduhan dibuat. Sehubungan dengan itu, Akta Rahsia Rasmi Malaysia yang langsung tidak memerlukan sebarang bukti bahawa pendedahan rahsia rasmi itu berisiko menggugat keselamatan negara dan tidak membenarkan pembelaan diri dibuat atas dasar kepentingan awam jelas bercanggah dengan Prinsip Tshwane.

 

Saranan dan Cadangan

Sejak laporan Human Rights Watch, Creating a Culture of Fear disiarkan pada Oktober 2015, kerajaan Malaysia masih menggunakan perundangan yang meluas dan keras yang dikenal pasti dalam laporan tersebut untuk menyekat hak bersuara dan berhimpun secara aman. Melihat kepada sikap pihak berkuasa yang tidak mahu memansuhkan atau mengehadkan perundangan tersebut, malah sebaliknya mahu memperkukuhkan lagi undang-undang ini, suasana di Malaysia semakin mencengkam bagi golongan aktivis, golongan pembangkang dan pengguna media sosial sehingga menggugat demokrasi Malaysia serta reputasinya di peringkat antarabangsa.

Sekiranya Malaysia tidak mahu perkara ini berlaku, ia harus segera bertindak bagi memastikan undang-undang dan dasar negara adalah selaras dengan perundangan dan standard antarabangsa. Saranan dan cadangan yang disenaraikan di bawah turut merangkumi cadangan yang diketengahkan dalam laporan Creating a Culture of Fear sebelum ini, berserta saranan-saranan baharu berhubung Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Rahsia Rasmi dan kesalahan berhimpun dan merusuh seperti yang terkandung dalam Kanun Keseksaan Malaysia.
 

Kepada Kerajaan Malaysia

  • Meterai dan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Hak-hak Sivil dan Politik, Konvensyen Antarabangsa bagi Penghapusan Kesemua Jenis Diskriminasi Bangsa, dan Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan dan Penggalakan Hak-hak Semua Pekerja Asing dan Ahli Keluarga Mereka – kesemua konvensyen ini menjamin hak kebebasan bersuara.|
     
  • Menarik balik sebarang pindaan yang dicadangkan ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia yang bertujuan menambah sekatan terhadap kebebasan bersuara.
     
  • Pinda Seksyen 141 sehingga 147 Kanun Keseksaan berhubung perhimpunan yang menyalahi undang-undang seperti berikut:
     
  • Pinda Seksyen 141 Kanun Keseksaan agar takrifan “perhimpunan yang menyalahi undang-undang” terpakai hanya apabila terdapat bukti jelas bahawa pihak penganjur atau peserta perhimpunan mempunyai niat untuk melakukan khianat atau pencerobohan jenayah;
     
  • Pinda Seksyen 142 dan 143 Kanun Keseksaan agar dakwaan jenayah hanya disabitkan berhubung penyertaan dalam perhimpunan yang boleh dibuktikan oleh kerajaan telah melakukan khianat atau pencerobohan jenayah;
     
  • Mansuhkan Seksyen 146 Kanun Keseksaan yang mensabitkan setiap peserta sebagai melakukan kesalahan merusuh jika terdapat mana-mana peserta himpunan yang menggunakan kekerasan atau kekejaman; dan
     
  • Mansuhkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang menakrifkan kesalahan “merusuh” dengan tidak wajar dan mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa mana-mana individu yang terlibat dengan kekerasan atau kekejaman, sama seperti peruntukan Kanun Keseksaan yang mensabitkan kesalahan menyerang dan perbuatan kejam yang lain.
     
  • Mansuhkan Akta Hasutan sepenuhnya.
     
  • Pinda Akta Komunikasi dan Multimedia dengan cara berikut:
     
  • Mansuhkan Seksyen 211(1) dan 233(1) atau pinda kedua-duanya secara signifikan agar penggunaannya dihadkan hanya kepada pengucapan yang jelas menggugat keselamatan negara atau ketenteraman awam, dan pastikan sekatan ke atas pengucapan dibuat setara dengan kadar risiko yang terbit daripada pengucapan tersebut. Pastikan juga istilah yang digunakan dalam undang-undang jelas takrifannya dan dihadkan ruang lingkupnya agar bidang kuasa pegawai pelaksana undang-undang turut dihadkan;
     
  • Pastikan takrifan pengucapan berunsur benci (hate speech) disabitkan hanya apabila ia jelas berniat untuk mencetuskan keganasan, diskriminasi atau kebencian terhadap seseorang individu atau sekumpulan orang yang dikenal pasti. Situasi disabitkan hanya apabila terdapat kemungkinan besar akan berlaku keganasan, diskriminasi atau kebencian dan langkah alternatif untuk mengelakkan keganasan, diskriminasi atau kebencian tiada ketika itu;
     
  • Pastikan pengucapan yang hanya sekadar menyakitkan hati atau menjengkelkan tidak disabitkan di bawah undang-undang; dan
     
  • Pastikan sebarang pindaan lanjut bertujuan “memperkukuh” Akta Komunikasi dan Multimedia yang diusulkan kerajaan adalah konsisten dengan standard antarabangsa yang menjamin kebebasan bersuara dan dirangka berlatarkan kerjasama rapat dengan SUHAKAM dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil Malaysia yang lain.
     
  • Pinda Akta Perhimpunan Aman secara berikut:
     
  • Mansuhkan Seksyen 9(5) agar tiada hukuman jenayah dikenakan hanya kerana kegagalan memberi notis sebelum perhimpunan;
     
  • Mansuhkan syarat yang mengehadkan protes jalanan dalam Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c);
     
  • Mansuhkan Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(e) yang tidak membenarkan kanak-kanak dan warga negara luar untuk menyertai perhimpunan, dan mansuhkan Seksyen 4(2)(a) dan 4(2)(e) yang mengenakan hukuman jenayah terhadap warga negara luar yang menganjurkan atau menyertai perhimpunan, dan terhadap sesiapa sahaja yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan tersebut;
     
  • Pinda Seksyen 10 bagi mengehadkan kandungan maklumat yang perlu diserahkan sebelum perhimpunan, dan sebaliknya hanya maklumat yang memudahkan perhimpunan dan menjamin keselamatan awam seperti tarikh, masa, lokasi dan bilangan peserta yang dijangkakan sahaja yang perlu diserahkan;
     
  • Pinda Seksyen 9 bagi memendekkan tempoh pemberian notis sebelum perhimpunan, dan pengecualian perlu diberikan bagi perhimpunan yang diadakan secara spontan, atau apabila pemberian notis sebelum perhimpunan adalah tidak praktikal; dan
     
  • Semakan perlu dibuat ke atas undang-undang agar polis tidak diberikan bidang kuasa untuk mengenakan syarat ke atas pengucapan yang dibenarkan dalam perhimpunan selain pengucapan yang jelas berniat mahu mencetuskan keganasan, diskriminasi atau kebencian terhadap seseorang individu atau sekumpulan orang yang dikenal pasti. Situasi disabitkan pula adalah apabila keganasan, diskriminasi atau kebencian pasti tercetus dan langkah alternatif untuk mengelakkan keganasan, diskriminasi atau kebencian tiada ketika itu.
     
  • Pinda Akta Rahsia Rasmi supaya: 
     
  • Takrifan “rahsia rasmi” dihadkan selaras dengan standard antarabangsa, dan hadkan juga bilangan pegawai kerajaan yang berhak mengklasifikasikan sesebuah dokumen sebagai rahsia rasmi, iaitu hanya pegawai kanan kerajaan yang terbukti cekap;
     
  • Pinda Akta Rahsia Rasmi bagi membolehkan semakan kehakiman dibuat berhubung keputusan untuk mengklasifikasi sesebuah dokumen sebagai rahsia rasmi;
     
  • Pinda Seksyen 8(1) bagi mensabitkan kesalahan hanya berhubung pendedahan dokumen yang dikategorikan dengan jelas dan memerlukan bukti daripada pihak kerajaan bahawa pendedahan dokumen tersebut boleh mendatangkan ancaman yang jelas dan boleh dikenal pasti akan membawa mudarat yang ketara kepada keselamatan negara dan membenarkan pembelaan diri dibuat atas alasan kepentingan awam;
     
  • Mansuhkan Seksyen 8(2) agar tiada hukuman jenayah dikenakan jika individu yang menerima atau mendedahkan maklumat itu bukan pegawai kerajaan;
     
  • Pinda Seksyen 3 agar hukuman dikenakan hanya jika kerajaan dapat membuktikan perbuatan tersebut memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara; dan
     
  • Pinda Seksyen 16 untuk membuang istilah “wataknya yang diketahui” yang boleh dijadikan bukti maksud tertuduh ialah suatu maksud yang memudaratkan keselamatan atau kepentingan Malaysia.
     
  • Mansuhkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan untuk menghapuskan hukuman jenayah bersabit pengucapan yang “mengaibkan.”
     
  • Pinda Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan untuk mensabitkan hanya kesalahan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah atau pecah keamanan. Takrifkan istilah dengan jelas bagi memastikan ia selaras standard antarabangsa.

 

Kepada Menteri Dalam Negeri

  • Laksanakan dasar yang jelas bagi mengehadkan sabitan Seksyen 143 Kanun Keseksaan hanya kepada peserta yang bertindak ganas. Penyertaan dalam perhimpunan aman sama sekali tidak boleh disabitkan mengikut Seksyen 143.
     
  • Arahkan Ketua Polis Negara supaya memaklumkan kepada semua jabatan polis berhubung butir-butir terperinci dalam dasar tersebut.

 

Kepada Jabatan Peguam Negara

  • Tarik balik semua siasatan dan dakwaan di bawah Akta Hasutan.
     
  • Failkan permohonan kepada mahkamah bagi mengetepikan pensabitan hasutan terhadap Adam Adli, Safwan Anang, Hishamuddin Rais, Haris Ibrahim dan Tian Chua berhubung ucapan yang mereka berikan pada 13 Mei 2013 membantah keputusan pilihan raya 2013. Gugurkan dakwaan bersabit kesalahan menghasut terhadap Tian Chua dan Tamrin Ghafar berhubung ucapan mereka di perhimpunan yang sama.
     
  • Gugurkan semua pendakwaan dan siasatan bersabit pengucapan yang mengaibkan, sekali gus laksanakan dasar yang jelas bahawa pengucapan yang mengaibkan bukanlah suatu kesalahan jenayah.
     
  • Gugurkan semua pendakwaan dan siasatan terhadap  peserta atau penganjur perhimpunan aman.
     
  • Hentikan salah guna Seksyen 124B and 124C Kanun Keseksaan untuk menangkap dan mendakwa penulis komen dan peserta perhimpunan aman yang mahu menggunakan hak mereka untuk bersuara serta menuntut jawapan daripada Perdana Menteri Najib dan kerajaan pimpinannya mengenai isu rasuah melibatkan dana harta kerajaan, 1MDB.

 

Kepada Ketua Polis Negara

  • Jangan lagi keluarkan arahan kepada polis menerusi media sosial bagi menyiasat tulisan di laman Twitter, Facebook dan kandungan media sosial yang lain. Berikan peringatan kepada semua jabatan polis bahawa kritikan terhadap kerajaan dan penjawat awam, termasuk polis, merupakan perkara biasa dan bukan suatu kesalahan dalam negara berdemokrasi.
     
  • Berikan arahan kepada semua jabatan polis bahawa perhimpunan aman bukanlah “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen,” sementara Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan tidak seharusnya digunakan sebagai alasan menangkap peserta yang membantah secara aman atau pihak yang merancang untuk berhimpun secara aman, dan tidak seharusnya digunakan untuk mengarahkan mereka untuk memberikan keterangan.
     
  • Arahkan semua jabatan polis bahawa tanggungjawab mereka adalah membantu memudahkan perhimpunan aman dan bukan menghalangnya. Individu dan kumpulan yang menganjurkan perhimpunan atau bantahan wajar diberikan kebenaran untuk mengadakan perhimpunan mereka dalam khalayak orang ramai yang mereka sasarkan. Polis wajar mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan semua peserta.
     
  • Arahkan semua jabatan polis untuk mengelakkan tangkapan individu yang dituduh bersabit kesalahan pada waktu lewat malam atau petang, melainkan perlu, yakni bagi menghalang tertuduh melarikan diri atau mengelakkan bahan bukti daripada dihapuskan.
     
  • Arahkan semua jabatan polis bahawa seseorang yang dikeluarkan saman terhadapnya wajar dibenarkan untuk hadir memberikan keterangan dengan sukarela, melainkan terdapat alasan yang jelas yang menunjukkan orang tersebut tidak akan mematuhi saman polis yang dikeluarkan terhadapnya.
     
  • Arahkan semua jabatan polis bahawa kaedah penangkapan dan penahanan sama sekali tidak boleh digunakan sebagai taktik pencegahan.

 

Kepada Suruhanya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

  • Hentikan penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat perbincangan umum mengenai isu kepentingan awam, termasuklah perbincangan melibatkan rasuah dan salah laku penjawat awam berhubung kes 1MDB. Sebarang pertikaian tentang maklumat yang disiarkan dalam talian harus ditangani menerusi forum umum, bukannya dengan menyekat akses kepada maklumat tersebut.
     
  • Tarik semula sekatan ke atas laman web Sarawak Report, Medium, Malaysia Chronicle dan Asia Sentinal.  Gugurkan semua siasatan jenayah ke atas laman-laman web tersebut, sidang pengarang dan semua pihak yang menyalurkan kandungan maklumat kepada laman tersebut.
     
  • Sementara menanti pindaan dibuat ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia, berikan garis panduan yang jelas kepada pegawai penyiasat, iaitu Seksyen 211(1) dan 233(1) disabitkan hanya berhubung pengucapan yang benar-benar berisiko dan berkemungkinan menggugat keselamatan negara atau ketenteraman awam.
     
  • Pegawai Suruhanjaya wajar diberitahu dengan jelas bahawa pengucapan yang menyakitkan hati atau menjengkelkan tidak seharusnya disabitkan dengan dakwaan jenayah. Pengucapan berunsur benci (hate speech) hanya disabitkan apabila ia jelas berniat untuk mencetuskan keganasan, diskriminasi atau kebencian terhadap seseorang individu atau sekumpulan orang yang dikenal pasti. Situasi disabitkan apabila keganasan, diskriminasi atau kebencian pasti tercetus dan langkah alternatif untuk mengelakkan keganasan, diskriminasi atau kebencian tersebut tiada ketika itu.

 

Penghargaan

Laporan ini merupakan hasil kaji selidik Linda Lakhdhir, penasihat undang-undang Human Rights Watch bagi rantau Asia dan ditulis oleh beliau. Laporan ini disunting oleh Phil Robertson, timbalan pengarah HRW rantau Asia; James Ross, pengarah dasar dan undang-undang, dan Joseph Saunders, timbalan pengarah program. Brad Adams, pengarah HRW Asia turut menyemak laporan ini. Sokongan penerbitan diperoleh daripada Daniel Lee, rakan runding Asia; Olivia Hunter, rakan runding fotografi dan penerbitan; Fitzroy Hepkins, pengurus pentadbiran dan Jose Martinez, koordinator kanan pentadbiran. 

 

Region / Country

Topic