Sewaktu Datuk Seri Najib Tun Razak mula menjawat kedudukan Perdana Menteri Malaysia, beliau berikrar untuk "berpegang teguh pada prinsip kebebasan sivil." Namun, setelah hampir dua tahun kemajuannya agak terhad. Janji untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang membenarkan tahanan pencegahan masih belum dilaksanakan. Sekatan terhadap kebebasan berekspresi terus digunakan untuk mengekang pengkritik kerajaan daripada menyuarakan pandangan mereka. Ketua polis setempat terus menyekat perhimpunan dan perarakan awam, seringkali atas sebab-sebab politik.
Tahanan tanpa Bicara atau Dakwa
Undang-undang ISA Malaysia yang telah wujud selama 50 tahun, membenarkan penahanan tampa had tertentu dan tanpa pendakwaan atau perbicaraan terhadap sesiapa sahaja yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai ancaman terhadap keselamatan negara. Pihak berkuasa pada tahun 2010 mengulang pendirian mereka membantah desakan untuk memansuhkan ISA. Sebaliknya, mereka bersetuju untuk mengambil kira reformasi dalam lima bahagian, termasuk pembatasan tempoh penahanan tanpa bicara, memberi jaminan mencegah penganiayaan dan memperbaiki layanan terhadap para tahanan, dan memberi takrifan yang lebih tepat berkenaan perlakuan yang membolehkan ISA digunakan.
Namun pada bulan Mac, Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa ISA tidak dapat dipinda tanpa juga mengulang kaji enam undang-undang lain yang berkaitan dengan keselamatan dan membenarkan penahanan pencegahan, termasuklah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah), Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas), dan Akta Kediaman Terhad.
Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Penahanan Sewenang-wenang melawat Malaysia pada bulan Jun 2010. Kumpulan Kerja PBB tersebut melaporkan bahawa ia "amat khuatir" terhadap undang-undang yang membenarkan penahanan pencegahan dan mencadangkan agar ianya dimansuhkan atau, jika dipinda, mestilah akur "bersesuaian dengan Artikel 10 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat." Kumpulan kerja itu juga menyuarakan kekhuatiran mereka bahawa pihak berkuasa Malaysia menggunakan Ordinan Darurat meskipun untuk tuduhan jenayah seperti mencuri, bergaduh, atau penglibatan dengan jenayah kongsi gelap, yang juga jatuh di bawah bidang kuasa Kanun Keseksaan Malaysia.
Pekerja Imigran, Pelarian, Pemohon Suaka dan Mangsa Pemerdagangan Manusia
Akta Imigresen Malaysia 1959/1963 gagal untuk membezakan di antara pelarian, pemohon suaka, mangsa pemerdagangan manusia dan imigran tanpa dokumen. Walaupun adanya undang-undang dan polisi-polisi lain yang memberi beberapa perlindungan terhadap sesetengah kumpulan ini, pihak kerajaan gagal memeriksa pihak yang dituduh melanggar kesalahan imigresen secara berkesan dan konsisten; Ini telah mengakibatkan ramai individu yang kononnya dilindungi akhirnya ditangkap, ditahan dan dideportasi.
Pada bulan Oktober 2010, dalam usaha "membuktikan kepada masyarakat antarabangsa iltizam Malaysia untuk menghapuskan pemerdagangan manusia," polis menggunakan ISA untuk menahan tujuh orang pegawai imigresen Malaysia dan dua orang warga asing atas kesalahan pemerdagangan manusia. Pada bulan yang sama kerajaan melaksanakan pindaan terhadap Akta Anti Pemerdagangan Orang yang tidak membezakan mangsa pemerdagangan manusia dengan para pekerja imigran mangsa penyeludupan. Pindaan ini telah mengurangkan perlindungan terhadap kedua-dua golongan ini. Pindaan tersebut juga telah mengurangkan upaya mangsa pemerdagangan manusia untuk memberi kerjasama dalam proses mengenal pasti dan mendakwa pelaku jenayah tersebut. Pihak kerajaan terus menahan para mangsa pemerdagangan manusia di dalam kemudahan rumah perlindungan yang menyerupai pusat-pusat tahanan.
Walaupun beberapa pengumuman dikeluarkan mengenai peningkatan hak-hak mereka, namun kira-kira 300,000 pekerja pembantu rumah di Malaysia masih belum memiliki perlindungan-perlindungan yang penting. Pekerja pembantu rumah dikecualikan daripada perlindungan utama di bawah Akta Pekerjaan Malaysia, termasuklah had ke atas waktu kerja, cuti umum, hari cuti wajib setiap minggu, cuti sakit dan cuti tahunan, perlindungan bersalin dan keadilan dalam penamatan kontrak kerja.
Pada tahun 2009, Indonesia menggantung migrasi keluar para pekerja pembantu rumah ke Malaysia sehinggalah Memorandum Persefahaman antara kedua negara dapat dikaji semula dengan perlindungan yang lebih kuat kepada para pekerja. Rundingan dilengahkan berulang kali disebabkan kegagalan untuk menubuhkan struktur gaji minima, hak pekerja untuk memegang pasport dan pembahagian tanggungjawab untuk kos pengambilan dan penempatan para pekerja tersebut.
Polisi Dadah
Agensi Anti Dadah Kebangsaan mempunyai 28 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen - pusat tahanan penagih dadah), yang mana tahanan akan ditahan paling minimum selama 2 tahun. Biarpun kadar penagihan berulang di Malaysia dianggarkan sekitar 70-90 peratus, orang-orang yang ditangkap semula menghadapi tempoh penjara yang panjang dan hukuman sebatan.
Kebebasan Berhimpun dan Deraan Polis
Dalam tahun 2010, pihak polis terus menyekat hak untuk berhimpun secara aman yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia. Dalam beberapa kejadian, polis setempat enggan mengeluarkan permit kepada para aktivis untuk perhimpunan awam, perarakan dan mesyuarat. Polis telah menggunakan paksaan yang keras bagi menghentikan acara-acara yang berjalan tanpa kebenaran.
Pada 1 Ogos, polis menyuraikan lapan acara nyalaan lilin yang aman bagi memperingati ulang tahun ke 50 ISA, menahan lebih daripada 30 orang. Di tempat-tempat tertentu, pihak polis gagal memberikan amaran yang sewajarnya atau masa yang mencukupi untuk para peserta perhimpunan bersurai. Para peguam yang sedia mewakili individu-individu yang ditahan pula dihalang daripada menjalankan tugasan mereka.
Tiada kemajuan dalam rancangan yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein pada Ogos 2009 untuk menghapuskan sekatan terhadap perhimpunan awam di tempat-tempat tertentu yang disiapkan khas bagi tujuan tersebut.
Kebebasan Berekspresi dan Media
Blog-blog, Twitter, YouTube dan laman web lainnya terus mencabar akhbar, televisyen dan radio arus perdana, memberikan pilihan kepada para pembaca dan pendengarnya. Maka pihak berkuasa terus gagal memenuhi ikrar mereka sendiri untuk memelihara internet yang terbuka dan mencapai kenyataan wawasan Perdana Menteri Najib Razak terhadap sektor media yang mana para wartawan "diupayakan untuk melaporkan apa yang mereka lihat, tanpa rasa takut akan akibatnya."
Dalam tahun 2010 juga, pihak berkuasa mengganggu wartawan, merampas bahan-bahan terbitan untuk "diteliti" dan sekaligus mengharamkan penerbitan tersebut atau menggantungnya atas alasan melampaui bidang kuasa lesen penerbitan mereka. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 mengkehendaki semua penerbitan memperbaharui lesen mereka setiap tahun.
Pada bulan September, Najib yang menjelaskan jurang antara retorik beliau dan tindakan lebih keras kerajaan terhadap kebebasan berekspresi, berkata,"Saya pernah mengatakan pihak akhbar mesti bertanggungjawab. Saya tidak mengatakan yang kita akan mengetepikan kesemua undang-undang di Malaysia...jika kamu melanggar undang-undang, sama ada fitnah ataupun mencetuskan kebencian berbaur perkauman dan kebencian antara agama, maka kamu perlu bertanggungjawab di atas tindakan tersebut."
Pada bulan Jun dan Julai, kerajaan menghentikan sementara penerbitan akhbar-akhbar yang diterbitkan oleh tiga buah parti utama dalam pakatan pembangkang. Lesen percetakan yang seterusnya dikeluarkan mengandungi syarat-syarat yang menyekat, seperti tuntutan bahawa jualan hanya terhad di pejabat parti dan kepada anggota parti sahaja.
Pada bulan Jun juga, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku kartun politik, 1Funny Malaysia dan dua buah lagi buku oleh kartunis Malaysiakini, Zulkifli Anwar Ulhaque, yang terkenal dengan nama penanya Zunar. Dalam bulan September, beberapa jam sebelum pelancaran Cartoon-o-phobia, sebuah lagi buku oleh Zunar, pihak polis telah datang menyerbu pejabatnya, merampas buku tersebut dan menangkapnya di bawah Akta Hasutan atas tuduhan menerbitkan buku-buku yang memudaratkan ketenteraman awam. Pada bulan Oktober, Menteri Dalam Negeri menolak permohonan untuk menerbitkan sebuah lagi buku oleh Zunar.
Dalam bulan yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyiasat Malaysiakini, akhbar internet yang popular yang sering mengkritik dasar-dasar kerajaan. Siasatan dibuat atas laporan terhadap ucapan perasmian Perdana Menteri Najib dalam perhimpunan agong parti pemerintah United Malays National Organization (UMNO). Kementerian Dalam Negeri berulang kali menolak permohonan Malaysiakini untuk menerbitkan akhbar versi cetakan harian.
Orientasi Seksual dan Identiti Gender
Pihak Kerajaan terus menolak usaha-usaha untuk memansuhkan Seksyen 377 Kanun Keseksaan, yang menjenayahkan "perlakuan hubungan seks di luar tabii." Pihak kerajaan juga enggan menggantikan bahagian undang-undang terhadap perlakuan seks tanpa rela dengan undang-undang yang lebih moden, bersifat gender yang neutral terhadap jenayah rogol. Kerajaan berhenti melarang filem-filem bertemakan gay, namun hanya jika perbuatan-perbuatan tertentu tidak ditunjukkan dan watak-watak gay akan bertaubat pada penghujung jalan ceritanya.
Proses perundangan dan Perbicaraan Anwar Ibrahim
Perbicaraan Anwar Ibrahim, pemimpin pakatan pembangkang di Malaysia diteruskan. Dia dituduh atas kesalahan "liwat" dalam kes yang didakwa melibatkan perlakuan homoseksual secara sukarela. Pihak pendakwa enggan mengemukakan dokumen yang sangat penting kepada peguam pihak tertuduh, termasuklah senarai saksi, kenyataan saksi, dan laporan klinikal serta spesimen daripada pemeriksaan perubatan pihak menuduh, yang diambil dua hari setelah kejadian yang didakwa berlaku. Kanun Acara Jenayah Malaysia, seksyen 51A, merupakan peruntukan yang memerlukan pihak pendakwaan untuk menyerahkan "apa-apa jua" dokumen yang akan digunakan sebagai bukti dan juga kenyataan bertulis berkenaan fakta-fakta yang menyokong pihak pembelaan kepada pihak pembelaan dengan pengecualian terhadap sebarang tindakan yang "akan bertentangan dengan kepentingan awam."
Kebebasan Beragama
Walaupun Islam adalah agama rasmi Malaysia, perlembagaan mengesahkan bahawa Malaysia merupakan negara sekular yang melindungi kebebasan beragama untuk semua. Namun demikian, kewujudan dua jenis sistem perundangan di Malaysia membenarkan perundangan mahkamah Syariah, dimana orang bukan Islam tidak mempunyai hak untuk menghadap makhamah, untuk memutuskan dalam hal kesalahan moral dan agama melibatkan orang-orang Islam serta isu-isu yang melibatkan perkahwinan, perwarisan harta, penceraian dan hak penjagaan anak, upacara pengkebumian, serta banyak lagi hal yang melibatkan percanggahan antara agama. Dalam suatu keputusan pada bulan Mac yang mendapat banyak perhatian, dengan kesan yang tersebar luas, Mahkamah Tinggi di Malaysia memberikan hak penjagaan tiga orang kanak-kanak kepada seorang wanita Hindu, yang mana suaminya telah memeluk Islam bersama tiga orang anaknya tanpa pengetahuannya. Namun terdapat lagi banyak kes-kes yang masih belum diputuskan di Mahkamah.
Para Pemain Utama Antarabangsa
Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menekankan hubungan perdagangan dan pelaburan, non-proliferasi nuklear serta keselamatan serantau dalam perbincangan pada tahun 2010 dengan rakan sejawat mereka di Malaysia. Namun AS juga turut menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berkaitan hak asasi manusia, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Dalam kunjungan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton pada bulan November ke Malaysia, beliau tidak bertemu dengan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia atau dengan Anwar Ibrahim.
Malaysia mengundang Kumpulan Kerja PBB tentang Penahanan Sewenang-wenang untuk membuat lawatan. Tetapi kemudiannya, pihak berkuasa cuba menghalang wakil-wakil masyarakat sivil daripada bertemu secara peribadi dengan anggota kumpulan PBB tersebut.
Pada bulan Mei, Malaysia terpilih menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Walau bagaimanapun, Malaysia terus memainkan peranan utama dalam menghalang usaha-usaha kerajaan-kerajaan pada peringkat Jawatankuasa Untuk Pekerja Migran di Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), bagi merundingkan instrumen ikatan perundangan ASEAN untuk perlindungan dan penggalakan hak-hak para pekerja migran.