Skip to main content

Malaysia

Peristiwa 2019

© 2018 AP Photo/Sadiq Asyraf

Malaysia mencatatkan pencapaian yang agak perlahan dalam beberapa aspek pada 2019 di bawah agenda reformasi Pakatan Harapan, antara lain, menurunkan usia layak mengundi, memperkukuh kebebasan parlimen, dan menarik semula sekatan berhubung perarakan bantahan. Namun demikian, kerajaan Malaysia dilihat memungkiri komitmen-komitmen lain, antaranya, menarik diri daripada Statut Rom di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada bulan April 2019, tidak sampai sebulan selepas memfailkan penyertaannya dalam perjanjian tersebut; enggan menunaikan komitmen untuk menghapuskan hukuman mati sepenuhnya; dan gagal menunaikan komitmen untuk memansuhkan atau meminda beberapa undang-undang lain yang zalim.
 

Kebebasan Bersuara

Kerajaan juga belum melaksanakan komitmennya untuk memansuhkan Akta Hasutan yang sering disalahgunakan. Akta ini terus dijadikan wahana untuk menghukum rakyat yang mengkritik institusi Raja Malaysia. Rakyat yang melontarkan kritikan tentang kaum dan agama juga berdepan dengan siasatan jenayah, termasuk Charles Santiago, ahli parlimen yang merupakan salah seorang daripada lima individu yang dipanggil polis untuk memberi keterangan pada bulan September. Siasatan tersebut dibuat setelah Zakir Naik, pendakwah Islam kontroversi memfailkan laporan jenayah mendakwa kelima-lima individu terbabit mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya. Santiago disoal siasat kerana mengkritik Zakir yang mendakwa kaum India di Malaysia lebih setia kepada perdana menteri India berbanding perdana menteri Malaysia. Pada bulan Mac pula, Allister Cogia dijatuhkan hukuman penjara lebih 10 tahun berhubung komennya di media sosial yang dianggap menghina agama Islam.

Pada bulan Oktober 2019, dewan rakyat di parlimen Malaysia sekali lagi mengundi untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu dalam bulan-bulan terakhir pemerintahannya. Ini kerana Dewan Negara menyekat usaha memansuhkan undang-undang tersebut pada 2018. Selain itu, janji kerajaan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Rahsia Rasmi juga masih belum ditunaikan.
 

Sistem Keadilan Jenayah

Pada bulan Oktober 2018, kerajaan telah mengumumkan hasratnya untuk menghapuskan hukuman mati dan mengenakan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati.  Namun, pada bulan Mac 2019, kerajaan sebaliknya mengumumkan bahawa hukuman mati akan dikekalkan, cuma yang akan dihapuskan ialah peruntukan mandatori yang membawa kepada hukuman mati. Ketika ini, Malaysia masih membenarkan hukuman mati bagi beberapa kategori jenayah, manakala 11 jenis jenayah disyaratkan hukuman mati secara mandatori. Setakat ini, kerajaan masih belum mengumumkan sebarang rang undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan masih meneruskan penahanan individu tanpa perbicaraan di bawah undang-undang bersifat restriktif. Dua belas individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri parti DAP, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) pada bulan Oktober atas dakwaan menyokong kumpulan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)  yang tidak lagi aktif.

SOSMA membenarkan penahanan preventif sehingga 28 hari tanpa sebarang semakan kehakiman bagi beberapa “kesalahan keselamatan.” Kedua-dua Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 membenarkan beberapa badan khas dilantik kerajaan dengan bidang kuasa untuk mengenakan penahanan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun, dengan tempoh tahanan boleh diperbaharui pada bila-bila masa, tanpa syarat. Ini bagi memantau pergerakan individu terbabit secara elektronik dan untuk menyekat kebebasannya untuk bergerak dan berpersatuan. Langsung tiada semakan kehakiman dibenarkan untuk sekatan tersebut. Kerajaan baharu, walaupun telah memberi komitmen akan “menghapuskan peruntukan drakonian” tersebut, masih belum menunaikannya.

Sementara itu, Pakatan Harapan pernah berjanji akan memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang memberikan bidang kuasa yang luas kepada sebuah agensi persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat. Sebaliknya, kerajaan ini memperkenalkan pindaan menerusi sebuah rang undang-undang yang diusulkan untuk bacaan kali pertama pada bulan April 2019. Beberapa pindaan tersebut sebenarnya memperluas bidang kuasa Majlis, bukan mengekangnya. Pada ketika laporan ini ditulis, pindaan tersebut masih belum diluluskan.
 

Salah Laku Polis dan Kekebalan daripada Undang-Undang

Salah laku polis terhadap suspek dalam tahanan masih merupakan masalah serius di Malaysia, apatah lagi kebertanggungjawaban dalam kes-kes terbabit. Standard penjagaan bagi orang tahanan juga merupakan suatu isu melihat kepada suspek dan banduan yang mati akibat penyakit boleh dirawat.

Pada bulan Julai, kerajaan mengusulkan rang undang-undang yang sudah sekian lama dinantikan bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis. Walaupun usul tersebut suatu langkah positif ke arah mempertingkat kebertanggungjawaban polis, terdapat beberapa peruntukan dalam rang tersebut yang menimbulkan persoalan tentang kebebasan dan bidang kuasa suruhanjaya yang dicadangkan.  
 

Orang Pelarian, Pemohon Suaka dan Mangsa Pemerdagangan Manusia

Malaysia masih belum menunaikan komitmennya untuk meratifikasi Konvensyen Orang Pelarian (Refugee Convention) 1951. Lebih 150,000 orang pelarian dan pemohon suaka yang kebanyakannya dari Myanmar, kini berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia. Pemohon suaka yang ditangkap oleh pihak berkuasa dianggap “pendatang haram” dan ditahan beramai-ramai di pusat tahanan yang terlampau padat dan tidak sihat keadaannya. Sungguhpun kerajaan baharu telah memberikan komitmen untuk menambah baik situasi pelarian dan pemohon suaka, mereka masih tidak mempunyai sebarang status yang sah, tidak boleh bekerja, bergerak atau memasuki sekolah kerajaan.

Dalam pada itu, pada 2019 Malaysia menghantar pulang pemohon suaka dari Mesir, Thailand dan Turki, sekali gus melanggar amalan undang-undang antarabangsa. 

Pada bulan Januari, kerajaan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat sejumlah besar kubur yang ditemui di kem penempatan sementara di hutan terpencil di sempadan Thailand-Malaysia, pada 2015. RCI mengambil keterangan semua pihak pada bulan Mei dan Jun, namun, sehingga kini, RCI masih belum mengumumkan sebarang laporan rasmi berhubung hasil siasatan tersebut. Sehingga ke hari ini, belum ada rakyat Malaysia yang dipertanggungjawabkan ke atas kematian lebih 100 warga Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan ditemui mayat-mayat mereka di kem itu. Seramai 12 orang pegawai polis yang pada awalnya didakwa dalam kes ini telah dibebaskan pada bulan Mac 2017.
 

Kebebasan Berhimpun dan Berpersatuan

Pada bulan Mac, polis telah memanggil sekurang-kurangnya sembilan penganjur dan penceramah yang menyertai Perarakan Wanita untuk disoal siasat. Siasatan dibuka susulan perarakan untuk menyambut Hari Wanita Sedunia yang mengundang kemarahan masyarakat disebabkan kehadiran aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta rakan-rakan seperjuangan mereka dalam perarakan tersebut. Penganjur-penganjur berkenaan disiasat berhubung jenayah hasutan dan melanggar Akta Perhimpunan Aman, namun tiada yang didakwa sesudah siasatan dibuat.

Pada bulan Julai, parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman bagi mengurangkan tempoh notis perhimpunan kepada 7 hari berbanding 10 hari sebelum itu, dan menarik balik sekatan terhadap perarakan bantahan dari satu lokasi ke lokasi lain. Namun, undang-undang tersebut masih membenarkan dakwaan jenayah dibuat terhadap penganjur dan juga peserta perhimpunan aman. Biarpun pindaan baharu Akta memberi kuasa kepada pihak polis untuk hanya mengenakan denda sebagai hukuman berbanding dakwaan jenayah, hukuman denda tersebut memerlukan izin bertulis daripada pendakwa raya.
 

Kebebasan Beragama

Malaysia tidak membenarkan penganut Islam mengikut mana-mana fahaman selain Sunni Islam, sekali gus, pengikut Shia atau fahaman lain boleh ditangkap atas tuduhan mengamalkan ajaran sesat. Pada bulan September, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan semua masjid dalam negeri menyampaikan ceramah agama yang menggambarkan penganut Shia Islam sebagai “sesat,” “jelek,” “karut” dan “meloyakan.” Pada 6 September, JAIS menahan 23 penganut Shia, termasuk kanak-kanak, berhubung fahaman mereka, manakala lapan penganut Shia pula ditangkap di sebuah majlis peribadi di Johor pada 9 September.

Pada bulan Ogos, Mahkamah Tinggi menolak kes Sisters in Islam, sebuah perkumpulan masyarakat sivil yang memperjuangkan hak wanita Islam, untuk mencabar keputusan fatwa yang dikeluarkan terhadapnya pada 2014. Fatwa bersifat umum tersebut mengisytiharkan Sisters in Islam dan “mana-mana individu serta kumpulan, pertubuhan dan institusi yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme agama” sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap golongan LGBT masih berleluasa di Malaysia. Perundangan persekutuan menghukum “perlakuan seks luar tabii” dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan mandatori. Selain itu, undang-undang Syariah di beberapa negeri lain juga turut melarang hubungan seks sejenis serta ekspresi gender yang tidak mematuhi norma semasa, lantas menyebabkan golongan transgender kerap ditangkap. Pentadbir kerajaan, termasuklah Perdana Menteri Mahathir Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak menyokong komuniti LGBT. Pada bulan Jun 2019, Mahathir mendakwa bahawa wacana LGBT ini diuar-uarkan oleh “negara-negara Barat” dan “tidak sesuai” untuk Malaysia.

Tiga wanita transgender mati dibunuh antara bulan November 2018 hingga Januari 2019, dan belum ada sesiapa yang dijatuhkan hukuman bersabit pembunuhan tersebut. Lapan lelaki telah didakwa bersabit kes wanita transgender yang dipukul teruk di Negeri Sembilan pada bulan Ogos 2018. Mangsa mengalami kecederaan dalaman, tulang rusuknya patah dan cedera di kepala. Kes ini masih sedang berjalan setakat laporan ini ditulis.

Pada bulan Mac 2019, menteri hal ehwal agama, Mujahid Yusof Rawa mengkritik penyertaan golongan LGBT dalam perarakan Hari Wanita Sedunia sebagai “menyalahgunakan ruang demokrasi.” Tentangan terhadap peserta perarakan begitu lantang dan keras sehingga ada yang melaporkan mereka diganggu di media sosial, termasuk menerima ugutan kekerasan.

Pada bulan Ogos 2019, pihak berkuasa Malaysia memotong babak gay daripada filem biopik Elton John bertajuk “Rocketman,” sehingga mencetuskan kritikan daripada peminat seni.
 

Perkahwinan Kanak-Kanak

Malaysia membenarkan perkahwinan kanak-kanak di bawah undang-undang sivil dan juga Syariah. Gadis berusia 16 tahun ke atas dibenarkan berkahwin jika mendapat izin daripada ketua menteri negeri masing-masing. Bagi penganut Islam, kebanyakan undang-undang Syariah negeri meletakkan syarat usia minimum 16 tahun untuk gadis dan 18 tahun untuk lelaki, tetapi jika diizinkan oleh mahkamah Syariah masing-masing, masih membenarkan perkahwinan di bawah umur, tanpa sebarang had usia minimum. Walaupun pengumuman telah dibuat oleh kerajaan pada bulan Ogos berhubung garis panduan yang lebih ketat sebelum izin diberikan kepada kanak-kanak untuk berkahwin, amalan ini masih berterusan.

Pemain Utama di Persada Antarabangsa

Kerajaan Malaysia terus bersuara lantang berhubung kezaliman Myanmar terhadap Muslim Rohingya. Namun demikian, kerajaan dilihat enggan mengkritik China secara lantang dan terbuka membabitkan keganasan China terhadap rakyat Uyghur dan Muslim Turkic di Xinjiang, dengan Perdana Menteri Mahathir menyebut bahawa  kritikan terbuka ke atas China “tidak akan mencapai apa-apa.” China ialah rakan dagang terbesar bagi Malaysia, dan menurut Mahathir lagi, beliau komited ke arah memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara. Malah, Malaysia turut memperlihatkan keengganannya untuk akur akan norma Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) apabila membenarkan kunjungan Sam Rainsy, pemimpin pembangkang Kemboja yang kini dalam buangan, ke Kuala Lumpur pada bulan November lepas, biarpun dibantah oleh Phnom Penh.