Pada bulan Mei 2018, rakyat Malaysia telah mengundi keluar barisan pemerintah yang diterajui oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan dicapai pada 1957, sekali gus memilih Pakatan Harapan, gabungan parti yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim, pemimpin salah sebuah parti dalam pakatan tersebut yang dipenjara oleh kerajaan terdahulu atas tuduhan bermotifkan politik, telah diberikan pengampunan dan dibebaskan juga dalam bulan Mei.

Pakatan Harapan bertanding atas manifesto yang menjanjikan pemansuhan undang-undang zalim, memastikan kebertanggungjawaban dalam kes salah laku polis, menambah baik situasi orang pelarian, meratifikasi perjanjian hak asasi antarabangsa, dan mengangkat rekod hak asasi Malaysia ke tahap yang “dihormati dunia.” Menjelang akhir tahun, kerajaan baharu sudah mula mengambil langkah untuk menunaikan janji-janjinya. Namun begitu, reformasi undang-undang masih lembab dan retorik negatif yang dilontarkan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah menimbulkan tanda tanya sama ada kerajaan baharu ini akan memastikan hak sama rata bagi semua rakyat.

Kebebasan Ekspresi

Sebelum pilihan raya berlangsung, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak memperhebat kekangan terhadap kebebasan bersuara. Pada bulan Februari, pelukis grafik, Fahmi Reza, dihukum penjara satu bulan dan didenda kerana memuat naik karikatur perdana menteri seperi badut, sementara Rafizi Ramli, ahli parlimen pembangkang ketika itu dihukum penjara 30 bulan kerana membocorkan maklumat bank dalam usaha beliau mahu mendedahkan rasuah. Kes tersebut memperlihatkan kelemahan dalam melindungi pemberi maklumat.

Pada bulan Mac pula, kerajaan terdahulu meluluskan Undang-Undang Antiberita Tidak Benar, undang-undang dengan ruang lingkup yang luas, dan mengenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun terhadap mana-mana orang yang menyebarkan “berita tidak benar” dengan niat jahat. Undang-undang ini sengaja ditakrifkan secara taksa agar pengkritik UMNO dan kerajaan lama mudah dijadikan sasaran dengan bidang kuasa yang maksimum. Pada bulan April, seorang lelaki warga Denmark dihukum penjara seminggu dan didenda RM10,000 (US$2,384) kerana memuat naik sebuah rakaman video yang mengkritik respons pihak polis dalam sebuah kes pembunuhan terancang di Kuala Lumpur.

Sejak kerajaan Pakatan Harapan memerintah, kebebasan bersuara meningkat secara dramatik. Bahkan, pejabat Peguam Negara telah menarik balik tuduhan hasutan yang bermotifkan politik terhadap beberapa aktivis dan ahli politik, serta memberhentikan rayuan yang dikemukakan kerajaan dahulu dalam beberapa kes melibatkan kebebasan bersuara. Pada bulan Ogos, kerajaan mengumumkan, lantas meluluskan undang-undang bertujuan memansuhkan Undang-Undang Antiberita Tidak Benar. Namun demikian, Dewan Negara yang masih dikuasai oleh sekutu kerajaan dahulu telah menyekat pemansuhan tersebut dalam bulan September.

Akta Hasutan masih digunakan, bahkan sekurang-kurangnya tiga siasatan kes hasutan baharu telah dimulakan pada bulan Julai dan Ogos terhadap beberapa individu yang dituduh menghina pihak diraja Malaysia. Walaupun manifesto pilihan raya kerajaan baharu menjanjikan pemansuhan Akta Hasutan, mereka masih belum menunaikan janji tersebut setakat laporan ini ditulis. Selain itu, kerajaan baharu juga mengelak daripada komitmen untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi seperti yang dijanjikan dalam pilihan raya, dan sebaliknya menyatakan bahawa akta tersebut hanya akan dipinda.

Sistem Keadilan Jenayah

Pada bulan Oktober, kerajaan mengumumkan hasrat memansuhkan hukuman mati dan mengenakan penangguhan (moratorium) bagi menghentikan semua hukuman mati sehingga pemansuhan sepenuhnya dibuat. 

Malaysia pada masa ini mengekalkan hukuman mati bagi berbagai-bagai jenis jenayah, bahkan hukuman mati diwajibkan sebagai hukuman mandatori bersabit 11 jenis kesalahan.

Pada bulan Disember 2017, parlimen Malaysia meluluskan pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya bagi memberikan mahkamah kuasa untuk menggunakan budi bicara dalam menghukum pengedar dadah sama ada dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dalam beberapa situasi yang dibenarkan.

Malaysia masih menahan individu tanpa bicara di bawah undang-undang yang restriktif. Kedua-dua Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 meletakkan bidang kuasa mutlak dalam tangan lembaga yang dilantik kerajaan bagi menjatuhkan hukuman penahanan tanpa bicara sehingga tempoh dua tahun, malah tempoh tersebut boleh dilanjutkan tanpa had. Lembaga ini turut diberi kuasa mutlak untuk mengarahkan pemantauan menggunakan peranti elektronik dan mengenakan bermacam-macam sekatan lain terhadap kebebasan bergerak dan kebebasan bergaul, tanpa sebarang peluang bagi semakan kehakiman.

Penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) turut membenarkan penahanan dibuat tanpa bicara dan tanpa semakan kehakiman sehingga 28 hari bersabit bermacam-macam “kesalahan keselamatan.”

Kerajaan baharu telah memberikan komitmen untuk “memansuhkan peruntukan drakonian” dalam undang-undang tersebut, namun setakat laporan ini ditulis, belum melaksanakan komitmen tersebut.

Salah Laku Polis dan Kekebalan daripada Undang-Undang

Perbuatan dera polis terhadap suspek yang ditahan, dalam beberapa kes mengakibatkan kematian, masih merupakan masalah serius, termasuk ketiadaan akauntabiliti dalam kes-kes tersebut.

Standard penjagaan bagi orang tahanan juga bermasalah, sehingga menyebabkan suspek dan banduan mati akibat penyakit yang hakikatnya boleh dirawat.

Walau bagaimanapun, pada bulan September, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan diperkukuh dan ditransformasi menjadi Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang telah lama dinanti-nantikan. IPCMC kelak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dan menghukum pegawai polis yang melanggar batas.

Orang Pelarian, Pemohon Suaka, dan Mangsa Pemerdagangan Manusia

Malaysia bukan negara ahli dalam Konvensyen Pelarian 1951, walaupun kerajaan baharu telah memberi komitmen untuk meratifikasi konvensyen tersebut. Lebih 150,000 orang pelarian dan pemohon suaka yang kebanyakannya dari Burma mendaftarkan diri dengan UNHCR, agensi orang pelarian PBB yang bertempat di Malaysia; namun mereka tidak dapat bekerja, bergerak bebas atau bersekolah di sekolah kerajaan.

Pemohon suaka yang ditangkap oleh pihak penguatkuasa dilayan seperti “pendatang haram” dan ditahan di pusat tahanan imigresen yang sesak dan tidak sihat.

Kerajaan baharu telah memberikan komitmen untuk menambah baik situasi orang pelarian dan pemohon suaka, tetapi langkah jelas masih belum diambil setakat tarikh laporan ini ditulis.

Sementara itu, Malaysia menolak permintaan China untuk menghantar pulang 11 warga etnik Uyghur yang ditahan di Malaysia selepas meloloskan diri dari pusat tahanan di Thailand. Mereka dibebaskan daripada tahanan setelah Malaysia menggugurkan semua tuduhan imigresen terhadap mereka, dan akhirnya diterbangkan keluar ke Turki.

Setakat ini, belum ada warga Malaysia yang dipertanggungjawabkan atas kematian lebih 100 mangsa pemerdagangan manusia berbangsa Rohingya yang ditemui mayat mereka pada 2015 di kem pelarian yang tersembunyi di tengah-tengah hutan tebal di sempadan Malaysia-Thai. Seramai 12 anggota polis yang pada awalnya ditahan dalam kes tersebut telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan susulan pada bulan Mac 2017.

Kerajaan Malaysia gagal menguatkuasakan pindaan yang telah diluluskan pada tahun 2014 ke atas undang-undang antipemerdagangan Malaysia 2007, khususnya berkenaan langkah-langkah pentadbiran yang perlu dilaksanakan untuk menghulurkan bantuan dan keizinan bekerja kepada semua mangsa pemerdagangan yang memerlukan bantuan tersebut.

Hak Berhimpun, Bergaul dan Berpersatuan

Sebelum pilihan raya bulan Mei, pihak berkuasa Malaysia kerap mendakwa individu yang melakukan perhimpunan aman tanpa notis atau menyertai demonstrasi jalanan.

Di bawah pimpinan kerajaan baharu, polis masih membuka siasatan baharu membabitkan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman, sedangkan janji manifestonya, antara lain, adalah “menghapuskan peruntukan drakonian” undang-undang tersebut. Contohnya, pada 11 Jun, polis membuat laporan terhadap S. Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia dan 50 individu lain yang berhimpun di luar kediaman perdana menteri untuk menyampaikan rayuan kepada beliau secara serahan tangan. Pada 12 Julai pula, Fadiah Nadwa Fikri, seorang peguam disoal siasat berhubung perhimpunan solidariti yang bertempat di luar stesen polis ketika beliau disoal siasat berhubung sebuah kes hasutan. Pada 16 September pula, lapan aktivis pelajar ditahan ketika membuat perhimpunan protes di Sabah pada Hari Malaysia.  

Akta Pertubuhan menyekat hak pergaulan kerana mengenakan syarat bahawa perkumpulan dengan tujuh ahli atau lebih perlu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Undang-undang berkenaan memberikan “kuasa mutlak” kepada menteri dalam negeri untuk mengharamkan sesebuah pertubuhan, sementara Pendaftar Pertubuhan pula mempunyai kuasa serupa ke atas parti politik.

Menjelang pilihan raya, Pendaftar Pertubuhan mengancam untuk membubarkan parti politik yang ditubuhkan oleh Mahathir Mohamad, di samping sengaja melewatkan usaha Pakatan Harapan untuk mendaftarkan perikatan parti mereka.

Kebebasan Beragama

Malaysia mengekang hak penganut agama Islam selain aliran Sunni, sekali gus penganut aliran Syiah dan lain-lain berisiko ditahan polis atas dasar mengikut ajaran sesat. Pada bulan September, 50 penganut Syiah, termasuk kanak-kanak ditahan di Kelantan kerana mengamalkan ajaran Syiah. Pada bulan April pula, sebuah mahkamah tinggi memutuskan bahawa pengikut fahaman Ahmadiyya yang telah diisytiharkan sebagai ajaran “sesat” di Malaysia tidak boleh didakwa bersabit kesalahan di bawah undang-undang Syariah yang mengawal umat Islam di Malaysia.

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap golongan lesbian, homoseksual, biseksual dan transgender berleluasa di Malaysia.

Perundangan persekutuan menghukum “perlakuan seks luar tabii” dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun, manakala undang-undang Syariah di beberapa negeri lain juga turut melarang hubungan seks sejenis serta ekspresi gender yang tidak mematuhi norma semasa. Hal ini mengakibatkan golongan transgender kerap ditahan. Walaupun menteri hal ehwal agama yang baharu menyeru agar diskriminasi terhadap golongan LGBT dihapuskan di tempat kerja, beliau juga membuat kenyataan jelas bahawa sebarang perwatakan seksualiti atau identiti gender alternatif akan didakwa di bawah undang-undang sedia ada. Bahkan, beliau juga menyokong program-program yang dirangka khusus untuk mengubah orientasi seksual individu, sedangkan program-program seumpama ini pada keseluruhannya dikritik.

Pada bulan Ogos, menteri hal ehwal agama mengarahkan agar gambar Nisha Ayub, aktivis transgender dan Pang Khee Teik, aktivis LGBT diturunkan daripada pameran yang meraikan individu-individu Malaysia yang berpengaruh, atas sebab pameran gambar kedua-duanya tidak selari dengan dasar kerajaan yang tidak menyokong aktiviti LGBT. Kontroversi tersebut menyebabkan ramai pihak melemparkan kata-kata kesat terhadap golongan transgender. Malah, pada 18 Ogos, lapan lelaki memukul seorang wanita transgender dengan kejam di Negeri Sembilan, sehingga mendatangkan kecederaan dalaman, tulang rusuknya patah dan cedera di kepala dan belakang tubuh.

Pada bulan September, sebuah mahkamah Syariah di Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan rotan kepada dua wanita atas tuduhan melakukan hubungan seks sejenis. Hukuman tersebut dijalankan di sebuah bilik mahkamah dengan disaksikan oleh 100 individu, lantas mengundang kecaman antarabangsa.

Pada 21 September, Perdana Menteri Mahathir menyatakan bahawa Malaysia “tidak boleh menerima budaya LGBT,” justeru menimbukan tanda tanya tentang komitmen kerajaan untuk melindungi hak warga LGBT.

Hak Wanita dan Kanak-Kanak

Malaysia membenarkan perkahwinan kanak-kanak menurut undang-undang sivil dan juga Syariah, namun terdapat gerakan yang berusaha membanteras amalan tersebut. Gadis berusia 16 tahun ke atas dibenarkan berkahwin jika mendapat izin daripada ketua menteri negeri masing-masing. Bagi penganut Islam, undang-undang Syariah di kebanyakan negeri meletakkan syarat usia minimum 16 tahun untuk gadis dan 18 tahun untuk lelaki, tetapi jika diizinkan oleh mahkamah Syariah masing-masing, masih membenarkan perkahwinan di bawah umur, tanpa sebarang had usia minimum.

Pada bulan Julai, seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan bernikah dengan budak perempuan warga Thai berusia 11 tahun yang ibu bapanya bekerja di Malaysia. Lelaki tersebut didenda RM1800 (US$429) kerana gagal memohon izin untuk bernikah, dan budak perempuan itu akhirnya dihantar pulang ke Thailand. Pada bulan September, lelaki berusia 44 tahun pula diizinkan bernikah dengan seorang gadis berusia 15 tahun di Kelantan.

Pada bulan Ogos, negeri Selangor mencadangkan pindaan dibuat kepada had usia minimum perkahwinan bagi gadis Islam dinaikkan kepada 18 tahun daripada 16 tahun, sekali gus akan memperketat syarat bagi perkahwinan di bawah usia 18 tahun, tetapi tidak akan melarangnya. Pada bulan Oktober, media melaporkan Perdana Menteri Mahathir telah mengarahkan kerajaan-kerajaan negeri untuk menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi warga Islam dan juga bukan Islam. Arahan tersebut telah dilaksanakan di beberapa buah negeri tetapi pengecualian untuk usia minimum masih dikekalkan. Pada bulan Oktober, kerajaan mengumumkan bahawa perbuatan rogol dalam perkahwinan tidak akan dihukum sebagai jenayah kerana kesukaran untuk membuktikan kes-kes tersebut di mahkamah.

Pemain Utama di Persada Antarabangsa

Mike Pompeo, Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang mengunjungi Kuala Lumpur pada bulan Ogos menyatakan hasrat beliau untuk memperkukuh jalinan kerjasama dengan Malaysia dalam banyak perkara, antaranya, isu perdagangan dan menentang puak pelampau Islam, namun tidak menyentuh tentang pembaharuan hak asasi manusia.

Perdana Menteri Mahathir mengunjungi China, rakan dagang paling utama Malaysia pada bulan Ogos. Mahathir disambut mesra oleh rakyat China walaupun beliau sebelum itu membatalkan beberapa projek besar infrastruktur oleh syarikat China yang sebelum ini dimeterai oleh perdana menteri dahulu.

Anwar Ibrahim, pemimpin dalam perikatan Pakatan Harapan yang besar kemungkinan akan diangkat sebagai perdana menteri kelak telah mengkritik China kerana layanan buruk China terhadap warga Islam etnik Uyghur.

Sementara itu, kerajaan baharu juga mengetengahkan hasrat mahu memainkan peranan yang lebih aktif dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations). Malaysia merupakan satu-satunya negara anggota daripada 10 negara anggota ASEAN yang lantang menyuarakan kritikan terhadap kezaliman Myanmar terhadap warga Islam etnik Rohingya .