Peningkatan mendadak golongan populis autoritarian kini semakin terhambat berbanding setahun yang dulu. Ketika itu, seolah-olah tiada apa pun yang mampu menahan asakan demi asakan ahli politik populis dunia yang mendakwa kononnya mereka memperjuangkan hak “semua insan,” tetapi sebaliknya mereka sedang mengumpulkan pengikut mereka dengan mencela dan menjatuhkan minoriti yang tidak popular, menyerang dasar hak asasi manusia dan menyemarakkan keraguan terhadap institusi demokratik. Namun, pada ketika ini, reaksi yang lebih popular di serata pelosok dunia ditunjangi oleh beberapa pemimpin politik yang berani mempertahankan hak asasi sehingga memberi tamparan hebat kepada agenda populisme sekali gus menjadikannya semakin goyah. Di negara-negara yang menyaksikan penentangan yang kuat, kemaraan populisme dapat dibendung, tetapi di negara-negara yang lemah sehingga kebencian dan penyisihan diapi-apikan terhadap pihak yang berani menentang, politik populisme semakin melampau.

Pergolakan ini membuatkan kuasa-kuasa besar Barat khususnya lebih cenderung memfokuskan hal ehwal dalam negara berbanding luar negara, sekali gus semakin ramai orang teraniaya tanpa pembelaan. Apatah lagi Amerika Syarikat (AS) dipimpin oleh seorang presiden yang cenderung memilih orang yang memijak hak asasi manusia sebagai orang kuatnya, sementara UK pula terlalu ralit dengan isu Brexit, lantas dua kuasa besar dunia yang terkenal turun-temurun sebagai pembela hak asasi dunia kini sudah tidak menampakkan kehadirannya.

Oleh sebab Jerman, Perancis dan rakan seperjuangan Kesatuan Eropah diasak oleh isu perkauman dan antipelarian di negara mereka, tentunya pergolakan dunia kurang menjadi tumpuan mereka. Negara demokrasi yang lain seperti Australia, Brazil, Indonesia, Jepun dan Afrika Selatan pula jarang-jarang sekali dilihat membela hak asasi manusia.

China dan Rusia telah mempergunakan kelompangan ini untuk kepentingan mereka sendiri. Usaha untuk mengekang protes rakyat lantaran ekonomi yang lembap dan korupsi kerajaan yang berleluasa dilakukan serentak dengan agenda agresif yang mencabul hak asasi manusia. Agenda mereka, yang diketengahkan oleh Presiden Xi Jinping dan Vladimir Putin sewaktu persidangan forum multinasional, telah disertai kerjasama yang dibina berserta kerajaan-kerajaan lain yang juga represif. Strategi China dan Rusia bagi mengelakkan kebangkitan rakyat mereka telah menarik minat pemimpin populis Barat serta autokrat di serata dunia.

Pengunduran banyak negara dunia yang sepatutnya memperjuangkan hak asasi telah membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin kejam dan konco-konco mereka untuk membunuh manusia sewenang-wenangnya. Kekejaman dahsyat yang berlaku tanpa belas ihsan semakin berleluasa di Yaman, Syria, Burma, dan Sudan Selatan. Standard antarabangsa yang dirangka agar tidak berlaku lagi kezaliman dan kekejaman yang tidak terbayang dek manusia, malah, institusi kehakiman yang baru dibangunkan seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut dicabar kewibawaannya.

Namun, di sebalik ketidakpedulian terhadap hak manusia yang teraniaya ini, sebilangan negara kecil dan sederhana telah berani bangkit untuk memperjuangkan hak asasi manusia. Dengan pembentukan perikatan kerjasama yang luas sesama mereka, negara-negara berkenaan memperlihatkan kemampuan mereka untuk memberi tekanan serius bagi membela hak asasi manusia. Dalam beberapa situasi, mereka turut disokong oleh rakyat yang semakin responsif. Walaupun kehadiran negara-negara kecil ini belum mampu menggantikan kuasa-kuasa besar yang menjauhkan diri, kebangkitan mereka ini membuktikan perjuangan bagi membela hak asasi manusia masih hidup dan belum terkubur.
 

Respons Terhadap Populisme

Isu-isu yang mencetuskan aliran populisme di banyak negara dunia bukanlah perkara kecil atau dibuat-buat: keadaan ekonomi yang tidak adil dan tidak sama rata akibat globalisasi, automasi dan pembaharuan teknologi; perubahan budaya rentetan kemasukan warga luar disebabkan perang, ekoran transportasi dan komunikasi terkini yang memudahkan kemasukan mereka ini, rejim yang represif, kemiskinan dan perubahan iklim; perpecahan masyarakat antara elit kosmopolitan yang memanfaatkan perubahan budaya tersebut, dengan golongan lain yang merasakan hidup mereka semakin kacau serta tidak menentu lantaran kehadiran orang asing; ditambah lagi dengan suara-suara yang tidak pernah putus menakutkan orang ramai dengan ancaman serangan pengganas; dilakukan oleh pemimpin demagog yang gemar mengapi-apikan xenofobia dan Islamofobia.

Pastinya, bukan mudah menangani isu-isu ini, tetapi puak populis lebih gemar memberikan respons yang menyalahkan minoriti yang lemah dan segmen masyarakat yang tersisih berbanding respons yang lebih jujur bagi menemukan jalan penyelesaian. Lantaran itu, nilai-nilai inklusif, toleransi dan saling menghormati yang sekian lama menjadi teras nilai manusia sejagat digasak habis-habisan. Bahkan, terdapat beberapa individu populis yang mendapat keseronokan apabila melanggar batas-batas nilai ihsan. Mereka ini menginterpretasikan kehendak majoriti selari dengan kehendak peribadi, sekali gus puak populis ini cuba menjatuhkan nilai-nilai demokrasi—yakni, sebuah kerajaan yang walaupun dipilih rakyat sekalipun masih tunduk akan nilai hak asasi dan kedaulatan undang-undang—lalu puak ini menggantikan nilai-nilai ini dengan haluan majoritisme tanpa batas.

Penentangan terhadap kerakusan populis bukan setakat mengatasi pencabulan hak asasi yang telah berlaku, malah turut memerlukan setiap pihak bangun menguar-uarkan kebenaran berasaskan prinsip hak asasi manusia yang telah ditolak oleh pihak populis. Ia memerlukan setiap pihak menguar-uarkan peri pentingnya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada kehendak rakyat, bukan kerajaan yang dibina daripada sekelompok pegawai atasan yang kaya dan berkuasa. Ia memerlukan setiap pihak sedar bahawa hak asasi setiap rakyat tidak akan selamat sekiranya kerajaan hanya memilih pegawai yang bersikap selektif dan tidak adil. Ia memerlukan setiap rakyat tahu bahawa hak asasi bukan hanya untuk golongan rentan, lemah dan pembangkang kerajaan semata-mata, kerana warga marhaen lain juga bergantung pada nilai hak asasi mereka.

Kesanggupan pemimpin demokratik dunia untuk memperjuangkan hak asasi dan bangkit menentang puak populis telah berubah. Setahun yang lalu, sewaktu puak populis mengapi-apikan semangat majoritisme di seluruh dunia, tidak ramai yang berani menentang secara terang-terangan. Namun, dalam tahun kebelakangan ini, perubahan ketara telah mula disaksikan.
 

Membela Hak

Perancis

Perancis merupakan negara yang paling berani dalam perjuangan ini. Di negara-negara Eropah lain—terutamanya di Austria dan Belanda—ahli politik haluan tengah (centrist) dan tengah-kanan (center-right) bersaing dengan puak populis dengan berpegang pada prinsip nativisme atau keperibumian. Awalnya, tujuan mereka hanyalah untuk mencantas populariti puak populis, tetapi taktik ini berkesudahan menyebabkan mesej populis lebih kuat.

Emmanuel Macron mengambil pendekatan berbeza sewaktu kempen pemilihan presiden. Beliau secara terang-terangan telah menguar-uarkan prinsip demokratik, sekali gus menolak usaha populis yang menanam bibit benci terhadap umat Islam dan pendatang luar. Kemenangan beliau serta kejayaan parti beliau dalam pilihan raya parlimen Perancis membuktikan pengundi rata-rata menolak dasar parti National Front yang cuba memecah-belahkan rakyat.

Masih belum pasti hala tuju pemerintahan Perancis di bawah Macron. Langkah awalnya untuk mengekalkan banyak aspek undang-undang darurat Perancis agak menggusarkan. Tetapi, dari segi dasar luar negara, Macron telah menunjukkan kepimpinannya yang mantap terhadap pemerintahan autokratik di Rusia, Turki dan  Venezuela, di samping kesungguhannya untuk menyokong tindakan Kesatuan Eropah (EU) secara kolektif yang menentang dasar Poland dan Hungary kerana menyerang hak asasi manusia. Namun, beliau dilihat belum bersedia memperjuangkan pencabulan hak asasi yang berleluasa di China, Mesir dan Arab Saudi. Walaupun rekod pencapaian Macron masih belum jelas, kempen beliau menunjukkan betapa perjuangan bagi membela prinsip demokrasi telah menarik sokongan ramai rakyat Perancis.
 

Amerika Syarikat

Sebagai reaksi terhadap pemilihan Donald Trump, Amerika Syarikat (AS) telah menyaksikan keteguhan pembelaan hak asasi daripada pelbagai latar masyarakat. Trump menang dalam kempennya yang sarat dengan unsur benci terhadap migran Mexico, pelarian umat Islam dan minoriti etnik dan kaum lain, termasuklah penghinaan Trump terhadap wanita. Berlatarkan semua ini, respons yang paling tegar menentang Trump terbit daripada golongan sivik, wartawan, peguam, hakim dan ramai orang awam. Hatta ahli parti Trump yang menang sekalipun turut bangun melaungkan respons mereka menentang dasar Trump.

Akan tetapi, Trump masih meneruskan tindakan regresif menerusi badan eksekutif. Beliau mendeportasi ramai orang tanpa menghiraukan pertalian mereka dengan AS, menghidupkan kembali dasar penghukuman beramai-ramai ke atas pesalah jenayah secara kejam, mengetepikan pemantauan terhadap kekejaman pihak polis dan menyekat pembiayaan global bagi kesihatan reproduktif wanita.

Namun, penentangan terhadap Trump sedikit sebanyak berjaya mengekang mudarat yang lebih besar rentetan dasar Trump, termasuklah dasar diskriminasi terhadap umat Islam yang cuba menziarah atau mendapatkan suaka politik di Amerika Syarikat, menghalang dasar penjagaan kesihatan di AS, membuang warga transgender daripada pasukan tentera dan dalam beberapa kes, mendeportasi imigran yang telah lama menetap di AS.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson secara umumnya menolak nilai hak asasi dalam dasar luar negara AS, sebaliknya merombak Jabatan Negara AS dan mengurangkan peranan AS di luar negara, yakni tindakan yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Beliau enggan mengisi jawatan kanan, membuang kerja beberapa diplomat veteran, memotong bajet dan membiarkan jabatan negara tanpa hala tuju. Ramai diplomat dan pegawai barisan tengah meletak jawatan dalam keadaan cukup kecewa.

Namun demikian, pada ketika Trump terus melantik seorang demi seorang autokrat pilihannya, segelintir pegawai daripada Jabatan Negara yang masih tinggal dengan berani mengambil tindakan yang perlu agar hak asasi manusia yang telah menjadi dasar luar negara AS selama empat dekad tidak terkubur selama-lamanya. Tindakan mereka adakalanya mendapat sokongan Kongres. Mereka memastikan Washington masih tegar mempertahankan hak asasi, sebagai contoh, apabila mereka mengeluarkan ancaman hukuman kepada pegawai tentera Burma yang memerintahkan pembunuhan kejam minoriti Rohingya.
 

Jerman

Jerman mencatat sejarah pada tahun lepas apabila parti Alternative for Germany (AfD) menjadi parti pelampau haluan kanan yang pertama kali terpilih ke parlimen dalam tempoh berpuluh tahun. Kemaraan AfD dalam perikatan pemerintah yang turut dianggotai parti Canselor Angela Merkel iaitu Christian Democratic Union (CDU) telah menyukarkan tugasnya untuk membentuk sebuah perikatan pemerintahan yang baharu. Kecenderungan Merkel untuk menyelesaikan permasalahan dalaman negara dan keputusannya yang berani untuk menerima kemasukan pelarian dalam jumlah yang besar pada tahun 2015 terpaksa dipertahankannya bertubi-tubi; ironinya, ia telah menyebabkan Eropah kehilangan satu suara yang cukup lantang dan berani untuk mempertahankan hak orang pelarian dan migran—yakni isu yang paling hangat diperdebatkan di benua Eropah hari ini. Ini juga menyaksikan Macron kehilangan rakan seperjuangan dari Eropah yang berani menentang populisme autoritarian.

Namun, pilihan raya Jerman ini mempunyai pengajarannya sendiri tentang cara menangani puak pelampau haluan kanan. Selain daerah timur Jerman yang bermasalah dari segi ekonomi, di samping isu perkauman dan xenofobia yang berleluasa yang tidak diselesaikan sejak jatuhnya Tembok Berlin, AfD mendapat undi terbanyak di kawasan Bavaria yang kaya. Bavaria diperintah oleh parti gandingan Merkel, Christian Social Union yang lebih mengamalkan dasar nativisme AfD berbanding parti Merkel, CDU. Ini menunjukkan betapa kaedah konfrontasi yang berhemah adalah respons yang lebih efektif berbanding kaedah mengikut-ikut cara orang lain.
 

Poland dan Hungary

Eropah Tengah telah menjadi tapak subur bagi puak populis ekoran beberapa pemimpin yang memanfaatkan ketakutan rakyat terhadap kemasukan orang luar, seperti yang disaksikan di negara lain di Eropah. Puak populis memanipulasi ketakutan ini untuk kepentingan mereka dengan menjatuhkan sistem keadilan di negara sendiri.

Di Poland, rentetan protes rakyat besar-besaran dan kritikan lantang dari pelbagai negara dunia, termasuk daripada institusi EU, Presiden Andrzej Duda telah menggunakan kuasa veto ke atas percubaan awal kerajaan Poland untuk menyerang kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang, walaupun penyelesaian alternatif yang diusulkan belum cukup sempurna.

Di Hungary pula, ancaman tindakan undang-undang oleh EU—di samping pengutukan antarabangsa, termasuk dari AS—menghambat pelan kerajaan Hungary untuk menutup Central European University, sedangkan universiti tersebut merupakan lambang kebebasan berfikir yang lantang membangkang dasar “demokrasi tidak liberal” yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Viktor Orban. Dalam kes Poland, sekurang-kurangnya sudah tercetus kesedaran dalam kalangan institusi EU dan negara-negara anggota EU bahawa ancaman terhadap pemerintahan berdemokrasi berisiko mengancam kewujudan EU sendiri. Sementara itu, memandangkan kedudukan Poland dan Hungary yang merupakan penerima dana terbesar daripada EU, beberapa dialog telah bermula bagi membincangkan sama ada penerima dana wajar mempertahankan nilai teras EU.
 

Venezuela

Di benua Amerika Latin, Presiden Nicolás Maduro, dengan bertopengkan laungan mahu membela hak orang tertindas dan puak imperialis, terus menghakis teras demokrasi dan ekonomi negaranya. Malah, corak pemerintahannya yang bertambah kejam dan autokratik turut memperlihatkan pengurusan ekonomi yang penuh korupsi dan tidak cekap. Negara yang sepatutnya kaya ini diperkotak-katikkan sehingga rakyatnya terpaksa menagih makanan dan ubatan lantaran inflasi yang melambung tinggi, walhal Venezuela mempunyai takungan minyak yang sangat kaya.

Rakyat melakukan protes jalanan beramai-ramai. Beberapa pegawai atasan meninggalkan kerajaan Maduro. Negara-negara Amerika Latin yang lain sama-sama melontarkan kritikan terhadap rejim Maduro yang represif sedangkan secara tradisinya, mereka belum pernah mengkritik negara jiran. Negara lain turut mengutuk Venezuela, termasuklah EU.

Namun begitu, Maduro masih dapat bertahan kerana tindakan represif ganas yang sanggup dilakukannya. Dengan mengambil kesempatan terhadap Mahkamah Agung yang akur padanya dan Perhimpunan Konstituen Negara yang diciptanya, Maduro mengambil alih kuasa legislatif daripada Perhimpunan Nasional yang majoritinya pembangkang, lalu memburu habis-habisan semua pihak yang membangkangnya. Dengan situasi rakyat yang semakin parah dilanda kemiskinan dan kesengsaraan, dunia akan menyaksikan berapa lama lagi Maduro dapat bertahan.
 

Perjuangan yang Wajar Disokong

Penentangan terhadap puak populis belum tentu akan berjaya. Sebaik sahaja memegang tampuk kuasa, pemimpin populis akan memanfaatkan kuasa mereka untuk kepentingan sendiri. Namun, setiap kes penentangan yang disaksikan ini membuktikan perjuangan mempertahankan hak asasi masih belum padam, dan ramai insan tidak akan berdiam diri melihat puak autokrat menyerang hak asasi dan kebebasan asas setiap manusia.
 

Populis dan Autoktrat Menyelusup Bila Tiada Penentangan

Perkara sebaliknya berlaku apabila populis dan puak antihak asasi bermaharajalela apabila berjaya menghancurkan kebangkitan suara penentangan dan badan dunia pula berdiam diri tidak bersuara. Sebagai contoh, Presiden Recep Tayyip Erdoğan mencabul sistem demokratik Turki secara impuniti (kebal undang-undang) apatah lagi kerana EU terpaksa meminta bantuan Erdoğan untuk menyekat kemasukan pelarian ke Eropah. Presiden  Abdel Fattah al-Sisi di Mesir pula mematahkan bantahan orang ramai tanpa sebarang soal daripada pihak AS atau EU. Mereka menerima alasannya kononnya tindakannya wajar bagi melawan terorisme dan memastikan kestabilan, walhal tindakan Abdel Fattah al-Sisi yang rakus mematahkan sebarang bantahan dalam proses politik di Mesir adalah tepat seperti yang dikehendaki pihak militan Islam.

Sementara itu, lampu hijau daripada rakan negara Barat membolehkan tengku mahkota Arab Saudi yang baru dilantik, Mohamed bin Salman mengarahkan perikatan negara-negara Arab untuk memerangi pemberontak Houthi dan rakan sekutu mereka di Yaman sehingga mengakibatkan rakyat Yaman dibom dan disekat kemasukan makanan, sekali gus telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang paling besar di dunia. Ditambah pula dengan kebimbangan tentang kemasukan pelarian bot menerusi Libya yang menyebabkan EU—khususnya Itali—melatih, membiayai dan mengajar pengawal perairan Libya melakukan apa yang sepatutnya haram dilakukan oleh mana-mana kapal Eropah, iaitu memaksa migran dan pelarian terdesak pulang semula ke negara mereka yang sudah menjadi neraka lantaran krisis buruh paksa, rogol dan kekejaman yang amat zalim terhadap mereka.

Dalam pada itu, usaha Putin untuk mematahkan bantahan terhadap pemerintahannya yang sudah terlalu lama tidak ditentang oleh negara-negara asing yang lebih memfokuskan tindak-tanduk Putin di Ukraine dan Syria, berbanding apa yang dilakukan Putin di negaranya sendiri. Begitu juga dengan Xi Jinping yang langsung tidak ditentang walaupun beliau melakukan keganasan yang paling dahsyat sejak gerakan demokrasi di Dataran Tiananmen pada 1989, terhadap sesiapa sahaja yang berani menentang rejimnya. Ini kerana negara lain takut menjejaskan peluang dagangan dan kontrak perdagangan dengan China sehingga langsung tidak berani mempertahankan hak rakyat China yang tertindas.  

Jelaslah, apabila tiada penentangan daripada badan dunia yang mengecam kelakuan sesebuah kerajaan terhadap rakyatnya, kerajaan tersebut akan bertambah represif lalu semakin berani memanipulasikan dan menghalang institusi antarabangsa daripada membela hak rakyat yang teraniaya.

China telah menahan warganya yang cuba mendapatkan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran pencabulan hak mereka. Rusia sudah menjatuhkan tidak kurang daripada 11 bantahan veto bagi menghalang sebarang usaha Majlis Keselamatan PBB daripada membawa kerajaan Syria yang telah melakukan jenayah perang yang paling kejam ke muka pengadilan. Rusia mengancam akan mengundurkan diri daripada sebuah badan hak asasi Eropah yang penting sekiranya badan tersebut tidak menarik balik sekatan terhadap Rusia kerana menyerang Crimea. Azerbaijan pula menyuap rasuah kepada beberapa anggota badan tersebut, sementara Turki mengancam akan menarik balik sumbangan dana daripada badan yang sama. Burundi pula telah mengugut badan penyiasat PBB dengan tindakan serang balas.
 

Burma dan Orang Rohingya

Kekejaman yang paling zalim akibat keengganan menentang tindak-tanduk pemimpin populis ini adalah paling ketara di Burma. Retorik nasionalis yang biadap dan kejam oleh sami Buddha yang ekstremis, pegawai kanan tentera Burma dan ahli kerajaan yang terdiri daripada warga sivil sendiri telah mengapi-apikan kempen pembantaian beramai-ramai warga Rohingya hanya kerana satu insiden serangan di sebuah balai kawalan Burma. Pembunuhan kejam yang paling dahsyat dan ganas, rogol beramai-ramai dan membakar sekurang-kurangnya 340 kampung angkara tentera Burma telah menyebabkan lebih 640,000 pelarian Rohingya terpaksa lari menyelamatkan diri ke Bangladesh. Jenayah kejam ini masih berterusan sedangkan komuniti antarabangsa telah memeterai janji suatu ketika dulu tidak akan membenarkan perkara seperti ini berlaku lagi.

Namun demikian, negara-negara Barat yang sekian lama mempamerkan minat terhadap perkembangan Burma langsung tidak berminat untuk bertindak. Hatta sekatan berbentuk kewangan dan sekatan mobiliti ke atas pegawai tentera Burma yang bertanggungjawab atas segala jenayah kemanusiaan sekalipun langsung tidak dikenakan. Keengganan ini antara lain ekoran persaingan geopolitik Barat dengan China yang memerlukan sokongan kerajaan Burma.

Faktor lain yang turut memainkan peranan dalam perlakuan jenayah kemanusiaan terhadap etnik Rohingya ini ialah Aung San Suu Kyi, pemimpin de facto Burma yang tidak mahu bertindak atau mengambil sebarang tindakan untuk menangani kekejaman tersebut, walaupun beliau tidak mempunyai kuasa penuh ke atas tentera.  Beliau tidak pernah menunjukkan walaupun sedikit keinginan untuk membela hak minoriti yang tidak popular di Burma hanya kerana tidak mahu kehilangan sokongan politik. Lantaran itu, pembantaian beramai-ramai warga Rohingya adalah kekejaman yang paling ganas dan zalim yang pernah disaksikan yang telah menyebabkan pelarian yang paling ramai dalam tempoh paling pantas sejak genosid Rwanda. Sehingga kini, belum ada harapan bagi orang Rohingya pulang dengan selamat; malah, harapan untuk membawa pihak penjenayah kemanusiaan ini ke muka pengadilan juga belum pasti.

Akhirnya, negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) memohon sesi khas dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang menyaksikan mereka menyokong resolusi bagi mengutuk jenayah kemanusiaan Burma. Usaha ini harus dipuji kerana menampakkan percubaan yang jarang-jarang sekali diambil oleh anggota OIC iaitu mengetengahkan sebuah resolusi untuk mengutuk sebuah negara.
 

Penentangan Boleh Membawa Perubahan
 

Afrika dan ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa)

Antara respons yang paling memberangsangkan bagi menentang autokrat yang mencabul hak asasi setakat ini berlaku di Afrika. Tahun lepas menyaksikan kejatuhan dua pemimpin kuku besi Afrika. Presiden Yahya Jammeh dari Gambia begitu sukar melepaskan jawatannya setelah kalah dalam pilihan raya bebas dan adil kepada Adama Barrow. Beliau akhirnya digertak oleh askar-askar Afrika Barat dan akhirnya bersetuju melucutkan jawatannya.

Presiden Robert Mugabe dari Zimbabwe pula dikalahkan dalam rampasan kuasa dan diambil alih oleh mantan timbalannya, Emmerson Mnangagwa, yang juga mempunyai rekod keganasannya sendiri. Kedua-dua negara ini menyaksikan protes besar-besaran yang menuntut kedua-dua pemimpin kuku besi itu melucutkan jawatan mereka.

Namun, pembelaan hak asasi di Afrika jelas dan paling ketara apabila puak populis menyerang sistem keadilan antarabangsa. Hanya setahun yang lalu, ramai pemimpin Afrika, sesetengahnya penjenayah yang pernah membunuh, takut didakwa di mahkamah tersebut lantas merancang untuk mengundurkan keanggotaan mereka daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara beramai-ramai. Dengan menggunakan retorik populis yang menuduh ICC sebagai badan neo-kolonialisme, mereka cuba menampakkan bahawa ICC bersikap anti-Afrika atas alasan ICC hanya menumpukan perhatian untuk menghukum pemimpin Afrika dan mahu menjatuhkan hukuman terhadap jenayah yang dilakukan terhadap warga Afrika semata-mata. (Pengaruh ICC juga terbatas kerana keengganan beberapa kerajaan Afrika meratifikasikan warta ICC, dan juga kerana Majlis Keselamatan PBB tidak bersungguh-sungguh membawa negara dunia lain ke muka pengadilan menerusi penyiasatan jenayah kemanusiaan mereka).

Akan tetapi, pengunduran beramai-ramai yang dirancang tersebut gagal apabila hanya Burundi yang berundur, bahkan pengunduran ini berlaku hanya kerana kerajaan Burundi takut disiasat berkaitan jenayah kemanusiaan yang dilakukan di bawah Pierre Nkurunziza yang melanjutkan tempoh pemerintahannya sebagai presiden menerusi taktik ganas. Gambia menarik balik pengumuman pengundurannya setelah Presiden Barrow menjadi presiden. Mahkamah Afrika Selatan cuba menyekat, untuk sementara waktu, percubaan Presiden Jacob Zuma untuk membuat pengunduran daripada ICC selepas beliau malu kerana melanggar perintah mahkamah yang melarang Presiden Sudan, Omar al-Bashir yang berdepan waran tangkap ICC daripada lari meninggalkan Afrika Selatan sewaktu membuat kunjungan ke negara itu.   

Dalam pada itu, sokongan popular yang begitu memberangsangkan untuk ICC daripada pelbagai golongan sivik di serata Afrika berjaya meyakinkan kebanyakan kerajaan di Afrika agar kekal menyokong ICC. Bahkan, pendakwa ICC turut membuat permohonan kepada ICC untuk membenarkan pihaknya menyiasat jenayah yang dilakukan di Afghanistan, termasuk penderaan kejam yang dilakukan oleh askar Amerika Syarikat dan agen perisikan AS yang masih belum berdepan sebarang tindakan undang-undang.
 

Negara Kecil Memainkan Peranan Besar

Tahun lepas menyaksikan iltizam dan kesungguhan daripada beberapa negara kecil dan sederhana yang berani mengetengahkan kepimpinan mereka ketika kuasa-kuasa besar dunia tidak bersuara sedangkan dunia melihat kekejaman yang amat dahsyat dilakukan. Hatta, tiada satu pun kuasa besar dunia yang cuba menghukum pelaku jenayah kekejaman tersebut.

Ini bukanlah kali pertama negara-negara kecil bangkit bersama-sama dalam perjuangan membela hak asasi manusia. Malah, ICC, Perjanjian Pengharaman Ranjau Letupan Darat, Konvensyen Terhadap Senjata Kluster, Protokol Opsyen bagi Askar Kanak-Kanak, dan Konvensyen Antarabangsa Menentang Kehilangan Orang yang Dikuatkuasakan semuanya terbentuk hasil gandingan negara kecil dan sederhana di peringkat global yang bangkit bertindak walaupun tanpa sebarangan sokongan daripada kuasa besar. Kesungguhan yang diperlihatkan oleh suara-suara alternatif ini untuk mara ke barisan depan tatkala tiada kuasa besar di sisi telah meninggalkan kesan yang amat penting, khususnya pada tahun lepas ketika kuasa-kuasa besar dunia langsung tidak menghiraukan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku sewenang-wenangnya, juga tiada langsung yang bersuara tentangnya.
 

Yaman

Usaha Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk membuka kes siasatan bebas antarabangsa terhadap perlakuan jenayah kekejaman di Yaman adalah contoh yang cukup baik. Gandingan negara-negara Arab yang diarah oleh Arab Saudi untuk menyerang Yaman telah membinasakan hidup rakyat awam Yaman; mereka melancarkan serangan udara di kawasan kediaman, pasar dan hospital, menyekat bantuan kemanusiaan dan bahan keperluan yang amat diperlukan. Rentetan itu, 7 juta orang telah kebuluran dan Yaman terpaksa berdepan hampir 1 juta kes disyaki kolera.

Pemberontak Houthi dan rakan sekutunya turut menyerang balas menggunakan taktik ranjau letupan darat, mengerahkan askar-askar kanak-kanak dan menyekat bantuan kemanusiaan. Walaupun  keadaan begitu darurat, usul siasatan terhadap kekejaman Arab Saudi tidak sedikit pun mendapat sokongan padu daripada Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis, yang semuanya merupakan penjual senjata api kepada Arab Saudi. Tidak ada satu pun kuasa besar yang bangkit lantang dan berpendirian teguh terhadap Arab Saudi. Dalam kelompongan itu, Belanda ialah negara pertama yang berani mempertahankan hak asasi manusia, dengan kemudiannya disusuli oleh Kanada, Belgium, Ireland, dan Luxembourg.

Namun ini bukanlah tugas mudah. Arab Saudi mengancam akan memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan mana-mana negara yang menyokong siasatan terhadapnya. Akan tetapi, apabila ugutan Arab Saudi dan kekejamannya selaku negara kaya yang bertindak sesuka hati dapat didedahkan, Arab Saudi terpaksa akur dengan siasatan PBB terhadapnya apabila sudah jelas Arab Saudi akan dikalahkan dalam undian terhadapnya. Kini, yang diharapkan adalah, kehadiran pegawai penyiasat antarabangsa di Yaman akan memaksa perubahan perilaku oleh setiap pihak terbabit.
 

Syria

Dalam kes Syria, kuasa veto dan ugutan veto yang berulang kali digunakan oleh Rusia dalam Majlis Keselamatan PBB, malah, adakalanya turut disertai oleh China, telah menyekat satu-satunya jalan bagi membolehkan ICC masuk campur dalam perlakuan jenayah di Syria. Walaupun usaha sedang giat dilakukan di peringkat antarabangsa bagi menghalang penggunaan veto dalam situasi kekejaman; Rusia, China, malah Amerika Syarikat sekalipun, masih belum mahu menandatangani inisiatif ini.

Bagi mengatasi jalan buntu ini, sebuah usul telah diajukan kepada Perhimpunan Agung PBB untuk mengetepikan sistem veto Majlis Keselamatan agar tiada sebuah negara pun yang diberikan kuasa veto. Usaha untuk mengangkat usul ini datang daripada negara kecil, Liechtenstein yang berjaya membentuk gandingan beberapa kerajaan sehaluan dengannya. Dengan sokongan mereka, Perhimpunan Agung memperoleh 105 undi dengan hanya 15 bantahan bagi mewujudkan suatu mekanisme untuk mengumpulkan bukti dan membuka kes pendakwaan sebaik sahaja jalan terbuka untuk memperoleh bukti tersebut—satu komitmen penting bagi memastikan keadilan tercapai. Usaha ini turut membuka ruang kepada pewujudan tribunal khas untuk menyiasat Syria jika Rusia sekali lagi menyekat jalan menuntut keadilan di ICC.

Peri pentingnya kebertanggungjawaban ini amat ketara daripada tindakan Syria yang masih menggunakan agen pembunuh saraf yang telah diharamkan; contohnya, sarin sebagai senjata kimia walhal Syria sepatutnya telah menghapuskan semua senjata kimia ekoran serangan sarin yang dahsyat pada bulan Ogos 2013 di Ghouta Timur. Rusia membuat helah bagi pihak Syria pada bulan April 2017 setelah serangan sarin di pekan Khan Sheikhoun di barat laut Syria—kononnya sebutir bom biasa milik Syria terkena kotak sarin milik puak pemberontak lalu meletup—tetapi teori itu terbukti bohong. Susulan itu, Rusia bertindak balas dengan menggunakan veto bagi menghalang siasatan PBB ke atas Syria. Yang jelas kini, apabila sesebuah negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB sanggup menggunakan kuasa vetonya untuk mengaburi kekejaman rakan sekutunya—dalam hal ini, Rusia turut menyediakan sokongan ketenteraan—tentulah masanya sudah tiba untuk dunia merintis jalan alternatif bagi membela hak manusia yang paling asas.
 

Filipina

Filipina adalah antara negara populis yang paling kejam dan ganas dalam pencabulan hak asasi manusia. Seperti yang dilakukannya sewaktu menyandang jawatan datuk bandar Davao City, sebaik sahaja bergelar presiden, Rodrigo Duterte telah memberi lampu hijau kepada polis untuk membunuh sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan dadah. Ekoran itu, epidemik pembunuhan oleh pihak polis, yang kerap kali dihebahkan sebagai adegan “tembak menembak,” tetapi realitinya mereka dibunuh tanpa alasan kukuh, telah mengakibatkan lebih 12,000 orang mati dibunuh oleh polis dalam tempoh hanya satu tahun setengah, iaitu sejak Duterte bergelar Presiden. Kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan lelaki muda dari kawasan miskin di bandar-bandar besar—iaitu golongan masyarakat yang tidak mendapat simpati warga Filipina.

Sementara itu, perbalahan sempadan perairan antara China, Amerika Syarikat, dan Filipina di Laut Cina Selatan menyebabkan tiada siapa yang menghiraukan pembunuhan kejam rakyat Filipina ini. Apatah lagi dengan Donald Trump yang memuji Duterte yang digambarkannya sebagai “orang kuat.”

Sebaliknya, tekanan penting agar menghentikan pembunuhan di Filipina ini datang daripada sekelompok negara kecil yang diterajui Iceland. Gandingan yang dipimpin Iceland ini membuat kenyataan rasmi di Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Duterte cuba memperlekeh kelompok kecil ini dengan menggelarkan mereka “orang lembik” tapi akhirnya beliau terpaksa tunduk atas tekanan PBB dan bersetuju memindahkan kuasa memerangi dadah kepada sebuah agensi khas, dan tidak lagi di bawah pihak polis yang cenderung membunuh. Setelah pihak polis ditarik balik daripada operasi antidadah dan agensi yang lebih sensitif undang-undang ini yang mengambil alih operasi tersebut, bilangan pembunuhan berkaitan dadah telah jatuh mendadak.
 

Hak Asasi Wanita

Segelintir puak populis hari ini mempamerkan sikap misoginis. Sepanjang tahun lalu, Rusia menukar status beberapa jenayah keganasan rumah tangga kepada bukan jenayah. Poland yang selama ini mengamalkan antara undang-undang pengguguran yang paling ketat dan restriktif di Eropah kini mengehadkan akses kepada kontrasepsi kecemasan.

Di bawah Trump, kerajaan AS memperkenalkan semula peraturan berkenaan pengguguran atau “Global Gag Rule” yang menyebabkan pembiayaan dana bagi penjagaan kesihatan teras untuk wanita dan anak gadis di luar negara banyak dikurangkan.

Namun begitu, suara-suara bantahan masih bangkit sebagai respons. Perarakan Wanita, atau Women’s March yang pada awalnya bermula sebagai respons Amerika terhadap pemilihan Trump sebagai presiden telah berubah kepada fenomena global yang menyaksikan berjuta-juta orang berpadu suara untuk menyokong hak asasi wanita.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggelarkan diri mereka feminis—Kanada menanam matlamat agar semua program bantuan daripada negaranya adalah berteraskan kesamarataan gender, sementara Perancis pula mengumumkan dasar-dasar baharu untuk mengatasi keganasan dan gangguan seksual berasaskan gender. Kerajaan Belanda, Belgium dan Scandinavia turut menyertai usaha bagi mewujudkan dana hak reproduktif antarabangsa bagi menggantikan pendanaan AS yang ditarik balik ekoran kempen “Global Gag Rule.” Sementara itu, Sweden melaksanakan “dasar luar negara feminis” yang memprioritikan hak wanita dan anak gadis di negara-negara seperti Arab Saudi. 

Sebagai respons sokongan bagi kempen-kempen yang dianjurkan oleh aktivis hak wanita, tiga negara Timur Tengah dan Afrika Utara—Tunisia, Jordan, dan Lebanon—telah memansuhkan peruntukan dalam kanun keseksaan masing-masing yang membenarkan perogol mengahwini mangsa rogol untuk mengelakkan hukuman jenayah.
 

Hak LGBT

Minoriti seksual dan gender kerap menjadi sasaran sesebuah kerajaan yang cuba menarik sokongan pengundi yang konservatif, sebagai kaedah mengaburi mata rakyat daripada kegagalan kerajaan. Samalah halnya, sama ada Putin di Rusia, al-Sisi di Mesir, atau Mugabe di Zimbabwe, semua pemimpin ini mencetuskan kepanikan moral terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan rakyat demi kepentingan politik mereka sendiri. Polis di Indonesia, Tanzania, dan Azerbaijan telah menjadikan warga LGBT sebagai sasaran mereka dan memperlakukan mereka sewenang-wenangnya di tempat awam mahupun di lokasi milik peribadi.

Apa pun, penganiayaan yang semakin membimbangkan terhadap nasib golongan LGBT ialah petanda bahawa kerajaan terbabit gagal merealisasikan tuntutan rakyat. Namun, tanggapan bahawa penindasan ke atas golongan LGBT lambat-laun akan diterima rakyat adalah tidak benar.

Kebanyakan negara Amerika Latin telah menerima sepenuhnya hak warga LGBT dan berpendirian pro-LGBT di forum-forum antarabangsa, seiring dengan Jepun dan banyak negara lain di Amerika Utara dan Eropah. Selain itu, Mozambique, Belize, Nauru dan Seychelles dalam tahun-tahun belakangan ini telah menarik balik status jenayah melibatkan seks sejenis.

Kebangkitan mempertahankan hak LGBT ini turut berlaku di Rusia. Penahanan, pembantaian, kehilangan yang dikuatkuasakan dan pembunuhan lelaki homoseksual di bawah pemerintahan Presiden Chechnya, Ramzan Kadyrov mencetuskan kemarahan orang ramai yang begitu serius sehinggakan Putin terpaksa masuk campur dan mencantas perbuatan rakan sekutunya yang zalim itu. Respons orang ramai inilah yang berjaya menamatkan pembantaian di selatan Rusia ini. Walau bagaimanapun, di beberapa negara, adakalanya prioriti lain lebih penting berbanding perjuangan menegakkan hak asasi, seperti yang disaksikan di Mesir. Tindakan zalim kerajaan Mesir terhadap warga LGBT tidak ditentang oleh beberapa pihak yang takut rakan sekutu mereka ini tidak akan bersama-sama membanteras terorisme.
 

Masa untuk Bertindak, Bukan untuk Beralah

Hikmah penting sepanjang tahun lalu antara lain adalah, walaupun berdepan pelbagai rintangan sekalipun, pembelaan hak asasi manusia masih dapat dilakukan jika tindakan yang betul diambil. Puak populis hanya pandai memberikan jawapan remeh kepada masalah rumit. Namun begitu, warga marhaen daripada pelbagai latar belakang apabila diingatkan bahawa hak asasi manusia tidak boleh dipandang ringan akan sama-sama menolak laungan populisme yang hanya tahu mempersalahkan minoriti yang tidak popular. Orang ramai juga akan tersedar bahawa puak populis sebenarnya mahu mengaburi mata mereka daripada salah guna kerajaan.

Orientasi kuasa-kuasa Barat yang beralih kepada isu dalam negara lantaran cabaran populisme telah menyebabkan situasi dunia semakin kucar-kacir. Pembantaian dan pembunuhan kejam beramai-ramai dilakukan dengan pelakunya bebas tanpa hukuman. Namun, negara-negara kecil dan sederhana yang berpegang teguh pada prinsip kemanusiaan masih berupaya melakukan perubahan apabila mereka berpadu tenaga dan berganding usaha secara strategik.

Prospek global berkaitan situasi hak asasi manusia, apabila dinilai secara adil seharusnya mencetuskan kebimbangan, bukan kekecewaan—laungan untuk bertindak, bukan untuk beralah. Sedang kita membuka tirai ulangtahun Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang ke-70, cabaran yang harus diatasi adalah bagaimana untuk merebut peluang yang tinggal agar kita berani menentang puak yang cuba meruntuhkan peradaban kemanusiaan yang telah diperjuangkan dengan darah dan air mata. 

Standard hak asasi manusia merupakan panduan, tetapi hanya jaguh-jaguh daripada kalangan kerajaan dan rakyat biasa yang mampu mengangkat keberkesanan standard-standard ini. Setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing. Tahun yang baru berlalu menunjukkan betapa hak asasi manusia masih mampu dilindungi daripada dirobek oleh puak populis.

Cabaran yang perlu diharungi sekarang adalah memperkukuh benteng pertahanan dan mencantas pengaruh populis. 

Dalam Laporan Dunia edisi ke-28 setebal 643 mukasurat, Human Rights Watch melaporkan amalan hak asasi manusia di lebih 90 negara. Dalam esei perutusannya, Pengarah Eksekutif, Kenneth Roth menyebut bahawa pemimpin politik yang berani menegakkan prinsip hak asasi manusia menunjukkan agenda populis autoritarian mampu dikekang. Dengan gandingan orang awam yang lantang bersuara serta pemain multilateral yang efektif, pemimpin-pemimpin ini membuktikan bahawa kerajaan antihak asasi masih dapat dipatahkan.