Pada tahun 2017, kerajaan Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo mula menyusun langkah bagi melindungi hak sebilangan penduduk Indonesia yang paling mudah terancam. Pada bulan September, Pejabat Peguam Negara Indonesia mengumumkan bahawa ia telah membatalkan sebuah iklan kerja yang bukan sahaja mengharamkan pemohon daripada kalangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), malahan  memberi gambaran bahawa homoseksualiti ialah “penyakit mental.” Dalam pada itu, kerajaan juga menurunkan bilangan tahanan politik warga Papua, setakat satu hingga lima orang pada bulan Ogos 2017 berbanding 37 orang pada bulan Ogos 2016.

Akan tetapi, kerajaan Jokowi masih gagal menterjemahkan sokongan retorik presiden terhadap hak asasi manusia kepada inisiatif dasar kerajan yang benar-benar berfungsi. Kumpulan agama minoriti terus berdepan gangguan serangan dan intimidasi daripada pihak berkuasa kerajaan, dan ancaman keganasan daripada militan Islam. Pihak penguatkuasa masih menangkap, mendakwa dan memenjarakan penduduk di bawah undang-undang penghinaan agama yang tidak berperikemanusiaan. Tahanan politik Papua dan Maluku masih dipenjarakan kerana melakukan ekspresi aman, sementara pihak berkuasa keselamatan masih kebal dan terlepas daripada berdepan hukuman atas perlakuan kejam mereka, termasuk pembunuhan warga Papua di luar batasan undang-undang.

Pada tahun 2017, sikap kerajaan yang bersekongkol dengan jenderal dan samseng besar yang cuba menutup serta menghalang diskusi tentang pembunuhan kejam beramai-ramai tahun 1965-66 oleh pihak tentera menjadikan janji perdamaian Jokowi mengenai kekejaman dahsyat ini nampak kabur. Bahkan, Jokowi dan jenderal polis tertinggi turut mengambil pendekatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte terhadap pengguna dan pengedar dadah yang disyaki: perintah tembak sampai mati, yang telah menyaksikan lebih 12,000 pembunuhan suspek dengan tanpa alasan di negara Filipina.

Ekoran retorik anti-LGBT yang bertubi-tubi oleh kerajaan pada tahun 2016, pihak berkuasa masih menjadikan perkumpulan dan individu LGBT sebagai sasaran pada tahun 2017—suatu ancaman serius kepada privasi dan inisiatif kesihatan awam di Indonesia.
 

Kebebasan Beragama

Pada bulan Mac, mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua pemimpin kumpulan agama, Gerakan Fajar Nusantara (Gafatar) bersabit kesalahan menghina agama, iaitu pengasasnya Ahmad Moshaddeq dan presidennya Mahful Muis Tumanurung; manakala timbalan presidennya, Andry Cahya dikenakan hukuman tiga tahun penjara.

Pada 9 Mei, mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas gabenor Jakarta, Basuki “Ahok” Purnama, seorang penganut Kristian, bersabit kesalahan menghina Islam. Hukuman tersebut ekoran kumpulan militan Islam yang berhasil menjadikan pendakwaan hina agama terhadap Ahok sebagai alasan mengalahkannya dalam pilihan raya gabenor Jakarta pada bulan April 2017.

Pada 21 Ogos, Siti Aisyah, pemilik sebuah sekolah agama di Mataram, Pulau Lombok, dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan menghina agama bersabit “ajaran pelik” yang disebarkannya. Pada bulan Ogos, pemerintah wilayah di Jawa memutuskan untuk menutup dua masjid yang mengikuti jemaah Islam aliran Wahabi yang ultrakonservatif—masjid Al Arqom di Pekalongan dan masjid Ahmad bin Hanbal di Bogor—lantaran bimbang kedua-dua masjid bakal menyemarakkan “keresahan masyarakat.”

Dalam sebuah keputusan penting pada bulan November, Mahkamah Konstitusi membatalkan undang-undang yang melarang penganut agama dan kepercayaan asli nusantara untuk menyatakan agama mereka dalam kad identiti rasmi (kartu tanda penduduk). Keputusan ini dapat melindungi penganut lebih 240 agama asli di Indonesia daripada ancaman pendakwaan di bawah undang-undang penghinaan agama yang begitu kabur dan menakutkan penduduk.

Pada awal tahun 2017, Kementerian Agama mengusulkan rang undang-undang hak agama yang menguatkan lagi undang-undang bersabit kesalahan menghina agama, termasuk perintah kerajaan yang menyukarkan kumpulan minoriti agama daripada memperoleh permit untuk membina tempat ibadah. Rang undang-undang yang setakat ini belum lagi diluluskan, akan meletakkan kriteria ketat sebelum sesebuah agama diberikan pengiktirafan provinsi.
 

Kebebasan Ekspresi dan Berhimpun

Pada 5 April, Mahkamah Konstitusi memutuskan bahawa kerajaan pusat sudah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan sebarang undang-undang Syariah setempat yang telah diterima pakai di badan kerajaan wilayah di Indonesia. Keputusan ini mencabut hak kuasa Menteri Dalam Negeri untuk memansuhkan undang-undang yang mengancam hak kebebasan ekspresi dan hak berhimpun, hatta yang melanggar hak perempuan dan warga LGBT.

Pada 12 Julai, Presiden Jokowi mengeluarkan dekri bagi meminda undang-undang yang mengawal organisasi kemasyarakatan (Ormas) untuk membolehkan pihak kerajaan mempercepat pembubaran sebarang perhimpunan yang dianggap “bertentangan dengan Pancasila atau mempromosi komunisme atau menggalakkan pemisahan.” Pancasila atau “lima prinsip” ialah falsafah rasmi dan dasar negara Indonesia. Selepas beberapa hari, kerajaan menggunakan dekri tersebut lalu membubarkan Hizbut Tahrir, kumpulan Islam konservatif yang menyokong pewujudan pemerintahan khalifah berasaskan Syariah.
 

Hak Wanita dan Gadis

Menurut Komnas Perempuan, iaitu lembaga rasmi Indonesia yang menentang kekerasan ke atas perempuan, terdapat beratus-ratus peraturan di peringkat negara dan wilayah yang mendiskriminasi perempuan. Ini termasuk undang-undang wilayah yang memaksa wanita dan gadis untuk memakai jilbab (tudung kepala) di sekolah, pejabat kerajaan dan tempat awam.

Pembantu rumah wanita Indonesia yang bekerja di Timur Tengah masih terus didera oleh majikan mereka, antaranya, waktu kerja yang amat panjang, tidak dibayar gaji dan penderaan fizikal dan seksual. Larangan kerajaan yang dikeluarkan pada tahun 2015 bagi menyekat wanita Indonesia daripada bekerja sebagai pembantu rumah di Timur Tengah telah menyebabkan lebih ramai wanita yang ke luar negara mencari kerja secara tertutup, tetapi ini menyebabkan risiko mereka terdedah kepada penderaan dan eksploitasi meningkat.
 

Papua dan Papua Barat

Pada bulan Mac 2017, kerajaan Indonesia melonggarkan syarat ketat yang dikenakan ke atas pemerhati asing ke Papua, lalu membenarkan Dainius Pūras, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak kesihatan untuk melakukan kunjungan dua hari ke Papua, yakni suatu kunjungan yang jarang-jarang dibenarkan. Akan tetapi, wartawan asing yang cuba membuat laporan dari Papua terus berdepan dengan risiko serangan, intimidasi dan deportasi walaupun Jokowi telah membuat komitmen pada bulan Mei 2015 bahawa beliau akan melonggarkan sekatan ke atas Papua.

Pada bulan Mac, pihak berkuasa Indonesia mendeportasi wartawan Perancis, Jean Frank Pierre dan Basille Marie Longchamp dari Timika. Pada 11 Mei, enam wartawan Jepun ditangkap dan dideportasi semasa mereka sedang melakukan penggambaran di Wamena tanpa visa wartawan.

Pada bulan September, panel siasatan etika polis Indonesia memutuskan bahawa empat polis didapati bersalah atas “kelakuan tidak wajar” kerana melepaskan tembakan terhadap warga Papua yang sedang melakukan protes di daerah Deiyai pada 1 Ogos sehingga membunuh seorang pemuda. Mereka hanya dijatuhkan hukuman turun pangkat dan hanya perlu membuat permohonan maaf terbuka, tanpa perlu berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang.
 

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Pada 30 April, polis menyerbu perkumpulan peribadi terdiri daripada lelaki homoseksual di Surabaya lalu menangkap dan menahan 14 lelaki dan memaksa mereka menjalani ujian HIV tanpa keizinan mereka.

Pada 21 Mei, polis menyerbu kelab Atlantis di Jakarta dan menangkap 141 lelaki, lalu mendakwa 10 daripada mereka atas tuduhan mengadakan parti seks homoseksual. Pegawai penguatkuasa didakwa membariskan semua tertuduh dalam keadaan bogel di depan pihak media dan menyoal siasat mereka sedang mereka masih dalam keadaan bogel. Dakwaan ini dinafikan oleh pihak polis.

Pada 23 Mei, Aceh, iaitu satu-satunya daerah istimewa yang melaksanakan hukum Syariah di Indonesia telah menyebat dua lelaki homoseksual, masing-masing sebanyak 83 kali. Kedua-dua lelaki yang berumur 20 dan 23 tahun itu ditemui bersama di atas katil oleh vigilante pada bulan Mac, yang memasuki rumah milik mereka. Ini merupakan hukuman sebat yang pertama kali dijatuhkan ke atas lelaki homoseksual di Indonesia.

Pada 8 Jun, pihak penguatkuasa kerajaan di Medan menahan lima perempuan yang “disyaki lesbian” dan mengarahkan ibu bapa mereka untuk mengawasi mereka—lantas pihak penguatkuasa telah menyebarkan video serbuan tersebut berserta nama kelima-lima perempuan kepada pihak wartawan.

Pada 2 September, polis dan pegawai kerajaan wilayah menyerbu tanpa izin rumah kediaman 12 perempuan di Bogor, Jawa Barat atas tuduhan mereka “disyaki lesbian.” Polis merekodkan butir peribadi wanita-wanita itu dan kemudiannya mengarahkan mereka pindah keluar serta-merta dari kawasan tersebut dalam tempoh tiga hari.
 

Reformasi dan Kekebalan Tentera

Pada bulan Ogos, polis dan pegawai tentera Indonesia memaksa pembatalan bengkel awam yang membincangkan bayaran pampasan kepada mangsa pembunuhan kejam beramai-ramai pada tahun 1965-66 yang diarahkan kerajaan. Kejadian tersebut telah menyaksikan pihak tentera, militia yang didukung tentera dan vigilante membunuh kira-kira 500,000 hingga 1 juta orang. Mangsa termasuk mereka yang disyaki menganggotai Parti Komunis Indonesia (PKI), bangsa Cina, ahli kesatuan kerja, guru, aktivis dan warga seni. Pegawai keselamatan telah “menyoal siasat dan mengintimidasi” pihak penganjur atas alasan mereka tidak mempunyai permit.

Pada 16 September, pihak penguatkuasa menghalang Institut Bantuan Guaman Jakarta daripada melangsungkan seminar mengenai pembunuhan kejam beramai-ramai tersebut. Polis dan pegawai tentera mengepung kawasan terbabit lalu menghalang peserta daripada memasuki bangunan kononnya atas alasan penganjur tidak mempunyai permit untuk mengadakan perjumpaan itu.
 

Hak Kanak-Kanak

Beribu-ribu kanak masih melakukan kerja-kerja berbahaya di ladang tembakau. Kanak-kanak ini terdedah kepada nikotin, racun perosak bertoksin dan bahaya lain yang boleh meninggalkan kesan berpanjangan ke atas kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.

Kerajaan telah membuat janji akan membasmi buruh kanak-kanak menjelang tahun 2022. Ketika pertemuan dengan Human Rights Watch pada akhir tahun 2016 dan 2017, pegawai kerajaan menyatakan mereka sudah memulakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko kesihatan yang menggugat kanak-kanak di ladang tembakau. Akan tetapi, pihak penguatkuasa masih belum meminda sebarang undang-undang atau peraturan bagi melindungi kanak-kanak daripada kerja berbahaya di ladang tembakau.
 

Hak Warga Kurang Upaya

Walaupun kerajaan pada tahun 1977 telah mengeluarkan perintah melarang amalan membelenggu warga hilang upaya psikososial, masih ada ahli keluarga dan pengamal tradisi yang melakukannya, adakalanya sehingga bertahun-tahun lamanya. Penguatkuasaan larangan ini sudah lama tertangguh, namun pada tahun 2017, kerajaan mengumumkan beberapa langkah bagi menambah baik akses bagi perkhidmatan kesihatan mental, yang merupakan komponen penting dalam kempen membasmi amalan membelenggu pesakit.

Pihak kementerian kesihatan mendakwa bahawa pada tahun 2017, kerajaan memberikan akreditasi kepada kira-kira 2,000 pusat kesihatan komuniti, mentauliahkan kapasiti kesemua pusat tersebut untuk memberikan respons dalam 155 keadaan, termasuklah dalam kes hilang upaya psikososial; di samping menyelia latihan bagi 25,000 pelatih agar mereka dapat memberikan latihan seterusnya kepada staf kesihatan barisan depan mengenai respons dan pelibatan komuniti yang diperbaik berkisar pelbagai isu kesihatan, termasuklah kesihatan mental.

Pada bulan April, Pelapor Khas PBB mengenai Kesihatan, Dainius Pūras, menggesa kerajaan untuk memperhebat kempen mencegah pembelengguan pesakit agar amalan ini tidak digantikan dengan kaedah kongkongan lain yang melanggar hak asasi.
 

Pembunuhan di Luar Batasan Undang-Undang

Pada 20 Julai, Ketua Polis Negara, Gen. Tito Karnavian menyeru agar ancaman dadah di Indonesia diperangi dengan menembak pengedar dadah. Keesokan harinya, Presiden Jokowi mengarahkan anggota polis menembak mati pengedar dadah warga asing yang cuba mengelak daripada ditangkap, yakni “Tembak sampai mati. Tiada belas kasihan.”

Menurut analisis daripada Universiti Melbourne, polis Indonesia telah membunuh kira-kira 49 pengedar dadah yang disyaki dalam tempoh enam bulan pada tahun 2017, suatu peningkatan mendadak berbanding 14 pembunuhan pada  tahun 2016 dan 10 pada tahun 2015.
 

Pemain Utama di Persada Antarabangsa

Pada bulan September 2017, Indonesia menolak 58 saranan hak asasi yang dikemukakan oleh negara anggota PBB sewaktu semakan berkala sejagat (Universal Periodic Review) di hadapan Majlis Hak Asasi PBB. Semua saranan tersebut memfokuskan isu penting termasuk ancaman terhadap hak warga LBGT, undang-undang penghinaan agama yang keras, dan hukuman mati. Namun begitu, jawapan lemah yang diberikan oleh pegawai Kementerian Luar Negeri Indonesia ialah cadangan dan saranan itu “sukar diterima” memandangkan “kondisi Indonesia.”

Pada 14 Julai, Indonesia mengumumkan bahawa ia telah menamakan semula sebahagian daripada Laut Cina Selatan sebagai “Laut Utara Natuna.” Kawasan perairan yang dinamakan semula ini meliputi kawasan di bahagian utara Pulau Natuna Indonesia yang bertindih dengan garis pisah sembilan (nine dash line), iaitu kawasan Laut Cina Selatan yang menjadi pertikaian dan dituntut oleh China sebagai haknya. Kerajaan China mengkritik perubahan nama tersebut sebagai “tidak kondusif dalam usaha mendorong standardisasi penamaan geografi.”

Pada bulan September, Indonesia mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya di sempadan Burma-Bangladesh. Jokowi mengutuk kezaliman Burma terhadap Rohingya dan bertindak menghantar menteri luar negerinya, Retno Marsudi untuk bertemu pemimpin de facto Burma, Aung San Suu Kyi bagi menyatakan keresahan Indonesia berkenaan nasib yang menimpa orang Rohingya.

Pada bulan Oktober, pertubuhan bukan kerajaan AS bagi yang mempromosikan ketelusan awam, National Security Archive, telah menyiarkan 39 dokuman diubah status (declassified) daripada kedutaan AS di Jakarta yang membuktikan bahawa pegawai diplomatik AS pada ketika pembunuhan beramai-ramai oleh pihak tentera Indonesia dilakukan pada akhir tahun 1965 dan awal 1966, sebenarnya sedar akan segala kejadian tersebut. Dokumen-dokumen yang disiarkan menunjukkan betapa pentingnya kerajaan AS dan Indonesia mendedahkan  perkara sebenar iaitu semua bahan dokumen rahsia membabitkan rekod sejarah yang tepat tentang pembunuhan tersebut, sekali gus menegakkan keadilan bagi jenayah yang sudah berlaku.