Skip to main content

Malaysia

Orang ramai menyertai perarakan antikleptokrasi di Petaling Jaya, berdekatan Kuala Lumpur, Malaysia pada 14 Oktober, 2017.

 

© 2017 Lai Seng Sin / Reuters

Kerajaan Malaysia terus memburu suara-suara kritis dan pembela hak asasi pada tahun 2017. Dengan dakwaan salah laku rasuah yang masih membayangi Perdana Menteri Najib Razak, kerajaan dilihat semakin memperketat undang-undang yang menindas dan turut menyokong anjakan masyarakat ke arah versi Islam yang lebih konservatif dan kurang bersikap toleransi.
 

Kebebasan Ekspresi

Walaupun Perdana Menteri Najib menyatakan sewaktu berucap pada bulan April 2017 bahawa kebebasan bersuara kini semakin “meluas” di Malaysia, realiti sebenar adalah jauh berbeza. Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) digunakan berulang kali untuk menyiasat dan menahan sesiapa sahaja yang mengkritik pentadbir kerajaan di media sosial. Di bawah Seksyen 233(1), hukuman jenayah sehingga satu tahun penjara boleh dikenakan bersabit komunikasi berbentuk “sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.” Seksyen 233(1) telah digunakan, antara lain, terhadap penulis blog yang memuat naik imej lukisan Najib di balik penjara, dan pada tahun 2017, beberapa individu yang mengkritik Ketua Menteri Adenan Satem selepas kematian beliau turut menjadi sasaran undang-undang ini.

Pada bulan Mei 2017, kerajaan mengenakan tuduhan bersabit CMA ke atas ketua eksekutif dan ketua editor Malaysiakini, sebuah portal berita dalam talian berikutan video yang dipaparkan mengkritik Ketua Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali kerana membersihkan Perdana Menteri daripada semua pertuduhan salah laku rasuah.

Pada bulan April, kerajaan mengugut akan menarik balik lesen penerbitan surat khabar bahasa Cina, Nanyang kerana mengeluarkan kartun sindiran tentang perbahasan di Parlimen mengenai undang-undang Syariah, iaitu undang-undang Islam. Ugutan tersebut ditarik balik hanya selepas Nanyang menarik balik kartun tersebut dan menyatakan permohonan maaf.

Pada bulan Ogos, pihak berkuasa menggunakan Akta Penapisan Filem yang bersifat mengekang untuk mengarahkan beberapa babak dipadamkan daripada sebuah filem yang membabitkan pegawai imigresen Malaysia dalam pemerdagangan anak-anak gadis Rohingya. Filem tersebut diterbitkan oleh seorang wartawan penyiasat warga Malaysia. Pihak berkuasa turut mengharamkan sebuah filem ciptaan pembikin filem warga Sweden,  Kakuma Can Dance mengenai orang pelarian dan tarian hip-hop di Kenya. Penayangan kedua-dua filem tersebut pada awalnya dijadualkan ketika festival tahunan orang pelarian, Refugee Festival berlangsung di Kuala Lumpur.
 

Sistem Keadilan Jenayah

Malaysia masih menahan individu tanpa bicara di bawah undang-undang yang menyekat. Kedua-dua Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 meletakkan bidang kuasa mutlak dalam tangan pelbagai lembaga yang dilantik kerajaan bagi menjatuhkan hukuman penahanan tanpa bicara sehingga tempoh dua tahun, malah, tempoh tersebut boleh dilanjutkan tanpa had. Kuasa mutlak turut diberi untuk mengarahkan pemantauan menggunakan peranti elektronik dan mengenakan bermacam-macam sekatan lain terhadap kebebasan bergerak dan kebebasan bergaul, tanpa sebarang peluang bagi semakan kehakiman.

Pada bulan Ogos, kerajaan meluluskan pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah yang menghalang hak bersuara oleh orang yang ditahan. Pindaan tersebut memansuhkan hak tertuduh untuk mengemukakan hujahnya, hak untuk ditemani peguam semasa disiasat oleh pegawai penyiasat yang bertanggungjawab membuka kes penahanan tersebut, dan juga hak berbuat demikian kepada Lembaga Pencegahan Jenayah (POCB) yang menjatuhkan hukuman tahanan.

Pada bulan April pula, penguatkuasaan Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) yang turut membenarkan penahanan dibuat tanpa bicara dan tanpa semakan kehakiman sehingga 28 hari bersabit bermacam-macam ‘kesalahan keselamatan’ turut dilanjutkan tempohnya untuk lima tahun lagi.

Malaysia juga masih mengekalkan hukuman mati bagi berbagai-bagai jenis jenayah, bahkan, hukuman mati diwajibkan sebagai hukuman mandatori bersabit 12 kesalahan, termasuklah jenayah mengedar dadah. Hampir 1,000 orang kini menunggu giliran mereka sebelum dijatuhkan hukuman mati. Kerajaan tidak telus menyatakan bila dan bagaimana sesuatu hukuman mati dijatuhkan. Pada bulan Mac 2017, dua lelaki dihukum mati atas jenayah bunuh dalam tempoh yang singkat sedangkan permohonan rayuan sudah pun dikemukakan dan belum diputuskan ketika itu.
 

Pembela Hak Asasi Menjadi Sasaran

Pembela hak asasi terus berdepan dengan serangan undang-undang dan sekatan arbitrari terhadap hak mereka. Pada bulan Mac, polis menyiasat tiga ahli kumpulan tindakan masyarakat membabitkan kehilangan warga (Citizen Action Group on Enforced Disappearances, CAGED) di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan dengan “niat mencetuskan ketakutan dan rasa cemas dalam kalangan orang awam.” Hal ini susulan kenyataan CAGED bahawa kes penculikan Paderi Raymond Koh dan kehilangan beberapa individu lain yang aktif dalam gereja Kristian dianggap kes “kehilangan yang dikuatkuasakan.” Pada bulan yang sama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 (US$2,062) atau hukuman penjara satu tahun ke atas Lena Hendry kerana menganjurkan penayangan filem dokumentari “No Fire Zone.” Pada bulan Jun pula, Siti Kasim, seorang peguam dituduh “menghalang tugas penjawat awam” kerana mencabar bidang kuasa pegawai agama negeri ekoran serbuan terhadap pertandingan ratu cantik transgender yang dilangsungkan pada bulan April 2016.

Kerajaan juga kerap mengambil tindakan bagi menyekat aktivis hak asasi dari negara luar daripada menghadiri program di Malaysia. Pada bulan Jun, pegawai imigresen menahan aktivis Singapura, Han Hui Hui apabila beliau cuba memasuki negara untuk menghadiri program hak asasi, lalu menghantarnya terus balik ke Singapura. Dalam bulan Julai pula, pegawai kerajaan menahan Adilur Rahman Khan, pemimpin Odhikar, sebuah pertubuhan bukan kerajaan dari Bangladesh apabila beliau tiba untuk menghadiri persidangan berkenaan hukuman mati di Malaysia. Adilur Rahman Khan ditahan lebih 15 jam oleh pegawai penguatkuasa di lapangan terbang sebelum beliau dihantar pulang ke Dhaka dengan pesawat.
 

Salah Laku Polis dan Kekebalan daripada Undang-Undang

Perbuatan dera polis terhadap suspek yang ditahan, dalam beberapa kes mengakibatkan kematian, masih merupakan masalah serius, termasuk ketiadaan akauntabiliti dalam kes-kes tersebut. Pada bulan Februari, orang tahanan, Chandran Muniandy dimasukkan ke hospital ekoran kecederaan di kepala dan badannya, dan didapati hampir semua kuku kakinya tercabut. Polis mendakwa bahawa tertuduh cedera kerana jatuh di tandas. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan akan menyiasat kematian S. Balamurugan yang mati dalam tahanan pada bulan Februari selepas bedah siasat mendapati kesan kecederaan akibat hentakan benda tumpul. Pada bulan Oktober, seorang inspektor polis dituduh “sengaja mencederakan” Balamurugan untuk memaksanya melakukan pengakuan. Ketika laporan ini ditulis, belum ada sesiapa ditangkap atau dikenakan tindakan disiplin dalam kes Chandran Muniandy. Sepanjang tahun ini, sekurang-kurangnya dua individu lain mati dalam tahanan akibat kecederaan yang tidak dirawat.
 

Orang Pelarian, Pemohon Suaka, dan Mangsa Pemerdagangan Manusia

Malaysia bukan negara ahli dalam Konvensyen Pelarian 1951. Justeru, orang pelarian dan pemohon suaka tidak mempunyai sebarang hak undang-undang atau status di Malaysia. Lebih 150,000 orang pelarian dan pemohon suaka yang kebanyakannya dari Burma mendaftarkan diri dengan UNHCR, agensi orang pelarian yang bertempat di Malaysia, namun mereka tidak dapat bekerja, bergerak bebas atau bersekolah di sekolah kerajaan. Pemohon suaka yang ditangkap oleh pihak penguatkuasa dilayan seperti “pendatang asing” dan ditahan di pusat tahanan imigresen yang sesak dan tidak bersih.

Setakat ini, belum ada warga Malaysia yang dipertanggungjawabkan atas kematian lebih 100 mangsa pemerdagangan manusia berbangsa Rohingya yang ditemui mayat mereka pada 2015 di kem pelarian yang tersembunyi di tengah-tengah hutan tebal di sempadan Malaysia-Thai. 12 anggota polis yang pada awalnya ditahan dalam kes tersebut telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan susulan. Kerajaan Malaysia gagal menguatkuasakan pindaan yang telah diluluskan pada tahun 2014 ke atas undang-undang antipemerdagangan Malaysia 2007, khususnya berkenaan langkah-langkah pentadbiran yang perlu dilaksanakan untuk menghulurkan bantuan dan keizinan bekerja kepada semua mangsa pemerdagangan yang memerlukan bantuan tersebut, di samping memastikan hak mereka untuk bergerak bebas. Walaupun gagal, Jabatan Negara Amerika Syarikat masih menaikkan kedudukan Malaysia kepada anak tangga ke-2 dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang diterbitkannya.
 

Hak Berhimpun, Bergaul dan Berpersatuan

Pihak berkuasa Malaysia kerap mendakwa individu yang melakukan perhimpunan aman tanpa notis atau menyertai “demonstrasi jalanan.” Akta Pertubuhan menyekat hak pergaulan dengan mengenakan syarat bahawa perkumpulan dengan tujuh ahli atau lebih perlu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Undang-undang berkenaan memberikan “kuasa mutlak” kepada menteri dalam negeri untuk mengharamkan sesebuah pertubuhan, sementara Pendaftar Pertubuhan pula mempunyai kuasa yang serupa ke atas parti politik. Pada bulan Julai, Pendaftar Pertubuhan memerintahkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) agar mengadakan pilihan raya semula bagi memilih ahli jawatankuasa tertinggi pusat atas alasan pilihan raya sebelumnya tidak sah. Pada bulan November pula, Pendaftar Pertubuhan mengugut mahu mengharamkan parti pembangkang Bersatu, atas dakwaan nama sayap pemudanya tidak sah.
 

Kebebasan Beragama

Malaysia terus menampakkan anjakan kepada Islam yang lebih konservatif, agama majoriti negara ini. Rang undang-undang yang akan membolehkan mahkamah Syariah negeri (undang-undang Islam) mengenakan hukuman yang lebih berat masih belum diluluskan di Parlimen. Namun, pada bulan Julai 2017, negeri Kelantan meluluskan perundangan yang membenarkan mahkamah Syariahnya untuk mengeluarkan perintah hukuman sebat di tempat awam. Pada bulan Ogos, seorang menteri kerajaan menggesa pihak berkuasa agar memburu kumpulan “ateis,” sementara dua patung ukiran berbentuk wanita bersayap dikeluarkan dari sebuah taman setempat berikutan rungutan daripada penduduk beragama Islam kerana menyentuh sensitiviti agama. Pada bulan September pula, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menahan dan menyoal siasat ahli akademik Turki, Mustafa Akyol, seorang penulis yang mengetengahkan Islam liberal kerana dakwaan memberikan ceramah agama tanpa tauliah daripada badan berkuasa agama negeri. Penganjur ceramah, Dr. Ahmad Farouk Musa dituduh bersubahat mengikut akta yang sama dan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika bersabit kesalahan. Menteri Dalam Negeri kemudiannya mengharamkan buku Akyol berserta koleksi artikel ilmiah yang dikeluarkan oleh persatuan G25, sebuah badan yang menyarankan pendekatan yang lebih moderat dalam Islam.

Penculikan paderi Kristian, Raymond Koh oleh sekumpulan 15 lelaki bertopeng pada bulan Februari, disusuli dengan kehilangan misteri tiga orang lain yang berkait rapat dengan gereja Kristian telah mencetuskan rasa takut dalam kalangan komuniti Kristian. Pada ketika laporan ini ditulis, keempat-empat mangsa culik ini belum diketemukan.
 

Orientasi Seksual dan Identiti Gender

Diskriminasi terhadap golongan lesbian, homoseksual, biseksual dan transgender berleluasa di Malaysia. Kehadiran pelbagai undang-undang dan peraturan di bawah perundangan Syariah yang melarang “seseorang lelaki berperwatakan seperti perempuan,” hubungan seksual sesama wanita, dan hubungan seksual sesama lelaki secara tidak langsung menjadikan warga lesbian, homoseksual, biseksual dan transgender penjenayah. Keganasan terhadap warga LGBT berada pada tahap yang amat membimbangkan, seperti kes bunuh wanita transgender, Sameera Krishnan pada bulan Februari dan kemudiannya kes bunuh dan rogol T. Nhaveen, remaja lelaki berumur 18 tahun pada bulan Jun. Kumpulan yang menyerang T. Nhaveen melaungkan kata-kata benci berunsur anti-LGBT sebelum menyerang remaja tersebut. Dalam perkembangan yang lebih positif, Kementerian Kesihatan Malaysia mengedarkan garis panduan yang baharu dalam sebuah pertandingan video remaja, termasuk mengeluarkan bahasa dan syarat yang berunsur stigma terhadap identiti LGBT. Susulan kritikan keras daripada aktivis dan orang ramai, pihak Kementerian tersebut sebaliknya menggunakan bahasa yang lebih sensitif terhadap warga LGBT.
 

Keganasan Rumah Tangga dan Seksual

Pada tahun 2017, Malaysia mengorak langkah besar dalam perlindungan hak wanita menerusi pindaan ke atas undang-undang keganasan rumah tangga bagi meningkatkan tahap perlindungan kepada mangsa keganasan. Malaysia turut meluluskan undang-undang bagi memperluas senarai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Akan tetapi, usaha bagi meluluskan undang-undang yang menghentikan perkahwinan sesama kanak-kanak masih terhambat, bahkan, Malaysia adalah salah satu sebahagian kecil negara dunia yang tidak mengumpulkan data tentang bilangan perkahwinan melibatkan kanak-kanak. Rogol dalam perkahwinan juga bukan suatu jenayah di Malaysia.
 

Pemain Utama di Persada Antarabangsa

Malaysia menampilkan negaranya sebagai sebuah negara Islam moderat di PBB dan dalam kalangan komuniti antarabangsa, yang bersedia menentang ekstremis Islam sekali gus meraih sokongan AS dan negara-negara sekutu AS. Malaysia juga meneruskan keterlibatannya dengan China yang merupakan rakan dagangnya yang terbesar.

Pada tahun 2017:

  • Pembela hak asasi dari Singapura dan Bangladesh ditahan dan dideportasi apabila cuba memasuki Malaysia untuk menghadiri program berkaitan hak asasi.
  • Pembela hak asasi Lena Hendry ditahan dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 (AS$2,062) atau satu tahun penjara bersabit peranannya menayangkan filem dokumentari “No Fire Zone” berkenaan pencabulan hak asasi sewaktu perang saudara di Sri Lanka. Filem tersebut ditayangkan di sebuah pesta filem pada bulan Mac 2016.
  • Keganasan terhadap suspek dalam tahanan oleh polis masih merupakan masalah serius, dengan sekurang-kurangnya seorang tahanan yang mati akibat pukulan senjata tumpul.

Siti Zabedah Kasim

Pada bulan Jun 2017, peguam dan pembela hak asasi, Siti Kasim dikenakan dakwaan “menghalang tugas penjawat awam” kerana mencabar petugas yang menyerbu acara mengumpul dana yang diadakan secara tertutup pada bulan April 2016 oleh golongan komuniti transgender. Bagi menghiburkan para jemputan, sebahagian tetamu yang hadir membuat pertandingan ratu cantik olok-olok dengan memakai pakaian mewakili pelbagai negara dunia.

Pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertindak menyerbu majlis itu lalu mengunci semua pintu dewan besar hotel untuk menghalang tetamu daripada meninggalkan dewan. Pada masa yang sama, pihak media yang dibawa bersama oleh JAWI merakam gambar mereka yang hadir dalam majlis tersebut. Pegawai JAWI menyerbu tanpa sebarang waran dengan tidak diiringi seorang pun pegawai polis seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang Malaysia. Siti Kasim menyoal pegawai JAWI lantas mencabar bidang kuasa mereka bertindak sedemikian. Kebanyakan hadirin dibenarkan pulang hanya setelah Siti menelefon polis dan polis kemudiannya sampai di lokasi kejadian. Siti seterusnya dibawa ke balai polis oleh pegawai JAWI walaupun beliau telah memperkenalkan dirinya sebagai peguam. Pihak penguatkuasa membebaskan Siti lewat malam setelah beliau ditahan buat sementara waktu.

Pada 13 Jun 2017, setahun selepas kejadian tersebut, pegawai pendakwa kerajaan memberitahu Siti Kasim bahawa beliau dihadapkan tuduhan kerana menghalang tugas penjawat awam. Jika bersabit kesalahan, beliau berdepan sehingga dua tahun penjara, denda maksimum RM10,000 (AS$2,062), atau kedua-duanya sekali. Siti Kasim yang lantang mempertahankan hak komuniti LGBT dan orang asli di Malaysia telah menerima bermacam-macam ugutan rogol, dipenggal kepala serta disimbah asid hanya kerana pendiriannya tentang hak warga LGBT dan Islam. “Tak ramai warga transgender yang peka akan hak mereka,” Siti Kasim memberitahu Human Rights Watch. “Kita perlu jelaskan kepada semua orang Melayu tentang hak mereka apabila melibatkan JAWI dan pihak berkuasa agama lain.”