Skip to main content

Wanita Transgender Dibunuh di Malaysia

Pihak Berkuasa Wajar Menyiasat Pembunuhan ini dan Mendakwa Pesalah

Pada hari Khamis, sekitar jam 3.30 pagi, seorang wanita transgender berusia 27 tahun, Sameera Krishnan telah dibunuh secara kejam di bandar Kuantan, Malaysia. 

Gambar Sameera Krishnan. © Private


Sameera yang bekerja di sebuah kedai bunga, luka akibat dikelar di bahagian tangan, lengan, kepala dan kaki setelah diserang dengan pisau, dan turut ditembak sebanyak tiga kali. Mangsa dilaporkan telah diserang oleh tiga lelaki bertopeng yang datang menaiki dua buah kereta.

Sameera dikebumikan pada hari Jumaat, 24 Februari, yang kebetulan jatuh pada hari lahir beliau.

Menurut ketua polis bagi daerah Kuantan yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia, pihak berkuasa telah memulakan siasatan terhadap pembunuhan tersebut.

Golongan transgender di Malaysia hidup dalam keadaan terancam. Malaysia kini tergolong antara sebilangan kecil negara di dunia yang masih menghukum individu sekiranya mereka menonjolkan identiti gender  yang berbeza daripada jantina yang diberikan ketika lahir.

Dari segi sejarah, golongan transgender dahulunya diterima dan hidup seperti orang lain di Malaysia. Namun, keadaan mula berubah pada awal 1980-an susulan penggubalan beberapa perundangan negeri yang menghukum golongan ini sebagai pesalah sehingga mereka terpaksa mengasingkan diri. Di bawah undang-undang yang berunsur diskriminasi ini, golongan transgender boleh ditangkap hanya kerana memakai pakaian yang dianggap tidak sepadan dengan jantina mereka.

Dalam laporan 2014 bertajuk “Saya Takut Menjadi Wanita: Pencabulan Hak Asasi Manusia terhadap Golongan Transgender”, Human Rights Watch melaporkan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh pegawai agama negeri dan pihak polis, termasuk tangkapan dan penahanan secara arbitrari, serangan seksual, penyeksaan dan juga peras ugut wang dan sogokan seks. Human Rights Watch turut mengenal pasti kes keganasan oleh orang awam, diskriminasi kerja dan layanan pekerja kesihatan yang meninggalkan stigma kepada golongan tersebut.

Tindakan keras oleh pihak berkuasa ke atas golongan transgender ini telah meninggalkan kesan mendalam. Kini, keganasan, serangan dan diskriminasi ke atas golongan ini tidak lagi dilaporkan secara meluas  - mereka sudah hilang kepercayaan terhadap polis.

​Justeru, polis seharusnya berusaha untuk meraih kembali kepercayaan golongan transgender ini dengan menjalankan siasatan yang terperinci dan profesional ke atas pembunuhan Sameera Krishnan dan memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan. 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic