“Jina,” a 22-year-old transgender woman, sports a tattoo of a butterfly—a transgender symbol signifying transformation: “There’s a lot of politicization of the LGBT community at the moment, to distract the public from more important issues.”

“Saya Takut Menjadi Wanita”

Pencabulan Hak Asasi Manusia Terhadap Golongan Transgender di Malaysia

“Jina,” a 22-year-old transgender woman, sports a tattoo of a butterfly—a transgender symbol signifying transformation: “There’s a lot of politicization of the LGBT community at the moment, to distract the public from more important issues.”  © 2014 Javad Tizmaghz for Human Rights Watch

Sedikit Penjelasan Mengenai Identiti Gender

Laporan ini mengutarakan beberapa kes pencabulan hak asasi yang berlaku kepada golongan transgender di Malaysia. “Transgender” ialah istilah bersifat inklusif yang merujuk kepada sesiapa sahaja yang mendapati jantina yang diberikan kepadanya semasa lahir – yakni, istilah “perempuan” atau “lelaki”  yang tertera pada surat beranak mereka – tidak serasi dengan naluri gender yang dirasainya berdasarkan pengalaman hidupnya (jika diberi pilihan, ekspresi gender yang ingin mereka tampilkan adalah berbeza).

Penjelasan ini dibuat berteraskan premis bahawa setiap orang mempunyai identiti gender. Kebanyakan orang mengidentifikasikan diri mereka sama ada sebagai perempuan atau lelaki, perempuan dan lelaki, malah ada juga yang menganggap diri mereka langsung tidak bergender. Individu yang dilabelkan sebagai “perempuan” ketika lahir tetapi berperwatakan lelaki, beliau ialah lelaki transgender man (atau translelaki). Namun jika dilabelkan “lelaki” ketika lahir tetapi berperwatakan perempuan, beliau ialah “transgender woman (atau transperempuan). Istilah cisgender” (yakni, bukan transgender) merujuk kepada individu yang merasakan jantina yang diberikan kepadanya ketika lahir, sama ada lelaki atau perempuan, serasi dengan naluri mereka.

Golongan transgender yang dirujuk dalam laporan ini bukan sekadar berpakaian lawan jenis (cross-dressing) atas dasar suka-suka, sebaliknya, naluri dan keinginan mereka amat cenderung kepada gender yang berbeza berbanding jantina yang diberikan semasa lahir. Disebabkan percanggahan ini, ada yang menukar kejantinaan tubuh mereka secara fizikal dan melakukan terapi penggantian hormon (hormon replacement therapy, HRT) atau pembedahan tukar jantina (sex reassignment surgery, SRS).

Identiti gender tidak sama dengan orientasi seksual. Seperti juga golongan cisgender, individu transgender turut mempunyai naluri sebagai heteroseksual, homoseksual, biseksual atau aseksual. Justeru, mereka merasakan tarikan seksual terhadap gender berlawanan, gender sejenis, kedua-dua gender atau langsung tidak tertarik kepada mana-mana gender.

Terdapat beberapa istilah bagi merujuk kepada golongan transgender dan individu yang tidak serasi dengan gender mereka. Di Malaysia, wanita transgender digelarkan mak nyah – suatu istilah yang dicipta oleh wanita transgender sendiri untuk menggelarkan diri mereka. “Mak nyah” bukan istilah yang mengaibkan bagi mereka.

Istilah “transvestit” sering digunakan dalam media Malaysia, malah turut digunakan oleh badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Akan tetapi, “transvestit” lebih tepat digunakan untuk individu yang berpakaian berlawanan jenis dari semasa ke semasa atas dasar suka-suka. Tidak semua transvestit atau golongan “cross-dressers” ini merasakan naluri berbeza daripada jantina yang diberikan semasa lahir. Oleh itu, tidak tepat jika mak nyah di Malaysia digelarkan “transvestit.” Dalam pada itu, ada juga transvestit  yang mempunyai naluri transgender.

Istilah “transeksual” juga digunakan oleh media dan golongan transgender Malaysia untuk menggambarkan diri mereka. Namun, makna “transeksual” sebenarnya lebih khusus kerana istilah ini merujuk kepada individu yang menggunakan hormon atau menukar jantinanya secara fizikal melalui pembedahan.

 

Glosari

Klasifikasi Jantina: Klasifikasi identiti tubuh yang diberikan semasa lahir, sama ada lelaki atau perempuan, berdasarkan alat kelamin, organ seksual dalaman, organ reproduktif, hormon dan kromosom.

Biseksual: Orientasi seksual individu yang mempunyai tarikan seksual dan romantik terhadap kedua-dua perempuan dan lelaki.

Cisgender: Adjektif bagi merujuk kepada identiti gender individu yang merasakan bahawa jantina yang diberikan semasa lahir (jantina yang disahkan semasa lahir) serasi dengan naluri gender yang dialaminya berdasarkan pengalaman hidupnya (jika diberi pilihan, inilah ekspresi gender yang ingin mereka tampilkan).

Pemakaian lawan jenis (cross-dressing): Perbuatan memakai pakaian dan aksesori lain yang sering dikaitkan dengan gender yang berlawanan jenis dalam konteks masyarakat tersebut.

Fatwa: Hukum agama yang diputuskan oleh badan berkuasa agama Islam. Menurut undang-undang Malaysia, fatwa yang diluluskan oleh Sultan di setiap negeri akan diwartakan kepada khalayak umum dan dilaksanakan sebagai undang-undang Syariah.

Gay: Banyak negara dunia menggunakan istilah ini sebagai sinonim dengan homoseksual.

Gender: Pengistilahan sosial dan budaya bagi membezakan antara konsep “keperempuanan” dengan “kelelakian” dalam sesebuah masyarakat (tidak sama dengan konsep jantina seks).

Disforia Gender (atau Kecelaruan Identiti Gender, GID): Diagnosis yang digunakan secara formal oleh pakar psikologi dan doktor bagi merujuk kepada individu yang mengalami rasa tidak puas hati yang begitu menekan kerana tidak secocok dengan jantina yang diberikan kepada mereka semasa lahir. Senarai klasifikasi antarabangsa bagi statistik penyakit dan masalah kesihatan yang berkaitan (International Statistical Classification of Diseases and Related Health Problems, ICD-10 CM) mengklasifikasikan GID sebagai gangguan kesihatan. Pada 2013, Manual Diagnostik dan Statistik bagi Gangguan Mental (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, DSM-V) di Amerika Syarikat menggantikan istilah “Kecelaruan Identiti Gender” kepada “Disforia Gender” bagi mengelakkan stigma disebabkan penggunaan istilah “kecelaruan.”

Ekspresi Gender: Ciri-ciri luaran dan perwatakan yang ditakrifkan oleh sesebuah masyarakat sebagai “feminin” (keperempuanan), “maskulin” (kelelakian) atau “androgini” (berperwatakan lelaki dan perempuan), termasuklah aspek pemakaian, pembawaan diri, stail rambut, cara percakapan, penampilan dan interaksi dengan khalayak ramai.

Identiti gender: Naluri dan perasaan dalaman seseorang individu sama ada beliau perempuan atau lelaki, atau lain daripada perempuan atau lelaki.

Heteroseksual: Orientasi seksual individu yang cenderung tertarik dari segi seks dan perasaan romantik kepada orang yang berlainan jantina.

Homoseksual: Orientasi seksual individu yang cenderung tertarik dari segi seks dan perasaan romantik kepada orang yang sama jantina.

Terapi Hormon Gantian (HRT): Pengambilan hormon seks (androgen atau estrogen) bagi merangsang perkembangan sifat-sifat sekunder seks seseorang agar lebih serasi dengan identiti gendernya.

Lesbian: Orientasi seksual perempuan yang cenderung merasa tarikan seksual dan perasaan romantik terhadap perempuan lain.

LGBT: Lesbian, gay, biseksual dan transgender; istilah inklusif yang merangkumi khalayak yang turut digelarkan “minoriti seksual dan gender.”

Mak NyahIstilah Bahasa Melayu yang asalnya daripada perkataan “mak” (singkatan bagi “emak”) yang dicipta oleh golongan transgender Malaysia untuk menggelarkan wanita transgender.

Lelaki yang melakukukan hubungan seks dengan lelaki (MSM): Lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain tetapi tidak menganggap diri mereka “gay,” “homoseksual” atau “biseksual.”

Pengkid: Istilah yang selalunya digunakan oleh orang Melayu terhadap gadis dan wanita Melayu yang berpakaian seperti lelaki, menggelarkan diri mereka dengan nama yang boleh dipakai oleh lelaki mahupun perempuan atau nama yang maknanya kabur, meleperkan dada mereka dan menjalinkan hubungan asmara dengan wanita lain. Mereka serupa dengan “butch lesbian” atau translelaki.

Pondan: Istilah Bahasa Melayu yang bersifat cemuhan, digunakan terhadap lelaki yang berperwatakan perempuan, lelaki gay atau wanita transgender.

Penanda Jantina: Perkataan “perempuan” atau “lelaki” yang dicatatkan pada surat beranak atau kad pengenalan. Istilah yang lebih lazim ialah “penanda gender,” tetapi laporan ini menggunakan istilah “penanda jantina” kerana penentuan dibuat berdasarkan alat kelamin yang dikenal pasti ketika lahir dan bukannya naluri sebenar yang dirasakan.

Pembedahan Tukar Jantina (SRS): Istilah yang merujuk kepada pembedahan intervensi menukar jantina agar tubuh menyerupai jantina berlawanan jenis. SRS selalunya dibuat susulan terapi hormon untuk tempoh minimum bagi merangsang sifat-sifat sekunder seks yang dihasratkan.

Orientasi Seksual: Istilah ini bererti tarikan seksual dan emosi seseorang terhadap gender sejenisnya (homoseksual, lelaki gay dan lesbian), terhadap gender berlawanan jenis (heteroseksual) atau terhadap kedua-duanya sekali (biseksual).

Khidmat Seks: Khidmat seks yang dilanggani dan dibayar oleh individu dewasa dengan rela hati.

Undang-undang Syariah: Perundangan Islam yang dikuatkuasakan ke atas setiap orang Islam di Malaysia.

Transgender (atau trans): Kata adjektif yang menerangkan identiti gender seseorang apabila jantina yang diberikan kepadanya semasa lahir tidak serasi dengan naluri gender yang dialaminya berdasarkan pengalaman hidupnya (jika diberi pilihan, ekspresi gender yang ingin mereka tampilkan adalah berbeza). Individu transgender selalunya menampilkan atau berusaha menampilkan ekspresi gender yang bersesuaian dengan nalurinya, namun tidak semestinya ingin menukar sifat-sifat tubuhnya untuk menyamai gender pilihannya secara kekal.

Transgender lelaki (translelaki): Individu yang dilabelkan sebagai “perempuan” ketika lahir tetapi menganggap, malah menampilkan dirinya sebagai lelaki. Lelaki transgender dirujuk dengan kata ganti nama lelaki.

Transgender wanita (transperempuan): Individu yang dilabelkan sebagai “lelaki” ketika lahir tetapi menganggap, malah menampilkan dirinya sebagai perempuan. Wanita transgender dirujuk dengan kata ganti nama perempuan.

Transfobia: Rasa takut dan benci terhadap golongan transgender dan transeksual akibat tanggapan stereotaip yang negatif tentang transgenderisme dan transeksualiti secara amnya.

Transvestit: Istilah yang merujuk secara amnya kepada individu yang kadang-kadang suka berpakaian berlawanan jenis, tetapi naluri mereka tidak berlawanan daripada jantina yang diberikan semasa lahir.

Transeksual: Individu yang ingin atau pun sudah pun menjalani pembedahan tukar jantina untuk menukar bentuk tubuhnya agar organ seksnya menyerupai identiti gender yang dirasainya. Golongan transeksual turut dikategorikan di bawah istilah umum, “transgender.”

 

Peta Malaysia

Saya takut menjadi wanita

-Aisah, transwanita berumur 33 tahun, pekerja sosial HIV, Kuala Lumpur, Januari 2013
 

Inilah kehidupan yang terpaksa saya jalani, jika tidak, ia bukan suatu kehidupan

-Kiki, transwanita berumur 33 tahun, doktor perubatan, Kuala Lumpur, Januari 2013

Sejurus selepas tengah malam pada 9 Jun 2014, pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan menyerbu majlis perkahwinan yang dilangsungkan di halaman sebuah rumah peribadi. Para pegawai mengepung dan menahan 17 tetamu jemputan majlis tersebut, termasuk pengurus majlis dan seorang jemputan berusia bawah umur. Pegawai Jabatan Agama bertindak memukul tidak kurang seorang daripada tetamu yang ditahan, malah turut mencekik dan menyepaknya hingga mangsa tersungkur. Mereka turut mengoyak baju salah seorang daripada tetamu yang hadir. Pada hari yang sama, mahkamah Syariah negeri mendakwa dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari termasuk denda ke atas semua 16 tahanan dewasa yang ditangkap.

 

Apakah dakwaan jenayah yang disabitkan dengan tetamu majlis tersebut?

“Jenayah” mereka hanyalah kerana mereka berpakaian seperti perempuan. Tetamu majlis ialah wanita transgender yang ditahan di bawah undang-undang Syariah Negeri Sembilan bersabit kesalahan “lelaki berlagak seperti perempuan.” Kesemua tahanan dibawa ke penjara dan dikurung dalam sel banduan berasingan di blok penjara lelaki lalu kepala mereka dicukur. Hakim mahkamah Syariah bertindak memalukan mereka dengan mengeluarkan kata-kata sindiran, bahawa mereka tampak lebih “tampan” dengan kepala yang sudah dicukur. Mereka ialah mangsa terkini kerajaan negeri yang mendiskriminasi atas dasar identiti gender. Semua tahanan dibebaskan setelah menjalani hukuman. 

Walaupun jika diimbau dari segi sejarah, golongan transgender dahulunya diterima dan hidup seperti orang lain di Malaysia, keadaan mula berubah pada awal 1980-an susulan penggubalan beberapa perundangan negeri yang menghukum golongan ini sebagai pesalah sehingga mereka terpaksa menyembunyikan diri. Di bawah undang-undang yang berunsur diskriminasi ini, golongan transgender - individu dengan pembawaan identiti gender yang berbeza daripada jantina yang diberikan semasa lahir - boleh ditangkap hanya kerana memakai pakaian yang dianggap tidak sepadan dengan jantina mereka. Cabaran keperlembagaan terhadap undang-undang Syariah Negeri Sembilan telah difailkan dan dijangka akan diputuskan pada 7 November 2014. Keputusan mahkamah kelak, sungguhpun hanya terpakai di Negeri Sembilan, mampu mengubah status golongan transgender di seluruh Malaysia dari segi undang-undang. 

Golongan transgender ini selalunya ditahan di bawah undang-undang Syariah yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Agama Islam setiap negeri dan hanya disabitkan dengan penganut agama Islam, yang meliputi 60 peratus daripada populasi Malaysia. Sungguhpun bahasa yang digunakan dalam undang-undang merentasi 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan di Malaysia adalah berbeza, kebanyakan enakmen Syariah mengandungi peruntukan yang melarang “lelaki berlagak seperti perempuan” manakala tiga negeri pula  melarang “perempuan berlagak seperti lelaki.” Menurut maklumat yang berjaya dikutip oleh Human Rights Watch setakat ini, walaupun terdapat undang-undang yang disasarkan terhadap lelaki transgender (“perempuan berlagak seperti lelaki” mengikut tafsiran badan penguatkuasa Malaysia), semua penahanan yang dibuat di bawah undang-undang negeri sehingga hari ini adalah bersabit wanita transgender. Bahkan, penguatkuasa di bawah Polis Diraja Malaysia (semua polis di Malaysia ialah penjawat awam kerajaan persekutuan di bawah Polis Diraja Malaysia) juga pernah menahan wanita transgender di bawah kanun keseksaan bersabit kesalahan “mudarat awam” yang merupakan undang-undang sekular yang luas dan terpakai ke atas setiap orang, tanpa mengira agama.

Ketika ditahan, golongan transperempuan pernah berdepan penderaan daripada pegawai penguatkuasa agama dan juga polis. Dalam beberapa kes, pegawai Pejabat Agama dilaporkan menyerang tahanan secara fizikal dan seksual, sama ada ketika tangkapan dibuat mahupun semasa dalam tahanan, termasuk mempertontonkan mereka di depan pihak media dengan niat untuk memalukan mereka. Setakat maklumat yang diperoleh Human Rights Watch sehingga ini, belum ada seorang pun daripada pegawai agama terbabit yang disoal siasat berkenaan pencabulan hak asasi transwanita. Sementara itu, transwanita turut melaporkan bahawa anggota penguatkuasa awam kadang-kadang memeras ugut wang atau layanan seks daripada mereka. Dalam kes melibatkan transwanita yang dijatuhkan hukuman penjara, mereka dikurung di dalam penjara lelaki sehingga didera secara seksual oleh banduan lelaki yang lain dan warden penjara.

Golongan transgender di Malaysia berdepan diskriminasi dan penganiayaan daripada pelbagai pihak penguatkuasa negeri dan kakitangan pihak berkuasa – termasuklah pegawai polis, pegawai Jabatan Agama negeri, pekerja sektor kesihatan awam, pengawal penjara, guru dan pentadbir sekolah-sekolah kebangsaan. Diskriminasi pada peringkat atasan ini diburukkan lagi dengan segala macam diskriminasi terhadap warga transgender yang langsung atau terlalu sedikit mendapat perlindungan kerajaan: Human Rights Watch mendapati bahawa golongan transgender kerap dibuang kerja, dihalau dari rumah kediaman, diserang secara fizikal dan seksual, malah, dinafikan hak penjagaan kesihatan hanya kerana identiti gender mereka. Apabila golongan transgender dizalimi oleh penjawat awam atau individu biasa, mereka berdepan halangan yang serius – adakalanya mereka diserang secara seksual – oleh polis yang sepatutnya membantu mereka.

Dalam pada itu, pegawai kerajaan, ahli politik dan pemimpin agama gemar membakar api benci dan diskriminasi terhadap warga transgender dengan mengeluarkan retorik berbaur transfobia dan homofobia. Selalunya, kenyataan retorik ini mengelompokkan warga lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai sekumpulan manusia penjenayah atau tidak mengikut ajaran Islam. Walaupun kerajaan Perdana Menteri Najib Razak membawa imej Malaysia sebagai negara “Islam sederhana” kepada masyarakat antarabangsa, banyak keputusan yang diambil kerajaan amnya mengambil pendekatan fahaman Islam yang sempit bagi menyekat kebebasan beragama, hak LGBT dan kesamarataan gender yang lebih cenderung kepada fahaman ekstremis.

Golongan transgender, sama ada penganut Islam mahupun bukan Islam begitu terkesan dengan Islamisasi dasar-dasar awam dari pelbagai aspek. Wanita transgender bukan sahaja dianggap penjenayah di bawah enakmen Syariah, malah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1982 telah mengharamkan penganut Islam daripada menjalani pembedahan tukar jantina (SRS) serta mengharamkan mana-mana institusi perubatan Islam daripada menawarkan pembedahan tersebut. Walaupun pada asasnya, sesebuah institusi perubatan bukan Islam masih boleh menawarkan SRS kepada warga bukan Islam, menurut kebanyakan warga transgender, hampir mustahil untuk menemukan doktor yang bersedia menjalankan SRS ke atas mereka. Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara pula tidak membenarkan warga transgender – tidak kiralah penganut Islam atau bukan Islam – untuk menukar penanda jantina mereka (“perempuan” atau “lelaki”) pada kad pengenalan mereka agar serasi dan secocok dengan identiti gender mereka. Bahkan, sekiranya warga transgender menjalani pembedahan SRS di luar negara sekalipun, mereka masih dinafikan hak untuk menukar penanda jantina sehingga memaksa mereka hidup dalam keadaan tidak keruan dari segi undang-undang lantaran tubuh mereka tidak serasi dengan jantina yang tertera atas kad pengenalan mereka.

Namun, adakalanya, institusi kerajaan Malaysia menyedari akan keperluan warga transgender ini. Kepekaan kerajaan tentang wanita transgender sebagai populasi paling berisiko (most at-risk population, MARP) dalam membendung wabak HIV telah membawa kepada program pelibatan Kerajaan yang disasarkan khusus bagi warga transgender. Hal ini selaras dengan usaha membendung HIV yang menular dan memastikan pesakit HIV-positif mendapatkan rawatan sewajarnya. Kementerian Kesihatan turut melaporkan penganiayaan ke atas golongan transgender sehingga menyebabkan mereka menyembunyikan diri sekali gus menghambat usaha untuk membanteras HIV. Namun demikian, Kementerian Kesihatan tidak mengusulkan sebarang cadangan bagi meminda undang-undang sedia ada. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), badan yang ditubuhkan bagi “menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia” dan memelihara kesucian ajaran Islam telah mengambil inisiatif untuk membendung wabak HIV; justeru, aktiviti yang diusahakan turut menyasarkan warga transwanita. Akan tetapi, ada waktunya, saranan yang dibuat tidak memadamkan stigma terhadap transgender, sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

Sungguhpun terpaksa mengharungi pelbagai onak dan duri, warga transgender di Malaysia bukanlah mangsa yang hanya berpeluk tubuh atau pasrah dengan keadaan mereka. Golongan transgender telah bangkit dengan gerakan mereka sendiri. Mereka semakin lantang bersuara dan menuntut agar hak mereka dihormati. Gerakan Justice for Sisters yang berpangkalan di Kuala Lumpur berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kezaliman dan penganiyaan terhadap wanita transgender di samping menyokong agar undang-undang Syariah yang melarang warga transgender berpakaian lawan jenis (cross-dressing) diisytiharkan tidak sah dan tidak berpelembagaan. Kempen multimedia “I AM YOU: Be A Trans Ally” (“AKU ADALAH ENGKAU: Jadilah Sahabat Trans”) bertujuan mengangkat imej yang positif tentang warga transgender di samping memberi ruang kepada mereka untuk berkongsi kisah mereka. Pelbagai pertubuhan masyarakt sivil, termasuklah Majlis Peguam Malaysia dan Sisters in Islam, sebuah kumpulan feminis telah menyatakan sokongan secara terbuka terhadap hak transgender.

Pada 2010, empat wanita transgender memfailkan permohonan untuk mencabar keperlembagaan undang-undang Syariah Negeri Sembilan yang mengharamkan “cross-dressing.” Pemohon-pemohon kes tersebut telah ditahan berkali-kali di bawah undang-undang Syariah, bahkan, mereka pernah ditangkap hanya kerana memakai aksesori rambut wanita. Tiga daripada mereka pernah didera secara fizikal dan seksual oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama negeri yang menangkap mereka. Hujah yang diketengahkan oleh pemohon menerusi peguam bela mereka adalah, undang-undang yang melarang “lelaki berlagak seperti perempuan” melanggar kebebasan diri, kebebasan bergerak dan kesamarataan dari segi jaminan perlindungan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ketika sebutan kali pertama, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan pemohon-pemohon. Rayuan telah dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan di pusat pentadbiran persekutuan, Putrajaya dan keputusan dijangka dibuat pada 7 November 2014.

Beberapa warga transgender yang lahir pada era tahun 1950-an dan 1960-an memberitahu Human Rights Watch bahawa mereka terkenang akan Malaysia yang suatu ketika dahulu lebih progresif dan tidak mengamalkan diskriminasi seteruk sekarang. Para aktivis transgender kini ingin membawa rakyat Malaysia mengimbau semula sejarah Malaysia dahulu yang lebih bersikap toleransi, sekali gus memastikan warga transgender Malaysia tidak hilang hak asasi mereka yang dijamin di bawah perlembagaan Malaysia dan undang-undang hak asasi antarabangsa hanya kerana identiti atau ekspresi gender mereka.

Secara tuntasnya, Human Rights Watch menyeru kerajaan persekutuan dan negeri-negeri di Malaysia untuk memansuhkan undang-undang dan fatwa yang penuh diskriminasi sehingga menafikan hak mutlak warga transgender untuk hidup bersandarkan fitrah semula jadi mereka. Semua Jabatan Agama negeri dan pihak polis wajar menghentikan segala macam penganiayaan terhadap golongan transgender, termasuklah penangkapan dan penahanan secara arbitrari, serangan seksual, perlakuan zalim, penderaan dan memeras ugut wang dan seks daripada mereka. Pihak berkuasa sepatutnya menyiasat sesiapa sahaja sekiranya bersalah. Selain itu, pegawai kerajaan, ahli politik dan pemimpin agama di Malaysia wajar menghentikan tindakan mengeluarkan kenyataan bersifat tohmahan atau cemuhan terhadap golongan transgender. Sebaliknya, mereka wajar mengambil langkah untuk melindungi warga transgender daripada kekejaman dan diskriminasi terhadap golongan ini.  

 

Saranan Utama

Kepada Perdana Menteri Malaysia

  • Tarik semula kenyataan yang dibuat pada 2012 bahawa Malaysia harus “memerangi” golongan LGBT, dan sebaliknya menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan toleransi dan menghentikan diskriminasi terhadap sesiapa sahaja atas dasar identiti gender atau orientasi seksual mereka.

 

Region / Country