Skip to main content

© 2018 AP Photo/Sadiq Asyraf
(Bangkok) - Reformasi hak asasi Malaysia menyaksikan penangguhan pada tahun 2019 ketika kerajaan dilihat enggan atau melengah-lengahkan komitmen kempen pilihan raya, begitu dinyatakan oleh Human Rights Watch dalam Laporan Dunia 2020 hari ini.

“Proses reformasi Malaysia gagal kerana pemimpin pakatan pemerintah tidak mempunyai kesungguhan politik untuk mempertahankan prinsip mereka tatkala berdepan tentangan politik,” ujar Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch di Asia. “Kerajaan Malaysia perlu memperbaharui azamnya untuk melaksanakan reformasi hak asasi seperti yang dijanjikan.”

Langkah positif yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia termasuklah memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar, mengusul draf undang-undang bagi menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis, dan memperkukuh kebebasan parlimen demi membahaskan isu hak. Akan tetapi, ia dilihat gagal mencapai reformasi dalam beberapa isu penting seperti kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sementara itu, Malaysia menarik diri daripada Statut Rom di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada bulan April, tidak sampai sebulan selepas merasmikan penyertaannya dalam perjanjian tersebut. Kerajaan juga enggan menunaikan komitmen untuk menghapuskan hukuman mati sepenuhnya. Sebaliknya, ia mengumumkan akan memperkenalkan undang-undang baharu bagi menghapus hukuman mati mandatori untuk beberapa kategori jenayah.

Kerajaan juga gagal melaksanakan komitmennya, sama ada memansuhkan atau meminda beberapa undang-undang yang zalim; antaranya, Akta Hasutan yang sering disalahgunakan. Akta ini terus dijadikan wahana untuk menghukum rakyat yang mengkritik institusi Raja Malaysia.

Dalam pada itu, kerajaan terus menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) walaupun sudah berjanji akan memansuhkan beberapa peruntukan yang bersifat “drakonian” dalam Akta tersebut. SOSMA membenarkan penahanan preventif sehingga 28 hari tanpa sebarang semakan kehakiman bagi beberapa “kesalahan keselamatan” dan memperuntukkan prosedur khas untuk perbicaraan kes berkenaan, sedangkan ia melanggar hak perbicaraan adil. Dua belas orang, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri parti DAP, ditahan di bawah akta tersebut pada bulan Oktober atas dakwaan menyokong kumpulan pengganas Sri Lanka yang tidak lagi aktif.

Salah laku polis masih merupakan masalah serius di Malaysia, apatah lagi kebertanggungjawaban dalam kes-kes terbabit. Pada bulan Julai, kerajaan mengusulkan rang undang-undang bagi menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat salah laku polis. Namun, terdapat beberapa peruntukan dalam rang tersebut yang menimbulkan persoalan tentang kebebasan dan bidang kuasa suruhanjaya yang dicadangkan.

Selain itu, diskriminasi terhadap warga LGBT di Malaysia masih berleluasa. Undang-undang persekutuan menghukum “persetubuhan di luar tabii” sehingga 20 tahun penjara, manakala undang-undang Syariah di banyak negeri turut mengharamkan hubungan seksual sejenis dan kebebasan gender di luar norma. Hal yang demikian itu menyebabkan tangkapan kerap dibuat terhadap golongan transgender. Pada bulan November, lima lelaki dijatuhkan hukuman penjara dan enam sebatan rotan bersabit “cubaan persetubuhan di luar tabii.” Empat daripada mereka disebat pada 19 November.

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad dan beberapa pegawai kerajaan lain juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak menyokong komuniti LGBT. Pada bulan Jun, Mahathir mendakwa bahawa wacana hak LGBT ini diuar-uarkan oleh “negara-negara Barat” dan “tidak sesuai” untuk Malaysia.

“Rekod hak asasi kerajaan Malaysia akan diukur berdasarkan pencapaiannya, bukan janjinya,” ujar Robertson. “Kerajaan masih mampu memperbaik rekod prestasinya dengan menegakkan serta memperjuangkan hak komuniti negaranya yang paling tersisih.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country