Skip to main content

Malaysia: Antitoleransi Semakin Merebak dan Menggugat Hak Asasi

Aktivis Hak Asasi, Kebebasan Beragama Menjadi Sasaran

Orang ramai menyertai perarakan antikleptokrasi di Petaling Jaya, berdekatan Kuala Lumpur, Malaysia pada 14 Oktober, 2017.   © 2017 Lai Seng Sin / Reuters

(New York, 18 Januari, 2018) – Pada 2017, kerajaan Malaysia terus memburu aktivis dan ahli politik pembangkang yang bersikap kritis terhadap kerajaan, begitu menurut Human Rights Watch hari ini ketika melancarkan Laporan Dunia 2018 terbitannya. Dengan dakwaan salah laku rasuah yang masih membayangi Perdana Menteri Najib Razak dan pilihan raya yang dijadualkan pada 2018, kerajaan dilihat semakin memperketat undang-undang represif, di samping mengemukakan serangan dan tuduhan jenayah terhadap pengkritik yang bersuara secara aman.

Dalam Laporan Dunia edisi ke-28 setebal 643 mukasurat, Human Rights Watch melaporkan amalan hak asasi manusia di lebih 90 negara. Dalam esei perutusannya, Pengarah Eksekutif, Kenneth Roth menyebut bahawa pemimpin politik yang berani menegakkan prinsip hak asasi manusia menunjukkan agenda populis autoritarian mampu dikekang. Dengan gandingan orang awam yang lantang bersuara serta pemain multilateral yang efektif, pemimpin-pemimpin ini membuktikan bahawa kerajaan antihak asasi masih dapat dipatahkan.

“Perdana Menteri Malaysia, Najib, nampaknya berusaha habis-habisan untuk menyekat sebarang komentar yang mengkritik kerajaannya,” ujar Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch rantau Asia. “Dikhuatiri kelak penindasan akan semakin berleluasa memandangkan pilihan raya 2018 semakin hampir.”

Perdana Menteri Malaysia, Najib, nampaknya berusaha habis-habisan untuk menyekat sebarang komentar yang mengkritik kerajaannya.
Phil Robertson

Timbalan Pengarah


Kenyataan Perdana Menteri Najib pada bulan April 2017 bahawa kebebasan bersuara “semakin meluas” di Malaysia tidak menggambarkan realiti sebenar, ujar Human Rights Watch lagi. Kerajaan Malaysia berkali-kali menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat dan mendakwa sesiapa sahaja yang mengkritik pentadbir kerajaan di media sosial. Mereka yang didakwa termasuklah pihak pengurusan tertinggi  Malaysiakini, sebuah portal berita dalam talian ekoran paparan video yang mengkritik peguam negara kerana membersihkan perdana menteri daripada sebarang pertuduhan rasuah.

Pembela hak asasi terus berdepan dengan serangan undang-undang dan sekatan arbitrari terhadap mereka. Pada bulan Mac, polis menyiasat tiga ahli kumpulan tindakan masyarakat membabitkan kehilangan warga (Citizen Action Group on Enforced Disappearances, CAGED) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat “mencetuskan ketakutan dan rasa cemas dalam kalangan orang awam.” Hal ini susulan kenyataan CAGED tentang kehilangan beberapa anggota gereja yang dirujuk sebagai “kehilangan yang dikuatkuasakan.” Pada bulan Mei, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 (US$2,062) atau hukuman penjara satu tahun ke atas Lena Hendry, aktivis yang dituduh menganjurkan penayangan filem dokumentari “No Fire Zone.” Pada bulan Jun pula, Siti Kassim, seorang peguam dituduh “menghalang tugas penjawat awam” kerana mencabar bidang kuasa pegawai agama negeri ekoran serbuan terhadap pertandingan ratu cantik transgender yang dilangsungkan pada bulan April 2016.

Selain itu, diskriminasi terhadap warga lesbian, homoseksual, biseksual dan transgender (LGBT) juga semakin berleluasa di Malaysia. Keganasan ke atas golongan warga LGBT menjadi berita utama susulan kes bunuh seorang wanita transgender, Sameera Krishnan pada bulan Februari dan kes rogol dan bunuh T. Nhaveen, remaja berusia 18 tahun pada bulan Jun.  T. Nhaveen telah dilemparkan kata-kata berbaur anti-LGBT oleh penyerangnya sebelum beliau diserang.

Kerajaan turut menggunakan undang-undang drakonian yang membenarkan penahanan tanpa pembicaraan. Antaranya ialah Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) yang membenarkan penahanan tertuduh sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman merangkumi pelbagai jenis “kesalahan keselamatan.” Selain itu, kerajaan juga meluluskan pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah, juga suatu undang-undang yang menindas kerana menyekat hak bersuara orang yang ditahan.

Kerajaan Malaysia juga terus menampakkan anjakan kepada Islam yang lebih konservatif, agama majoriti negara ini. Rang undang-undang yang akan membolehkan mahkamah Syariah negeri (undang-undang Islam) mengenakan hukuman yang lebih berat masih belum diluluskan di Parlimen. Namun, pada bulan Julai, negeri Kelantan meluluskan perundangan yang membenarkan mahkamah Syariahnya untuk mengeluarkan perintah hukuman sebat di tempat awam. Pada bulan September pula, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menahan dan menyoal siasat ahli akademik Turki, Mustafa Akyol, seorang penulis yang mengetengahkan Islam liberal kerana dakwaan memberikan ceramah agama tanpa tauliah daripada badan berkuasa agama negeri. Penganjur ceramah tersebut turut dituduh bersubahat mengikut akta yang sama dan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun. Menteri Dalam Negeri kemudiannya mengharamkan buku Akyol berserta koleksi artikel ilmiah yang dikeluarkan oleh persatuan G25, sebuah badan yang menyarankan pendekatan yang lebih moderat terhadap Islam.

“Pentadbir kerajaan Malaysia sepatutnya bersuara menentang sikap antitoleransi yang semakin merebak, bukan menyumbang ke arahnya,” kata Robertson. “Dalam sebuah negara pelbagai etnik dan agama, Perdana Menteri Najib seharusnya membela hak setiap warga Malaysia untuk bebas bersuara dan mengamalkan agama masing-masing tanpa rasa takut.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country